Isnin, Julai 19, 2004

ALAHAI Islam Hadhari ...
Saya ke Kursus Khas Guru Pendidikan Islam 2004 di Hotel Seri Malaysia Mersing baru-baru ini. Daurah bermula 13 Julai dan berakhir sebelum Jumaat 16 Julai 2004. Tujuan kerajaan mewajibkan kursus ini sebenarnya untuk memahamkan para ustaz/ustazah berkenaan Islam Hadhari dan beberapa isu lagi macam KMM,JI dan yang sewaktu dengannya. Satu yang perlu disebutkan, isu Memali tidak termasuk dan tidak lagi berani ditampilkan kerana pihak kerajaan tiada jawapan.

Saya tak berminat untuk turut serta, sekadar menadah telinga untuk mendengar tetapi mata dan hati ralit menelaah Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani. Baru kini ada kesempatan bagi saya meladeni hasrat menikmati naskhah yang agak hebat itu. Buku semahal TTD seharusnya saya ladeni dengan perlahan-lahan, hati-hati dan penuh khusyuk. Barulah terasa lazatnya.

Kadang-kadang terdetik rasa kasihan melihatkan JU (Jurulatih Utama) yang cuba menerangkan tentang Islam Hadhari? Dia faham ke apa yang dia cakapkan dan jelaskan tu? Begitu juga dengan guru-guru yang bercakap dentum-dentam dalam sesi pembentangan, nampak sangat mereka tak fahami istilah Islam Hadhari itu sendiri. Dalam hati saya, ada ke sebelum ini Islam Badawi (lawan kepada Hadhari) sedangkan Islam itu syumul dan bisa dipakai baik pada zaman Nabi Adam sehinggalah hari Kiamat nanti. Tidak selayaknya bagi kita sebagai muslim, melabelkan Islam itu ada yang moden, bertamadun, berperadaban, ketinggalan dsb. Kalau mulai 2004 Pak Lah melancarkan Islam Hadhari, habis sebelum ini (tahun 2003 dan sebelumnya dan sebelumnya) adakah Islam kita tak sempurna dan kurang sesuai untuk berhadapan dengan era globalisasi? Alahai, nak cari istilah biarlah betul! Jangan main cekup dan ikut sedap bunyi dalam Bahasa Arab sahaja sedangkan maknanya menyimpang jauh dan tak sesuai langsung.

Kalimah Hadhari agak sesuai jika kita padankan dengan kalimah masyarakat atau negara. Contohnya, Masyarakat Hadhari (ingat lagi istilah Masyarakat Madani yang dipelopori oleh DSAI dulu). Barulah tepat. Islam itu universal, kamil serba serbi.

Maaflah ya. Saya tetap menganggap Islam Hadhari itu kosmetik sahaja, sama dengan penerapan nilai-nilai Islam yang dilancarkan oleh Dr. Mahathir pada 80-an dulu. Saya langsung tidak terlibat dalam sesi soal jawab yang dibuka untuk peserta walhal saya memang gemar bertanya dalam sebarang daurah yang saya hadiri semasa studi dulu. Saya ketawa bila ada perkara melucukan dan sesekali berminat dengan anekdot yang terselit dalam ceramah.

Selebihnya saya tersenyum bila mana terasa enak menikmati Tunggu Teduh Dulu yang saya kira agak berjaya dari aspek tauhid, akhlak, dan ekonomi. Faisal begitu tenang dalam menulis novel ini, saya fikir. Ini dapat dirasakan tatkala saya menemui sekian banyak mutiara kata dan keindahan bahasa selain kematangannya mengawal tempo menyusun plot lantas menyuntik rasa tidak sabar kepada pembaca untuk melanjutkan pembacaan di perenggan seterusnya. Saya terasa ingin mengulas novel ini, juga 1515H (Kombat) yang seakan dekat dan paralel dengan isu-isu yang saya tulis dalam novel-novel saya sebelum ini. Entah bila, kiranya ada masa.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP