Sabtu, Mac 13, 2004

Dari Pusat Penamaan Calon

Kira-kira jam 9 pagi aku ke Pusat Penamaan Calon Parlimen dan DUN Sekijang tadi. Lokasinya Pejabat Daerah Segamat. Sebelum itu sempat menonton sekilas Aziz Desa di MHI. TV3 nampaknya memang alat BN untuk mengganyang pembangkang. Kempen belum dibenarkan bermula, tetapi media massa jelas menunjukkan ciri-ciri tidak beretika.

Depan Petronas Jalan Genuang sesak. Polis berkawal dan memantau lalu lintas. Perarakan penyokong tidak seimbang. Terlalu sikit di pihak PAS dan KeAdilan iaitu sekitar 30 orang. Tetapi barisan yang mengharap habuan mencecah 400 orang. Di situ aku terbayangkan tentera-tentera Allah yang membantu taifah 313 di Badar. Segalanya mungkin!

Aku berada di tengah-tengah, di antara dua pihak penyokong, betul-betul di hadapan pagar Pejabat Daerah. Aspek vokal juga nampaknya tidak seimbang. Pihak BN menyanyi lagu Umno, Inilah Barisan Kita (yang ikhlas berjuang?), dan pelbagai lagi. Paling lantang mengeluarkan suara merdu mereka tentunya makcik-makcik dari Wanita Umno dan Puteri Umno. Yang pemuda pula tidak ingat lirik. Berkontra sekali dengan pihak pembangkang yang bertakbir dan diselangseli dengan beberapa zikir serta laungan HIDUP ISLAM!

Paling memeranjatkanku, seorang kenalan yang kuat tabligh di Segamat Baru turut berada di situ. Nampak aktif dengan songkok hitam tinggi beberapa inci dan baju biru tua berlogo dacing di dada. Subhanallah!

Aku terus memandang dari jauh sebelum beredar hampir jam 10. Di sana ada dosa dan ganjaran. Di sana ada semangat dan keyakinan. Di sana ada habuan dan keimanan. Dan di sana ada kekalahan dan kemenangan di sisi Tuhan.

P/S: Oh ya, kalau kalian nak tengok kempen seksi tak cukup kain, sila lawat www.sekijang.com




0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP