Isnin, Mac 08, 2004

Maafkan saya! Lagi artikel politik daripada saudara kita yang harus kita baca.

Dalam satu majlis yang dihadiri mantan PM Tun Mahathir kira-kira sepuluh bulan yang lalu, seorang rakan sempat bergurau dengan saya. Katanya, dia berazam, mahu membisikkan ke telinga Dr. M supaya jangan berhenti apabila kami bersalaman dengannya nanti.

Saya bertanya kenapa? Bukankah Pak Lah lebih lembut? Lebih islamik dan digelar Mr. Clean atau Nice Guy? Biarlah Mahathir yang diktator itu berambus secepat mungkin kalau boleh.

Tetapi kawan saya yang memang peka dengan senario politik nasional itu (malah turut menurut artikel politik) menegaskan, Pak Lah lebih bahaya! Orang lemah lembut selalunya lebih menekan apabila beroleh kuasa. Kalau tak percaya, tengoklah nanti!

Saya terdiam, tidak terlalu cepat bersetuju namun sepintas lalu pula teringatkan zaman Pak Lah memegang KDN lebih teruk berbanding sebelumnya. Pada zaman Pak Lahlah Harakah disekat kepada dua kali sebulan dan tercetusnya istilah-istilah seperti , Maunah, KMM, JI dan sebagainya.

Rasanya kita tidak perlu menunggu terlalu lama lantaran sebaik Pak Lah bergelar PM kuku besinya sudah mulai terserlah. 13 pelajar kita di Pakistan itu buktinya. Sejurus tiba di KLIA, pihak polis terlebih dulu menerpa dan menahan (bukan menangkap) para pelajar yang tidak berdosa.

Walaupun Pak Lah kemudiannya menampilkan perwatakan islamiknya dengan menjadi imam solat tarawih, tetapi kepura-puraan pemimpin Umno yang telah sebati dengan jiwa mereka tidak dapat disorokkan lagi. Kempen perangi rasuah yang dilancarkan Pak Lah jelas menunjukkan ia hanyalah gimik pilihan raya semata-mata. Buktinya, hanya Eric Chia dan menteri yang jarang-jarang kita dengar namanya (siapalah sangat Tan Sri Kasitah Gadam?) serta bilis-bilis kecil sahaja yang dipukat. Jerung-jerung besar seperti Rafidah Aziz, Abd. Rahim Thamby Chik, Khalil Yaakob dan puluhan lagi dibiarkan terlepas.

Kini, dengan pengisytiharan tarikh penamaan calon dan Pilihan Raya Umum ke 11, Pak Lah sekali lagi menunjukkan kalibernya sebagai diktator tulen. Rekod 9 hari yang dicatatkan oleh Mahathir Mohamad sebelum ini berjaya dipecahkan oleh Pak Lah.

Beliau seharusnya berasa malu dengan tindakan bacul dan tidak demokratik sebegitu. Walaupun Amerika Syarikat adalah negara pengganas paling dibenci di dunia, tetapi nilai-nilai demokrasi dalam pilihanraya masih dipelihara di sana. Para calon diberikan kesempatan berdebat beberapa kali di media massa malah tarikh pilihanraya sudah diumumkan awal-awal lagi. Lebih memalukan jika diambil contoh demokrasi di negara haram Israel sendiri, yang mana Parti Likud dan Parti Buruh diberi peluang sama rata untuk muncul berkempen di TV.

Sungguh malang amalan demokrasi semacam itu tidak pernah wujud di Malaysia yang pemimpin kerajaannya sangat marah apabila dikaitkan sebagai proksi Yahudi atau ejen Amerika. Contoh baik daripada Yahudi sedemikian tidak pula mahu diikut, walhal ideolagi sekular yang dicopy dari pemikiran Yahudi sangat mereka sanjung.

Dengan pelbagai halangan dan sekatan yang tidak sepatutnya belaku dalam pilihanraya termasuk isu SPR dijadikan budak suruhan, dan pihak polis dijadikan benteng menggantikan pemuda tahan lasak Umno; imej Pak Lah sebagai Mr. Clean tetap akan tercalar. Meskipun beliau berkelulusan Pengajian Islam, tetapi manifesto negara Islam tulen yang ditentangnya akan meletakkan beliau sebaris dengan Lim Keng Yaik, Lim Ah Lek, Kayveas dan Sammy Vellu.

Ternyata, segala apa yang diramalkan oleh rakan saya itu benar belaka!





0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP