Isnin, Mei 10, 2004

Malam atau sebetulnya pagi tadi, jam 4.25 pagi, anak saya menangis. Rupanya Nailofar puteri sulung kami tu hauskan susu. Terpaksalah bapa mithali ini (hehehe - siapa lagi nak puji?) bangkit membuatkan susu untuknya. Saya pandang hanset saya. Hmmm ada SMS. Seorang teman yang baru menyudahkan novel keempatnya menghantar mesej kepada saya sebaik sejurus perjuangan sukarnya itu selesai. Saya mulai sukar melelapkan mata selepas itu. Mahu ke PC, tapi tubuh terasa longlai. Esok sekolah, kata hati. Akhirnya saya sambung lena dan novel dalam pembikinan saya itu sekali lagi gagal diteruskan.

Siang tadi, teman saya itu menghubungi saya lagi. Kali ini, mengulangi janjinya – mahu membawa saya menemaninya bertemu penerbit. Dia mahu menyerahkan manuskrip novelnya yang baru sudah itu. Pujangga Seni Z-rul, mudah-mudahan anda berjaya!

Dalam Berita Harian yang saya baca semasa makan tadi, Amien Rais mengumumkan Siswono sebagai regunya untuk bertanding jawatan presiden Indonesia. Lekas saya teringat cerpen saya yang baru dua fragmen saya sisipkan di entri minggu lepas. Begini ceritera seterusnya…

Pacar apakah namanya jika sering membiarkan kekasihnya kesepian? Kala cinta semakin bersemarak dalam jiwa, dia semakin payah kutemui. Ada saja halangan di pertengahan yang membikin aku terasa benar-benar orang asing. Tatkala ekonomi semakin meruncing, apakah harus hubungan yang baru bertunas ini menerima nasib yang serupa?

Saya agak terkejut. Rasa gembira dan tidak sabar turut bercampur
baur. Terkejut kerana mukadimahnya yang sedemikian rupa. Gembira kerana
sudah lama tidak menerima perutusan daripadanya. Dan tidak sabar untuk
mengetahui perkembangan mutakhir dirinya.

Mustika!
Terbayang di mata kala itu wajahnya yang manis. Lembut dan menawan. Dia sahabat yang paling akrab tatkala saya masih di bangku persekolahan empat tahun yang lampau. Kami ibarat isi dan kuku yang
sukar diceraikan, namun takdir telah menentukan bahawa kami akan
terpisah jauh. Saya terlempar ke Dataran Syam demi meneruskan pengajian
dalam Bahasa Arab, sedang dia terbang menyeberangi Selat Melaka dan Laut Jawa untuk mendalami bidang kesusasteraannya di Universitas Nasional Indonesia.

Saya membaca terus.

Ijah, dia lelaki paling hebat pernah kutemui. Ketara, Mustaqim
Gunawan Hatta itu tidak seperti lelaki lain. Hidupnya penuh dengan
perjuangan. Seorang pemimpin pelajar yang berjiwa besar, digilai oleh
sekian ramai gadis yang menuntut di universiti ini. Lantas, bagaimana
aku bisa percaya bila dia menyatakan minatnya terhadapku gadis Melayu
Malaysia yang tidak punya apa-apa kelebihan selain rasa rendah diri dan
malu yang berpanjangan?

Sebetulnya aku segan mahu menceritakan segalanya kepadamu,
lebih-lebih lagi bercakap soal lelaki dan pacaran. Maklum, engkau
pelajar Timur Tengah yang pastinya terpelihara pergaulannya berbanding
kami di sini yang agak terbuka. Dan semestinya engkau mengagumi sahsiah
lelaki pilihanmu yang alim lagi warak. Beriltizam dengan jemaah Islam
ikutanmu. Namun percayalah tudungku masih labuh seperti dahulu. Suasana
sosial dan liberal di sini belum berjaya merubah aku sepenuhnya. Dan
jejaka kelahiran Sukamandi yang akhir-akhir ini menjadi inspirasiku itu
sememangnya islamik. Punya hubungan rapat dengan Amien Rais tokoh Islam
yang dihormati itu. Dan dia amat mengagumi tokoh-tokoh ulama nusantara
yang terdahulu, termasuk tokoh-tokoh di negara kita Tanah Melayu seperti Syeikh Mohd .Tahir Jalaluddin, Sayid Syeikh Al-Hadi, Prof. Zulkifli Muhammad, Dr.Burhanuddin Al-Helmy, dan Abu Bakar al-Baqir. Malah dia teramat mengagumi HAMKA ulama nusanya yang terkenal itu. Engkau tahu apa kata-kata HAMKA yang dititipkannya padaku.
Titik.

1 komentar:

Tanpa Nama,  5:11 PTG  

Very cool design! Useful information. Go on!
» » »

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP