Sabtu, Julai 31, 2004

KONSERT SURE HEBOH HARAM!

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Tokoh agama menyifatkan hiburan yang melalaikan seperti konsert 'Sure Heboh' adalah haram dan bertentangan dengan Islam.

Bekas Mufti Negeri Selangor, Dato' Ishak Baharom menegaskan, menurut Islam apa juga perkara yang boleh melalaikan dan melekakan adalah bertentangan dengan syarak.

"Walaupun ada sedikit baiknya, tetapi buruknya banyak berkait dengan moral dan campur gaul di kalangan bukan muhrim,hukumnya tetap haram," ujarnya.

Beliau turut bersetuju dengan pendapat Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani Zakaria yang menyatakan konsert 'Sure Heboh" anjuran TV3 adalah haram kerana program itu melalaikan.

Ujar Ustaz Ishak lagi, program seperti 'Sure Heboh' dilihat banyak menyumbang kepada gejala keruntuhan moral di samping perbuatan itu bukanlah selari dengan akidah Islam itu sendiri.

"Mereka yang hadir dan menganjurkan bukan sekadar leka tetapi menggalakkan unsur-unsur maksiat di kalangan masyarakat," tegasnya lagi.

"Pemimpin kita gah menyatakan Malaysia sebuah negara Islam, tetapi perkara yang berbaur maksiat terus disuburkan di kalangan rakyat," tambahnya.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan dan pihak terbabit menghentikan segera penganjuran konsert 'Sure Heboh' dan program hiburan yang lain yang jelas haram di sisi Islam.

Sementara itu, Ustaz Harussani dalam rancangan 'Menjawab Soalan Agama' siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ipoh pada pagi tadi berkata, persembahan hiburan 'Sure Heboh' adalah haram dan diwajibkan diberhentikan segera.

"Pada saya 'Sure Heboh' ini adalah suatu perkara yang tidak baik kerana ianya melalaikan orang. Maka perbuatan melalaikan orang itu hukumnya haram," ujarnya ketika menjawab soalan pemanggil sewaktu siaran langsung itu.

Ujar Ustaz Harussani lagi, mereka yang menghadiri rancangan 'Sure Heboh' itu terdiri dari kalangan remaja Melayu yang beragama Islam.

Tambahnya, mereka yang hadir tentulah akan berseronok dari sebelum Maghrib lagi hinggalah ke lewat malam, malah ada yang meneruskan aktiviti lain selepas konsert itu seperti melepak hingga ke Subuh.

Selain itu, beliau turut mengulangi kenyataan bahawa Pejabat Mufti Negeri Perak telah membuat laporan membantah pihak terbabit yang menganjurkan program 'Malaysian Idol', 'Akademi Fantasia' dan Persembahan Bakat Warga Emas.

"Semua program hiburan seumpama itu adalah perbuatan yang membuang masa dan melalaikan termasuklah melemahkan tumpuan pelajar terhadap pendidikan mereka," ujarnya.

Katanya lagi, sejajar dengan kenyataan Malaysia Negara Islam kerajaan perlu menghapuskan program-program yang melalaikan yang bertentangan dengan Islam.

Konsert 'Sure Heboh' anjuran TV3 yang telah menjelajah hampir seluruh negara kini akan mengadakan kemuncak acaranya di Stadium Bukit Jalil daripada 30 Julai sehingga 1 Ogos ini.

Sebelum ini, penganjurannya telah mendapat pelbagai tentangan daripada masyarakat dan tokoh agama kerana pengisian program yang dibawa mengandungi pelbagai acara hiburan yang melalaikan

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP