Selasa, Ogos 03, 2004

ANTARA ESRA&EMINE,ERDOGAN&POLATKAN

Barangkali ada yang membaca ceraian Perspektif dalam Berita Minggu kira-kira dua minggu lalu. Muka belakangnya menampilkan rencana berkenaan perkahwinan Esra Erdogan dengan Berat ALBayrak. Di sisi artikel itu, turut terpampang gambar Esra dan pasangannya di samping pemimpin-pemimpin dunia yang menghadiri majlis perkahwinan anak gadis PM Turki itu. Dan kelihatan juga gambar Esra yang bergaun pengantin dan bertudung litup tersenyum intim di sisi suaminya.

Barangkali ia berita biasa bagi orang lain, tetapi bagi saya ia sesuatu yang tidak terjangkakan. Sebelum membacanya, saya tidak pernah tahu yang Erdogan punya anak gadis berdarah juang sepertinya. Ia memadai untuk mengusung saya kembali kepada novel kedua saya, Rona Bosphorus (RB). Esra cukup mengingatkan saya kepada watak Emine. Ya, Emine anak gadis Reccep Mecit Polatkan, Datuk Bandar Istanbul yang sangat meminati protagonis Afham.

Sesungguhnya saya secara peribadi mengakui betapa saya mencipta watak Emine bagi menyuntik elemen bangsa Turki yang mahu kembali kepada Islam tanpa mengetahui PM Turki sekarang memiliki anak gadis sebayanya. Saya juga tanpa sengaja menghantar watak Emine ke demonstrasi bagi membantah penangkapan bapanya (Polatkan) yang tidak bersalah kerana membela Islam tanpa menyedari Esra juga terlibat dengan aktiviti sedemikian bagi menegakkan perjuangan hijab di sana dan mendukung perjuangan bapanya (Erdogan).

Namun, saya memang sengaja mengirim watak Reccep Mecit Polatkan sebagai Datuk Bandar Istanbul bersandarkan peribadi sebenar Reccep Tayyib Erdogan (PM Turki sekarang) yang juga mantan Datuk Bandar Istanbul yang sangat disayangi penduduk ibu kota itu kira-kira sedekad yang lalu. Bagi pembaca yang prihatin dan peka dengan politik Islam di Turki pastinya perasan betapa hukuman penjara yang terpaksa dilalui oleh Erdogan (bapa Esra) kerana membaca puisi yang diklasifikasikan berbau menghasut turut dirasai oleh klonnya, Polatkan (bapa Emine) dalam RB.

Demikian satu kebetulan yang telah ditakdirkan Tuhan yang tidak terjangkakan!





0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP