Sabtu, September 04, 2004

Petang semalam pulang ke Endau. Menjenguk ibu dan keluarga di sini. Sudah hampir dua bulan tidak balik ke kampung halaman.

Pagi ini saya menyelongkar almari buku yang sendat berisi kitab, majalah, buku ilmiah, novel dan pelbagai sumber ilmu lagi. Memang itu kebiasaan yang saya lakukan bila pulang ke kampong. Tegal tidak semua harta berharga milik saya itu saya angkut ke Segamat.

Saya menemui Massa (yang telah selamat ditalqinkan) bilangan 155 bertarikh 12-18 September 1998. Yang menariknya majalah ini adalah keluaran pasca pemecatan DSAI. Covernya memang memuatkan gambar DSAI. Lalu di dalamnya saya mengintai semula kisah kezaliman seorang bekas pemimpin negara dan juak-juak di sekelilingnya. Semua mengiyakan dan menyokong apa yang pemimpin negara itu kata. Tuduhan liwat dan rasuah dibenarkan dan disebarkan untuk mensabitkan DSAI sebelum disumbat ke ISA. Dan ketika itulah, saya cukup ingat periistiwa seorang sahabat karib yang sangat berpengaruh kepada DSAI yang datang menziarahi menghamparkan sokongan. Beliau tidak lain tidak bukan, Almarhum Ustaz Fadzil Noor, antara pemimpin-mujtahid yang sangat disegani dan kekal diingati hingga kini.

Saya juga membelek semula majalah Tanjung Puteri yang pernah saya kendalikan semasa menuntut di Jordan. Di dalamnya termuat sebuah puisi saya (kalau ia boleh dinamakan puisi) yang saya siarkan sempena Hari Kemerdekaan ke-39 ketika itu. Ia saya karang pada September 1996 dan pernah tersiar dalam akhbar Harakah sekitar Ogos 1998, jika tidak silap. Itulah satu daripada dua puisi saya yang pernah tersiar di akhbar, kedua-duanya di Harakah, malangnya saya tidak ada menyimpan keratannya.

DI PAGI MERDEKA

Di pagi merdeka
Seorang pemimpin tua
Mendatangi temasya anak bangsa
Tangan melambai menabik ceria
Senyum lebar penyeri suasana
Hatinya berkata:
Inilah warga merdeka.

Di pagi merdeka
Seorang pemikir tua
Mengintai senario anak bangsa
Hatinya hambar
Tiada guna perarakan itu
Jika barat yang ditatang
Tiada guna temasya itu
Jika Islam yang ditentang

Di pagi merdeka
Seorang pekerja tua
Mengutip kerenah anak bangsa
Di dataran ibu kota
Ketemu kondom dan bra
Hatinya berdebar-debar
Benarkah hari ini Hari Merdeka?

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP