Selasa, Ogos 10, 2004

i
Maafkan saya jika ada pengunjung yang kurang senang dengan kesimpulan saya terhadap AF semalam. Kita di negara demokrasi, sesiapa pun berhak bersuara. Dan demikianlah pandangan saya.
ii
Hampir setahun yang lalu, saya telah diwawancara secara maya oleh seorang pembaca/mahasiswa yang sedang menyiapkan kajian semester akhirnya. Saya kira tidak menjadi keberatan bagi beliau membenarkan saya menyiarkan wawancara kami itu di sini.

1. Apakah mesej yang ingin ustaz sampaikan kepada golongan mahasiswa dalam kedua-dua novel ustaz itu (Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus)?

Banyak mesej yang ingin saya sampaikan di dalam kedua-duanya, antaranya, saya mahu mencetuskan kesedaran remaja hari ini dengan isu semasa. Saya malah, mahu menghidupkan kepekaan mereka terhadap dunia global Islam yang lebih luas. Selain itu, saya juga berharap watak-watak utama dalam novel-novel saya dapat menjadi model yang baik kepada pembaca terutamanya yang masih remaja.

2.Apakah ciri-ciri yang ustaz rasa harus dimiliki oleh seorang mahasiswa yang ideal? Dan adakah ciri-ciri tersebut dimilik oleh Iqbal dan Afham?

Banyak ciri yang mesti dimiliki. Antaranya, kepekaan terhadap isu ummah itu sendiri yang menjadi pemangkin kepada kedua-dua novel saya. Ciri yang lain seperti sikap bertanggungjawab dan saling bekerjasama dalam amar makruf tanpa mengira bangsa. Mahasiswa yang ideal juga mestilah seorang yang taat suruhan Allah, tahu menjaga batas syariat- susila pergaulan, mencintai ilmu dan begitu memesrai buku.
Memang ciri-ciri tersebut saya titipkan menerusi watak Iqbal dan Afham. Mereka berdua sangat ideal untuk dijadikan remaja contoh dan saya mendapat respons yang memberangsangkan daripada pembaca tentang watak protagonis Iqbal dan Afham.

3. Dalam novel sesegar nailofar, dipaprkan tentang cinta antara Iqbal dan Salsabila. Iqbal berusia 23 tahun dan masih menuntut pelajaran. Adakah ustaz cuba menyatakan yang tidak mengapa mahasiswa bercinta semasa belajar? Apa pandangan ustaz mengenai perasaan cinta dikalangan mahasiswa? Tidakkah ia dianggap mengganggu? Adakah perlu bercinta semasa belajar, dan kalau perlu, bila masa yang sesuai?

Bagi saya cinta tidak menjadi soal, maksudnya tidak menjadi halangan untuk berjaya. Bukankah Hamka ada berkata, di belakang seorang pemuda yang berjaya, ada seorang wanita yang menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran semangat. Ramai pasangan ternama yang telah berjaya mengejar cita-cita dalam pada merebut cinta. Ringkasnya, bagi saya, mahasiswa yang telah bersedia dan matang boleh bercinta.
Cinta di kalangan mahasiswa juga tidak mengapa. Cinta itu fitrah. Dia akan datang pada sesiapa juga, tanpa mengira budak sekolah, mahasiswa, orang dewasa. Yang menjadi masalahnya, bila cinta penyebab kemerosotan pelajar dan menjadi pencetus pergaulan yang tidak mengkut syariat. Selalunya hubungan yang tidak menjaga batas syariatlah yang selalu menimbulkan masalah dan penyebab kemerosotan pelajaran. Kalau seseorang itu terganggu dengan bercinta, baik tidak usahlah berani-beranikan diri bermain api. Hanya mahasiswa yang telah bersedia dan matang boleh bercinta.
Sesiapa yang rasa cintanya datang masa sedang belajar, jika bersedia, terpulanglah kepadanya. Cinta juga tidak mengenal masa dan ruang. Orang yang matang akan bercinta untuk berkahwin. Lantaran itu, dia akan pastikan cinta dan cita-citanya berjalan seiring.

4. Apakah peranan sebenar mahasiswa pada hari ini?

Peranan sebenar mahasiswa ialah belajar. Tetapi jangan disempitkan pula definisi belajar itu. Belajar di sini bermaksud mahasiswa hendaklah mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira ruang dan masa sebagai persiapan untuk terjun ke dalam masyarakat bila dewasa kelak. Bila mencari ilmu tanpa mengira ruang dan masa, bermakna pembelajaran yang formal di kuliah dan yang tidak formal di luar hendaklah dikutip sekali. Hanya dengan kedua-dua pembelajaran ini sahajalah akan mewujudkan siswa yang ideal dan berkualiti tinggi. Menyentuh pembelajaran tidak formal, selain aktiviti kokurikulum dan berpersatuan, saya rasa sensitiviti siswa terhadap alam sekeliling dan isu kontemporari juga suatu sesi pembelajaran sebenarnya. Konklusinya, banyak lagi ilmu yang terdapat di luar dewan kuliah yang mesti dipelajari. Kata cerdik pandai, pengalaman adalah universiti kehidupan yang terbaik.

p/s: Interviu ini akan disambung pada entri seterusnya, insya-Allah.

1 komentar:

Tanpa Nama,  11:08 PTG  

Best regards from NY!
» »

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP