Isnin, Julai 05, 2004

Demikian EURO2004. Berakhir dengan situasi membosankan. Sesuatu di luar duga yang menyebabkan kita terasa bola sepak telah kembali ke zaman awal 70-an. Tiada yang menarik dalam Euro kali ini selain pertemuan sengit Czech-Belanda dan Portugal-England. Yang lain, mutunya sederhana malah kadangkala mencapai tahap menyedihkan.

Bukan kecewa dengan kekalahan 0-1 Portugal di final kepada Greece (saya penyokong Belanda&Liverpool), tetapi berasa permainan menarik dan berseni yang mahu ditonton dibalas dengan aksi hambar dan longgar.

Pujian harus diberikan kepada Otto Rehhagel yang membawa Greece memenangi trofi pertamanya (dan terakhir bagi negara itu). Mereka memang layak menang kerana aksi Portugal sangat miskin dan tidak tahu bagaimana mahu bermain dengan pasukan yang defensif dan memiliki serangan balas hebat itu. Saya melihat kesilapan Scholari bermula daripada aspek pemilihan pemain dalam final. Big Phil telah menurunkan Pauleta yang jelas tumpul dan belum dapat menjaringkan gol sepanjang Euro berlangsung. Sepatutnya Nuno Gomes atau Postiga yang harus diturunkan atau digandingkan untuk memecah 5 pemain pertahanan lawan.

Mengambil risiko seperti Belanda yang menurunkan striker tunggal, Portugal ternyata hanya mampu membuat percubaan dari luar kotak penalti yang tidak efektif. Ditambah dengan kealpaan benteng mereka ketika sepakan sudut, Angelo Charisteas menghukum tuan rumah dengan tandukan kencang seperti yang dialami oleh juara bertahan,Perancis.

Walaupun Greece menang tetapi rasanya pencinta
bola sepak dunia mencela aksi pasukan itu yang mengamalkan permainan tertutup dan mengharapkan serang balas serta set-pieces sahaja (Brazil juga dicemuh selepas memenangi Piala Dunia kali kelima kerana aksi yang membosankan sepanjang kejohanan di Jepun dan Korea Selatan). Ia cukup mengingatkan saya kepada corak permainan Jerman Barat sewaktu mengalahkan Belanda yang memperkenalkan total football dalam final Piala Dunia 1974. Begitu Jerman, begitulah Greece. Kebetulan Rehhagel berasal dari Jerman dan itulah corak yg diterapkan ke dalam pasukan Yunani itu. Sebaik sahaja Jerman Barat yang ketika itu diketuai Franz Beckenbauer mendahului Belanda 2-1 di separuh masa pertama, mereka bertahan sehinggalah ke akhirnya. Dan mereka bergelar juara dunia dengan persembahan/permainan yang sangat membosankan. Tidak ubah seperti permainan Greece pagi tadi.

Walaupun Greece banyak membuat kejutan dan mutu bola sepaknya meningkat, tetapi secara umumnya mutu kejohanan Euro menurun dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan-pasukan pilihan. Ini berpunca daripada kebanyakan pasukan yang memilih bermain defensif seperti yang pernah terjadi pada awal 90-an. Hinggakan Piala Dunia 90 dan 94 dianggap dua kejohanan yang membosankan kerana corak bertahan
para pasukan dan makin kurangnya gol yang dihasilkan.
(Dalam Piala Dunia 1990 di Itali, jumlah gol yang dijaringkan makin berkurangan disebabkan faktor ini lantas memaksa FIFA mengharamkan penjaga gol menyentuh bola hasil hantaran ke belakang dengan menggunakan tangan bermula pada Euro 92).

Apapun, secara keseluruhannya saya memilih pasukan Republik Czech sebagai pasukan paling menghiburkan, di samping Belanda dan Portugal berada di tangga kedua. Hanya nasib yang memisahkan Czech dari final.

Sementara pemain-pemain yang saya fikir terbaik dan
meronai kejohanan ini seperti Ronaldo, Deco dan Maniche(Por),Robben dan Nistelrooy (Ned), Nedved,Baros,Heinze(Czech), Rooney dan Lampard (Eng) dan juga Charisteas serta Zagorakis (Gre). Inilah pemain-pemain yg menonjol dan menjadi tunjang kebangkitan pasukan mereka. Yang lain-lain beraksi di tahap memuaskan dan sederhana.



0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP