Sabtu, Januari 24, 2004

Mana entah si Nazmi menyepi. Apasal dia begitu? SMS tak dibalas. Laman web tak diupdate. Barangkali masyghul sungguh. Atau sedang mengatur pelan menawan seorang puteri Terengganu?

Cuaca mendung dan berangin hari ni. Rosak projek kami nak berkelah di Teluk Kerengga. Musim tengkujuh masih berbaki. Johor belum dilanda banjir besar macam tahun lepas walaupun rumah mak aku dah naik air bulan 12 tahun lepas. Kadang-kadang banjir ni rahmat. Kata orang tua, banjir membasuh dosa kawasan tersebut. Macam banjir yang tiba-tiba melanda negeri-negeri di utara semenanjung akhir tahun lalu. Memang ada kerosakan, korban dan sebagainya. Tetapi rahmat Allah selalunya jarang kita hayati. Tengoklah sikit masa nanti.

Read more...

Jumaat, Januari 23, 2004

i
Petang Rabu, kami balik ke Endau. Isyak baru sampai. Hampir tiga jam perjalanan termasuk sekatan polis. Ops Burung agaknya. Dah lama juga tak balik ke Endau. Raya Puasa dulu paling akhir. Tahu di mana Endau?

Endau terletak di utara Mersing. Bersempadan dengan negeri Pahang. Aku memang asal sini. Mak bapak memang orang sini walaupun moyang sebelah mak aku sebenarnya berasal dari Kelantan. Endau ni unik sebab ramai orang mendatang. Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah pun ada. Itu sebab aku boleh bercakap loghat negeri lain selain Johor. Dah ramai sebenarnya (lebih lima orang Kelantan sendiri) yang menyangka aku berasal dari serambi Makkah tu.

Sebab sini ramai orang asal dari luar, maka suasana politik di Endau ni lain sikit berbanding kebanyakan tempat di Johor. Justeru mungkin ada kejutan diramalkan berlaku di sini dua tiga bulan lagi.

Read more...

Rabu, Januari 21, 2004

Semalam tak sempat pula untuk update. Petang main badminton. Baru beli raket Yonex Carbonex 9400. Tak pilih Wilson atau Prince. Seronok mencuba raket baru. Ini kali kelima aku main badminton sejak berada di SMKAS. Dulu-dulu tak terbuka hatiku untuk bermain walaupun guru-guru lelaki ramai juga yang bermain di dewan besar sekolah kami. Setelah beberapa hari bermain, barulah tak rasa sakit-sakit badan. Masa mula-mula main dulu, dua tiga hari baru hilang sengal-sengalnya.

Malam ada majlis perpisahan dengan Tn. Hj. Alias di hotel. Sederhana meriah. Aku macam biasa, kena baca doa. Makan okey. Esok diumumkan ada Mesyuarat Agung KEBIRU 2003. Agaknya siapa yang bakal bergelar Pengerusi baru?

Demam Nil dah makin pulih. Senyumannya dah mula mengelopak semula. Suka sangat dia bila aku bawa naik motor petang-petang lepas balik main badminton. Sekarang dah pandai merengek minta dibawa keluar berjalan-jalan.

Read more...

Isnin, Januari 19, 2004

Hari ini SMKAS dapat pengetua baru. Katanya orang Pantai Timur. Moga dia baik, mudah berkira, tidak konservatif dan mudah mesra dengan kami nanti. Pengetua SMKA, mestilah ustaz. Tak tahu nama apa. Dia datang sekejap dan kemudian balik. Dengarnya akan datang lagi menjelang Februari. Beberapa guru yang berpapasan dengannya pagi tadi memanggilnya "pakcik". Mereka fikir beliau mahu mendaftarkan anaknya (kebetulan ada 2nd intake) di Tingkatan 1. Rupanya dia mahu melaporkan dirinya!

Guru pakar kami Tuan Haji Alias pula naik pangkat sebagai pengetua di SMK Tenang, Labis. Kurang dua tahun lagi nak pensiun. Rasa kehilangan juga. Dia orang kuat KEBIRU dan banyak bersuara bagi pihak guru-guru. Malam esok, kami akan meraikannya di Hotel Sri Pelangi. Dah lapan tahun lebih Haji Alias di sini.

Aku? Aku baru je dua tahun lima bulan sebagai tenaga pengajar di SMKAS. Tapi kira orang lama juga di sini kalau nak disemak pada rekod aku sebagai pelajar pertama SMKAS yang kembali ke sini semula untuk menjadi pengajar. Hehe! Bukan nak bangga, tapi tercatat dalam sejarah sekolah jugalah. Tak ramai yang berani kembali ke sini dulu walaupun ada peluang. Tapi lepas ini, aku rasa, akan ada lagi ex-SMKAS yang akan menuruti aku. Masa

Mengapa aku kembali ke sini? Kalau nak dijawab, jawapannya pasti terkandung perkataan kenangan, sayang, nostalgia, cinta, budi dan beberapa lagi. Nantilah kita cerita. Awal lagi ni. SMKAS ni sekolah bestari. PC bersepah! Bila-bila masa boleh ku"update". Insya ALlah, sementara DIA belum meniup rasa jemu pada aku untuk menatap monitor ini.

Juga, hampir terlupa, terima kasih buat adik aku (rujuk www.dyu.blogspot.com) dan kawannya yang banyak membantu menyediakan blog ini. Tanpa mereka siapalah aku!





Read more...

Ahad, Januari 18, 2004

Sebelum terlupa, tahniah kepada S.Othman Kelantan (SOK) yang menerima Anugerah Sastera Negara yg melayakkannya menjadi Sasterawan Negara ke-9. Lama dah tak ada penerima ASN selepas SN Pak Lah Hussain. Majlis penganugerahan diadakan di Hotel Istana, KL pada 12 Januari lalu.

Umur SOK baru 64 tahun. Masih ingat lagi masa aku, Petai dan Saharil bersamanya di Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak pada suatu tengah malam pertengahan bulan Ogos 2000. Masa tu Ranofla Dianti Irwan belum lagi bernikah dengan SOK. Baru berkenalan kot. Tapi kemesraannya telah ada. Ya, kami sama-sama menyertai Bengkel Penulis Muda DBP-2. SOK dan Khadijah Hashim yang jadi pembimbingnya. Aku kira, itulah bengkel penulisan pertama yang aku sertai seumur hidupku.

SOK bagi aku memang kritis. Cerpennya yang paling kuingat pastinya Putera Sang Siput (kalau tak silap) yang penuh satira. Senak juga perut kala membacanya. Dan SOK kerapkali berpendapat, Pak Sako sewajarnya menjadi Sasterawan Negara kita yang pertama mendahului Keris Mas. Barangkali ada unsur politik di situ yang menafikan terus penobatan Pak Sako hingga ke akhir hayatnya. Cubalah kalian baca Putera Gunung Tahan oleh Pak Sako. Bukankah dia telah mendahului zamannya.

Bagi generasi muda, aku rasa, SOK lebih dikenali menerusi Pusaran -cerpen yang terhimpun dalam KOMSAS. Selain Juara yang telah difilemkan, novel Ustaz, Nagogho Astana, dan beberapa lagi novel turut menjadi sebutan. Aku ada juga membaca cerpennya dalam kumpulan cerpennya berjudulBeberapa Pembetulan. Di sana, SOK telah menyatakan Hang Tuah Lima Bersaudara sebenarnya cuma 3 Bersaudara sahaja.

Aku komakan (,) di situ dulu tentang SOK.

Read more...

Ada sambungannya lagi...
Tapi biarlah... nanti kalian boleh klik dan baca sendiri. Baru-baru ni, SPMG (Sekretariat Penulis Muda Gapena) ada minta cerpen pertamaku yang tersiar di Mingguan Malaysia (4 Jun 2000) bertajuk Cerita dari Laut Mati. Katanya utk projek antologi SPMG. Dan cerpen itu dengarnya pilihan Allahyarham Dr. Othman Puteh (Al-Fatihah!) yang menjadi penyelenggara asal antologi itu.

Susah betul nak cari cerpen-cerpen lama ni. Disket dah punah. Mujurlah aku pernah simpan dalam egroups KMSM dulu. Banyak cerpenku yang pernah tersiar di media pada 1998-2001 tersimpan dalam khazanah egroups KMSM. Tapi nak mencarinya juga bukan satu kerja yang mudah. Makan masa juga.

Cerpen-cerpen 90-an juga tiada dalam simpananku dan rasanya KMSM ada menyimpannya. Darah Pejuang, Cinta Kala Gegar Jakarta dan beberapa lagi masih ada di sana kukira.


Read more...

SubhanaLlah...
Dah lama aku tak tulis cerpen rupanya. Maksud aku, untuk dihantar ke mana-mana. Cerpen yang terakhir ditulis (utk media) - Demi Cintamu Husnil Khatimah. Yang terakhir tersiar pula Senja Istanbul di Utusan Zaman Februari 2002.

Perghh! Lamanya. Tapi ada juga, aku tulis cerpendek utk majalah SMKAS. Budak-budak minta. Untuk mengambil hati, aku tulis jugalah untuk mereka. Dah nama pun cerpendek, mestilah ia pendek. Tema mudah. Bahasa simple. Dan yang penting, yang boleh aku bikin dalam masa tak sampai dua jam.

Cerpendek? Juga bukan senang sebenarnya nak tulis cerpendek. Padat+pendek. Untuk tak memeningkan kepala aku, dan budak-budak editorial majalah tu nak cepat pula, maka aku garaplah sebuah cerpendek yg sangat simple. Nak mudah kerja,(tips untuk calon penulis-tapi janganlah asyik guna langgam ni je!) aku bikin cerpen yang cumalah selembar surat sahaja.

Nak baca cerpendek tu? Judulnya SURAT UNTUK FANA.
Begini mula cerpennya...

Assalamualaikum.
Fana, khabar apakah engkau? Moga senantiasa dalam dakapan ceria dan kekal afiat. Pastinya engkau terperanjat menerima perutusan daripada sahabatmu ini setelah sekian lama kita terpisah jauh. Aku harap engkau sudi membacanya.
Ingat padaku lagi? Aku Yun. Sahabatmu yang engkau anggap pengkhianat janji sumpah bersama disebabkan keterpaksaanku meninggalkan pesantren madrasah kita. Anggaplah apa pun, Fana. Aku tetap macam dulu- kekal menyayangimu. Dan berkali-kali telah aku jelaskan betapa aku pergi dengan separuh hati. Bukan kehendakku untuk berhijrah ke daerah yang asing bagiku ini.

Read more...

Nazmi dah dapat kerja di BH. Tahniah Nazmi! Entah bila aku nak turun KL untuk bertemu dengan sahabatku yang seorang ini. Sejak November 2000 kami terpisah. Nantilah. Akan tiba masanya.

Nil mcm demam lak pagi tadi. Tapi bila tubuhnya kembali berpeluh, hati kami terasa lega.

Read more...

Bismillah. Abda' fa Aqulu...
Assalamualaikum.
Aku mulakan Blog ini dgn lafaz Bismillah dan Selawat. Mungkin kehadirannya agak terlewat, tapi rasanya belum terlambat untuk menulis catatan secara online. Atau ini mungkin diari online? Atau sebagainya? Mudah-mudahan apa yang aku tulis akan mendatangkan manfaat. Kepada aku dan sesiapa jua yang membacanya.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP