Isnin, Oktober 11, 2004

i
Alhamdulillah. Cerpen Pendedahan saya tersiar di Mingguan Malaysia 3 Oktober 2004. Lama juga menyepi daripada menggarap cerpen. Paling akhir cerpen saya tersiar di Utusan Zaman 3 Februari 2002 dengan judul Senja Istanbul. Terima kasih kepada yang sudi membaca dan memberi komentar.

Barangkali ada yang suka atau sebaliknya. Saya tidak pasti dan ambil peduli. Yang penting saya kembali menulis cerpen, dan terasa puas apabila selesai menangani cerpen terbaru ini. Ia tafsiran bebas terbaru saya kira terhadap hikayat Hang Tuah. Mohon maaflah ya. Hang Tuah bagi saya mitos, bukannya sejarah (teringat kalimat Pak Lah dalam ucapan penggulungannya di PWTC beberapa minggu lalu).

Sebetulnya, saya sudah hampir setahun tergerak mahu menulis cerpen Hang Tuah versi ‘derhaka’ ini. Tetapi begitulah selalunya, keinginan yang tidak kuat mematikan seketika hajat itu. Sehinggalah apabila terbaca artikel Ku Seman Ku Hussain di Sudut Sastera Mingguan Malaysia yang memperkatakan tentang hikayat Hang Tuah serta demam PGL (Puteri Gunung Ledang)yang melanda, saya terpanggil untuk melaksanakan amanah kreatif saya.

Justeru, saya pilih Tun Teja untuk bersuara menghentam Hang Tuah bertepatan dengan nasibnya yang sering digambarkan dalam karya-karya lain sebagai wanita malang dan lemah. Bagi saya juga, Tuah bukan lagi ikon yang patut terlalu dibanggakan. Dia terlalu setia dan patuh membabi buta. Ini bukan ciri-ciri model yang kita mahukan. Sebaliknya saya lebih meminati Jebat yang berpegang dengan prinsipnya: Pemerintah zalim wajib disanggah!

Insya Allah, dalam entri selanjutnya saya akan berbicara lagi tentang watak Hang Tuah dan Jebat dalam beberapa karya Melayu.

ii
Seminggu saya tidak mengemaskini laman ini lantaran terlibat dengan pengawasan peperiksaan PMR yang baru berlalu. Dan petang kelmarin, saya bersama Zharul Nizam Zainal Abidin @ Pujangga Seni Z-Rul mengunjungi A. Talib Hassan (novelis Saga, Warisan, Sutera Dalam Lukisan dll) di rumahnya di Spang Loi, Batu Anam, Segamat. Cikgu Talib yang diberikan anugerah Sasterawan Johor tahun lepas sihat macam biasa dalam usianya yang baru mencecah 57 tahun. Katanya, dia sedang menyiapkan 3 buah novel sekali jalan (sekali gus). Hebatnya!


2 komentar:

Tanpa Nama,  5:51 PTG  

Best regards from NY!
» » »

Tanpa Nama,  11:18 PTG  

best regards, nice info
» » »

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP