Khamis, Oktober 14, 2004

TUAH dan SAHABAT2 dalam pelbagai versi

Banyak versi kisah Hang Tuah yang pernah saya baca dan tonton. Lantaran ia sekadar mitos, maka tafsiran bebas yang dibuat oleh karyawan juga rencam sifatnya. Kalau filem, pastinya kita lebih mengingati “Hang Tuah” yang menjadi satu-satunya filem warna lakonannya P. Ramlee. Tidak lupa filem “Jebat” yang lebih menampilkan Jebat sebagai wira sebenar di penghujung cerita. Pada era 80-an, filem “Tuah” lakonan Jamal Abdillah pula agak mengejutkan kerana pahlawan itu digambarkan muncul tiba-tiba di era moden. Namun kebanyakannya masih dilihat cuba menobatkan sebagai wira Melayu yang tiada tolok bandingnya.

Dalam genre drama dan teater, watak Jebat pula dilihat lebih dominan dan diangkat sebagai wira yang sepatutnya dikenang. Antara karyawan yang pernah menjulang watak Jebat seperti Rahim Razali dan Allahyarham SN Usman Awang sendiri.

Adapun, dalam genre cerpen, saya cukup terkesan dengan 2 buah cerpen; pertama, cerpen “Beberapa Pembetulan” oleh SN S.Othman Kelantan yang ada menyebut Hang Tuah berbangsa Cina. Sebutan asalnya ialah Han Tu Ah. Malah, beliau menganggap Hang Tuah mungkin berasal daripada perkataan “hantu” dan "ah"! Lebih kritikal, beliau melihat Hang Tuah Lima Bersaudara (Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir & Lekiu) sebenarnya cuma Tiga Bersaudara sahaja (Tuah, Jebat @ Kasturi, Lekir @ Lekiu).

Baginya, Jebat dan Kasturi adalah orang yang sama. Bila dia berbuat jahat dipanggil Jebat (jebat itu bau yang busuk) dan bila beramal baik dipanggil Kasturi (kasturi baunya wangi). Sementara Lekir sebenarnya adalah Lekiu. Kalau dirujuk kepada teks kuno yang bertulisan jawi, katanya kepala huruf “wau” pada perkataan Lekiu (Lam + Kaf + ya + wau) telah pudar. Jadi, huruf “wau” itu telah menjadi huruf “raa” apabila dibaca oleh generasi yang seterusnya. Justeru, terbitlah kalimat Lekir (Lam + Kaf + ya + raa).

Manakala cerpen “Pengkhianat” (antologi Lagi Cerpen2 Underground) oleh Faisal Tehrani lebih berani dan membuatkan kita ketawa terbahak-bahak. Hang Tuah tidak disebut berbangsa apa tetapi didakwa memiliki zakar sepanjang lima belas inci oleh Teixeira, wanita Portugis yang kononnya datang dari zaman silam. Teixeira telah dipaksa oleh wizurai Portugis melayan Hang Tuah sebagai ganjaran “pengkhianatannya” setelah membocorkan rahsia pertahanan Melaka.

Selamat Mendaftar di Madrasah Ramadhan al-Mubarak!

1 komentar:

Tanpa Nama,  12:34 PTG  

Very cool design! Useful information. Go on!
»

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP