Khamis, Mei 27, 2004

+
Sebenarnya baru seminggu saya menerima novel Tunggu Teduh Dulu oleh Faisal Tehrani yang saya pesan/beli melalui pos. Novel Faisal yang mana pula tu? Alah, yang keluar secara bersiri di ruangan Agama Utusan Malaysia (Isnin-Rabu) mulai 1 Mac sehingga 31 Disember tahun lepas. Tebalnya cecah 700 lebih muka surat. Harganya, Subhanallah. Selepas novel IMAM, rasanya tidak pernah saya beli novel Melayu semahal itu. RM49.90 (termasuk belanja pos). Di dalamnya ada tulisan tangan beliau, tapi tanpa tanda tangan. Anda boleh lihat promosinya di www.se-lain.com.

Apapun, saya puas hati beli. Ia antara novel terbaik Faisal. Dengarnya, SN Shahnon Ahmad dan SN Abdullah Hussain pun mengikuti dan memuji novel TTD itu. Watak utamanya Salsabila Fahim dan sudut pandangannya menggunakan sisi orang pertama (saya).

Sementara novel terbaru Faisal yang menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 minggu lepas berjudul 1511H (Kombat) belum saya dapati. Sabtu atau Ahad ini saya ke PWTC, dan akan mendapatkan autograf Faisal berserta novel itu. Kalau ada rezeki mungkin kita akan menemui beliau di booth Kumpulan Utusan sedang sign novel-novel peminatnya macam pada hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa tahun lepas. Berkenaan novel barunya yang dikatakan berkesinambungan dengan 1515 kita boleh lihat di http://1511-kombat.tripod.com

Seperti tahun lepas, tahun ini RTM mengundang lagi pemenang-pemenang novel remaja Hadiah Sastera Utusan ke Selamat Pagi Malaysia. (Ya Allah, saya masih teringat situasi saya menjawab soalan si Norazli tanpa apa-apa persiapan sebelum itu secara langsung di TV1. Kelakar juga. Di kantin sekolah dan bilik rehat asrama, penuh para pelajar menonton guru mereka masuk TV. Tapi pengetua saya ketika itu, tetap mahu mengadakan mesyuarat guru dan menyebabkan guru-guru lain berasa ralat tidak dapat menonton siaran langsung SPM pagi itu. Pulang dari KL, pada minggu depannya, saya menerima surat tunjuk sebab daripada pengetua - mengapa tidak hadir mesyuarat - walhal saya sudah memaklumkannya.) Jadi waktunya macam dulu juga. Pagi Sabtu, jam 8.10 pagi. Minggu ini khabarnya giliran Siti Jasmina Ibrahim, pemenang tempat ketiga.

-
FC Porto akhirnya berjaya mengulangi kejayaan 1987 mereka dengan menjuarai Piala Eropah apabila menewaskan AS Monaco 3-0 di Arena Auf Schalke, Gelsenkirchen. Jose Maurinho yang membawa 5 gelaran untuk Porto dalam masa dua setangah tahun meletakkan jawatannya sebagai pengurus sebaik mengecapi kejayaan itu dan memilih untuk ke Chelsea.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP