Ahad, Mei 16, 2004

+
Hari ini 16 Mei. Hari Guru. Terima kasih buat insan yang bergelar guru. Jasamu tak terhitung.

++
Keputusan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 diumumkan hari ini di Mingguan Malaysia. Tentu inilah antara berita paling menarik perhatian khalayak sastera dan peminatnya. Tahniah kepada para pemenang terutama kepada yang sudi berkunjung ke weblog saya ini seperti Saudara Ghafirah Idris yang menang dalam percubaan pertamanya di media perdana Utusan. Cerpennya Eksperimen 5-S menggondol hadiah utama (RM 2500) kategori cerpen. Ini cukup mengingatkan saya kepada kejayaan Ranofla Dianti Irwan (isteri SN S.Othman Kelantan) yang turut menang pada 1999 dalam kategori yang sama apabila pertama kali menghantar cerpennya ke Mingguan.

Juga kepada Faisal Tehrani yang berjaya mengekalkan kejuaraannya apabila muncul dengan novel terbaru 1511H (Kombat) setelah memenangi tempat pertama dengan teks oksidentalismenya, 1515 pada 2002. Inilah yang dinamakan diam-diam ubi. Dan inilah kali kedua saya terkejut dengan penyertaan beliau dalam novel remaja. Setapak di belakang Faisal, Kak Nisah Haji Haron pula merebut tempat kedua dengan novel Mencari Locus Standi. Khabarnya Kak Nisah menuang ilmu guamannya ke dalam karya novel sulungnya ini.

Dan tidak lupa, buat teman baik, Mohd. Nazmi Yaakob yang menang hadiah penghargaan menerusi cerpennya, Dia, Hajar Tidak Menyerah. Nazmi menelefon saya dari Berita Harian pagi tadi lantaran tidak percaya apabila dikhabarkan berita itu lewat SMS.

Akhirnya, tahniah kepada semua pemenang! Saya akan membeli novel-novel dan antologi pemenang HSKU2003 pada 29 Mei ini di PWTC.


0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP