Khamis, April 29, 2004

Baru pulang dari Perkampungan Penulis Muda Sek-sek Menengah Johor 2004 di PLRF Tebing Tinggi, Segamat. 50 peserta terlibat. Banyak yang mahu dicatatkan sempena 3 hari berkampung di situ.

Ramai juga tokoh-tokoh penulis muda Johor yang mampan dan muda dapat saya temui. Contohnya, Dzulkarnain Ithnain, Ruzaini Yahya, Amiruddin Ali Hanafiah, Taufeq Mahmod, dan beberapa lagi.

Haji Dzulkarnain kini GPK HEM di SMKA Maahad Muar tak perlu diperkenalkan lagi. Adiknya pakar motivasi HM Tuah Iskandar. Anaknya Ahmad Fahmi Syukri yang kini di al-Azhar katanya berbakat menulis sepertinya. Ramai peserta yang seperti tidak percaya betapa mereka dapat bertemu penulis teks KOMSAS berjudul Tragedi Empat Disember itu. Sementara saya, rasanya kali kedua bertemu beliau. Pertama kali di Mahrajan SMKA Johor., Julai 2003. Saya sendiri sebenarnya lebih mengingati Haji Dzul kerna novel Nostalgia Padang karyanya yang setapak di belakang IMAM oleh Abdullah Hussain untuk merangkul tempat kedua Hadiah Sako 1.

Kak Ruzaini rakan seguru saya kira. Kami beberapa kali pernah berbengkel di KL pada 2000 dan 2003. Apabila bertemu rakan seguru, sesekali sempat juga mengenang jasa keprihatinan dan baik budi guru kami Allahyarham Dr. Othman Puteh. Betapa ramai penulis muda yang terhutang budi dan ilmu dengannya.

Amiruddin Ali tokoh drama. Pelawak bersahaja. Ketua 2 PPJ. Sanggup datang jauh dari Jinjang, KL untuk perkampungan ini. Taufeq pula orang kuat PPPBM di Muar. Pemurah sekali orangnya. Dia dan Ruzaini menghadiahkan setiap peserta dari Muar dengan sebuah novel saya.

Daripada 50 orang peserta, pastinya ada yang terbaik dan terpilih. Justeru, 3 orang peserta Segamat (bolehkah dikatakan bias atau advantage kepada tuan rumah?), seorang dari Muar dan seorang dari Kota Tinggi telah dipilih untuk mewakili Johor ke Perkampungan Penulis Muda Kebangsaan di Sarawak pada Julai ini. Salah seorangnya (tanpa saya jangka) Ain Nazeera Dasli, dari SMK Cannosian Convent Segamat - salah seorang peserta yang sempat saya bimbing sejak di peringkat daerah - turut terpilih sebagai Penulis Muda Terbaik (Perempuan) untuk kali ini.

Tahniah kepada yang berjaya. Yang tidak, teruskan berkarya. Pendedahan telah diberikan. Tiada masa untuk menoleh ke belakang lagi. Ingat moto PPJ: Sekali menulis, terus menulis (kalau tak silap saya)!

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP