Sabtu, Mei 22, 2004

Malas pula nak menulis blog. Justeru, saya teruskan cerpen saya minggu lepas...

Dia berhenti di situ. Saya menggetap bibir. Geram, biarpun sudahterbiasa dengan kelazimannya menamatkan perutusan secara tergantung.
Sikap Ika itu sudah amat saya fahami. Katanya, biar saya senantiasa
tertunggu-tunggu, dan kami akan terus berhubungan selalu.

Ika memang berbakat dalam penulisan. Justeru, jurusan yang diambilnya
adalah Sastera Melayu. Lantaran itu saya tidak pelik membaca
perutusannya yang sedemikian menarik. Kata-kata tersusun cantik ditambah dengan keindahan bahasa dan gaya bahasa yang memukau.
Persahabatan yang terlalu erat membuatkan kami saling rindu-rinduan.
Biarpun terpisah jauh, tetapi titipan warkah di antara kami tidak pernah putus.

Jelasnya, dengan teknologi maklumat yang semakin pesat, kami
turut terkesan; untuk berhubung terus melalui jaringan komputer, tidak
lagi menerusi kertas. Namun, akhir-akhir ini sahaja, Ika seakan-akan
terkena kejutan. Hampir sebulan setengah saya tidak menerima sebarang
berita darinya. Mungkin seperti yang disifatkannya dalam perutusan
e-mail terdahulu. Demam 'cinta' sedang melanda!

Saya tidak tahu banyak tentang Mustaqim. Namanya memang enak didengar.
Pastinya lelaki itu berperibadi murni.Kalau tidak masakan Ika pun turut
tergila-gila! Ada juga rasa kurang senang sekiranya Ika memilih jejaka
seberang. Tetapi memikirkan jodoh pertemuan di tangan Tuhan, saya
biarkan keadaan menentukan. Mustaqim katanya lelaki baik. Punya karisma
dan kaliber selaku pimpinan pelajar di sana. Wibawanya, kata Ika amat
mengagumkan. Pemimpin setiap piket, pidato, dan demonstrasi terhadap
kerajaan. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini kala ekonomi Indonesia
sedang menjunam teruk.

Menurut Ika, mereka bertemu kala demonstrasi setelah beberapa bank di negara itu tumbang gara-gara IMF. Pertemuan yang tidak disengajakan barangkali. Selebihnya saya tidak tahu.

Sesudah lima hari, saya menerima lagi perutusan di monitor komputer.
Kuharap khabarmu masih waras seperti lima hari yang lalu.

Ijah,
semalam kutemui lelaki itu kala hujan turun rintik-rintik. 4 Mei 1998 adalah tarikh yang takkan kulupa. Di mana-mana ada berlakunya demonstrasi dan rusuhan. Kalau bulan lepas di Jakarta, Surabaya dan Yogyakarta, kali ini melarat ke Medan dan Bandung. Faktornya, kenaikan harga barang yang melampau. Manusia berarak di jalan raya, bertempur dengan ABRI sekutu Suharto, dan memecahkan bangunan. Terlalu banyak peristiwa yang tidak mampu aku ceritakan. Orang sudah jadi gila.
Namun kala manusia merusuh, rupanya jiwa kami turut sama merusuh. Aku
sungguh tidak mampu menolak kehadirannya dalam hidupku. Demikian juga
dirinya. Pertemuan dalam demonstrasi di depan gerbang kampus itu sejarah buat kami.

Dan 4 Mei, tarikh yang sukar kulupa. Semalam, sewaktu aku pulang dari kampus, kala mentari bersinar rakus, Mustaqim bersama seorang wanita menahanku. Mustaqim memperkenalkannya padaku. Dia ibu lelaki itu! Aku malu amat bila Mustaqim berterus-terang sahaja di depan ibunya tentangku. Mahu saja kusorok mukaku ini di dalam kerudung! Ibunya
peramah, Ijah. Seorang pensyarah dan nampak islamik seperti anaknya.
Kami berbual-bual seketika sebelum mereka meminta diri. Memang lelaki
itu tidak punya masa. Dia memberikan sekeping kartu buatku.
Engkau mahu tahu apa yang tertulis di kartu itu? Kata-kata HAMKA itu
rupanya diulang lagi!

"Di mana berdirinya seorang pria yang berjaya, maka di sisinya ada
seorang wanita yang menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran
semangat!
Ika, maafkan aku dan fahamilah diriku. Benarlah kata Hassan al-Banna:
Tugasan itu lebih banyak daripada waktu. Namun aku tetap mengingatimu!"

Itulah yang ditulis oleh jejaka itu. Titik.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP