Ahad, Ogos 29, 2004

-i-
BN menang majoriti lebih dua ribu di PR Kecil Kuala Berang semalam. Sikitnya. Rasa macam kurang berbaloi dengan kehadiran hampir semua MB&Ketua Menteri BN di sana. Patutnya menang lima ribu majoriti. Alahai, PAS yang dilayan buruk oleh SPR itu pun tak boleh dikalahkan dengan mudah. Lihat PAS; sambil bermuktamar, sambil berpilihan raya. Maknanya jentera mereka memang boleh diharap. Tak harapkan akhbar dan TV dan SPR (yang menyanjungi demokrasi terpimpin) pun tidak mengapa.

-ii-
Kursus selesai pagi Jumaat. Petangnya saya terus kembali ke Batu Pahat, ke kampung mentua. Anak dan isteri sudah menanti di sana. Pulang ke Segamat pula sore semalam setelah menghadiri walimah Yazed, kawan baik saya semasa di bangku persekolahan dulu di rumahnya di Tangkak.

Seminggu saya habiskan cuti dengan berkursus. Lebih tepat lagi memberi kursus di JB dan diberikan kursus di KL. Bermula Sabtu, 21 Ogos saya ditemukan semula dengan 11 orang calon penulis genre novel yang pernah mengikuti Bengkel Penulis Muda Johor V bagi genre novel anjuran Yayasan Warisan Johor pada Oktober tahun lepas. Kali ini mereka tampil dengan manuskrip masing-masing untuk dibedah dan dikomen secara terbuka oleh Mawar Shafei, Aminah Mokhtar, Saifullizan Tahir dan saya sendiri. Betapa beruntungnya penulis-penulis muda sekarang ini. Banyak rangsangan dan sokongan kerajaan dan agensi. Saya lekas terbayang masa mula-mula mahu menulis dulu. Siapa peduli!

Sukar juga saya kira menangani naskhah orang. Kata-kata sangat perlu dijaga; agar tiada hati yang terluka, tiada semngat yang terpadam. Saya juga membentangkan kertas kerja Manuskrip: Penyediaan dan Penyemakan hasil kutipan pengalaman saya beberapa kali berbengkel dengan editor makro Utusan, Nor Azah Abd Aziz.

Slot itu kami kira penting memandangkan ada penulis yang tidak rinci dalam aspek ini. Manuskrip yang dihantar kepada editor (yang juga merungut) tidak memenuhi ciri-ciri profesional. Ini mencerminkan peribadi pengarang yang kurang teliti dan ambil mudah.

Saya terpaksa permisi lebih awal tanpa menghadiri slot forum pada malam terakhir kerana mahu mengikuti Kursus Penulisan Berita pula di KL. Kak Mawar Shafei juga pulang lebih awal pada petang Ahad ke Kota Singa.

Isnin malam Selasa saya sudah berada di Hotel Brisdale dekat Chow Kit. Ini julung kali Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) mengadakan kursus kewartawanan untuk guru-guru SMKA. Adalah tujuannya tu. Pembimbingnya Mohd Fuad Razali, wartawan berpengalaman dari Berita Harian.

Saya tidak menyangka kursus yang asalnya saya pergi dengan separuh hati ini (kerana terpaksa mengorbankan cuti sekolah) menawarkan ilmu dan pengalaman menarik. Kami didedahkan teknik penulisan berita dengan cukup rinci dan kondusif serta dapat pula melawat Balai Berita 2 NSTP di Shah Alam dan menjenguk Balai Berita 1 di Jalan Riong. Malah sempat berdialog dengan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian, Hishamuddin Aun selama sejam.

Sempat juga bersuara: Kenapa musim Olimpik ni, seksinya atlit mengalahkan artis yang sedia seksi! Dan sekali lagi saya mendengar kalimat Demokrasi Terpimpin. Apapun, layanan pihak NSTP terhadap kami sangat memuaskan. Hishamuddin sanggup berdialog dan mengiringi kami ke tingkat 4, Berita Harian bagi menjelaskan operasinya.

Saya tercari-cari juga tempat teman baik, Nazmi Yaakub di Berita Harian. Sayangnya dia tiada. Ada tugasan Kembara Merdeka di Sarawak.

1 komentar:

Tanpa Nama,  7:37 PTG  

What a great site
» »

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP