Sabtu, Februari 07, 2004

Petang Jumaat semalam main badminton. Walaupun hujan, kami yang bermain di dewan tiada masalah. Lepas maghrib, aku ada kuliah di Surau SMKAS. Menyambung pembacaan Tanda-tanda Kecil Hari Qiamat. Dah lama juga aku mengulas dan membicarakan alamat-alamat itu. Dah dua tahun rasanya.

Usai mengimami solat Isyak, aku bergegas ke Masjid Jamek Segamat. Bukan ada kuliah di sana, tapi ada temu janji dengan Cikgu Zharul Nizam. Dia ni penulis juga. Kedua-dua novelnya yang berjudul Suhana dan Nasuha diterbitkan oleh Karisma Publications, kalau tak silap akulah. Pertemuan sesama penulis ni perlu. Apatah lagi aku ni berjauhan dengan kelompok sastera di KL.

Aku kenal dia ketika sama-sama dijemput memberikan pengisian di Bengkel Penulis Muda Johor V Oktober tahun lepas di JB. Kami bersembang sambil menikmati makan malam santak ke jam 11 lebih. Kami berjanji akan menziarahi Abdul Talib Hassan, novelis Saga yang terkenal itu di rumahnya tak lama lagi. Baharuddin Kahar yang menulis Senjakala itu pun belum pernah kutemui meski dia tinggal di Segamat.

Malam letih. Penulisan novel terbaru tidak dapat kusambung.

Read more...

Rabu, Februari 04, 2004

Semalam dan hari ini, sekolah aku mengadakan sambutan Eidil Adha. Petang semalam acara korban. Malam tadi rewang dan makan sup. Pagi ini, ceramah sempena Hari Raya Korban. Tiga ekor lembu tumbang.
Namun sedang syok dengar ceramah pagi tadi, aku terpaksa pula ke Balai Bomba Segamat untuk mesyuarat guru-guru penasihat Kadet Bomba sekolah. Lama juga meeting. Dua setengah jam. Di situ aku bertemu Cikgu Abu Naim Kassan. Alah, pemilik pustakamaya.net itulah. Selamat pengantin baru, cikgu. Hehehe. Itu perkataan pertama aku lafazkan.
Sempat jugalah kami bersembang sekejap sebelum bersurai. Pastinya sekitar hal ehwal sastera. Katanya, Segamat akan jadi tuan rumah Perkampungan Penulis Muda Johor 2004 di samping Karnival Bahasa. Dah dua tahun aku tak dapat hadir bengkel yang dikendalikan oleh PPJ untuk pelajar-pelajar. Insya Allah tahun ini.
Juga, Cikgu Abu Naim kata, dia baru menang saman ke atas sebuah penerbitan yang tidak mebayar royalti buku rujukan tulisannya. Penerbitan itu agak terkemuka juga. Kalau aku sebut, semua orang maklum. Sedikit masa lagi berita ini akan disiarkannya di akhbar. Ya, ini satu cara untuk mengajar penerbit yang selalu menganiayai penulis.

Read more...

Selasa, Februari 03, 2004

Malam Raya.
Aku menghantar sms kepada Faisal Tehrani. Dah lama tak hubunginya. Paling akhir aku bercakap dengannya kala dia nak interviu aku untuk ruangan Fokus di Tunas Cipta bagi bulan November 2003. Hasrat aku menempah novel bersirinya Tunggu Teduh Dulu di Utusan Malaysia yang diterbitkannya sendiri dalam bentuk buku. Nak tempah di se-lain.com tak dapat-dapat aku buka page tu.
Tahu Faisal di mana?
Dia membalas sms aku dari Turki! Kak Mawar ada juga beritahu masa cuti lepas yang Faisal yang sibuk dengan tesis Ph.Dnya telah ke Turki. Khabarnya sejak Oktober lagi. Barangkali mencari bahan melengkapkan kajian sastera Islamnya. Aku sangka dia sudah balik untuk beraya di sini.
Sebaliknya dia kini di Urgup, Anatolia. Mengajar Bahasa Inggeris di Tuzla. Esok, beraya di kampung keluarga angkatnya di sana. Cuaca tak elok, sms Faisal. Salji saja. Bayram mubarek olsun, ucapnya lagi. Tentu dia dah fasih cakap Turki sekarang!
Aku mulai membayangkan novel Faisal akan datang, barangkali berlatarkan Turki pula. Dan Faisal cuma pulang sekali sekala selama dua minggu ke tanah air untuk bertemu penyelia tesisnya (kalau tak silap Dr. Ungku Maimunah).

Hari Raya Korban 1424
Sepupu orang rumah aku bertunang pada hari ini. Tak pernah aku dengar dibuat orang. Barangkali dah tak ada hari lain kot. Terasa melucukan, tapi itulah realitinya. Orang sekarang tidak lagi membesarkan hari ini. Padahal Eidil Adha lebih akbar daripada Eidil Fitri!

Hari Raya Kedua
Pertama kali seumur hayat, semasa pergi beraya ke rumah saudara sebelah sini, aku menemui orang berpuasa sunat Isnin pada hari tasyrik!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP