Rabu, Ogos 18, 2004

TIGA NARATIF SIMPATI

1. Seorang lelaki, saudara saya, lulusan al-Azhar dan peminat ceramahnya cecah ribuan orang. Dia sangat berhajat melaksanakan Islam Hadhari yang diwarwarkan kerajaan. Saya salut dia. Namun simpati saya terhadapnya akhir-akhir ini bila dengar dia merungut:
Macam mana nak laksana Islam Hadhari kalau konsert hiburan tiap minggu; dalam TV luar TV semua sama. Judi sana sini, dari atas gunung, masuk bawah laut sampai dalam TV. Mufti pun sekarang ni dinasihatkan supaya bersegera menyertai skim yang menawarkan insurans mulut.

2. Seorang wanita, juga saudara saya, sibuk bercakap soal Islam, keadilan Islam, hak-hak wanita Islam. Kadang-kadang saya lihat dia persis ustazah graduan Timur Tengah walaupun dia sebenarnya pakar ekonomi dan perdagangan. Dia wanita besi. Pantang sangat dia, kalau orang kata wanita Melayu Islam kita lemah.
Namun selalunya, simpati saya memang melimpah-ruah melihatkan jambul perangnya yang tersembul di atas kepalanya yang kadang-kadang dilitupi tudung, kadang-kadang tidak. Dia tak tahu ramai orang tergelak besar setiap kali dia bercakap soal Islam.

3. Seorang lagi saudara saya pula pakar bahasa Melayu. Dia guru cemerlang dengan ketokohan yang mengagumkan - lebih -lebih lagi bila dia berucap dengan bahasa baku tanpa kesalahan nahu walau sedikit pun. Sejarah perjuangan ASAS 50 dalam kepalanya, begitu juga dengan Peristiwa Keranda 152 sering bermain di bibirnya. Selain itu, dia aktif memimpin pertubuhan siasah di tempatnya.

Bila saya tanya, cikgu bagaimana dengan nasib Bahasa Melayu? Macam mana dengan isu bahasa rojak, kes infotainmen? Cikgu setuju belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris? Dia terkedu diiringi senyum yang ketara disimpul dalam paksa. Simpati saya membuak lagi bagai selalu. Kesiannya dia!

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP