Rabu, April 21, 2004

Semalam terima surat daripada JPNJ. Saya dipilih menjadi pembimbing dalam Perkampungan Penulis Muda Johor di PLRF Tebing Tinggi, Segamat pada 27-29 April ini. Nampaknya, tiga hari pada minggu depan saya tiada di sekolah tegal terpaksa berdamping dengan calon-calon penulis muda. 5 peserta (kecuali Segamat yang menghantar 10) daripada setiap daerah di Johor akan hadir.

Justeru, saya mengambil langkah awal dengan menghubungi UPND. Saya bercakap dengan editor kesayangan saya Puan Nor Azah Aziz yang sudah lama tidak saya dengar suaranya. Dia antara editor terbaik negara dan saya sangat bersyukur kerana pernah dua kali bekerjasama dengannya. Ia pengalaman yang sangat berharga saya kira. Saya memesan 20 naskhah (10 Rona, 10 Nailofar) novel yang saya fikir boleh terjual di perkampungan itu nanti. Ini kali ketiga saya memesan buku dengan mengkreditkan akaun royalti saya. Sebelum ini hampir 100 naskhah Rona Bosphorus habis terjual di tangan saya sendiri. Saya tidak punya bakat direct selling, tapi menjual buku sendiri rasanya, tidak menjadi masalah bagi saya.

Saya mencari cerpen-cerpen lama saya dalam e-groups KMSM. Disket banyak yang musnah. Mujurlah saya bertindak menyimpannya secara maya. Insya Allah, saya akan meletakkan cerpen Rencam dan sebuah cerpen terjemahan berbahasa Arab saya di weblog ini sedikit masa lagi.

Apabila menulis dengan gaya saya begini, ingatan saya terus berlari kepada novel Remains of the Day (terjemahan DBP berjudul Penghujung Senja) oleh Kazuo Ishiguro yang memikat itu. Seterusnya, pasti terlintas watak Steven, seorang butler yang setia-jujur dan agak lurus bendul.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP