SAYEMBARA : TERUJA ATAU JAHIL ETIKA?
Mungkin kerana ghairah. Mungkin kerana teruja ingin berkongsi. Atau mungkin juga kerana tidak tahu etikanya. Ya, segalanya mungkin.
Saya bukanlah pihak terbaik untuk mengulas seputar hakcipta sesebuah karya, tetapi saya rasa ada baiknya saya "mengusik" sedikit berkenaan isu yang agak "kurang wajar dan tidak manis" dalam kalangan penulis generasi baharu yang mesra dengan teknologi siber.
Kira-kira tiga tahun lepas, apabila diumumkan senarai pemenang sayembara novel yang dianjurkan oleh sebuah agensi, saya tertarik melihat beberapa judul novel yang terpilih menjadi pemenang utamanya. Bukan senarai pemenangnya menjadi persoalan, tetapi ada dalam senarai novel yang menang itu judulnya pernah saya dengar dan baca sepintas lalu di internet sebelum itu. Ya, judulnya sama dan watak-watak utama yang disebut dalam ulasan ringkas panel hakim yang disiarkan menerusi sebuah majalah juga sama. Dan penulisnya pula adalah dalam kalangan generasi baharu yang baru menulis atau pertama kali menulis. Namun tanda tanya itu saya pendamkan setahun dua. Mungkin saya tersilap pandang, apatah lagi novelnya belum terbit untuk dinilai pembaca.
Bagaimanapun, setahun lalu, apabila saya bertemu seorang pegawai yang terlibat dalam penerbitan buku pemenang sayembara itu, tanpa disangka-sangka dia bercerita kepada saya hal yang telah saya diamkan sekian lama. Jelaslah bahawa telahan saya selama ini benar. Meskipun novel tersebut belum terbit, tetapi pegawai terbabit mengesahkan bahawa pihaknya telah mengesan dan mendapati bahawa novel itu telah disiarkan sebahagiannya di internet. Dalam kata yang lebih mudah, pengarang telah menyiarkan novel tersebut (atau dinamakan cerpen bersiri) secara berperingkat di internet selama beberapa lama, kemudian dalam pada masa yang sama membaiki novel itu lalu dikirim kepada penganjur sayembara untuk dipertandingkan. Lebih menarik lagi, novel itu memang sudah ada pengikutnya di alam siber.
Pegawai tersebut mengeluh kepada saya tentang betapa letihnya dia berhadapan dengan situasi tersebut. Mahu diapakan naskhah yang telah dimenangkan itu? Masakan hendak ditarikbalik hadiahnya berbentuk wang tunai bernilai ribuan ringgit yang telah disampaikan secara gilang-gemilang hampir dua tahun lalu? Namun akhirnya, dengan budi bicara yang rasional tentunya, naskhah novel itu berjaya diterbitkan juga.
Tujuan saya mengusik isu sebegini tidak lain dan tidak bukan kerana ia melibatkan sikap atau etika. Tambahan pula ia melibatkan penulis generasi baharu yang mungkin tidak sedar "batasan" yang dilanggarnya. Hukumnya pula adalah "haram" kerana pengarang telah melanggar syarat-syarat peraduan yang tidak "menerima" karya yang sudah tersiar/terbit dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan situasi di atas berlaku bukan sekali, tetapi beberapa kali bahkan merebak ke sebuah sayembara lain.
Tidak berapa lama dahulu, teman saya seorang staf di sebuah penerbitan pula memberitahu bahawa terdapat beberapa manuskrip novel yang dihantar oleh penulis baharu untuk menyertai sayembara yang dianjurkan oleh pihaknya melakukan perkara yang sama. Mujurlah pihak penganjur yang mesra siber dapat mengesannya lalu menggugurkannya dari senarai penilaian. Jangan terperanjat jika khabarnya ada manuskrip yang telah disiarkan dari A hingga Z di blog penulis terbabit sedangkan keputusan sayembara belum diumumkan pun.
Mungkin kerana ghairah. Mungkin kerana teruja ingin berkongsi. Atau mungkin juga kerana tidak tahu etikanya. Ya, segalanya mungkin.
Read more...