Jumaat, Julai 02, 2004

Semi Final Euro 2004

Por v Ned
Belanda terkeluar setelah tewas 1-2 dalam aksi seimbang ketika bertemu Portugal. Penguasaan bola memang memihak kepada Orange tetapi bola sepak adalah gol. Dan The Orange tewas kerana dua kesilapan asas - tidak mengawal pemain lawan ketika sepakan sudut. Namun saya tetap melihat kesilapan Marc Overmars yang merembat volley melepasi palang seminit selepas gol C.Ronaldo. Dia sewajarnya mengawal dulu bola itu kerana langsung tiada sebarang asakan ke atasnya sedang pintu gol ternganga luas.

Dengan aksi yang saya akui sangat sederhana, pasukan ini tidak boleh dibandingkan dengan pasukan Euro 2000 yang tewas penalti apalagi pasukan trio 88 yang dibarisi van Basten, Gullit dan Rijkaard. Apapun, rasanya skuad kali ini lebih baik daripada Perancis, England, Sepanyol, Itali dan Jerman yang hanya gah pada nama tetapi awal-awal lagi gulung tikar.

R.Czech v Greece
Satu tragedi pula saya kira apabila Czech tersingkir dengan silver goal pada perlawanan awal pagi tadi. Inilah kali pertama Czech melepaskan gol menerusi sepakan sudut sejak 3 tahun. Mungkin mereka terlalu yakin sebelum ini, ditambah kecederaan Nedved, menatijahkan kekalahan luar duga.

Begitulah. Kadangkala, taktiklah yang akan memusnahkan bola sepak. Ia hampir sama bila mana Itali mengalahkan Belanda dengan sepakan penalti pada semi Euro 2000 setelah bertahan sepanjang perlawanan. Bezanya, Greece tidaklah sepasif Itali yang hanya tahu menyepak bola keluar, menjatuhkan pemain dan merosakkan rentak lawan. Mereka memiliki serangan balas yang pantas, membahayakan dan amat berkesan. Yang jelas, Greece persis pasukan Jerman suatu waktu dahulu - memiliki para pemain bertubuh tinggi dan tegap, bermain penuh taktikal, marking yang sangat ketat, punya serangan balas yang efektif, dan mampu merosakkan rentak permainan lawan.

Portugal v Greece
Ahad ini? Ia final yang bukan impian. Namun Portugal tetap menjadi pilihan (saya lebih senang dengan aksi Deco dan Gomes berbanding Figo dan Pauleta) sebagai juara dan menyelamatkan keindahan bola sepak kerana Greece bukanlah seperti Denmark pada 1992 yang bukan sekadar menjadi juara tetapi pasukan yang memiliki barisan berbakat, bermain agak terbuka dan menghiburkan. Greece bagi saya membosankan. Lalu kita berharap pasukan yang bermain menarik dan terbuka berjaya menjulang trofi Henry Delaunay.

Petang ini kami akan ke Lis Na Re Beach Resort, Sg. Ular, Kuantan. Ada Hari Keluarga bilik guru SMKAS. Moga perjalanan menyeronokkan.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP