Sabtu, April 24, 2004

I
Saya belum lagi membaca Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani yang dipromosi di www.se-lain.com. Ia tidak didapati di kedai-kedai kerana Faisal menjualnya secara pesanan. Pembayaran bisa dibuat menerusi maybank2u, money order atau deposit tunai. Harganya RM49.90.

Anak murid saya bernama Salwa (saya mengajarnya Bahasa Arab) seorang pelajar tingkatan empat mempunyai sebuah cerpen yang tersiar di Dewan Siswa pada Oktober 2003. Allahyarham Dr. Othman Puteh sempat mengulas cerpen itu (sayangnya, saya tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada OP). Saya bercadang menghantarnya ke Perkampungan Penulis Muda peringkat negeri Johor pada minggu depan. Malangnya, sewaktu saringan/pemilihan dibuat dalam Bengkel Penulisan Kreatif anjuran PPD Segamat, namanya telah tercicir. Atau lebih tepat, tidak terpilih dalam senarai 10 orang yang akan ke peringkat negeri. Kesian. Barangkali cerpen yang disediakannya semasa bengkel langsung tidak menarik perhatian pembimbingnya. Silapnya juga lantaran tidak menunjukkan bukti bahawa dia telah menembusi Dewan Siswa!

Justeru, saya cuba mengusulkan namanya ke MPR pula. Tak tahulah dapat ke tidak. Saringan di peringkat DBP tentunya lebih sukar. Khabarnya MPR akan diadakan pada awal Jun ini di Genting. Hebat! Saya, sehingga ke hari ini masih kekal mencemburui segelintir penulis kelahiran MPR seperti Faisal, Nisah Haron, Saharil Hasrin Sanin, Salina Ibrahim, Amaruszati Noor Rahim, Uthaya Sankar SB, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Samsuddin Othman dan beberapa lagi. Namun, mungkin ramai yang tidak perasan, betapa dana mewah dari DBP itu jarang dibalas dengan respon yang menjanjikan daripada calon-calon penulis muda. Daripada beratus-ratus graduan MPR yang diwujudkan sejak 1986, rasanya tak sampai 10 peratus yang kekal menulis. Itu hakikat yang wajib ditelan. Betapa sukarnya melahirkan penulis. Dalam seratus yang dibimbing, mungkin hanya lahir dua yang menjadi.

Kawan saya, Ashadi Saiman barangkali murka apabila saya mencatatkan begini di sini. Hahaha. Tetapi saya juga sebenarnya adalah ahli kelab Alumni MPR sekalipun tidak pernah menyertai MPR.

II
Malam ini, pertemuan klasik Manchester United menentang Liverpool. Tiada pertemuan yang dianggap lebih besar dalam EPL daripada pertemuan kedua-dua kelab yang mendominasi era 90-an dan 80-an ini. Itu kata-kata Alex Ferguson. Kedua-duanya yang sangat kaya dengan tradisi bagaimanapun sudah terlepas kejuaraan liga kepada Arsenal. Liverpool hanya mensasarkan tempat keempat untuk membolehkan mereka ke Liga Juara-juara 2005, manakala MU berhajat memotong Chelsea di tempat kedua.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP