Isnin, Februari 09, 2004

Nailofar sudah pandai berjalan semalam. 4, 5 langkah, jatuh. Bangun lagi. Jatuh. Bangun. Jatuh. Dan begitulah seterusnya. Hari ini langkahnya sudah makin banyak dan keyakinannya bertambah. Dia rajin berlatih. Umur Nil sudah masuk 10 bulan 6 hari. Dia lahir 4 April 2003. 54 hari selepas kelahirannya aku beroleh berkat kedatangannya ke dalam usrah kami. Rezeki anak, kataku. Kenyataan itu tercatat dalam Utusan Malaysia 29 Mei 2003 – bersamaan ulangtahun perkahwinan kami yang pertama.

Semalam juga, tepatnya malam semalam, Mak Andak, Pak Andak, Mak Long, Abang Lee, Kak Ani dan Long Maharun pulang dengan KT1 dari Arab Saudi. Mereka jemaah haji pertama pergi dan pertama juga kembali. Alhamdulillah. Semuanya selamat. Batuk-batuk sikit tu biasalah. Begitulah adatnya orang yang pulang dari Mina. Sebut soal haji ni, aku kerap teringat satu bab yang kutulis dalam Sesegar Nailofar. Rasanya, itulah bab yang paling puas aku menulisnya dalam novel sulungku itu. Entah mengapa. Bukan kerana bab itu yang mempertemukan Iqbal dan Nur Hazwani. Bukan itu. Barangkali kerna ia bab yang agak sukar dan menonjolkan suasana haji dan latar Tanah Suci.

Petang tadi, Tan Sri Eric Chia ditahan BPR. Esok pertuduhan ke atasnya akan dibacakan di mahkamah. Kita tunggu dan lihat sahaja. Rasanya isu PERWAJA sudah sangat lama. Dah jadi isu lapuk pun. Lama sungguh siasatannya ya. Apapun, kita harus berterima kasih kepada BPR yang nampak telus. Moga ada jerung lebih besar yang berjaya dipukat selepas ini lantaran bilis-bilis tidak lagi dapat memuaskan hati rakyat!




0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP