Sabtu, Februari 07, 2004

Petang Jumaat semalam main badminton. Walaupun hujan, kami yang bermain di dewan tiada masalah. Lepas maghrib, aku ada kuliah di Surau SMKAS. Menyambung pembacaan Tanda-tanda Kecil Hari Qiamat. Dah lama juga aku mengulas dan membicarakan alamat-alamat itu. Dah dua tahun rasanya.

Usai mengimami solat Isyak, aku bergegas ke Masjid Jamek Segamat. Bukan ada kuliah di sana, tapi ada temu janji dengan Cikgu Zharul Nizam. Dia ni penulis juga. Kedua-dua novelnya yang berjudul Suhana dan Nasuha diterbitkan oleh Karisma Publications, kalau tak silap akulah. Pertemuan sesama penulis ni perlu. Apatah lagi aku ni berjauhan dengan kelompok sastera di KL.

Aku kenal dia ketika sama-sama dijemput memberikan pengisian di Bengkel Penulis Muda Johor V Oktober tahun lepas di JB. Kami bersembang sambil menikmati makan malam santak ke jam 11 lebih. Kami berjanji akan menziarahi Abdul Talib Hassan, novelis Saga yang terkenal itu di rumahnya tak lama lagi. Baharuddin Kahar yang menulis Senjakala itu pun belum pernah kutemui meski dia tinggal di Segamat.

Malam letih. Penulisan novel terbaru tidak dapat kusambung.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP