Jumaat, Mei 07, 2004

1
Penggalan berita:-
Penggunaan istilah asing seperti 'parcel', 'presinct', 'boulevard' dan 'souq' di Putrajaya adalah sesuatu yang cukup memalukan kerana ia berlaku di tengah-tengah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Malah kompleks kehakiman yang menjadi nadi keadilan negara dikenali 'Palace of Justice' sedangkan terjemahannya 'Istana Keadilan' adalah amat sesuai di negara yang mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sebuah akhbar semalam melaporkan, DBP kesal kerana banyak teguran mengenai penggunaan istilah asing tidak diberi perhatian serius terutamanya oleh pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pengarahnya, Dato’ A Aziz Deraman dilaporkan berkata, teguran itu melibatkan nama bangunan, jalan dan kawasan penempatan baru.

Punca kemerosotan penggunaan bahasa Melayu yang kini menjadi bahasa rojak juga berpunca sikap kerajaan itu sendiri yang meminggirkan bahasa rasmi negara.
Keadaan bertambah parah apabila dasar penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik diperkenalkan.

Memo: Kesiannya Bahasa Melayu! Merempat di negara sendiri.

2
Baru lepas kuliah Maghrib di surau SMKAS. Itu rutin saya pada Jumaat malam Sabtu sebenarnya, tetapi terhenti sejak bulan Mac. Paling akhir berkuliah rasanya pada bulan dua. Saya buka kitab Asyratus Saah (Tanda-tanda Qiamat) sejak tahun 2002. Dah habis pun tanda-tanda yang kecil, kini beralih ke tanda-tanda Qiamat yang besar pula. Tadi, saya baru masuk tajuk Imam Mahdi sebagai alamat besar yang pertama. Malam esok, ada satu lagi kuliah. Lokasinya berbeza.

3
Kenal Aminah Mokhtar yang merangkul hadiah pertama Novel Alaf Baru tahun lepas? Novelnya, Dominasi Tebrau menyapu RM30 ribu. Novel Iman Markisanya pula menang tempat ketiga Hadiah Sako 2. Dia orang Muar, tinggal di Cheras, bertugas di Hospital Universiti (kalau tak silap). Saya memang agak rapat dengan Kak Min (panggilan singkatnya) sejak menyertai Bengkel Kepezi pada tahun 2000. Kebetulan dalam bengkel itu dia menjadi pendamping saya. Banyak kata-kata semangat dan motivasi daripadanya untuk saya lewat SMS hingga ke hari ini. Kak Min memang penulis wanita gigih. Tak mustahil 15 tahun akan datang, dia akan bergelar Sasterawan Negara jika dilihat kepada kualiti dan kuantiti karyanya. Namun motivasi dan komitmennya itu nampaknya belum melarat ke saya. Khabarnya, Kak Min akan bercuti setahun untuk tumpu menulis. Pernah suatu ketika dulu, Kak Min ingin berhenti kerja jururawat untuk jadi penulis sepenuh masa, tapi Pak Samad Said tak beri. Moga ada karya hebat dan kejutan daripada Kak Min tahun depan. Kita doakan!

Dengar-dengarnya juga, senarai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 (HSKU) akan diumumkan minggu depan. Cuba tengok Mingguan Malaysia pada Ahad ini kalau-kalau ada. Majlis penyampaian HSKU pula lazimnya juga akan diadakan sebelum berakhirnya Mei. Tak sabar rasanya untuk membeli antologi dan novel-novel remaja pemenang HSKU 2003 yang akan dijual pada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC mulai 21-30 Mei ini.



0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP