Jumaat, Jun 04, 2004

SEGAMAT-BANGI-KL-BATU PAHAT
Saya ke Bandar Baru Bangi petang Jumaat.
Sabtu. Pagi berkejar dengan komuter ke KL. Hmm, dapat ikuti Wacana Novel Remaja Utusan anjuran UPND. Ramai juga penulis yang datang seperti Faisal, Kak Nisah, Kak Zati, Nazmi, Siti Jasmina, Ashadi (Petai) dan lain-lain.

Macam biasa, pengendalinya siapa lagi kalau bukan editor berpengalaman, Kak Azah. Suatu masa dulu, Hizairi dan Dr. Othman Puteh yang menjadi pembimbing, kini tinggal En. Saleeh Rahamad sahaja. Macam-macam yang dikupas dalam wacana yang akhirnya bubar pada jam 5 suku petang. Soal bahasa, tema, teknik, dan lain-lain termasuklah editing. Ramai juga penulis geleng kepala melihat heavy editing yang dilakukan Kak Azah sepanjang menangani novel-novel yang bertanding setiap tahun. Dahsyat sungguh! Siapa yang dating hari itu, tahulah. Tabik spring untuk Kak Azah!

Lepas bengkel, berkejar ke PWTC bersama Faisal dan Khairul Nizam Raub. Ronda Pesta Buku untuk pusingan pertama. Nampak juga Kak Sri Diah tapi segan nak tegur. Jalan-jalan dengan Nazmi, sembang-sembang dengan Norzailina Nordin di booth Alaf21 dan disudahi dengan makan malam di The Mall.

Ahad. Ronda sekali lagi dengan orang rumah. Ramainya manusia. Sekali lagi jumpa Nazmi, Faisal dan Salina Ibrahim.

Isnin. Hajat asal nak ke rumah Kak Aminah Mokhtar di Cheras tapi tersalah maklumat pula. Kesian Kak Min menanti dari pagi. Saya ingatkan dia tak dapat MC. Langsung kami pulang ke Batu Pahat.


1511H (KOMBAT)
Usai membaca 1511H (Kombat) petang tadi. Kepuasan meresap terus-terusan. Jarang sekali saya habiskan novel yang tebalnya kira-kira dua inci selekas ini. Paling pantas seminggu, tapi 1511H cuma 2 hari. Dan saya langsung tidak mengantuk ketika menelaahnya. Berbeza sekali ketika saya membaca 1515 yang bagi saya agak lambat temponya (mengundang kantuk) pada suku pertama.

Bagaimanapun jika mahu dibandingkan dengan 1515, secara peribadi, kita harus akui, masing-masing ada kelebihan. Jadi saya senaraikan kekuatan Kombat yang merebut hadiah RM6000 ini secara rambangnya:

Pertama, tema perjuangan Islaminya sangat kuat dan tepu dengan unsur jihad, sufi, dan tauhid. 1511H agak sarat dengan sirah, hadis, firman dan syair sufi tapi diletakkan di tempat yang wajar dan tidak seperti menunjuk-menujuk. Sebagai graduan syariah UM dan sarjana sastera Islam, pastinya Faisal dapat mengeksploitasi ilmunya dalam menangani novel remaja politik Islam ini. Juga, tidak ramai saya fikir penulis sepeka beliau dalam meladeni isu Islam, Yahudi, Zionis, Amerika dan pergolakan politik antarabangsa. Dalam 1511H, Faisal menelanjangkan Yahudi dan hujahannya terasa seakan mampu menguja semangat pejuang-pejuang Islam yang yakin dengan janji-janji-Nya.

Dari aspek watak, Faisal sama sekali keluar dari paradigma watak-watak pejuang yang selalunya agak bersifat retorik dan kurang meyakinkan. Protagonisnya ditugaskan memikul senjata dan menjadi pemimpin umat Islam. Falsafah futuwwah kelihatan mengikat alaqah segala watak yang tergolong dalam Sidang Komandernya dan menjadi tunjang kepada novel ini.

Apapun, Faisal masih menggunakan teknik konvensional yang tidak memeningkan pembaca tatkala bercerita berbanding teknik jungkir balik dalam 1515.Bahasanya juga lincah dan bertenaga. Tempo novel ini agak laju terutama ketika di medan tempur. Ini wajar memandangkan perang dalam 1511 ini relatif singkat - menjadi faktor saya langsung tidak diusik kantuk semasa menikmatinya.

Ulasan saya ini spontan. Mungkin ada yang tidak berapa kena dan tidak saya sentuh. Selebihnya, saya tidak mau membunuh tanda tanya/minat pembeli yang akan mencari novel ini. Namun,novel 1511H ini memang harus dibeli kerana ia adalah hadiah kepada pejuang-pejuang Islam. Selamat membaca.

Inilah cover nya...

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP