Selasa, November 02, 2004

Novel sulung saya -Sesegar Nailofar – insya Allah, akan didiskusikan selepas hari raya nanti. Terima kasih kepada adik-adik Alumni MPR yang aktif bersemangat, yang masih berminat untuk memilih novel saya. Walaupun saya rasa, sebagai novel pertama pastilah banyak cacat-celanya. Apapun, saya memang bersedia menerima ulasan, komentar dan kritikan daripada sesiapa jua.

Novel itu sebenarnya telah diulangcetak pada 2002 iaitu setahun sesudah diterbitkan. Dan berdasarkan rekod yang saya terima daripada UPND, memang jualannya lebih baik daripada Rona Bosphorus. Barangkali kerana covernya yang memikat atau lenggok bahasa dan penyampaiannya yang lebih tenang atau isinya yang lebih intim dengan pembaca – saya tidak berapa pasti.

Saya kini sedang menekuni novel seterusnya. Memang kebiasaan saya lebih enak menulis novel pada bulan puasa. Tegal lama tidak digunakan, kemahiran sedikit berkarat. Bagaimanapun, proses kali ini nyata berbeza dengan novel-novel yang saya bikin sebelumnya kerana keseluruhan cerita sudah ada dalam kepala. Dua novel saya terdahulu, semasa mula-mula menggarapnya, saya sendiri tidak tahu apa kesudahannya nanti. Yang ini, sudah saya siapkan sinopsis selengkapnya.

Yang merisaukan saya, intro novel yang ini kurang memikat. Kurang padat dan agak longgar,saya kira. Bab pertama sangat penting. Kalau bab pertama dah terabai dan tidak menarik, alamat novel takkan dibaca orang!

Yang lebih merisaukan saya, pertama kali saya mencuba watak utama seorang perempuan. Bagaimana saya mahu menjiwainya berterusan? Mungkin saya kena banyak merujuk kepada isteri dan memerhatikan tindak-tanduknya dalam beberapa keadaan. Mungkin saya kena banyak membaca buku psikologi perempuan!

1 komentar:

Tanpa Nama,  3:08 PTG  

Very nice site!
»

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP