Khamis, Ogos 12, 2004

Berita ini dipetik dari Harakahdaily semalam. (Bukan sengaja direka-reka penulis apalagi mahu meremehkan kecenderungan sesiapa).

11 Ogos (Harakah) - Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan senario titisan air mata di kalangan peserta Akademi Fantasia (AF) hanyalah satu lakonan yang digerakkan oleh penganjur program bagi mengaut duit rakyat melalui kaedah undian sistem pesanan ringkas (SMS).

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata pihaknya mendapat maklumat bahawa pihak penganjur program sengaja mewujudkan situasi itu bagi membolehkan penonton yang meminati seseorang peserta, mengundi peserta tersebut agar tidak terkeluar daripada pertandingan.

"Mereka ini sudah merancang siapa yang akan tersingkir, siapa yang akan masuk semula untuk membuai perasaan penonton supaya berusaha memberi undi kepada peserta pujaan mereka," ujarnya.

Katanya, dengan menggunakan khidmat pengundian melalui SMS, seseorang penonton akan berusaha mengundi seberapa banyak kepada peserta kegemaran bagi mengelak daripada tersingkir. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai senario ‘kelam-kabut’ masyarakat akibat penganjuran program Akademi Fantasia dan rancangan yang seumpama itu mutakhir ini.

"Ada juga keadaan yang mereka buat dengan sengaja mengeluarkan peserta yang dikenal pasti diminati ramai dan mewujudkan pengundian semula bagi peserta yang tersingkir untuk menyertai semula pertandingan," katanya lagi.

"Mereka sengaja menggunakan bakat dan ketrampilan peserta untuk mewujudkan sensitiviti di kalangan penonton terutamanya remaja supaya simpati dan mengundi peserta kegemaran."

Katanya, pihaknya berani mendedahkan kepada sesiapa sahaja berhubung perkara itu. Justeru katanya, Pemuda PAS meminta pihak terbabit yang menganjurkan pertandingan itu dan seumpamanya menghentikan segera tindakan mengaut keuntungan melalui SMS.

Menurut Mazlan, mutakhir ini rakyat tidak lagi sensitif terhadap isu penindasan ke atas umat Islam dan isu memperlekehkan agama. "Mereka lebih rela menangis kerana sayangkan maksiat daripada menangis cintakan akhirat," ujarnya lagi.

Sementara itu seorang pensyarah Pengajian Islam di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), yang mahu dikenali sebagai Mohammed Abdullah berkata, fenomena menangis di kalangan peserta dan penonton Akademi Fantasia memperlihatkan kebejatan tingkah laku remaja Malaysia terutamanya mereka yang beragama Islam. Katanya, kecenderungan peserta Akademi Fantasia menangis kerana tersingkir daripada pertandingan memberi contoh yang buruk kepada remaja yang lain sekali gus menyemai contoh cintakan hiburan di kalangan masyarakat.

"Mengapa mesti menangis kerana tersingkir daripada Akademi Fantasia, sedangkan kita begitu sukar menangis jika terlepas waktu solat atau menyesali melakukan dosa," katanya ketika ditemui Harakahdaily di rumahnya malam tadi.

Katanya, perbuatan menangis dan sedih itu memberi kesan kepada penonton kerana naluri manusia terutamanya remaja meniru segala perbuatan individu yang menjadi pujaan mereka. Katanya lagi, tidak dinafikan kesan daripada penganjuran program seumpama Akademi Fantasia mengakibatkan remaja hari ini meniru gaya peserta yang bertanding dalam program itu.

1 komentar:

Tanpa Nama,  10:58 PG  

Excellent, love it!
»

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP