Isnin, November 08, 2004

Ulasan Cerpen Pendedahan oleh Zaharah Nawawi dalam Mingguan Malaysia semalam

Cerpen Pendedahan lebih sesuai jika dikategorikan sebagai skrip drama; kerana cerpen ini diolah tidak seperti kelaziman penulisan cerpen sebaliknya cerita berjalan di atas dialog; antara Tan Sri Tuah dengan Teja perempuan yang dalam cerpen ini dikatakan diculik Tuah demi ketaatan dan ketaksuban kepada sultan. Sesuai dengan sifatnya seperti skrip drama, cerpen yang diistilah sebagai mapen (drama dan cerpen) begini, terlalu sedikit selingan penceritaan latar baik pada permulaan, pengakhiran mahupun penyambung antara satu dialog dengan dialog-dialog berikutnya. Kerana itu, Pendedahan merupakan sebuah mapen yang mudah difahami, tambahan lagi ditulis dengan cara amat sederhana. Namun demikian, dalam kesederhanaannya penulis menyelitkan beberapa sindiran sinis terhadap pemimpin yang dikatakannya sebagai bertopengkan Islam tetapi melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum Islam seperti meneguk arak dan menari ketika berada di luar negara. Kewujudan pemimpin yang banyak menghabiskan masa di padang golf berbanding menjenguk rakyat bawahan, turut disentuh.

Kegemaran kebanyakan pemimpin negara bercakap bahasa Inggeris biarpun sesuatu acara dihadiri sepenuhnya rakyat tempatan turut ditonjolkan, biarpun Tuah dikatakan boleh menguasai 20 bahasa dan pernah menobatkan Melayu tidak akan hilang di dunia namun malangnya Tuah dalam mapen Pendedahan ini diibaratkan menikam dan memperlekeh bahasa ibundanya sendiri.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP