Jumaat, Disember 31, 2004

i
Pesanan dari NTV7. Sesiapa yang ingin menyumbang derma kepada mangsa gelombang tsunami di utara Semenanjung boleh menderma melalui sms. Caranya taip: AID BENCANA dan hantarkan ke 36677. Setiap sms dicaj RM4 (penyumbang mestilah pelanggan Celcom dan DiGi sahaja).

ii
Kantung emel saya ada menerima fakta yang berbunyi begini:

Pada 26 Disember 1932 gempabumi berlaku di China membunuh 70,000 nyawa.

Pada 26 Disember 1939 gempabumi 7.9 Richter berlaku di Wilyah Erzincan, Turki membunuh 41,000 nyawa.

Pada 26 Disember 2003 gempabumi 6.5 Richter berlaku di Wilayah Bam, Iran membunuh 45,000 nyawa.

Pada 26 Disember 2004 gempabumi berlaku di Sumatera membunuh 35,000 nyawa dan jumlahnya terus meningkat..

Jangan kita lupakan ribut Greg di Keningau, Sabah juga berlaku pada awal pagi 26 Disember 1996 yang meragut beratus nyawa.

Adakah semuanya ini 'coincidental'? Bukankah pada malam sebelumnya iaitu 25 Disember di banyak tempat di dunia ini, ramai manusia yang lupa daratan, mabuk dan berpoya-poya?

Pada pagi 26 Disember 2004, di persisiran pantai timur selatan India diberitakan ada temasya memuja laut ketika tsunami melanda..

Kita tidak mampu mencari jawapan atas apa yang berlaku tetapi sekadar menginsafinya sebagai peringatan


Read more...

Selasa, Disember 28, 2004

Lepas gempa bumi datang tsunami
(ini bala!)
Lepas countdown mari sure heboh
(ini mengundang bala!)

Oh Malaysia, tanah airku!

Read more...

Selasa, Disember 21, 2004

SENGGARANG-SEGAMAT-ENDAU

Hari ini genap usia Irfan satu bulan. Kalau tiada aral melintang, kami sekeluarga akan pulang ke Segamat petang ini. Bagaimana agaknya keadaan rumah setelah hampir sebulan ditinggalkan. Walaupun masih dalam pantang, namun zaujah saya sudah risau mengingatkan taskanya yang lama terbiar tanpa dijenguk. Tahun baru akan menjelang tidak berapa lama lagi, tapi sebarang persediaan belum dibuat. Rumput, semalu dan lalang di halaman taska pastinya sudah naik memanjang.

Taska Al-Wijdan milik zaujah saya dan teman baiknya itu akan genap setahun pada tahun baru nanti. Meskipun dia mengajar di sekolah rendah, tapi taska itu diusahakannya juga. Sudah menjadi cita-cita zaujah saya sejak zaman remajanya - ingin memiliki taska sendiri. Mungkin kerana dia sangat suka melayan budak-budak. Dan saya, sebagai suami yang sentiasa cuba belajar memahami, apakah yang lebih baik selain memberikan sokongan terhadap sebuah impian murni? Bagi saya minat dan keinginannya yang baik itu tidak wajar disekat, apatah lagi yang mendatangkan manfaat.

Selain menawarkan pengasuhan kanak-kanak, taskanya juga membuka kelas pengajian al-Quran menggunakan kaedah Al-Barqy. Setiap lepas asar dan maghrib pada isnin hingga khamis berduyun-duyunlah kanak-kanak yang masih di tadika atau sekolah rendah ke taska untuk belajar mengaji. Kebanyakannya anak jiran, anak kenalan dan anak guru-guru di sekolah saya. Justeru banyak juga masa zaujah saya dihabiskan di taskanya, tapi itulah namanya pengorbanan.

Kami mungkin beberapa hari sahaja di Segamat sebelum pulang ke Endau pada cuti sempena Natal. Ramai sanak-saudara ingin melihat Irfan yang belum pernah ke sana sejak lahirnya. Saya juga mahu menjenguk kakak yang baru bersalin dan anak saudara baru kami - Hana Humaira' - yang lahir 30 November lalu. Mak saya nampaknya sudah dua tahun berturut-turut mendapat dua orang cucu serentak dalam tempoh yang singkat. Tahun lepas Nailofar lahir tiga minggu selepas kelahiran Fakhir Fahmi, cucu pertamanya. Kali ini Hana Humaira' pula lahir sepuluh hari selepas kelahiran Irfan. Memang sudah ditakdirkan, kakak dan zaujah saya hamil dan bersalin hampir serentak.

Sesudah itu, kami kena pulang semula ke Segamat. 30 Disember ada ujian PTK (PTK tu apa, hah?) yang mesti saya duduki. Harap-harap ujian seperti ini cepat-cepatlah ditalqinkan. 31 Disember ada mesyuarat guru di SMKAS. 3 Januari 2005 sesi persekolahan 2005 akan bermula, begitu juga penerbitan novel terbaru saya...

Read more...

Khamis, Disember 16, 2004

BEBERAPA KEBETULAN & FAKTA SEBENAR

1. Semasa penulis belajar di Irbid dulu, sebetulnya, terdapat sebuah persatuan universiti yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Yarmouk (PERMAYA). Lantas di dalam novel, saya menukarnya menjadi Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI) bagi mengelak daripada menyentuh mana-mana pihak yang terlibat dengan persatuan berkenaan ketika itu. Bagaimanapun, tanpa saya duga apabila kedatangan pelajar Melayu mulai surut ke Universiti Yarmouk selepas 2001, dan semakin ramai pula pelajar kita yang belajar perubatan di Jordan University Science & Technology (JUST) yang terletak berhampiran Irbid, pihak Jabatan Penuntut Malaysia telah mengarahkan pembubaran PERMAYA dan digantikan dengan PERMAI yang sebelumnya hanyalah khayalan penulis semata-mata.

2. Dr. Ali Ottom pensyarah nahu kami ketika itu memang benar-benar ditahan kerana khutbah lantangnya di Masjid Hasan al-Banna membantah pengusiran pemimpin-pemimpin HAMAS ke Tehran. Aiman anaknya yang baik dengan para pelajar Melayu juga ditangkap pada waktu subuh bulan Ramadan 1420 kerana membaca puisi mengecam kerajaan Jordan dan tindakan menahan bapanya.

3. Penulis memang sangat menggemari majalah bulanan Falestin Muslimah, malah pernah membelinya selama 24 keluaran berturut-turut. Begitu juga dengan majalah al-Mujtama'. Akhbar mingguan as-Sabeel juga tidak ketinggalan.

4. Kehilangan Nora yang menjadi konflik awal novel disandarkan kepada peristiwa benar kehilangan seorang siswi di sana. Khabarnya dia juga berkrisis dengan ahli rumahnya lantas mendorongnya melarikan diri. Tak ramai yang tahu kisah ini melainkan beberapa exco tertinggi persatuan ketika itu. Tahu ke mana gadis itu pergi? England! Kebetulan abangnya ada belajar di UK.

5. Kalimat "nailofar" memang pertama kali saya temui semasa mengaji Syi'ir Andalusiy wa Maghribi. Kalau tak silap, penyair Andalus bernama Ibnu Zaidun yang menggunakan kalimat itu dalam puisi memuja kekasihnya, Walladah. Saya mencari kalimat itu dalam Lisanul Arab. Memang tiada. Lantas saya menemui pensyarah dan merujuk kamus-kamus yang lebih mutakhir, barulah saya menemukan maknanya. Ia kalimat Sepanyol yang di"arab"kan. Macam jendela, almari - perkataan Portugis yang dah jadi milik kita.

6. Abu Munzir, imam Masjid Duwar Nasim yang buta. Itu memang guru kami. Tiga kali seminggu, setiap lepas Maghrib, kami akan menadah kitab dengannya. Dia tak nampak, tapi ilmunya masya Allah. Sekali dibacakan matan apa-apa kitab, dia sudah ingat dan boleh mengulanginya malah mensyarahkannya pula kepada yang celik. Kadang-kadang nak mengalir air mata bila mengingatkan kenangan bersamanya. Dia selalu berjenaka dan kami selalu berlumba untuk membantu memimpinnya berjalan pulang atau pergi ke masjid. Hidup lagikah Abu Munzir? Ya Allah, rahmatilah guru saya dan panjangkanlah umurnya!

Read more...

Isnin, Disember 13, 2004

BEBERAPA PEMBETULAN
Dalam kertas kerja Talib Samat yang mengulas Sesegar Nailofar baru-baru ini terselit beberapa kekeliruan/kesilapan maklumat yang tidak disengajakan:

1- Novel Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar, seorang penulis muda berbakat besar kelahiran Segamat, Johor, pernah memenangi hadiah ketiga Pertandingan Novel Remaja dalam Siri Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2000.

Pembetulan: Penulis lahir di Endau, Mersing. Tetapi bersekolah menengah dan kini menetap dan mengajar di Segamat.

2 - Kisah percintaan di antara Iqbal yang sedang menuntut di Universiti Yarmouk,Jordan dengan Salsabila yang berada di Segamat, Johor yang sudah berusia lima tahun itu dan dipisahkan oleh lautan dan daratan lebih ribuan kilometer itu berakhir dengan kekecewaan bila menerima sepucuk surat dari Salsabila Shamsuddin di Segamat,Johor yang mengakhiri segala hubungan mereka.Salsabila terpaksa bernikah dengan waris sebelah ibunya pada 12 September sebagai teman hidupnya yang dipilih oleh keluarganya khususnya ibunya.Tarikh 12 September dipilih bukan 11 September untuk tarikh pernikahan Salsabila Shamsuddin dengan jejaka pilihan keluarganya.

Timbul pertanyaan mengapa tarikh 12 September yang dipilih pengarang.Tidak tarikh 11 September kerana tarikh 11 September adalah tarikh kemusnahan dua menara berkembar di kota New York, Amerika Syarikat yang kemudiannya membawa mala petaka kepada umat lslam bila dituduh pengganas yang menyebabkan Afghanistan,Iraq diserang oleh Amerika Syarikat pimpinan George Bush tanpa sebab alasan yang munasabah.

Pembetulan: Novel Sesegar Nailofar ditulis dalam tempoh seratus hari sekitar bulan September 2000 hingga Disember 2000. Malah ia memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun 2000 tetapi majlis penyampaiannya diadakan pada Mei 2001 dan ia diterbitkan juga pada 2001. Jadi, ia tiada kena mengena dengan tarikh 11 September 2001 yang belum lagi terjadi. Tarikh 12 September dipilih mengikut kewajaran perjalanan plot novel berkenaan.

Terima kasih kepada Haji Talib Samat yang sudi mengupas novel sulung saya. Moga Allah cucuri rahmat.

Read more...

Jumaat, Disember 10, 2004

Sedikit lagi cebisan catatan
Sabtu 4 Dis 04
Seusai program saya tidak terus pulang ke Johor, sebaliknya berbual dengan teman-teman bertukar-tukar perkembangan diri. Di luar jangkaan, hari ini menemukan saya dengan Ahmad Zafran Abdul Mutalib pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1992. Ingat lagi cerpennya yang berjudul Cintaku Hanya Untuk-Nya (sila rujuk antologi Annyss Sophillea) yang hebat itu? Saya masih terhimbau lagi watak Azlan selaku "imam rock" yang berjaya menawan hati Anum Nirmala. Begitu juga dengan cerpen Nur Sadiq yang menampilkan ilmu seni mempertahankan diri dan plot perjuangan anak muda. Ya, kali ini saya gembira dapat menemui penulisnya dan apatah lagi beliau telah kembali menulis.

Saya, Zafran dan Rauf (mantan MPR 04) berbual pelbagai topik sebelum sama-sama terheret untuk bersama menunaikan fardu Zohor di Surau DBP dan menjamu selera dan mata di Pasar Budaya santak ke jam lima. Zafran ketara mudah mesra dan terasa berat pula hati saya ketika menghantarnya ke Hentian Pudu petang itu.

Jam 6, saya dan Rauf ke Rumah Pena. Saja melepak-lepak sementara menunggu malam. Tidak lama kemudian, muncul Lutfi dan Anjan yang juga berniat serupa. Kami berborak santak ke Maghrib. Malam itu kami menonton final Piala Malaysia di Bucu DBP sambil menikmati makan malam. Terima kasih Anjan yang sudi menemani saya dan Rauf bermalam di Rumah Puspanita.

Ahad 5 Dis 04
Sesudah bersarapan di Bangsar, saya dan Rauf meninggalkan Anjan di rumah kawannya. Kami kemudian menuju ke Bandar Mahkota Cheras. Kak Aminah Mokhtar mengundang saya beraya ke rumah barunya di sana. Rumah lamanya di Taman Beringin, Jinjang, rasanya sempat dua kali saya singgah, tetapi yang baru dan cantik ini belum pernah. Memang banyak perkara yang ingin dibualkan. Apabila Nazmi tiba sejam kemudian perbualan tambah rancak - terutama di meja makan. Sebelum pulang, kami dihadiahkan kumpulan puisi Kak Min yang berjudul Semoga Cepat Sembuh. Banyak tip yang kami kutip sepanjang di rumahnya. Khususnya, pengalaman Kak Min menulis dan menerbitkan sendiri novel dan buku puisinya.

Perjalanan diteruskan ke Seremban. Saya meninggalkan Rauf di Terminal Bas Seremban lantaran saya mahu ke Sikamat, lebih tepat lagi ke SMKA SHAMS bertemu teman paling akrab. Jam 6, saya bertolak pulang ke Batu Pahat dengan harapan tidak terlepas peluang menyaksikan Debat Perdana di TV1 jam 9 malam nanti.

Read more...

Selasa, Disember 07, 2004

1
Saya selalu teringat kata-kata Pak Samad Said, pengalaman menulis novel baru seperti baru belajar menulis novel kali pertama. Begitulah yang saya alami. Dan saya memang menyokong seratus peratus kenyataan Sasterawan Negara itu. Mungkin bagi sesetengah penulis ia tidak berlaku, tetapi bagi saya ia sangat benar.

Semasa menulis novel sulung - Sesegar Nailofar - boleh dikatakan saya menulis ikut sedap walaupun masih agak berhati-hati. Begitupun novel saya tidaklah setebal mana, lantaran saya telah terdidik dalam disiplin penulisan cerpen yang padat dan ekonomik. Saya tidak tahu bagaimana mahu memanjangkan cerita dan mereka subplot yang mampu menambah ketebalan novel.

Apabila menulis novel kedua - Rona Bosphorus - saya lebih tertekan kerana sudah ada pengalaman menulis novel. Namun seperti kata Pak Samad, ia seperti baru belajar menulis novel kali pertama. Terasa ia lebih sukar dan menjerihkan berbanding yang terdahulu. Dalam Rona ternyata saya jauh lebih 'perlahan' dan 'takut-takut' yang membuatkan ia lebih padat dan lebih nipis.

Dan kini apabila menghadapi yang ketiga, apakah akan berlaku situasi serupa?

2
Sabtu
Saya ke KL. Bertolak jam 6 pagi dan tiba di DBP kira-kira jam 9 suku. Bertemu Anjan Ahzana dan Lutfi Ishak di Kedai Buku DBP, mengintai-ngintai buku di situ sebelum bersama Saifullizan Yahya ke Sudut Penulis.

Talib Samat selaku panel yang bakal mengulas Nailofar sudah tiba. Kami berbual-bual beberapa perkara termasuk soal HSPm yang bakal diumum pada hari Isnin. Adik-adik mantan MPR (spt Ghafirah, Ukuza, Ida Munira, Azlan dll) yang begitu bersemangat juga sudah menunggu kehadiran Lim Swee Tin dan Prof Rahman Shaari yang sedikit lewat. Berbual-bual dahulu di lobi sebelum diskusi karya bermula tepat jam 10.35 pagi.

Turut hadir di majlis diskusi, penulis mapan Aminah Mokhtar dan editor makro Nor Azah Abd Aziz. Selain itu, Hajah Zainab Kasim mantan Ketua Bahagian Sastera Kebangsaan DBP juga hadir malah sempat berucap sesudah menyampaikan cenderamata.

Read more...

Jumaat, Disember 03, 2004

Saya pening. Pening mahu memilih judul. Selalunya saya memilih judul apabila karya sudah tiga suku siap. Tetapi yang kali ini agak istimewa, lain sedikit prosesnya. Dan yang penting, ada kalimat "salju" di dalamnya.

Antara yang bermain dalam kepala:
1. Tidak Sedingin Salju
2. Salju Musim Terakhir
3. Titis Salju Terakhir
4. Selagi Salju Berguguran
5. Salju Sakinah
6. Salju Tidak Dingin

Hati saya cenderung memilih yang nombor lima. Seorang penulis wanita mapan dan seorang penulis muda prolifik dari Palestin memilih nombor dua. Ada pula teman penulis dari Andalusia memilih nombor satu.

Anda bagaimana?

Read more...

Khamis, November 25, 2004

Alhamdulillah.
Setelah tiga tahun diterbitkan, akhirnya novel sulung saya - Sesegar Nailofar - akan didiskusikan. Terima kasih kepada pihak penganjur (mantan MPR dan DBP) yang memilihnya (juga bersusah-payah mempromosi program), dan kepada Sdr.Talib Samat yang bakal mengupasnya, juga kepada para pembaca yang pernah memperkatakannya. Insya Allah saya sendiri akan hadir pada program tersebut.

DISKUSI KARYA MANTAN MPR

Tarikh : 4 Disember 2004
Masa : 9 pagi - 12 tengah hari
Tempat : Dewan Seminar Tingkat 2 DBP, KL


Diskusi Karya berkenaan akan membincangkan:

1- Novel Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar (panel Talib Samat dari UPSI)

2- Kumpulan puisi Pendatang Malam karya Ida Munira Abu Bakar (panel Lim Swee Tin)

3- Karya eceran Mantan MPR 2000-2004 yang pernah tersiar di media cetak (panel Rahman Shaari).

Read more...

Selasa, November 23, 2004

Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Wa Lillahil hamd!

Tuhan makbulkan doa saya dan keluarga.
Pada hari Ahad, tanggal 21 November 2004 yang lalu, pada jam 2.17 pagi, isteri saya selamat melahirkan putera kami di Kuantan Medical Center. Namanya Muhammad Irfan. Irfan maknanya ilmu pengetahuan. Doakan moga dia menjadi anak penyejuk mata ibu bapa; insan pejuang bermanfaat besar untuk agama dan bangsanya. Ahlan wa sahlan ya Muhammad Irfan!

Read more...

Selasa, November 16, 2004

Bila tiba lebaran, saya selalu teringat sebuah puisi terpendek penyair Indonesia yang saya hafaz.

Malam Lebaran
Bulan atas kuburan.

Kiranya belum terlambat untuk kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Eidil Fitri kepada semua kenalan dan pengunjung.
Maaf batin dan zahir di atas silap salah saya dan keluarga.
Kullu 'aam wa antum bi khayr.
Eid Mubarak!

Ikhlas daripada,
Zaid Akhtar @ Mohamad Yazid Abdul Majid
Andik Siti Hadijah Abdul Salam
Nailofar Mohamad Yazid

Read more...

Isnin, November 08, 2004

Ulasan Cerpen Pendedahan oleh Zaharah Nawawi dalam Mingguan Malaysia semalam

Cerpen Pendedahan lebih sesuai jika dikategorikan sebagai skrip drama; kerana cerpen ini diolah tidak seperti kelaziman penulisan cerpen sebaliknya cerita berjalan di atas dialog; antara Tan Sri Tuah dengan Teja perempuan yang dalam cerpen ini dikatakan diculik Tuah demi ketaatan dan ketaksuban kepada sultan. Sesuai dengan sifatnya seperti skrip drama, cerpen yang diistilah sebagai mapen (drama dan cerpen) begini, terlalu sedikit selingan penceritaan latar baik pada permulaan, pengakhiran mahupun penyambung antara satu dialog dengan dialog-dialog berikutnya. Kerana itu, Pendedahan merupakan sebuah mapen yang mudah difahami, tambahan lagi ditulis dengan cara amat sederhana. Namun demikian, dalam kesederhanaannya penulis menyelitkan beberapa sindiran sinis terhadap pemimpin yang dikatakannya sebagai bertopengkan Islam tetapi melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum Islam seperti meneguk arak dan menari ketika berada di luar negara. Kewujudan pemimpin yang banyak menghabiskan masa di padang golf berbanding menjenguk rakyat bawahan, turut disentuh.

Kegemaran kebanyakan pemimpin negara bercakap bahasa Inggeris biarpun sesuatu acara dihadiri sepenuhnya rakyat tempatan turut ditonjolkan, biarpun Tuah dikatakan boleh menguasai 20 bahasa dan pernah menobatkan Melayu tidak akan hilang di dunia namun malangnya Tuah dalam mapen Pendedahan ini diibaratkan menikam dan memperlekeh bahasa ibundanya sendiri.

Read more...

Jumaat, November 05, 2004

SUARA (A to R)

Suara A : Politik wang dengan rasuah tu tak sama ke? Samalah tu. Orang tak mengaji tinggi pun tahu. Yang kau pilih dia apasal?

Suara B : Kalau guna bahasa Melayu, bangsa kita tak boleh maju ke? Habis Jepun dan Jerman tu, bahasa apa yang dia orang guna kalau bukan bahasa ibunda mereka

Suara C : Siapa tak undi dia tu dalam pemilihan hari tu, insya Allah selamatlah di Padang Mahsyar, sebab anda tidak makan suap

Suara D : Eii, bulan-bulan puasa ni, tak ada menda lain ke kau nak cakap? Asyik politik politik politik. Kurang pahala tau.

Suara E : Politik dengan agama dengan kehidupan mana boleh dipisahkan, bang. Kalau pisah juga, sahlah memang sekular.

Suara F : Islam dah syumul, universal. Tak payahlah pakai konsep baru.

Suara G : Apa bising-bising ni? Suruh bini dia bertudung dulu, baru bercakap fasal nak laksanakan Islam.

Suara H : Aiyyaa… apa macam ini lebuh raya, asyik eksiden aja. Sudah berapa ratus kes daa? Ini mana kontraktor buat?

Suara I : Itu semua Tuhan punya kuasa. Saya bukan orang biasa. Itu kontraktor orang “biasa”

Suara J : Kesian, orang Islam di Selatan Thai ramai dibunuh, ditindas. Tak patut betul tentera Thai.

Suara K : Ini kesan daripada SAR la ni. Ramai yang nak jadi militan.

Suara L : Kau ingat SAR tempat lahirkan pengganas ke? Yang penagih dadah setengah juta tu belajar di sekolah mana?

Suara M : Hari-hari ada isu rogol, sumbang mahram dalam media. Macam mana ni?

Suara N : Apa susah, kasi hududlah. Selesai masalah. Yang kau kata hudud zalim apasal? Hukum Tuhan pun kau nak saman?

Suara O : Bodoh betul rakyat Amerika, Bush penyangak tu juga yang dipilihnya.

Suara P : Eleh, 2 X 5 dengan kita juga. Yang kuat rasuah (opss, maaf...politik wang), pecah amanah, tahi judi, kaki botol juga yang kita pilih hari tu.

Suara Q : Alamak harga barang dah naik. Kata hari tu takkan naik.

Suara R : Minyak naik barang naiklah. Itu pun tak tau? Kan aku dah cakap sebelum PilihanRayaUmum dulu. Bayarlah dengan duit bonus kau tu!


Read more...

Rabu, November 03, 2004

BUKTI

Ingat lagi Debat Perdana siri 1 jam 9mlm di TV1? Datuk Johan Jaafar cuba mengusik Ustaz Nasha ttg isu keganasan yg kononnya hasil tangan umat Islam. Datuk JJ sebagai bekas wartawan (yg setia dengan etikanya kononnya) nampak cuba mempertahankan kesahihan laporan-laporan berita daripada agensi2 berita dunia yang menuduh muslim sebagai pengganas dalam tragedi di Bali dan Basilan.

Selamba Ustaz Nasha (sebagai bekas peguam) bertanya, ada bukti? Datangkan buktinya dulu. Baru boleh tuduh Islam teroris. Ya tak ya, mereka yang menuduh Islam sebagai teroris tu ada bukti ke?

Begitu juga dengan serangan ke atas WTC dan isu Iraq miliki senjata kimia. Apabila Kerry bertanya pada Bush (dlm debat mereka), mana buktinya? Mana bukti bahawa Muslim yg menyerang New York? Mana bukti Iraq ada senjata berbahaya? Mawas putih bertopeng itu tidak mampu menjawab.

Apabila menyorot pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai dalam Ramadhan ini, sekali lagi bukti diremehkan. Dan lebih menyedihkan apabila punca penangkapan 6 orang guru agama itu berdasarkan tuduhan (menjual pistol kpd militan) yang masih belum dibuktikan.

Read more...

Selasa, November 02, 2004

Novel sulung saya -Sesegar Nailofar – insya Allah, akan didiskusikan selepas hari raya nanti. Terima kasih kepada adik-adik Alumni MPR yang aktif bersemangat, yang masih berminat untuk memilih novel saya. Walaupun saya rasa, sebagai novel pertama pastilah banyak cacat-celanya. Apapun, saya memang bersedia menerima ulasan, komentar dan kritikan daripada sesiapa jua.

Novel itu sebenarnya telah diulangcetak pada 2002 iaitu setahun sesudah diterbitkan. Dan berdasarkan rekod yang saya terima daripada UPND, memang jualannya lebih baik daripada Rona Bosphorus. Barangkali kerana covernya yang memikat atau lenggok bahasa dan penyampaiannya yang lebih tenang atau isinya yang lebih intim dengan pembaca – saya tidak berapa pasti.

Saya kini sedang menekuni novel seterusnya. Memang kebiasaan saya lebih enak menulis novel pada bulan puasa. Tegal lama tidak digunakan, kemahiran sedikit berkarat. Bagaimanapun, proses kali ini nyata berbeza dengan novel-novel yang saya bikin sebelumnya kerana keseluruhan cerita sudah ada dalam kepala. Dua novel saya terdahulu, semasa mula-mula menggarapnya, saya sendiri tidak tahu apa kesudahannya nanti. Yang ini, sudah saya siapkan sinopsis selengkapnya.

Yang merisaukan saya, intro novel yang ini kurang memikat. Kurang padat dan agak longgar,saya kira. Bab pertama sangat penting. Kalau bab pertama dah terabai dan tidak menarik, alamat novel takkan dibaca orang!

Yang lebih merisaukan saya, pertama kali saya mencuba watak utama seorang perempuan. Bagaimana saya mahu menjiwainya berterusan? Mungkin saya kena banyak merujuk kepada isteri dan memerhatikan tindak-tanduknya dalam beberapa keadaan. Mungkin saya kena banyak membaca buku psikologi perempuan!

Read more...

Rabu, Oktober 27, 2004

JIHAD RAMADHAN DI SEPANJANG SEJARAH MUSLIMIN
oleh : Hasrizal Abdul Jamil

Kedatangan Ramadhan sentiasa mengingatkan kita kepada kejayaan-kejayaan generasi Islam yang awal. Sebagai menggambarkan betapa kekuatan umat Islam yang sebenar adalah pada iman dan komitmennya terhadap perintah Allah, bulan Ramadhan terus menggagahi mereka untuk mara menempa kecemerlangan, sama ada dalam rangka usaha menyampaikan risalah Islam ke kawasan-kawasan baru, mahu pun mempertahan diri dari ancaman musuh dan penjajahan kufar. Renungilah catatan-catatan di bawah, semoga pulih kembali semangat kita untuk bangkit mengibarkan panji Rasulullah SAW, bersesuaian dengan tema utama Perhimpunan Musim Sejuk 2000 kita kali ini, “Jihad Menjana Kekuatan Ummah!”

Pada malam Lailatul Qadar, Allah SWT menurunkan Al-Quran dari Luh Mahfudz ke Baitul ‘Izzah (Langit Pertama), Hal ini dijelaskan oleh firmanNya di dalam surah Al-Qadr. Ini berdasarkan keterangan Ibnu Abbas RA : “"Allah menurunkan Al-Quran Al-Karim keseluruhannya secara sekali gus dari Luh Mahfudz ke Baitul'Izzah (langit pertama) pada malam Lailatul Qadar. Kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW sesuai dengan konteks pelbagai peristiwa selama 23 tahun."

Al-Quran seterusnya diturunkan buat kali pertama kepada junjungan mulia Rasulullah SAW oleh Jibrail AS pada bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Hijrah iaitu firman Allah SWT di dalam Surah Al-Alaq ayat 1-5. Pada tahun ke-3 sebelum Hijrah, Saidatina Khadijah RA telah kembali ke rahmatullah. Manakala pada tahun 1H, Rasulullah SAW menghantar Hamzah bin Abd Muttalib RA bersama 30 orang pengiring ke Saif Al-Bahr menyiasat 300 tentera Quraish yang berhimpun di sana. Baginda juga telah memerintahkan supaya Masjid Dhirar yang dibina oleh kaum Munafiq dirobohkan. Pada tahun 2H, Zakat fitrah mula disyariatkan. 17 Ramadhan 2H Peperangan Badar Al-Kubra terjadi. Ia merupakan pertempuran besar-besaran pertama kaum muslimin menentang kufar. 5H persiapan dimulakan untuk menghadapi serangan yang kemudiannya berlaku pada bulan Syawal iaitu Peperangan Khandaq (Al-Ahzab).

Pada tahun 6H, Zaid bin Harithah RA dihantar ke Wadi Al-Qura untuk bertemu dengan Fatimah bt Rabiah, permaisuri di kawasan berkenaan. Pihaknya telah merompak rombongan Zaid RA sebelum itu. Fatimah terbunuh di bulan Ramadhan semasa berhadapan dengan tentera muslimin ini. Ramadhan 7H pula, Ghalib bin Abdullah Al-Laithi RA mengepalai 130 gerombolan tentera Islam menentang Bani 'Awâl dan Bani 'Abd bin Tha'lbah.

10 Ramadhan 8H, Nabi SAW mula melancarkan tentera untuk membebaskan Mekah dari kekufuran dan syirik, ekoran dari pencabulan perjanjian Hudaibiyah. 20 Ramadhan tahun itu, Mekah akhirnya berjaya ditawan oleh tentera Nabi SAW. Peristiwa Futuh Al-Makkah ini memberikan anjakan paradigma kepada Islam dan kekuasaannya. Sejurus selepas itu, Baginda SAW mengutus beberapa kumpulan sahabat untuk merobohkan berhala-berhala yang terkenal pada masa itu. Khalid bin al-Walid diutus merobohkan berhala al-‘Uza, Amr bin al-‘Ash merobohkan berhala Suwa’ dan Sa’d bin Zaid al-Asyhali merobohkan berhala al-Manat.

Manakala pada bulan Ramadhan tahun 9H, Baginda SAW telah pulang bersama tentera Islam daripada Peperangan Tabuk yang berlangsung selama 50 hari. Ia merupakan peperangan terakhir yang disertai oleh Baginda SAW. Delegasi Tsaqif kemudiannya bertemu dengan Nabi SAW sekembalinya Baginda SAW dari Tabuk dengan tujuan untuk menyatakan keIslaman mereka. Pada bulan itu juga Raja Himyar tiba di Madinah untuk mengisytiharkan Islam mereka. Mereka menjadi tetamu Baginda dan Baginda menuliskan beberapa panduan tentang hak dan kewajiban mereka. Catatan ini merupakan salah satu dokumen penting di dalam sejarah perundangan Islam.

Pada tahun 10H, Baginda mengutus rombongan yang diketuai ‘Ali bin Abu Talib ke negeri Yaman dengan membawa bersamanya surat Baginda untuk penduduk Yaman, khasnya suku Hamdan yang kesemua mereka memeluk Islam dalam satu hari. Ramadhan tahun itu juga Baginda SAW telah mengasingkan dirinya selama 20 hari, tidak 10 hari sebagaimana kebiasaan yang Baginda SAW lakukan pada Ramadhan tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah petanda utama kembalinya Baginda SAW ke rahmatullah beberapa bulan berikutnya.

Tahun 53H, pejuang Arab Islam telah berjaya menakluki pulau Rudes. 2 Ramadhan 2H, Al-Maghreeb Al-Awsath telah menerima Islam. 7 Ramadhan 89H, Daher King of Sind terbunuh. Pada tahun 91H, Pejuang Islam di bawah kepimpinan Tariq ibn Ziyad mula mendarat di Selatan Andalus. 28 Ramadhan 92H, Tariq bin Ziyad dan tenteranya dapat mengalahkan King Roderic of the Visigoths di dalam satu peperangan sengit. Pada 1 Ramadhan 114H, Peperangan Balat Asy-Syuhada berlaku. Ramadhan 132H, berakhirnya pemerintahan Bani Umaiyyah. Abu al ‘Abbas dilantik sebagai khalifah al-‘Abbasiyyah yang pertama. 6 Ramadhan 222H, merupakan tarikh pembukaan Islam di kawasan Amouriah. Universiti Al-Azhar telah siap dibina pada Ramadhan 361H. Salahuddin Al-Ayyubi berjaya membebaskan Palestin dan Syam amnya dari penguasaan tentera Salib pada Ramadhan 585H. Tentera Islam pula telah berjaya mengalahkan tentera Perancis yang dipimpin oleh Louis the 9th. Louis telah dipenjarakan di Mansurah pada tahun 647H. 25 Ramadan 658H, Peperangan Ain Jalut berlaku. Saifuddin Al-Qatz berjaya mengalahkan tentera Tatar yang telah menghancurkan Baghdad daripada bergerak ke Mesir bagi menawan Kaherah. 14 Ramadhan 666H, kawasan Antakya yang menjadi pusat Kristian telah berjaya ditawan.

Sesungguhnya masih banyak lagi cacatan mengenai peristiwa-peristiwa seumpama ini yang boleh dicatatkan, terutamanya di zaman pemerintahan Khilafah Othmaniyyah sendiri. Walau bagaimana pun, apabila penggunaan kalender Islam mengalami perubahan, catatan juga telah dilakukan dengan menggunakan taqwim yang berbeza. Selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah pada tahun 1924, umat Islam secara rasminya mula menggunakan kalender Gregorian dan meninggalkan kalendar Islam mahu pun kalender Othmaniyyah sendiri. Namun Insya Allah, masalah ini boleh diatasi dengan usaha gigih kita untuk mengembalikan identiti Islam di dalam segenap aspek kehidupan, individu, keluarga, masyarakat mahu pun negara.

Semoga Ramadhan kali ini dapat menjadi pemangkin yang membarakan semangat jihad di dalam diri kita. Sesungguhnya mereka yang mati dalam keadaan tidak pernah berjihad atau memasang niat untuk berjihad, maka matinya adalah di atas salah satu cabang nifaq!

dipetik dari website www.saifulislam.com



Read more...

Khamis, Oktober 21, 2004

Singgah di laman Kak Nisah yg menyentuh setahun pemergian Dr. Othman Puteh (OP), saya juga terkesan sama untuk mengimbau kenangan bersama guru yang sangat baik itu. Semuanya bagi saya manis-manis; indah dan rindu untuk dikenang dan diulang.

Cerpen
Bagi saya, OP guru cerpen saya yang pertama walaupun saya tidak menyertai MPR. Mungkin tiada siapa yang tahu, pada pertengahan 1993 ketika belum lagi menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif, saya sering merayau-rayau di Bandar Melaka. Setiap kali cuti hujung bulan, saya tidak pulang ke Endau, sebaliknya akan ke Melaka ke rumah bapa saudara di sana. Dan tujuan saya ke Melaka adalah untuk singgah di Galeri Buku DBP Melaka (dulu dekat bangunan Graha Maju) bagi mencari buku-buku sastera dan penulisan kreatif. Pastinya buku panduan penulisan kreatif yang pertama saya cari berjudul "Persedian Menulis Cerpen" tulisan beliau.

Benar seperti kata Kak Nisah, buku itu sangat membimbing dan saya antara calon penulis yang terbimbing dengan membaca buku terbitan DBP pada 1988 itu. Buktinya, akhir 1993 saya menulis cerpen pertama saya yang tersiar pada Januari 1994 di Dewan Siswa berjudul "Juara yang Tewas". Hingga kini,sudah beberapa kali saya khatam membacanya, malah kerap kali juga saya mencarinya apabila mahu menguja semula semangat penulisan saya yang sedikit kendur. Saya juga tidak pernah ketinggalan mengikuti ruangan "Landas Kreativiti" (sebelum dibukukan) yang tersiar di Dewan Siswa setiap bulan pada awal 90-an.

Pertemuan
Saya bertemu OP kali pertama pada hari penyampaian Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 1994 iaitu pada 29 Julai 1995 di Hotel Pan-Paciffic, KL. Ketika itu meja para pemenang hadiah sudah penuh lalu saya terhantar ke meja panel penilai yang diduduki oleh OP dan Lim Swee Tin. Saya diam sahaja, terasa kerdil sangat dapat bertemu dengan tokoh yang saya kagumi. Dan sebelum bubar, saya tanpa malu-malu sempat mengajak OP bergambar berdua sebagai kenang-kenangan bagi saya yang bakal berangkat ke Jordan pada bulan hadapannya.

Pulang bercuti sebulan pada 1998, saya menghadiri Diskusi Karya Eceran anjuran Kelab Alumni MPR di Sudut Penulis DBP. OP yang menjadi panel bersama Rahman Shaari saya lihat sangat mendorong dalam ulasannya. Tidak pernah beliau mengkritik karya penulis muda secara keras dan pedas, sebaliknya kalimatnya sarat dengan motivasi dan adakalanya beliau memberi pujian bagi tujuan yang lebih positif. Pada majlis itu saya masih ingat, hanya Hizairi Othman selaku presiden kelab dan Faisal Tehrani yang menegur dan mengenali saya. Yang lain-lain memang tidak mengenali lalu saya menyepikan diri sepanjang majlis.

Novel
Sepulang dari Jordan pada 2000, saya menyertai Bengkel Novel Remaja Utusan anjuran UPND di bawah bimbingan OP dan anaknya, Hizairi. Saya masih ingat, ketika sesi taaruf, OP dapat meneka identiti saya (meski menggunakan nama pena), malah sudah tahu yang saya baru sahaja pulang dari Jordan walaupun kami tidak pernah berbual sebelum ini. Saya terkejut amat, namun teman-teman seangkatan memberitahu, OP memang sangat mengambil berat tentang perkembangan penulis muda walau di mana dia berada. Tidak saya duga, dengan hanya 3,4 buah karya yang tersiar, tidak terlepas dari perhatian tokoh hebat sepertinya. Seperti biasa, bicara beliau sering menitipkan lelucon yang menyegarkan majlis.

Ya, saya masih ingat benar, kesan pertemuan kami di bengkel itu membawa saya ke dalam arena pernovelan pula. Sebetulnya, setiap peserta bengkel tersebut diminta menyediakan sinopsis novel masing-masing sebelum hadir ke bengkel. Dan saya dengan penuh terpaksa menyediakan sinopsis "main-main" dan "ala kadar" saya berjudul "Lambaian Sri Mersing" untuk bengkel itu. Betapa terkejutnya saya apabila dalam banyak-banyak sinopsis yang diserahkan oleh Kak Azah Editor Kanan UPND kepadanya, OP telah memilih sinopsis novel saya untuk dibincangkan/dibedah oleh seisi majlis. Judul yang saya pilih itu dikritik dan isinya diulas oleh Hizairi, namun saya rasa bahagia amat apabila OP menyentuh sinopsis "main-main" saya, mengharapkan agar ia dituang pula ke manuskrip, dan memuji pemilihan tema yang katanya lain daripada yang lain.

Seusai bengkel, saya rasa benar-benar tercabar. Sinopsis yang saya buat "main-main" sebagai syarat untuk menyertai bengkel telah dianggap serius oleh OP. Bukankah ini satu kepelikan, satu amanat tersirat yang sangat menguja dan mencabar? Lantas, bertolak daripada itu, saya perlahan-lahan merangka draf novel sulung saya yang akhirnya berjaya saya realitikan berjudul "Sesegar Nailofar". Sepanjang menyiapkan novel tersebut, saya akui, buku "Persedian Menulis Novel" (yang telah saya miliki sejak 1994 lagi) tulisan OP tidak pernah jauh dari jangkauan saya.

Autograf
Kebetulan, saya juga ada membeli biografi OP terbitan DBP yang ditulis oleh Ali Majod. Pada malam penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim 4 tahun 2003 di Eden Garden Hotel, JB, entah mengapa saya telah tergerak untuk membawa biografi tersebut. Sesudah majlis, saya menemui OP (yang turut menjadi panel penilai) dan meminta beliau menurunkan autografnya di halaman awal buku tersebut. Itulah satu-satunya tanda tangan beliau yang saya miliki. Pagi esoknya semasa turun bersarapan, saya mendukung anak sulung saya. Apabila ternampak OP sedang bersarapan bersama isterinya saya dan isteri mendekati mereka. Saya berkata, "Dr, inilah Nailofar." Beliau tersenyum lantas mencuit pipi gebu puteri saya itu.

Diskusi & Pertemuan Terakhir
Beliau memang guru yang sangat baik. Sangat menghargai karya penulis muda apalagi yang menjadi anak didiknya. Saya sendiri berasa amat bertuah kerana turut dihargai. Demikian ketika SPMG mengadakan diskusi novel "Rona Bosphorus" di Rumah Gapena pada 3 Ogos 2003, OP turut hadir malah duduk di kerusi depan sekali! Saya sungguh tergagap-gagap berbicara dalam majlis itu memandangkan yang hadir (walaupun belasan orang cuma) tetapi terdiri daripada penulis & sasterawan yang telah mapan.

Dan itulah, itulah kali terakhir rupanya saya bertemu OP. Pada 19 Oktober 2003, jam 4 petang saya menerima sms daripada Nazmi yang membawa berita pilu kepergiannya ke alam baqa'. Saya gesit menghubungi Kak Azah untuk memastikan khabar tersebut. Tapi Kak Azah yang ketika itu masih terlantar di Hospital Assunta - antara individu yang rapat dengan Allahyarham - teramat sukar untuk menuturkan kata-kata.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Dr. Othman Puteh yang amat besar sumbangannya kepada penulis muda. Di dasar hati saya rasa sangat bersyukur kerana sempat berguru dengan Allahyarham meskipun tidak selalu atau secara langsung. Bagi saya, beliau tetap guru; guru cerpen dan novel saya yang pertama!

Read more...

Khamis, Oktober 14, 2004

TUAH dan SAHABAT2 dalam pelbagai versi

Banyak versi kisah Hang Tuah yang pernah saya baca dan tonton. Lantaran ia sekadar mitos, maka tafsiran bebas yang dibuat oleh karyawan juga rencam sifatnya. Kalau filem, pastinya kita lebih mengingati “Hang Tuah” yang menjadi satu-satunya filem warna lakonannya P. Ramlee. Tidak lupa filem “Jebat” yang lebih menampilkan Jebat sebagai wira sebenar di penghujung cerita. Pada era 80-an, filem “Tuah” lakonan Jamal Abdillah pula agak mengejutkan kerana pahlawan itu digambarkan muncul tiba-tiba di era moden. Namun kebanyakannya masih dilihat cuba menobatkan sebagai wira Melayu yang tiada tolok bandingnya.

Dalam genre drama dan teater, watak Jebat pula dilihat lebih dominan dan diangkat sebagai wira yang sepatutnya dikenang. Antara karyawan yang pernah menjulang watak Jebat seperti Rahim Razali dan Allahyarham SN Usman Awang sendiri.

Adapun, dalam genre cerpen, saya cukup terkesan dengan 2 buah cerpen; pertama, cerpen “Beberapa Pembetulan” oleh SN S.Othman Kelantan yang ada menyebut Hang Tuah berbangsa Cina. Sebutan asalnya ialah Han Tu Ah. Malah, beliau menganggap Hang Tuah mungkin berasal daripada perkataan “hantu” dan "ah"! Lebih kritikal, beliau melihat Hang Tuah Lima Bersaudara (Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir & Lekiu) sebenarnya cuma Tiga Bersaudara sahaja (Tuah, Jebat @ Kasturi, Lekir @ Lekiu).

Baginya, Jebat dan Kasturi adalah orang yang sama. Bila dia berbuat jahat dipanggil Jebat (jebat itu bau yang busuk) dan bila beramal baik dipanggil Kasturi (kasturi baunya wangi). Sementara Lekir sebenarnya adalah Lekiu. Kalau dirujuk kepada teks kuno yang bertulisan jawi, katanya kepala huruf “wau” pada perkataan Lekiu (Lam + Kaf + ya + wau) telah pudar. Jadi, huruf “wau” itu telah menjadi huruf “raa” apabila dibaca oleh generasi yang seterusnya. Justeru, terbitlah kalimat Lekir (Lam + Kaf + ya + raa).

Manakala cerpen “Pengkhianat” (antologi Lagi Cerpen2 Underground) oleh Faisal Tehrani lebih berani dan membuatkan kita ketawa terbahak-bahak. Hang Tuah tidak disebut berbangsa apa tetapi didakwa memiliki zakar sepanjang lima belas inci oleh Teixeira, wanita Portugis yang kononnya datang dari zaman silam. Teixeira telah dipaksa oleh wizurai Portugis melayan Hang Tuah sebagai ganjaran “pengkhianatannya” setelah membocorkan rahsia pertahanan Melaka.

Selamat Mendaftar di Madrasah Ramadhan al-Mubarak!

Read more...

Isnin, Oktober 11, 2004

i
Alhamdulillah. Cerpen Pendedahan saya tersiar di Mingguan Malaysia 3 Oktober 2004. Lama juga menyepi daripada menggarap cerpen. Paling akhir cerpen saya tersiar di Utusan Zaman 3 Februari 2002 dengan judul Senja Istanbul. Terima kasih kepada yang sudi membaca dan memberi komentar.

Barangkali ada yang suka atau sebaliknya. Saya tidak pasti dan ambil peduli. Yang penting saya kembali menulis cerpen, dan terasa puas apabila selesai menangani cerpen terbaru ini. Ia tafsiran bebas terbaru saya kira terhadap hikayat Hang Tuah. Mohon maaflah ya. Hang Tuah bagi saya mitos, bukannya sejarah (teringat kalimat Pak Lah dalam ucapan penggulungannya di PWTC beberapa minggu lalu).

Sebetulnya, saya sudah hampir setahun tergerak mahu menulis cerpen Hang Tuah versi ‘derhaka’ ini. Tetapi begitulah selalunya, keinginan yang tidak kuat mematikan seketika hajat itu. Sehinggalah apabila terbaca artikel Ku Seman Ku Hussain di Sudut Sastera Mingguan Malaysia yang memperkatakan tentang hikayat Hang Tuah serta demam PGL (Puteri Gunung Ledang)yang melanda, saya terpanggil untuk melaksanakan amanah kreatif saya.

Justeru, saya pilih Tun Teja untuk bersuara menghentam Hang Tuah bertepatan dengan nasibnya yang sering digambarkan dalam karya-karya lain sebagai wanita malang dan lemah. Bagi saya juga, Tuah bukan lagi ikon yang patut terlalu dibanggakan. Dia terlalu setia dan patuh membabi buta. Ini bukan ciri-ciri model yang kita mahukan. Sebaliknya saya lebih meminati Jebat yang berpegang dengan prinsipnya: Pemerintah zalim wajib disanggah!

Insya Allah, dalam entri selanjutnya saya akan berbicara lagi tentang watak Hang Tuah dan Jebat dalam beberapa karya Melayu.

ii
Seminggu saya tidak mengemaskini laman ini lantaran terlibat dengan pengawasan peperiksaan PMR yang baru berlalu. Dan petang kelmarin, saya bersama Zharul Nizam Zainal Abidin @ Pujangga Seni Z-Rul mengunjungi A. Talib Hassan (novelis Saga, Warisan, Sutera Dalam Lukisan dll) di rumahnya di Spang Loi, Batu Anam, Segamat. Cikgu Talib yang diberikan anugerah Sasterawan Johor tahun lepas sihat macam biasa dalam usianya yang baru mencecah 57 tahun. Katanya, dia sedang menyiapkan 3 buah novel sekali jalan (sekali gus). Hebatnya!


Read more...

Isnin, Oktober 04, 2004

Penutup wawancara Faisal Tehrani

FT : Apakah pesan sdr jika ada penuntut atau anak murid yang ingin menjadi penulis?

Kena ada kesungguhan. Bukan sekadar mesti banyak membaca karya orang lain tetapi mengkaji apa yang telah dibikin oleh penulis tersebut dalam karyanya. Cuba-cubalah sertai sayembara.

FT : Apakah pandangan sdr terhadap lambakan karya pop dan picisan di negara kita?

Saya tidak menolak karya popular kerana pembaca kita memiliki pelbagai aras. Namun harus diingat sesebuah karya pop haruslah mempunyai nilai murni yang banyak, lebih mendekati unsur-unsur Islamik dan tidak mengabaikan ilmu bantu. Jika tidak, ia boleh dianggap sia-sia.

FT : Apakah sdr merasakan penulis muda perlu mempunyai kelompok sdri dan apakah manfaat yang sdr dapati dari kelompok-kelompok ini?

Perlu. Banyak manfaatnya, seperti boleh bertukar-tukar fikiran, berdiskusi, berbengkel dalam mandala sastera generasi baru.

(Wawancara segera kami menerusi emel ini menuntut jawapan-jawapan 'segera' yang mungkin tidak memuaskan hati sesetengah pihak. Harap maaf!)

Read more...

Khamis, September 30, 2004

Dan lagi sambungan wawancara ...

FT : Apa yang sdr fahami tentang ilmu bantu?

Ringkasnya ilmu bantu adalah penerapan bidang ilmu lainnya ke seganding dengan ilmu sastera. Penulis wajib melakukan penyelidikan demi memastikan karyanya berilmu. Dengan karya sebegitu, pembaca akan beroleh pengalaman, pengetahuan dan pemikiran yang lebih berharga. Namun ia sama sekali tidak boleh mengabaikan nilai estetika.

FT : Apa pandangan sdr terhadap karya-karya generasi baru penulis seperti Lutfi Ishak, Anjan Ahzana, Zanazanzaly, Nazmi Yaakob, ada pandangan kerja-kerja mereka masih gagal melampaui zaman keemasan penulis-penulis Hadiah Sastera Siswa (HSS) termasuk kerja sdr sendiri, ini jika dibandingkan dari segi pencapaian.

Saya amat menyenangi Mohd Nazmi Yaakub dalam senarai penulis generasi baru (PGB) yg mutakhir. Bukan kerana saya rapat dengan beliau, tetapi melihatkan kesungguhan beliau dan keseriusan pada karya-karyanya. Walaupun pencapaiannya masih sedikit, tetapi saya yakin, beliau penulis yang menjanjikan pada masa depan. Nama-nama lain yang saudara sebutkan kurang saya dekati spt Nazmi.

Pandangan saya terhadap karya-karya PGB secara umum antaranya agak ghairah dalam penggunaan kosa kata baru. Mereka kurang berhemat (tidak berpada-pada) menggunakannya malah kadangkala tidak sesuai dengan mood karya. Berkenaan pandangan (ttg penulis era HSS)itu mungkin betul memandangkan zaman keemasan yang pernah kita lihat dalam Dewan Siswa pada awal 90-an. Saya masih mengingati nama-nama spt Shamsinor Zaman Shamsus Zaman, Monalita Mansor, Shazmee Rizal Agus Salim, Nisah Haron (malah judul-judul karya mereka) yang muncul mewarnai pentas pencerpenan remaja ketika itu. Rasanya karya-karya di DS waktu itu lebih segar, bertenaga dan memikat berbanding karya-karya penulis remaja kebelakangan ini. Barangkali prestij HSS itu sendiri

FT : Salah satu masalah industri buku dan penulis ialah penerbit liat membayar royalti natijah dari kedai buku berhutang dan tidak mahu membayar wang kepada penerbit. Ini telah menimpa sdr sendiri, apakah yang ingin sdr katakan?

Strategi pemasaran buku perlu dikaji semula oleh penerbit. Novel-novel popular terjual belasan ribu disebabkan strategi pemasaran yang baik dan buku mereka memang beredar ke seluruh negara. Aktiviti promosi juga perlu dipertingkatkan lewat media. Alaf 21 sudah menunjukkan jalan saya kira.

FT : Apakah memenangi pertandingan akan menjamin kelangsungan karier seorang penulis.

Menang sayembara tidak semestinya akan menjamin kelangsungan karier. Ia sekadar rangsangan bersifat sementara. Ada beberapa terma yang mengikat sebenarnya dalam sayembara. Penulis yang sebenarnya pasti tidak mahu terikat sepanjang masa. Saya menyertai sayembara dengan harapan karya saya akan diterbitkan dan kemudiannya setelah dinobatkan sbg pemenang pastinya ia akan lebih diperhatikan berbanding karya-karya di luar sayembara. Hadiah adalah soal nombor dua.

Read more...

Rabu, September 29, 2004

Lagi-lagi sambungan wawancara ...

FT : Apakah projek terbaru sdr?

Saya berkira-kira mahu menulis sebuah novel sebelum akhir tahun ini. Tapi rasanya bukan untuk sayembara. Saya cuma mensasarkan dua tiga buah cerpen setahun. Insya Allah.

FT : Selepas Sesegar Nailofar, sdr mengambil masa untuk menulis semula, mengapakah ini berlaku.

Saya kadangkala menghadapi hambatan ketika menulis. Satu kelemahan saya, jarang dapat menulis dalam keadaan sibuk dan tertekan dengan pelbagai. Saya juga tidak mahir menulis dua karya dalam masa yang sama. Salah satu mesti saya pilih dan sudahi dulu. Pengeraman idea untuk novel RB juga tidak berlaku semasa saya menulis Sesegar Nailofar. Persediaan dan pemendapannya berlaku selepas itu.

FT : Adakah sdr mengikuti perkembangan dunia sastera? Jika tidak mengapa?

Ikuti juga kadangkala lewat akhbar dan siber. Tapi masih banyak ketinggalan kereta api.

FT : Sdr bukanlah tergolong dalam kelompok penulis yang prolifik? Apakah sdr menghadapi sebarang hambatan ketika menulis.

Ya, kelemahan saya tidak mahir menghasilkan dua tiga karya dalam satu masa. Secara peribadinya juga, saya kurang membaca akhir-akhir ini. Saya juga mudah hilang tumpuan/punca bila menangguhkan proses penulisan beberapa ketika. Justeru saya memilih cuti sekolah utk berkarya dengan kondusif.

Read more...

Isnin, September 27, 2004

Lagi sambungan wawancara ...

FT : Apakah yang sdr fahami tentang sastera Islam? Apakah Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus tergolong dalam kategori ini.

Sastera Islam? Sangat bersetuju dengan gagasan bersastera untuk manusia kerana Allah. Kedua-dua novel saya memang tergolong di dalam kategori ini. Ditambah kedua-duanya menyentuh persoalan global dunia Islam.

FT : Sebagai seorang guru apakah yang sdr dapati kelemahan anak bangsa sekarang ini?

Mereka agak lalai. Barangkali kerna selalu digula-gulakan dengan hiburan dan kemewahan. Sedih juga dengan budaya “takpedulisme” di kalangan remaja. Yang terkini, makin ramai yg tak dapat memahami makna patriotisme.

FT : Bolehkah sdr ceritakan serba sedikit proses kreativiti Rona Bosphorus.

Saya menyimpan hasrat menghasilkan novel berlatarkan Turki sejak 1997 sepulangnya dari menjelajah ke sana. Barangkali kerana belum cukup bersedia, saya hanya berjaya menulis dua buah cerpen iaitu Rintihan Bosphorus (Muslimah, Mac 2001) dan Senja Istanbul (Utusan Zaman, 3 Feb 2002). Justeru, saya perlahan-lahan mengumpul bahan. Apabila membaca sejarah Turki Moden dan kisah-kisah Muhammad al-Fatih keinginan itu makin kuat. Pada akhir 2001, saya cuba menulis novel itu tetapi cuma mampu menyiapkan 5 bab terawalnya. Setahun kemudian, pada Ramadhan 1423, saya berusaha menyiapkannya semasa cuti persekolahan. Agak sukar pada mulanya menyambung kerja yg terhenti setahun. Tetapi apabila Parti AK pimpinan Teyyep Erdogan memenangi pilihanraya Turki saya makin bersemangat memandangkan betapa novel saya berbetulan dengan kebangkitan Islam di sana. Sebulan tempoh saya menulisnya. Bahan-bahan telah saya kumpul sejak lawatan ke Turki lagi dan ditambah dari semasa ke semasa, termasuk kamus bahasa Turki (saya ada mengambil subjek Bahasa Turki 1 di universiti), peta Turki dan Istanbul, buku-buku pelancongan, pamflet, dan lain-lain.

Read more...

Jumaat, September 24, 2004

Sambungan wawancara semalam:

FT : Apakah karya-karya yang sdr hormati? Beri 5 buah paling kurang. Mengapa.

Terlalu banyak cerpen dan puisi yg saya gemar. Jika novel (tempatan), saya sangat menyukai:
i)-Imam. Bagi saya ia novel Islamik terbaik pernah saya baca.
ii)Kawin-kawin. Satira yang lucu tapi cukup untuk menjadi dokumentasi politik dekad tertentu di negara kita.
iii) Putera Gunung Tahan. Pak Sako kini dilihat mendahului zamannya.
iv) Songket Berbenang Emas oleh Khairuddin Ayip. Antara novel remaja terbaik pada dekad 90-an. Protagonisnya sangat baik untuk diteladani remaja. Saya mengulang bacanya beberapa kali.
v)Naratif Ogonshoto.
vi) Perempuan Politikus Melayu

FT : Apakah perbezaan genre cerpen dan novel remaja yang sdr ceburi?

Tidak banyak perbezaan pd kedua-dua genre. Tema-tema yang saya sentuh masih berkisar tentang dunia Islam, politik Islam dan perjuangan. Kalau ada bezanya pun jika diukur pada kepayahan menyiapkan novel berbanding cerpen

FT : Siapakah sasterawan-sasterawan yang sdr hormati? Berikan sebabnya.

Semasa di bangku sekolah saya sgt meminati Khairuddin Ayip. Sayangnya dia tidak lagi aktif sekarang. Hampir semua novelnya saya baca. Gaya bahasa dan watak-watak karyanya banyak mempengaruhi saya pada peringkat awal pembabitan. Saya juga mengagumi Azizi Hj. Abdullah dan Shahnon Ahmad sebagai penulis mapan yang kritis. Bagi generasi baru, saya senang dengan karya Faisal Tehrani, Hizairi Othman dan Zainal Rashid Ahmad. Mereka ini kritis dan karya mereka segar – baik dari segi bahasa mahupun temanya. Kalau penulis wanita pula, Aminah Mokhtar bagi saya model terbaik untuk dicontohi. Saya ada juga membaca karya luar terutama dari Timur Tengah. Saya menggemari Najib al-Kilani, seorang penulis Ikhwanul Muslimin yang terusir dari Mesir. Dan Zakaria Tamer, cerpenis sosialis tersohor Syria. Saya mengumpul karya-karya mereka semasa di Jordan.

Read more...

Khamis, September 23, 2004

WAWANCARA 2

Setahun yang lalu saya telah diwawancara menerusi emel oleh Faisal Tehrani (FT) untuk profil bulanan di Tunas Cipta (TC). Mungkin ramai yang tidak pernah membaca TC lalu saya paparkannya di sini. Bezanya apa yang saya siarkan ini "uncut" berbanding yang telah tersiar di TC November 2003 dalam bentuk artikel yang sudah diedit.

FT : Apakah yang mendorong pembabitan sdr dalam bidang penulisan ini? Bagaimanakah pembabitan awal sdr?

Ramai juga yang memberi dorongan terutama sekali keluarga dan teman-teman rapat. Saya mula menulis pada akhir 1993. Karya-karya penulis remaja di Dewan Siswa pd awal 90-an banyak mendorong saya. Saya kaji struktur dan isinya. Selain itu, saya punya sasaran jangka pendek; tidak lain dan tidak bukan, ingin menyertai MPR. Saya menghantar cerpen sulung saya Juara yg Tewas ke DS semata-mata mengharapkannya tersiar dan dengan itu saya fikir, saya akan dipilih menyertai MPR. Saya fikir itu jalan terbaik utk menjadi penulis yg baik. Cerpen itu memang tersiar malah memenangi HSSBR 1994, namun MPR sampai sudah pun tidak berjaya saya sertai lantaran menyambung pelajaran ke Jordan. Apabila tamat belajar, saya sudah lebih umur utk ke MPR.

FT : Bagaimanakah sdr mendapat ilham untuk menulis? Siapakah atau apakah muse untuk sdr?

Perjalanan dan pembacaan banyak membantu saya. Terutama perjalanan jauh dengan bas. Mendengar ceramah (terutama ceramah politik) dan menonton filem juga menjadi pilihan saya sewaktu ketandusan idea. Saya juga selalu terdorong mahu segera berkarya bila melihat karya-karya penulis segenerasi tersiar di mana-mana.

FT : Bagaimanakah latar belakang pengajian agama dan bahasa Arab saudara telah banyak membantu penulisan karya-karya sdr?

Setakat ini, ia memang sangat membantu, dan saya fikir selama-lamanya ia akan membantu. Saya anggap latar belakang pengajian agama ditokok penguasaan bahasa Arab adalah aset utama saya yang jarang ada pada penulis-penulis tanah air. Banyak rujukan saya terhadap sumber-sumber berbahasa Arab seperti dalam kedua-dua novel dan cerpen Nil Masih Mengalir (Dewan Sastera, November 2000)

Ikuti sambungan wawancara ini di entri seterusnya …





Read more...

Selasa, September 21, 2004

Apabila Amiza Khusyri penulis muda ternama dari al-Azhar menulis di blognya tentang rehlahnya ke Urdun, hati saya sedikit terusik.
Urdun!
Urdun!
Urdun!
Masakan saya mampu melupai memori silam ketika studi di Urdun yang masih terpahat molek dalam ingatan. Banyak nostalgia yang tertinggal di sana sebenarnya dan tidak terlupakan!

Iya, segala-galanya masih kekal basah. Saya tiba di Urdun pada 30 Ogos 1995. Dan pulang pada akhir Februari 2000. Bermakna sudah lebih 4 tahun bumi penuh barakah itu saya tinggalkan setelah lebih 4 tahun ia saya diami.

Apa khabar Darul Ulum?
Apa khabar Universiti Yarmouk?
Apa khabar Kulliyyah Adab?
Apa khabar Irbid?
Apa khabar Duwar Nasim, Duwar Jamiah, Duar Iskan dan Wasatul Balad?
Apa khabar Masjid Farouk & Masjid Jamiah?
Apa khabar Abu Munzir & Syeikh Makmun?
Apa khabar semuanya?

Jauh di sudut hati, saya berjanji: Suatu hari aku akan kembali. Mengutip semula kenangan-kenangan. Agaknya entah bila?

Read more...

Rabu, September 15, 2004

KADANG-KADANG

Kadang-kadang terasa ada suara yang mahu terluah menjeritkan “Apa ni Islam Hadhari? Scorpions bawa mari!”

Kadang-kadang terfikir juga tentang pentadbir universiti jenis apa pula yang ada di negara ini yang begitu aktif mencabul hak dan kebebasan mahasiswa dan hanya mahu mengeluarkan graduan jumud, mandul pemikiran, gila hiburan dan pak turut.

Kadang-kadang terkedu juga melihatkan profesor jenis apa pula yang selalu menghalang para pelajar IPTA untuk menentukan calon pilihan mereka sendiri. Kangkung atau tunggul barangkali. Atau terompah kayu?

Kadang-kadang dan selalunya terlebih-lebih pula rasa menyampah dan muak dengan slogan demokrasi yang dilaungkan oleh sesetengah pihak di negara ini. Rasa meluat itu membuak-buak dan melimpah-ruah dan selayaknya ditamatkan dengan kaedah yang pernah digunakan oleh Cikgu Shahnon Ahmad. Dan rasanya hanya itulah yang paling layak!

Read more...

Selasa, September 14, 2004

KALAM PEMIMPIN

"Seekor harimau - walau kemana pun perginya, akan ada rezekinya." .
- As-Syeikh Jamaluddin al-Afghani

"Sesiapa yang hidup untuk perjuangan, usianya panjang; sepanjang perjuangan itu."
- As-Syahid Sayid Qutb

"Kalau takut menanggung risiko, usah berbicara soal perjuangan."
- Saudara Anwar Ibrahim



Read more...

Isnin, September 13, 2004

Dalam satu surat Sasterawan Negara Usman Awang kepada rakannya Sdr Baha Zain, penyair itu menulis:

"Saya kira tidak ada penulis yang dapat (atau boleh) bebas dari politik. Terlalu aneh kedengarannya apabila ada penulis yang mencuba 'mengisytiharkan kemerdekaannya dari politik', kerana idealnya untuk merdeka dari politik itu sudah politik."

Usman Awang malah melanjutkan lagi, "dalam bidang seni, sasteralah yang paling langsung tertancap ke tengah jantung politik."

(Antologi Cerpen-cerpen Underground, Faisal Tehrani&Azman Hussin, 2000)

Read more...

Khamis, September 09, 2004

AS-SYATHI AL-MAJHUL (Pantai yang Tidak Diketahui)
oleh Sayid Qutb, 1923

Ke sebuah pantai yang tidak diketahui
ke suatu alam yang kurindukan pemandangannya
ke suatu pinggir yang lain.
Ke suatu yang tidak engkau ketahui
ke suatu yang tidak akan engkau lihat petunjuk
untuk zaman-zaman dan alam maya yang diamati.
Ke suatu yang tidak dapat kaubezakan sempadannya
ke suatu yang dilupakan oleh manusia, alam maya, dan masa.

(Nil Masih Mengalir, Dewan Sastera November 2000)

Read more...

Selasa, September 07, 2004

Saya sangat tertarik apabila menemui kenyataan ini dalam sebuah buku:

Penulis mestilah BERPIHAK dan tidak boleh bersikap NEUTRAL. Pemihakan ini bukan bermakna memihak membuta tuli tetapi mengarah kepada KEBENARAN.

- SN Shahnon Ahmad (Watan,1989)

Read more...

Sabtu, September 04, 2004

Petang semalam pulang ke Endau. Menjenguk ibu dan keluarga di sini. Sudah hampir dua bulan tidak balik ke kampung halaman.

Pagi ini saya menyelongkar almari buku yang sendat berisi kitab, majalah, buku ilmiah, novel dan pelbagai sumber ilmu lagi. Memang itu kebiasaan yang saya lakukan bila pulang ke kampong. Tegal tidak semua harta berharga milik saya itu saya angkut ke Segamat.

Saya menemui Massa (yang telah selamat ditalqinkan) bilangan 155 bertarikh 12-18 September 1998. Yang menariknya majalah ini adalah keluaran pasca pemecatan DSAI. Covernya memang memuatkan gambar DSAI. Lalu di dalamnya saya mengintai semula kisah kezaliman seorang bekas pemimpin negara dan juak-juak di sekelilingnya. Semua mengiyakan dan menyokong apa yang pemimpin negara itu kata. Tuduhan liwat dan rasuah dibenarkan dan disebarkan untuk mensabitkan DSAI sebelum disumbat ke ISA. Dan ketika itulah, saya cukup ingat periistiwa seorang sahabat karib yang sangat berpengaruh kepada DSAI yang datang menziarahi menghamparkan sokongan. Beliau tidak lain tidak bukan, Almarhum Ustaz Fadzil Noor, antara pemimpin-mujtahid yang sangat disegani dan kekal diingati hingga kini.

Saya juga membelek semula majalah Tanjung Puteri yang pernah saya kendalikan semasa menuntut di Jordan. Di dalamnya termuat sebuah puisi saya (kalau ia boleh dinamakan puisi) yang saya siarkan sempena Hari Kemerdekaan ke-39 ketika itu. Ia saya karang pada September 1996 dan pernah tersiar dalam akhbar Harakah sekitar Ogos 1998, jika tidak silap. Itulah satu daripada dua puisi saya yang pernah tersiar di akhbar, kedua-duanya di Harakah, malangnya saya tidak ada menyimpan keratannya.

DI PAGI MERDEKA

Di pagi merdeka
Seorang pemimpin tua
Mendatangi temasya anak bangsa
Tangan melambai menabik ceria
Senyum lebar penyeri suasana
Hatinya berkata:
Inilah warga merdeka.

Di pagi merdeka
Seorang pemikir tua
Mengintai senario anak bangsa
Hatinya hambar
Tiada guna perarakan itu
Jika barat yang ditatang
Tiada guna temasya itu
Jika Islam yang ditentang

Di pagi merdeka
Seorang pekerja tua
Mengutip kerenah anak bangsa
Di dataran ibu kota
Ketemu kondom dan bra
Hatinya berdebar-debar
Benarkah hari ini Hari Merdeka?

Read more...

Jumaat, September 03, 2004

HADIAH MERDEKA
Saya bersetuju dengan luahan hati warga Malaysia yang mengatakan pembebasan Anwar Ibrahim merupakan hadiah merdeka untuk rakyat. Mudah-mudahan ia menjadi titik tolak gelombang kebangkitan suara rakyat yang lebih bertenaga selain memulihkan imej institusi perundangan negara yang agak tercalar sekian lama.

Biarpun hanya dibenarkan aktif semula berpolitik pada 14 April 2008, tempoh pengharaman itulah yang sewajarnya digunakan sepenuhnya oleh Anwar bagi menyusun dan memantapkan lagi perjuangannya – selagi beliau berpegang teguh kepada prinsipnya – untuk membela rakyat dan menegakkan keadilan. Selamat kembali ANWAR!

ILMU BANTU
Apabila menyelak semula emel-emel yang terkandung dalam egroups sastera_Malaysia saya menemukan satu emel yang dihantar oleh Juliana Mohamed (pengantin baru) ke milis tersebut pada 5 Oktober 2000.

Ia berkenaan ILMU BANTU dalam karya sastera. Yang menariknya, ia dipetik daripada nota kuliah Hizairi Othman yang mengajar beliau ketika itu di UPM.

ILMU BANTU
Ilmu bantu/ antara displin membawa 2 konotasi
1) Definisi primer ialah penerapan displin ilmu ilmu seganding dalam karya sastera. Antaranya psikologi,sejarah,sosiologi,astronomi,kejuruteraan,
agama dan undang-undang.
2) Makna sekunder menjurus kpr kaedah penukangan cerita atau ilmu menulis itu sendiri yg byk menyentuh sifat intrinsik sebuah karya. Cthnya, aplikasi teori/aliran sastera/seni tertentu dlm karya sastera.(new journalism, intertextuality)

FAEDAH ILMU BANTU
Umumnya utk memberi pengalaman,pengetahuan, pemikiran yg lebih berharga lebih kreatif dan puitis utk pembaca & sebagai latihan menghadapi secara
tekun dan rapi.

1) Menilai & melihat bagaimana sastera bersepadu dgn bidang kehidupan yg lain.
2) Menggerak dan menggalakkan penulis memberi penilaian terhadap kepentingan kepelbagaian ilmu, sekaligus mengadunkannya dlm karya secara berestetika.
3) Menekankan kepentingan ilmu yg pelbagai dlm kritikan & kajian Sastera Melayu Moden
4) Memanfaatkan sastera sebagai sumber pengkajian bidang-bidang bukan sastera.

Kedah utama mendapatkan ilmu bantu :
1) Pembacaan
2) Penyelidikan
3) Majlis ilmu

Kepentingan ilmu bantu dalam karya kreatif diperkuatkan oleh pandangan Edmund J.Smith dlm buku beliau Postmodernism & Contemporary Fiction (1991).
Antara faktor yg membezakan antara penulis moden dan penulis pasca moden ialah sifat penyelidikan & unsur kritikal yg wujud dlm karya itu.

Walaubagaimanapun penulis perlu mengelakkan memasukkan ilmu bantu secara sebuatan sahaja atau ditahap permukaan sahaja kerana boleh diragukan motifnya hanya memberitahu penulis itu tahu atau sengaja menunjuk-nunjuk.

Ilmu bantu tidak berlebihan agar pembaca tidak terasa spt membaca karya bukan kreatif. Aspek katarsis / kesan emosi perlu melebihi kesan intelek apabila membaca karya sastera.




Read more...

Khamis, September 02, 2004

ANWAR BEBAS
Anwar Bebas. Begitu bunyinya SMS yang diterima sebentar tadi. Syukur. Moga keadilan yang masih bersisa terus ditegakkan di mahkamah.

2 September DSAI dibebaskan. Pada 2 September jugalah DSAI dipecat daripada jawatan TPM pada 1998. Saya tak ingat bila DSAI diISAkan. Sebaliknya yang saya ingat, tarikh Sayid Qutb dihukum gantung. Kalau tak silap, 31 Ogos 1966!

PENULIS KAHWINI PENULIS
Cuti baru-baru ini sepasang penulis muda mantan MPR melangsungkan pernikahan mereka. Pasangan Juliana Mohamed (MPR 2000) dan Mohd Hafezin Khadiri (MPR 1996) akhirnya bersatu setelah beberapa tahun mengenali hati budi masing-masing.

Kedua-duanya memang saya kenali malah agak rapat terutama dengan Juliana yang pernah bersama saya dan Nazmi menyertai Bengkel Cerpen Kepezi 2000. Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua mempelai yang baru merasai nikmatnya berumahtangga. Alf mabruk!

Spontan di minda saya terkilas puisi hebat berjudul Lautan di Waktu Subuh karya Zaihasra. Hmmm. Ia puisi yang sesuai saya kira dibaca oleh pasangan yang baru bernikah.



Read more...

Isnin, Ogos 30, 2004

tiga
Malam ini Malam Merdeka. Ada countdown. Ada pesta. Ada percampuran lelaki wanita. Di mana-mana. Di seluruh negara. Justeru, saya sarankan, sesiapa yang ada berkawan baik dan memiliki nombor telefon bimbit para pegawai tadbir agama dan penguatkuasa tempatan, sila esemes mereka.

Suruh mereka beroperasi malam ini di taman-taman bunga dan tapak-tapak pesta. Banteras maksiat durjana!

dua
Dengarnya, NST akan muncul dengan wajah baru pada 1 September ini. Bukan lagi broadsheet tetapi kompak. Justeru kita melihat banyak iklan dalam akhbar yang berwarna merah jingga tertulis BIG, SMALL, BIG, SMALL selama sebulan ini. Itulah promosi NST untuk melariskan akhbarnya yang bersaing dengan The Star dan The Sun.

Dan Kumpulan Utusan juga hampir benar melancarkan sebuah akhbar yang boleh dianggap adik kepada Utusan Malaysia. Macam Harian Metro bentuknya, kalau tak silap saya. Kompak juga.

satu
Membaca liputan Muktamar Pas di akhbar-akhbar perdana kadangkala membuat kita mahu tergelak. Nampak sangat media media keliru dengan budaya yang ada dalam Pas. Malah lebih teruk lagi bila media tak dapat memahami apa itu muhasabah, apatah lagi wala’, baiah dan istilah-istilah lain yang sinonim dengan harakah Islamiyah.

Muktamar barangkali saja sama maknanya dengan Mesyuarat Agung. Tetapi Muktamar Pas dengan Mesyuarat Agung Umno adalah sesuatu yang sangat jauh berbeza. Macam Utarid dengan Pluto.

Muktamar bagi Pas adalah medan untuk bermuhasabah, medan sumbang-saran dan menguja semangat jemaah untuk berjuang lebih kuat. Ahli lazimnya akan lebih bersemangat sepulangnya mereka dari bermuktamar. Tapi Mesyuarat Agung bagi Umno adalah medan membaling kerusi (di beberapa peringkat cawangan dan bahagian), medan politik wang, medan untuk bina konsortium, medan mengampu-membodek dan pelbagai perkara jelek yang dihalalkan dalam demokrasi yang kononnya terpimpin.

Dalam Muktamar Pas ahli dibenarkan mengkritik pemimpin tapi tidak dalam Umno. Ingat kes Ku Li baru-baru ini? Hendak bertanding pun sudah disekat awal-awal lagi - dituduh akan membawa perpecahan - inikan pula mahu mengkritik pemimpin secara terbuka untuk kebaikan parti. Kirim salam sajalah.

Tapi kita harus akur itulah demokrasi terpimpin yang Umno miliki. Demokrasinya menghalang ahli bersuara, sebaliknya mengiyakan bila pemimpin menetapkan sesuatu yang mereka sendiri tidak suka dan menelan apa sahaja habuan yang diterima. Sedihnya, begitu nasib sebuah parti Melayu tercinta!

Read more...

Ahad, Ogos 29, 2004

-i-
BN menang majoriti lebih dua ribu di PR Kecil Kuala Berang semalam. Sikitnya. Rasa macam kurang berbaloi dengan kehadiran hampir semua MB&Ketua Menteri BN di sana. Patutnya menang lima ribu majoriti. Alahai, PAS yang dilayan buruk oleh SPR itu pun tak boleh dikalahkan dengan mudah. Lihat PAS; sambil bermuktamar, sambil berpilihan raya. Maknanya jentera mereka memang boleh diharap. Tak harapkan akhbar dan TV dan SPR (yang menyanjungi demokrasi terpimpin) pun tidak mengapa.

-ii-
Kursus selesai pagi Jumaat. Petangnya saya terus kembali ke Batu Pahat, ke kampung mentua. Anak dan isteri sudah menanti di sana. Pulang ke Segamat pula sore semalam setelah menghadiri walimah Yazed, kawan baik saya semasa di bangku persekolahan dulu di rumahnya di Tangkak.

Seminggu saya habiskan cuti dengan berkursus. Lebih tepat lagi memberi kursus di JB dan diberikan kursus di KL. Bermula Sabtu, 21 Ogos saya ditemukan semula dengan 11 orang calon penulis genre novel yang pernah mengikuti Bengkel Penulis Muda Johor V bagi genre novel anjuran Yayasan Warisan Johor pada Oktober tahun lepas. Kali ini mereka tampil dengan manuskrip masing-masing untuk dibedah dan dikomen secara terbuka oleh Mawar Shafei, Aminah Mokhtar, Saifullizan Tahir dan saya sendiri. Betapa beruntungnya penulis-penulis muda sekarang ini. Banyak rangsangan dan sokongan kerajaan dan agensi. Saya lekas terbayang masa mula-mula mahu menulis dulu. Siapa peduli!

Sukar juga saya kira menangani naskhah orang. Kata-kata sangat perlu dijaga; agar tiada hati yang terluka, tiada semngat yang terpadam. Saya juga membentangkan kertas kerja Manuskrip: Penyediaan dan Penyemakan hasil kutipan pengalaman saya beberapa kali berbengkel dengan editor makro Utusan, Nor Azah Abd Aziz.

Slot itu kami kira penting memandangkan ada penulis yang tidak rinci dalam aspek ini. Manuskrip yang dihantar kepada editor (yang juga merungut) tidak memenuhi ciri-ciri profesional. Ini mencerminkan peribadi pengarang yang kurang teliti dan ambil mudah.

Saya terpaksa permisi lebih awal tanpa menghadiri slot forum pada malam terakhir kerana mahu mengikuti Kursus Penulisan Berita pula di KL. Kak Mawar Shafei juga pulang lebih awal pada petang Ahad ke Kota Singa.

Isnin malam Selasa saya sudah berada di Hotel Brisdale dekat Chow Kit. Ini julung kali Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) mengadakan kursus kewartawanan untuk guru-guru SMKA. Adalah tujuannya tu. Pembimbingnya Mohd Fuad Razali, wartawan berpengalaman dari Berita Harian.

Saya tidak menyangka kursus yang asalnya saya pergi dengan separuh hati ini (kerana terpaksa mengorbankan cuti sekolah) menawarkan ilmu dan pengalaman menarik. Kami didedahkan teknik penulisan berita dengan cukup rinci dan kondusif serta dapat pula melawat Balai Berita 2 NSTP di Shah Alam dan menjenguk Balai Berita 1 di Jalan Riong. Malah sempat berdialog dengan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian, Hishamuddin Aun selama sejam.

Sempat juga bersuara: Kenapa musim Olimpik ni, seksinya atlit mengalahkan artis yang sedia seksi! Dan sekali lagi saya mendengar kalimat Demokrasi Terpimpin. Apapun, layanan pihak NSTP terhadap kami sangat memuaskan. Hishamuddin sanggup berdialog dan mengiringi kami ke tingkat 4, Berita Harian bagi menjelaskan operasinya.

Saya tercari-cari juga tempat teman baik, Nazmi Yaakub di Berita Harian. Sayangnya dia tiada. Ada tugasan Kembara Merdeka di Sarawak.

Read more...

Jumaat, Ogos 20, 2004

i
Esok mulai cuti seminggu. Nampaknya saya tidak akan bercuti. ANak dan isteri terpaksalah saya hantar ke kampung. Cuti sekolah kali ini akan saya habiskan di dua lokasi berbeza. Pertama di JB. Dari 21-24 Ogos saya akan ke Bengkel Penulis Muda Johor VI (genre Novel) 2004 di Hotel Seri Malaysia, JB. Ia lanjutan bengkel tahun lepas yang berlangsung pada Oktober 2003 di Naza Hotel, JB.

Para peserta yang berjaya menulis manuskrip novel (sahaja!) sepulangnya mereka dari Bengkel V dulu akan dipanggil semula. Para penceramah/pembimbing lain seperti Kak Mawar Shafei dan Kak Aminah Mokhtar (kedua-duanya pernah menjadi facie Kepezi 2000 yang saya sertai), Saifullizan Tahir, Dr. Gunawan Mahmood dan Drs. Ungku Zaman Tahir.

Selesai di JB, saya akan berangkat ke KL untuk Kursus Penulisan Berita bagi guru-guru penghubung media SMKA seluruh Semenanjung. Bermula Isnin dan berakhir pada Jumaat di sebuah hotel di Jln. Hj. Hussein off Jalan Tunku Abd. Rahman. Sayangnya Nazmi yang wajib saya hubungi jika ke KL, sibuk dengan Kembara Merdeka di Malaysia Timur. Mungkin hanya Ashadi Saiman si peguam muda yang dapat saya temui.

ii
Ini barangkali sambungan puisi Berikan Aku yang telah saya siarkan dahulu. Kedua-duanya sudah berusia lebih kurang 4 tahun. Syukur, ia masih selamat tersimpan di egroups KMSM.

Di Masjid Nanti

Di masjid nanti
aku harap akan ada
khatib yang meninggikan suaranya
menyebut amar makruf nahi mungkar
berani menegur ummahnya.

Di masjid nanti
aku harap akan ada
makmum yang terperanjat
terbangkit rohaninya dari sengguk lena.

Di masjid nanti
aku harap akan tiada
sang mata-mata yang memerhatikan
sang khatib di atas mimbar.

20 Okt 2000
Zaid Akhtar


Read more...

Rabu, Ogos 18, 2004

TIGA NARATIF SIMPATI

1. Seorang lelaki, saudara saya, lulusan al-Azhar dan peminat ceramahnya cecah ribuan orang. Dia sangat berhajat melaksanakan Islam Hadhari yang diwarwarkan kerajaan. Saya salut dia. Namun simpati saya terhadapnya akhir-akhir ini bila dengar dia merungut:
Macam mana nak laksana Islam Hadhari kalau konsert hiburan tiap minggu; dalam TV luar TV semua sama. Judi sana sini, dari atas gunung, masuk bawah laut sampai dalam TV. Mufti pun sekarang ni dinasihatkan supaya bersegera menyertai skim yang menawarkan insurans mulut.

2. Seorang wanita, juga saudara saya, sibuk bercakap soal Islam, keadilan Islam, hak-hak wanita Islam. Kadang-kadang saya lihat dia persis ustazah graduan Timur Tengah walaupun dia sebenarnya pakar ekonomi dan perdagangan. Dia wanita besi. Pantang sangat dia, kalau orang kata wanita Melayu Islam kita lemah.
Namun selalunya, simpati saya memang melimpah-ruah melihatkan jambul perangnya yang tersembul di atas kepalanya yang kadang-kadang dilitupi tudung, kadang-kadang tidak. Dia tak tahu ramai orang tergelak besar setiap kali dia bercakap soal Islam.

3. Seorang lagi saudara saya pula pakar bahasa Melayu. Dia guru cemerlang dengan ketokohan yang mengagumkan - lebih -lebih lagi bila dia berucap dengan bahasa baku tanpa kesalahan nahu walau sedikit pun. Sejarah perjuangan ASAS 50 dalam kepalanya, begitu juga dengan Peristiwa Keranda 152 sering bermain di bibirnya. Selain itu, dia aktif memimpin pertubuhan siasah di tempatnya.

Bila saya tanya, cikgu bagaimana dengan nasib Bahasa Melayu? Macam mana dengan isu bahasa rojak, kes infotainmen? Cikgu setuju belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris? Dia terkedu diiringi senyum yang ketara disimpul dalam paksa. Simpati saya membuak lagi bagai selalu. Kesiannya dia!

Read more...

Khamis, Ogos 12, 2004

Berita ini dipetik dari Harakahdaily semalam. (Bukan sengaja direka-reka penulis apalagi mahu meremehkan kecenderungan sesiapa).

11 Ogos (Harakah) - Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan senario titisan air mata di kalangan peserta Akademi Fantasia (AF) hanyalah satu lakonan yang digerakkan oleh penganjur program bagi mengaut duit rakyat melalui kaedah undian sistem pesanan ringkas (SMS).

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata pihaknya mendapat maklumat bahawa pihak penganjur program sengaja mewujudkan situasi itu bagi membolehkan penonton yang meminati seseorang peserta, mengundi peserta tersebut agar tidak terkeluar daripada pertandingan.

"Mereka ini sudah merancang siapa yang akan tersingkir, siapa yang akan masuk semula untuk membuai perasaan penonton supaya berusaha memberi undi kepada peserta pujaan mereka," ujarnya.

Katanya, dengan menggunakan khidmat pengundian melalui SMS, seseorang penonton akan berusaha mengundi seberapa banyak kepada peserta kegemaran bagi mengelak daripada tersingkir. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai senario ‘kelam-kabut’ masyarakat akibat penganjuran program Akademi Fantasia dan rancangan yang seumpama itu mutakhir ini.

"Ada juga keadaan yang mereka buat dengan sengaja mengeluarkan peserta yang dikenal pasti diminati ramai dan mewujudkan pengundian semula bagi peserta yang tersingkir untuk menyertai semula pertandingan," katanya lagi.

"Mereka sengaja menggunakan bakat dan ketrampilan peserta untuk mewujudkan sensitiviti di kalangan penonton terutamanya remaja supaya simpati dan mengundi peserta kegemaran."

Katanya, pihaknya berani mendedahkan kepada sesiapa sahaja berhubung perkara itu. Justeru katanya, Pemuda PAS meminta pihak terbabit yang menganjurkan pertandingan itu dan seumpamanya menghentikan segera tindakan mengaut keuntungan melalui SMS.

Menurut Mazlan, mutakhir ini rakyat tidak lagi sensitif terhadap isu penindasan ke atas umat Islam dan isu memperlekehkan agama. "Mereka lebih rela menangis kerana sayangkan maksiat daripada menangis cintakan akhirat," ujarnya lagi.

Sementara itu seorang pensyarah Pengajian Islam di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), yang mahu dikenali sebagai Mohammed Abdullah berkata, fenomena menangis di kalangan peserta dan penonton Akademi Fantasia memperlihatkan kebejatan tingkah laku remaja Malaysia terutamanya mereka yang beragama Islam. Katanya, kecenderungan peserta Akademi Fantasia menangis kerana tersingkir daripada pertandingan memberi contoh yang buruk kepada remaja yang lain sekali gus menyemai contoh cintakan hiburan di kalangan masyarakat.

"Mengapa mesti menangis kerana tersingkir daripada Akademi Fantasia, sedangkan kita begitu sukar menangis jika terlepas waktu solat atau menyesali melakukan dosa," katanya ketika ditemui Harakahdaily di rumahnya malam tadi.

Katanya, perbuatan menangis dan sedih itu memberi kesan kepada penonton kerana naluri manusia terutamanya remaja meniru segala perbuatan individu yang menjadi pujaan mereka. Katanya lagi, tidak dinafikan kesan daripada penganjuran program seumpama Akademi Fantasia mengakibatkan remaja hari ini meniru gaya peserta yang bertanding dalam program itu.

Read more...

Sedikit lagi sambungan interviu semalam...

8. Apakah mahasiswa hari ini memerlukan anjakan paradigma? Apakah yang diharapkan ustaz tentang perubahan yang perlu dilakukan mahasiswa hari ini?

Perlu. Setiap perubahan biarlah berlandaskan Islam dan demi bangsa dan negara. Mahasiswa mesti kembali mengamalkan Islam yang sebenarnya. Islam bukan sekadar solat, puasa, dan zakat, tetapi cara hidup. Dan rasanya dalam Sesegar Nailofar, saya telah menyarankan secara tidak langsung bagaimana seharusnya peribadi seorang mahasiswa itu. Selain peka dengan konflik ummah, dia juga mesti taat suruhan Allah (sila rujuk halaman 124 Sesegar Nailofar). Solat berjemaah adalah kunci kejayaan ummah. Seorang mahasiswa yang mahu berubah mesti bermula dengan solat berjamaah. Kerana solat berjemaah umpama deklarasi bagi orang Islam. Dari situlah akan timbul amar makruf dan nahi munkar.

Rasa cinta terhadap ilmu juga mesti ada pada jiwa setiap siswa. Kita melihat, siswa hari ini kurang membaca, Mereka hanya membaca buku subjek pelajaran mereka dan wacana hiburan sahaja. Tanpa membaca, kita tidak akan dapat melahirkan seorang penulis, apalagi seorang pemimpin. Dan sebagai orang Islam, tentulah ilmu Islam menjadi keutamaan.

9. Sejauh mana perlunya mahasiswa memaparkan prinsip dan idealis mereka? Sebagai contoh, bagaimana mahasiswa dapat membantu dalam isu-isu kemasyarakatan dan agama umpamanya mengenai isu palestin dan tekanan islam di turki seperti dalam kedua-dua novel ustaz?

Paparan idealis dan prinsip memang perlu. Kelak dikata orang mahasiswa kita jumud. Namun, ketara, AUKU banyak menyekat mereka. Justeru, paparan idealis itu dilihat sangat sederhana atau langsung tiada. Tetapi, berdasarkan pengalaman, tekanan seperti itulah yang selalunya cepat mematangkan seseorang.

Walaupun banyak sekatan, saya fikir mahasiswa masih boleh membantu. Ini sedikit sebanyak akan memaparkan idealis mereka. Menulis di novel tidak sesukar menyarankan di dunia realiti. Dalam isu-isu antarabangsa dan agama, mahasiswa mesti menyatakan pendiriannya. Justeru, memorandum, demonstrasi aman, kutipan derma, kenyataan akhbar, pengedaran risalah masih lagi relevan selain penggunaan IT dalam menyatakan prinsip. Untuk itu, mahasiswa mesti memantapkan organisasi.
(Barangkali jawapan banyak tidak menepati kehendak. Segalanya dibuat secara hampir spontan.)


Read more...

Rabu, Ogos 11, 2004

Sambungan interviu semalam...

5. Sejauh manakah pentingnya peranan mahasiswa hari ini dalam pembentukan dan pembangunan negara?

Peranan mahasiswa sangat penting, sebab mereka adalah pemimpin masa depan. Lantaran itu, saya katakan dua pembelajaran (formal dan tidak formal) semasa bergelar siswa tadi sangat membantu mereka kelak. Biasanya, apabila seseorang mahasiswa itu sensitif dengan sesuatu isu, dia juga akan menjadi pemikir pada masa yang sama.

6.Adakah ustaz bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa mahasiswa hanya perlu menumpukan perhatian kepada akademik mereka, dan tidak perlu campurtangan dalam hal-hal luar kampus seperti politik, hal ehwal negara, masyarakat dan sebagainya?

Sangat tidak bersetuju. Seperti yang telah saya jelaskan awal-awal tadi, kita akan terjun ke dalam masyarakat, justeru kita mesti mempelajari ilmu bermasyarakat. Akademik hanya untuk kerjaya. Untuk bermasyarakat, siswa sangat memerlukan ilmu-ilmu bantu yang diperoleh daripada aktiviti pelajar semasa zaman kampus mereka. Seorang pemimpin tidak akan berjaya memimpin jika tiada langsung walau secebis pengalaman memimpin.

7. Apa pandangan ustaz tentang mahasiswa hari ini? Adakah ustaz bersetuju dengan pendapat Datuk Nik Abd. Aziz Nik Mat yang mengatakan mahasiswa hari ini tidak berakhlak dan kurang berkualiti?

Mahasiswa hari ini bagi saya masih kurang peka. Mereka agak lalai. Barangkali kerna selalu digula-gulakan dengan hiburan dan kemewahan. Sedih juga dengan budaya “takpedulisme” di kalangan siswa. Yang terkini, makin ramai yg tak dapat memahami makna patriotisme. Saya tidak perasan bilakah kenyataan MB Kelantan itu dikeluarkan. Namun, secara peribadi, saya bersetuju. Tidak (saya lebih suka menggunakan perkataan kurang) berakhlak boleh kita rujuk dengan isu-isu pergaulan bebas di IPT tempatan yang dibongkar oleh media. Dan, jika mahu diteliti lebih rinci dari segi akhlak Islam, saya rasa memang agak menyedihkan. Misalnya, dalam soal bertudung, naik motosikal/kereta berdua-duaan, dating, berpegangan tangan dan penjagaan aurat. Islam sangat menitikberatkan pergaulan dan aurat. Jika tidak dijaga, memang benarlah kata Tuan Guru itu.
Kurang berkualiti pula boleh kita rujuk kepada sensitiviti saya kira. Bandingkan gerakan pelajar dekad 70-an dengan siswa sekarang. Jauh sangat bezanya. Mereka mampu menjadi jurucakap masyarakat. Kita kena buka kembali sejarah Demonstrasi Baling, isu Hamid Tuah, isu Bahasa Melayu di UM, isu anti Bahasa Inggeris, isu anti Amerika dalam demonstrasi di Lincoln Centre dan banyak lagi. Harus diingat, seribu pimpinan mahasiswa ditangkap selepas demonstrasi membela petani di Baling. Malah, ada yang lebih awal daripada itu, contohnya para pelajar kita di Universiti al-Azhar, Mesir pernah menjadi sukarelawan perang semasa Arab berperang menentang Israel sehingga mereka (PMRAM) dikurniakan tanah oleh kerajaan Mesir. Sedikit sebanyak kita harus akui betapa AUKU telah menempangkan mahasiswa dan membisukan suara mereka kini.

+ Ada sedikit lagi esok.

Read more...

Selasa, Ogos 10, 2004

i
Maafkan saya jika ada pengunjung yang kurang senang dengan kesimpulan saya terhadap AF semalam. Kita di negara demokrasi, sesiapa pun berhak bersuara. Dan demikianlah pandangan saya.
ii
Hampir setahun yang lalu, saya telah diwawancara secara maya oleh seorang pembaca/mahasiswa yang sedang menyiapkan kajian semester akhirnya. Saya kira tidak menjadi keberatan bagi beliau membenarkan saya menyiarkan wawancara kami itu di sini.

1. Apakah mesej yang ingin ustaz sampaikan kepada golongan mahasiswa dalam kedua-dua novel ustaz itu (Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus)?

Banyak mesej yang ingin saya sampaikan di dalam kedua-duanya, antaranya, saya mahu mencetuskan kesedaran remaja hari ini dengan isu semasa. Saya malah, mahu menghidupkan kepekaan mereka terhadap dunia global Islam yang lebih luas. Selain itu, saya juga berharap watak-watak utama dalam novel-novel saya dapat menjadi model yang baik kepada pembaca terutamanya yang masih remaja.

2.Apakah ciri-ciri yang ustaz rasa harus dimiliki oleh seorang mahasiswa yang ideal? Dan adakah ciri-ciri tersebut dimilik oleh Iqbal dan Afham?

Banyak ciri yang mesti dimiliki. Antaranya, kepekaan terhadap isu ummah itu sendiri yang menjadi pemangkin kepada kedua-dua novel saya. Ciri yang lain seperti sikap bertanggungjawab dan saling bekerjasama dalam amar makruf tanpa mengira bangsa. Mahasiswa yang ideal juga mestilah seorang yang taat suruhan Allah, tahu menjaga batas syariat- susila pergaulan, mencintai ilmu dan begitu memesrai buku.
Memang ciri-ciri tersebut saya titipkan menerusi watak Iqbal dan Afham. Mereka berdua sangat ideal untuk dijadikan remaja contoh dan saya mendapat respons yang memberangsangkan daripada pembaca tentang watak protagonis Iqbal dan Afham.

3. Dalam novel sesegar nailofar, dipaprkan tentang cinta antara Iqbal dan Salsabila. Iqbal berusia 23 tahun dan masih menuntut pelajaran. Adakah ustaz cuba menyatakan yang tidak mengapa mahasiswa bercinta semasa belajar? Apa pandangan ustaz mengenai perasaan cinta dikalangan mahasiswa? Tidakkah ia dianggap mengganggu? Adakah perlu bercinta semasa belajar, dan kalau perlu, bila masa yang sesuai?

Bagi saya cinta tidak menjadi soal, maksudnya tidak menjadi halangan untuk berjaya. Bukankah Hamka ada berkata, di belakang seorang pemuda yang berjaya, ada seorang wanita yang menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran semangat. Ramai pasangan ternama yang telah berjaya mengejar cita-cita dalam pada merebut cinta. Ringkasnya, bagi saya, mahasiswa yang telah bersedia dan matang boleh bercinta.
Cinta di kalangan mahasiswa juga tidak mengapa. Cinta itu fitrah. Dia akan datang pada sesiapa juga, tanpa mengira budak sekolah, mahasiswa, orang dewasa. Yang menjadi masalahnya, bila cinta penyebab kemerosotan pelajar dan menjadi pencetus pergaulan yang tidak mengkut syariat. Selalunya hubungan yang tidak menjaga batas syariatlah yang selalu menimbulkan masalah dan penyebab kemerosotan pelajaran. Kalau seseorang itu terganggu dengan bercinta, baik tidak usahlah berani-beranikan diri bermain api. Hanya mahasiswa yang telah bersedia dan matang boleh bercinta.
Sesiapa yang rasa cintanya datang masa sedang belajar, jika bersedia, terpulanglah kepadanya. Cinta juga tidak mengenal masa dan ruang. Orang yang matang akan bercinta untuk berkahwin. Lantaran itu, dia akan pastikan cinta dan cita-citanya berjalan seiring.

4. Apakah peranan sebenar mahasiswa pada hari ini?

Peranan sebenar mahasiswa ialah belajar. Tetapi jangan disempitkan pula definisi belajar itu. Belajar di sini bermaksud mahasiswa hendaklah mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira ruang dan masa sebagai persiapan untuk terjun ke dalam masyarakat bila dewasa kelak. Bila mencari ilmu tanpa mengira ruang dan masa, bermakna pembelajaran yang formal di kuliah dan yang tidak formal di luar hendaklah dikutip sekali. Hanya dengan kedua-dua pembelajaran ini sahajalah akan mewujudkan siswa yang ideal dan berkualiti tinggi. Menyentuh pembelajaran tidak formal, selain aktiviti kokurikulum dan berpersatuan, saya rasa sensitiviti siswa terhadap alam sekeliling dan isu kontemporari juga suatu sesi pembelajaran sebenarnya. Konklusinya, banyak lagi ilmu yang terdapat di luar dewan kuliah yang mesti dipelajari. Kata cerdik pandai, pengalaman adalah universiti kehidupan yang terbaik.

p/s: Interviu ini akan disambung pada entri seterusnya, insya-Allah.

Read more...

Isnin, Ogos 09, 2004

Bila Demam AF ni, suka saya mencatat beberapa kesimpulan (maaf kepada peminat AF yang setia):

1. Pengundi di Malaysia (termasuk dalam Pilihanraya Umum) masih mentah, kurang berfikir dan mudah digula-gulakan dengan emosi
2. Mata dan telinga orang kita tidak pekak tetapi kadangkala sukar menerima kebenaran lantaran taasub dan simpati
3. Orang sanggup berhabis duit untuk AFUNDI yang sia-sia
4. Kerana fanatik, perang SMS di Channel 15 tak pernah selesai.
5. Syarikat-syarikat telekomunikasi mengaut laba berlipat ganda hasil demam yang sengaja mereka cetuskan
6. Panel penilai ASTRO semasa uji bakat kurang bijak memilih peserta kerana beberapa peserta yang bersuara sumbang turut terpilih
7. Untuk menarik lebih ramai pengundi dan publisiti, gossip cinta sengaja direka
8. ASTRO berjaya menipu pengundi, apabila tiba-tiba mengumumkan 6 peserta yang akan ke final bukan 5
9. Negara Islam Hadhari mulai menunjukkan tanda-tanda kejayaannya
10. Kiamat dah dekat, sebab orang mula mengagungkan artis (termasuk yg baru nak belajar menyanyi) dan memperlekeh ulama

*Maaflah ya. Saya cuma menyalin realitinya!

Read more...

Selasa, Ogos 03, 2004

ANTARA ESRA&EMINE,ERDOGAN&POLATKAN

Barangkali ada yang membaca ceraian Perspektif dalam Berita Minggu kira-kira dua minggu lalu. Muka belakangnya menampilkan rencana berkenaan perkahwinan Esra Erdogan dengan Berat ALBayrak. Di sisi artikel itu, turut terpampang gambar Esra dan pasangannya di samping pemimpin-pemimpin dunia yang menghadiri majlis perkahwinan anak gadis PM Turki itu. Dan kelihatan juga gambar Esra yang bergaun pengantin dan bertudung litup tersenyum intim di sisi suaminya.

Barangkali ia berita biasa bagi orang lain, tetapi bagi saya ia sesuatu yang tidak terjangkakan. Sebelum membacanya, saya tidak pernah tahu yang Erdogan punya anak gadis berdarah juang sepertinya. Ia memadai untuk mengusung saya kembali kepada novel kedua saya, Rona Bosphorus (RB). Esra cukup mengingatkan saya kepada watak Emine. Ya, Emine anak gadis Reccep Mecit Polatkan, Datuk Bandar Istanbul yang sangat meminati protagonis Afham.

Sesungguhnya saya secara peribadi mengakui betapa saya mencipta watak Emine bagi menyuntik elemen bangsa Turki yang mahu kembali kepada Islam tanpa mengetahui PM Turki sekarang memiliki anak gadis sebayanya. Saya juga tanpa sengaja menghantar watak Emine ke demonstrasi bagi membantah penangkapan bapanya (Polatkan) yang tidak bersalah kerana membela Islam tanpa menyedari Esra juga terlibat dengan aktiviti sedemikian bagi menegakkan perjuangan hijab di sana dan mendukung perjuangan bapanya (Erdogan).

Namun, saya memang sengaja mengirim watak Reccep Mecit Polatkan sebagai Datuk Bandar Istanbul bersandarkan peribadi sebenar Reccep Tayyib Erdogan (PM Turki sekarang) yang juga mantan Datuk Bandar Istanbul yang sangat disayangi penduduk ibu kota itu kira-kira sedekad yang lalu. Bagi pembaca yang prihatin dan peka dengan politik Islam di Turki pastinya perasan betapa hukuman penjara yang terpaksa dilalui oleh Erdogan (bapa Esra) kerana membaca puisi yang diklasifikasikan berbau menghasut turut dirasai oleh klonnya, Polatkan (bapa Emine) dalam RB.

Demikian satu kebetulan yang telah ditakdirkan Tuhan yang tidak terjangkakan!





Read more...

Sabtu, Julai 31, 2004

KONSERT SURE HEBOH HARAM!

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Tokoh agama menyifatkan hiburan yang melalaikan seperti konsert 'Sure Heboh' adalah haram dan bertentangan dengan Islam.

Bekas Mufti Negeri Selangor, Dato' Ishak Baharom menegaskan, menurut Islam apa juga perkara yang boleh melalaikan dan melekakan adalah bertentangan dengan syarak.

"Walaupun ada sedikit baiknya, tetapi buruknya banyak berkait dengan moral dan campur gaul di kalangan bukan muhrim,hukumnya tetap haram," ujarnya.

Beliau turut bersetuju dengan pendapat Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani Zakaria yang menyatakan konsert 'Sure Heboh" anjuran TV3 adalah haram kerana program itu melalaikan.

Ujar Ustaz Ishak lagi, program seperti 'Sure Heboh' dilihat banyak menyumbang kepada gejala keruntuhan moral di samping perbuatan itu bukanlah selari dengan akidah Islam itu sendiri.

"Mereka yang hadir dan menganjurkan bukan sekadar leka tetapi menggalakkan unsur-unsur maksiat di kalangan masyarakat," tegasnya lagi.

"Pemimpin kita gah menyatakan Malaysia sebuah negara Islam, tetapi perkara yang berbaur maksiat terus disuburkan di kalangan rakyat," tambahnya.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan dan pihak terbabit menghentikan segera penganjuran konsert 'Sure Heboh' dan program hiburan yang lain yang jelas haram di sisi Islam.

Sementara itu, Ustaz Harussani dalam rancangan 'Menjawab Soalan Agama' siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ipoh pada pagi tadi berkata, persembahan hiburan 'Sure Heboh' adalah haram dan diwajibkan diberhentikan segera.

"Pada saya 'Sure Heboh' ini adalah suatu perkara yang tidak baik kerana ianya melalaikan orang. Maka perbuatan melalaikan orang itu hukumnya haram," ujarnya ketika menjawab soalan pemanggil sewaktu siaran langsung itu.

Ujar Ustaz Harussani lagi, mereka yang menghadiri rancangan 'Sure Heboh' itu terdiri dari kalangan remaja Melayu yang beragama Islam.

Tambahnya, mereka yang hadir tentulah akan berseronok dari sebelum Maghrib lagi hinggalah ke lewat malam, malah ada yang meneruskan aktiviti lain selepas konsert itu seperti melepak hingga ke Subuh.

Selain itu, beliau turut mengulangi kenyataan bahawa Pejabat Mufti Negeri Perak telah membuat laporan membantah pihak terbabit yang menganjurkan program 'Malaysian Idol', 'Akademi Fantasia' dan Persembahan Bakat Warga Emas.

"Semua program hiburan seumpama itu adalah perbuatan yang membuang masa dan melalaikan termasuklah melemahkan tumpuan pelajar terhadap pendidikan mereka," ujarnya.

Katanya lagi, sejajar dengan kenyataan Malaysia Negara Islam kerajaan perlu menghapuskan program-program yang melalaikan yang bertentangan dengan Islam.

Konsert 'Sure Heboh' anjuran TV3 yang telah menjelajah hampir seluruh negara kini akan mengadakan kemuncak acaranya di Stadium Bukit Jalil daripada 30 Julai sehingga 1 Ogos ini.

Sebelum ini, penganjurannya telah mendapat pelbagai tentangan daripada masyarakat dan tokoh agama kerana pengisian program yang dibawa mengandungi pelbagai acara hiburan yang melalaikan

Read more...

Jumaat, Julai 30, 2004

Berikan Aku
(Buat tuan-tuan imam)

Berikan aku
tongkatmu itu
agar dapat kupanjat
tangga-tangga mimbar
dan berdiri berkhutbah di atasnya.

Berikan aku
teks khutbahmu itu
agar dapat kuubah
isi-isi yang tidak perlu
yang tidak relevan dan terlalu mengampu.

Berikan aku
mikrofonmu itu
agar dapat kukejutkan
para makmum yang lena
dek khutbah-khutbah membosankan
pada Jumaat-jumaat lalu.

Zaid Akhtar
Endau, Mersing
2000


Read more...

Isnin, Julai 19, 2004

ALAHAI Islam Hadhari ...
Saya ke Kursus Khas Guru Pendidikan Islam 2004 di Hotel Seri Malaysia Mersing baru-baru ini. Daurah bermula 13 Julai dan berakhir sebelum Jumaat 16 Julai 2004. Tujuan kerajaan mewajibkan kursus ini sebenarnya untuk memahamkan para ustaz/ustazah berkenaan Islam Hadhari dan beberapa isu lagi macam KMM,JI dan yang sewaktu dengannya. Satu yang perlu disebutkan, isu Memali tidak termasuk dan tidak lagi berani ditampilkan kerana pihak kerajaan tiada jawapan.

Saya tak berminat untuk turut serta, sekadar menadah telinga untuk mendengar tetapi mata dan hati ralit menelaah Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani. Baru kini ada kesempatan bagi saya meladeni hasrat menikmati naskhah yang agak hebat itu. Buku semahal TTD seharusnya saya ladeni dengan perlahan-lahan, hati-hati dan penuh khusyuk. Barulah terasa lazatnya.

Kadang-kadang terdetik rasa kasihan melihatkan JU (Jurulatih Utama) yang cuba menerangkan tentang Islam Hadhari? Dia faham ke apa yang dia cakapkan dan jelaskan tu? Begitu juga dengan guru-guru yang bercakap dentum-dentam dalam sesi pembentangan, nampak sangat mereka tak fahami istilah Islam Hadhari itu sendiri. Dalam hati saya, ada ke sebelum ini Islam Badawi (lawan kepada Hadhari) sedangkan Islam itu syumul dan bisa dipakai baik pada zaman Nabi Adam sehinggalah hari Kiamat nanti. Tidak selayaknya bagi kita sebagai muslim, melabelkan Islam itu ada yang moden, bertamadun, berperadaban, ketinggalan dsb. Kalau mulai 2004 Pak Lah melancarkan Islam Hadhari, habis sebelum ini (tahun 2003 dan sebelumnya dan sebelumnya) adakah Islam kita tak sempurna dan kurang sesuai untuk berhadapan dengan era globalisasi? Alahai, nak cari istilah biarlah betul! Jangan main cekup dan ikut sedap bunyi dalam Bahasa Arab sahaja sedangkan maknanya menyimpang jauh dan tak sesuai langsung.

Kalimah Hadhari agak sesuai jika kita padankan dengan kalimah masyarakat atau negara. Contohnya, Masyarakat Hadhari (ingat lagi istilah Masyarakat Madani yang dipelopori oleh DSAI dulu). Barulah tepat. Islam itu universal, kamil serba serbi.

Maaflah ya. Saya tetap menganggap Islam Hadhari itu kosmetik sahaja, sama dengan penerapan nilai-nilai Islam yang dilancarkan oleh Dr. Mahathir pada 80-an dulu. Saya langsung tidak terlibat dalam sesi soal jawab yang dibuka untuk peserta walhal saya memang gemar bertanya dalam sebarang daurah yang saya hadiri semasa studi dulu. Saya ketawa bila ada perkara melucukan dan sesekali berminat dengan anekdot yang terselit dalam ceramah.

Selebihnya saya tersenyum bila mana terasa enak menikmati Tunggu Teduh Dulu yang saya kira agak berjaya dari aspek tauhid, akhlak, dan ekonomi. Faisal begitu tenang dalam menulis novel ini, saya fikir. Ini dapat dirasakan tatkala saya menemui sekian banyak mutiara kata dan keindahan bahasa selain kematangannya mengawal tempo menyusun plot lantas menyuntik rasa tidak sabar kepada pembaca untuk melanjutkan pembacaan di perenggan seterusnya. Saya terasa ingin mengulas novel ini, juga 1515H (Kombat) yang seakan dekat dan paralel dengan isu-isu yang saya tulis dalam novel-novel saya sebelum ini. Entah bila, kiranya ada masa.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP