Khamis, Oktober 21, 2004

Singgah di laman Kak Nisah yg menyentuh setahun pemergian Dr. Othman Puteh (OP), saya juga terkesan sama untuk mengimbau kenangan bersama guru yang sangat baik itu. Semuanya bagi saya manis-manis; indah dan rindu untuk dikenang dan diulang.

Cerpen
Bagi saya, OP guru cerpen saya yang pertama walaupun saya tidak menyertai MPR. Mungkin tiada siapa yang tahu, pada pertengahan 1993 ketika belum lagi menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif, saya sering merayau-rayau di Bandar Melaka. Setiap kali cuti hujung bulan, saya tidak pulang ke Endau, sebaliknya akan ke Melaka ke rumah bapa saudara di sana. Dan tujuan saya ke Melaka adalah untuk singgah di Galeri Buku DBP Melaka (dulu dekat bangunan Graha Maju) bagi mencari buku-buku sastera dan penulisan kreatif. Pastinya buku panduan penulisan kreatif yang pertama saya cari berjudul "Persedian Menulis Cerpen" tulisan beliau.

Benar seperti kata Kak Nisah, buku itu sangat membimbing dan saya antara calon penulis yang terbimbing dengan membaca buku terbitan DBP pada 1988 itu. Buktinya, akhir 1993 saya menulis cerpen pertama saya yang tersiar pada Januari 1994 di Dewan Siswa berjudul "Juara yang Tewas". Hingga kini,sudah beberapa kali saya khatam membacanya, malah kerap kali juga saya mencarinya apabila mahu menguja semula semangat penulisan saya yang sedikit kendur. Saya juga tidak pernah ketinggalan mengikuti ruangan "Landas Kreativiti" (sebelum dibukukan) yang tersiar di Dewan Siswa setiap bulan pada awal 90-an.

Pertemuan
Saya bertemu OP kali pertama pada hari penyampaian Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 1994 iaitu pada 29 Julai 1995 di Hotel Pan-Paciffic, KL. Ketika itu meja para pemenang hadiah sudah penuh lalu saya terhantar ke meja panel penilai yang diduduki oleh OP dan Lim Swee Tin. Saya diam sahaja, terasa kerdil sangat dapat bertemu dengan tokoh yang saya kagumi. Dan sebelum bubar, saya tanpa malu-malu sempat mengajak OP bergambar berdua sebagai kenang-kenangan bagi saya yang bakal berangkat ke Jordan pada bulan hadapannya.

Pulang bercuti sebulan pada 1998, saya menghadiri Diskusi Karya Eceran anjuran Kelab Alumni MPR di Sudut Penulis DBP. OP yang menjadi panel bersama Rahman Shaari saya lihat sangat mendorong dalam ulasannya. Tidak pernah beliau mengkritik karya penulis muda secara keras dan pedas, sebaliknya kalimatnya sarat dengan motivasi dan adakalanya beliau memberi pujian bagi tujuan yang lebih positif. Pada majlis itu saya masih ingat, hanya Hizairi Othman selaku presiden kelab dan Faisal Tehrani yang menegur dan mengenali saya. Yang lain-lain memang tidak mengenali lalu saya menyepikan diri sepanjang majlis.

Novel
Sepulang dari Jordan pada 2000, saya menyertai Bengkel Novel Remaja Utusan anjuran UPND di bawah bimbingan OP dan anaknya, Hizairi. Saya masih ingat, ketika sesi taaruf, OP dapat meneka identiti saya (meski menggunakan nama pena), malah sudah tahu yang saya baru sahaja pulang dari Jordan walaupun kami tidak pernah berbual sebelum ini. Saya terkejut amat, namun teman-teman seangkatan memberitahu, OP memang sangat mengambil berat tentang perkembangan penulis muda walau di mana dia berada. Tidak saya duga, dengan hanya 3,4 buah karya yang tersiar, tidak terlepas dari perhatian tokoh hebat sepertinya. Seperti biasa, bicara beliau sering menitipkan lelucon yang menyegarkan majlis.

Ya, saya masih ingat benar, kesan pertemuan kami di bengkel itu membawa saya ke dalam arena pernovelan pula. Sebetulnya, setiap peserta bengkel tersebut diminta menyediakan sinopsis novel masing-masing sebelum hadir ke bengkel. Dan saya dengan penuh terpaksa menyediakan sinopsis "main-main" dan "ala kadar" saya berjudul "Lambaian Sri Mersing" untuk bengkel itu. Betapa terkejutnya saya apabila dalam banyak-banyak sinopsis yang diserahkan oleh Kak Azah Editor Kanan UPND kepadanya, OP telah memilih sinopsis novel saya untuk dibincangkan/dibedah oleh seisi majlis. Judul yang saya pilih itu dikritik dan isinya diulas oleh Hizairi, namun saya rasa bahagia amat apabila OP menyentuh sinopsis "main-main" saya, mengharapkan agar ia dituang pula ke manuskrip, dan memuji pemilihan tema yang katanya lain daripada yang lain.

Seusai bengkel, saya rasa benar-benar tercabar. Sinopsis yang saya buat "main-main" sebagai syarat untuk menyertai bengkel telah dianggap serius oleh OP. Bukankah ini satu kepelikan, satu amanat tersirat yang sangat menguja dan mencabar? Lantas, bertolak daripada itu, saya perlahan-lahan merangka draf novel sulung saya yang akhirnya berjaya saya realitikan berjudul "Sesegar Nailofar". Sepanjang menyiapkan novel tersebut, saya akui, buku "Persedian Menulis Novel" (yang telah saya miliki sejak 1994 lagi) tulisan OP tidak pernah jauh dari jangkauan saya.

Autograf
Kebetulan, saya juga ada membeli biografi OP terbitan DBP yang ditulis oleh Ali Majod. Pada malam penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim 4 tahun 2003 di Eden Garden Hotel, JB, entah mengapa saya telah tergerak untuk membawa biografi tersebut. Sesudah majlis, saya menemui OP (yang turut menjadi panel penilai) dan meminta beliau menurunkan autografnya di halaman awal buku tersebut. Itulah satu-satunya tanda tangan beliau yang saya miliki. Pagi esoknya semasa turun bersarapan, saya mendukung anak sulung saya. Apabila ternampak OP sedang bersarapan bersama isterinya saya dan isteri mendekati mereka. Saya berkata, "Dr, inilah Nailofar." Beliau tersenyum lantas mencuit pipi gebu puteri saya itu.

Diskusi & Pertemuan Terakhir
Beliau memang guru yang sangat baik. Sangat menghargai karya penulis muda apalagi yang menjadi anak didiknya. Saya sendiri berasa amat bertuah kerana turut dihargai. Demikian ketika SPMG mengadakan diskusi novel "Rona Bosphorus" di Rumah Gapena pada 3 Ogos 2003, OP turut hadir malah duduk di kerusi depan sekali! Saya sungguh tergagap-gagap berbicara dalam majlis itu memandangkan yang hadir (walaupun belasan orang cuma) tetapi terdiri daripada penulis & sasterawan yang telah mapan.

Dan itulah, itulah kali terakhir rupanya saya bertemu OP. Pada 19 Oktober 2003, jam 4 petang saya menerima sms daripada Nazmi yang membawa berita pilu kepergiannya ke alam baqa'. Saya gesit menghubungi Kak Azah untuk memastikan khabar tersebut. Tapi Kak Azah yang ketika itu masih terlantar di Hospital Assunta - antara individu yang rapat dengan Allahyarham - teramat sukar untuk menuturkan kata-kata.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Dr. Othman Puteh yang amat besar sumbangannya kepada penulis muda. Di dasar hati saya rasa sangat bersyukur kerana sempat berguru dengan Allahyarham meskipun tidak selalu atau secara langsung. Bagi saya, beliau tetap guru; guru cerpen dan novel saya yang pertama!

2 komentar:

Tanpa Nama,  9:37 PG  

best regards, nice info
» » »

Tanpa Nama,  3:58 PG  

What a great site
» »

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP