Selasa, Disember 21, 2004

SENGGARANG-SEGAMAT-ENDAU

Hari ini genap usia Irfan satu bulan. Kalau tiada aral melintang, kami sekeluarga akan pulang ke Segamat petang ini. Bagaimana agaknya keadaan rumah setelah hampir sebulan ditinggalkan. Walaupun masih dalam pantang, namun zaujah saya sudah risau mengingatkan taskanya yang lama terbiar tanpa dijenguk. Tahun baru akan menjelang tidak berapa lama lagi, tapi sebarang persediaan belum dibuat. Rumput, semalu dan lalang di halaman taska pastinya sudah naik memanjang.

Taska Al-Wijdan milik zaujah saya dan teman baiknya itu akan genap setahun pada tahun baru nanti. Meskipun dia mengajar di sekolah rendah, tapi taska itu diusahakannya juga. Sudah menjadi cita-cita zaujah saya sejak zaman remajanya - ingin memiliki taska sendiri. Mungkin kerana dia sangat suka melayan budak-budak. Dan saya, sebagai suami yang sentiasa cuba belajar memahami, apakah yang lebih baik selain memberikan sokongan terhadap sebuah impian murni? Bagi saya minat dan keinginannya yang baik itu tidak wajar disekat, apatah lagi yang mendatangkan manfaat.

Selain menawarkan pengasuhan kanak-kanak, taskanya juga membuka kelas pengajian al-Quran menggunakan kaedah Al-Barqy. Setiap lepas asar dan maghrib pada isnin hingga khamis berduyun-duyunlah kanak-kanak yang masih di tadika atau sekolah rendah ke taska untuk belajar mengaji. Kebanyakannya anak jiran, anak kenalan dan anak guru-guru di sekolah saya. Justeru banyak juga masa zaujah saya dihabiskan di taskanya, tapi itulah namanya pengorbanan.

Kami mungkin beberapa hari sahaja di Segamat sebelum pulang ke Endau pada cuti sempena Natal. Ramai sanak-saudara ingin melihat Irfan yang belum pernah ke sana sejak lahirnya. Saya juga mahu menjenguk kakak yang baru bersalin dan anak saudara baru kami - Hana Humaira' - yang lahir 30 November lalu. Mak saya nampaknya sudah dua tahun berturut-turut mendapat dua orang cucu serentak dalam tempoh yang singkat. Tahun lepas Nailofar lahir tiga minggu selepas kelahiran Fakhir Fahmi, cucu pertamanya. Kali ini Hana Humaira' pula lahir sepuluh hari selepas kelahiran Irfan. Memang sudah ditakdirkan, kakak dan zaujah saya hamil dan bersalin hampir serentak.

Sesudah itu, kami kena pulang semula ke Segamat. 30 Disember ada ujian PTK (PTK tu apa, hah?) yang mesti saya duduki. Harap-harap ujian seperti ini cepat-cepatlah ditalqinkan. 31 Disember ada mesyuarat guru di SMKAS. 3 Januari 2005 sesi persekolahan 2005 akan bermula, begitu juga penerbitan novel terbaru saya...

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP