Khamis, Februari 19, 2004

Servis kereta dan tuning sekali. 118,000km sudah dirempuh oleh Kancil 850 itu. Maknanya bila sampai 123,000km, kereta mesti diservis sekali lagi. Kemudian aku ke kedai aksesori untuk betul pintu dan tukar radio kereta.

Lepas Maghrib, hantar Icah dan Nil ke Taska al-Wijdan milik orang rumah aku. Icah ada kelas mengaji. Langsung aku ke Masjid Segamat Baru. Ustaz Omar sedang berkuliah. Guna kitab Bahrul Mazi. Memang seronok menghadiri majlis ilmu.

9.30 malam aku ada temu janji. Mak telefon malam tadi kala aku sedang bersembang dengan kawan-kawan. Tanya bila nak balik sebab ramai orang nak ubat Memo Booster yang Icah jual tu. Aku kata, mungkin Pilihan Raya nanti baru kami balik. Mak tanya pasal rumah. Aku kata, akan dapat kunci minggu depan.

Banyak juga yang kami sembangkan. Fenomena siasah negara agak menggusarkan dan mencuakkan. Situasi KeAdilan membimbangkan...?



Read more...

Selasa, Februari 17, 2004

Sepagi aku berbengkel kepengadilan badminton di SMK Dato’ Bentara Dalam. Seronok juga. Banyak ilmu baru yang aku dapat. Kawan baru pun dapat. Paling menggembirakan, tentunya kerana pengerusi mengumumkan Sirkit 1 Badminton L15 dan L18 Johor akan diadakan pada 3-5 Mac 2004. Tarikh asalnya dibatalkan. Justeru, bolehlah aku ke KL petang Jumaat ini. Aku telah lama berjanji dengan Nazmi untuk bertemu selepas tiga tahun terpisah. Begitu juga dengan Ashadi Saiman.

Sejurus bermain badminton, aku dapat panggilan telefon meminta aku bersegera ke sebuah rumah di IOI. Ada pelajar Kolej Komuniti kena histeria. Telefon Ustaz Saufi. Rupanya dia juga sedang memulihkan mangsa yang lain di SMK Teknik berjiran dengan SMKAS. Kelam kabut juga aku dibuatnya. Telefon ke sana ke mari untuk mencari bantuan. Akhirnya aku balik, solat maghrib, dan terus ke rumah mangsa. Syukur, keadaan telah pun reda. Ustaz Aminuddin dan En. Zaidi ada menanti di situ kalau berlaku apa-apa. Tetapi hingga jam 9 tiada apa-apa yang buruk berlaku.

Jauh di sudut hati, terasa kasihan melihat para pelajar kolej yang tidak menutup aurat. Dah berapa tahun akil baligh tu? Dengan pakaian rugged begitu, bukan kata manusia lelaki, jin pun akan terliur sama. Itu belum dikaji aspek solat dan lain-lain. Inilah reality remaja muslimah di negara Islam (kononnya). Agaknya inilah yang dimahukan oleh Astora Jabat lewat tulisannya dalam al Islam akhir-akhir ini. Menutup aurat tidak wajib. Betul ke gitu? Siapa berani nak tanggung dosa?

Read more...

Isnin, Februari 16, 2004

Berapa hari dah aku tak update blog ni?

Minggu lepas, aku terlupa menulis ttg Abdul Qader Khan, pakar nuklear Pakistan yang diampunkan oleh Pervez Musharraf kerana menjual rahsia nuklear kepada negara-negara Islam yang lain. Semasa menjadi ketua editor Reformis di Jordan dulu, aku sempat juga menterjemah artikel ttg Khan ni daripada majalah Mujtama’. Tatkala itu, sedang hangat krisis nuklear antara Pakistan dan India. Hebat Khan yang seorang ni. Seorang menteri besar berkata, perbuatan Khan (membocorkan rahsia nuklear) bukannya salah, malah menyarankan agar kita beri anugerah atau penghargaan di atas jihad Khan memajukan teknologi nuklear Pakistan.

Sibuk. Hujung minggu lalu masa dihabiskan di PLRF Tebing Tinggi. Mukhayyam B. Arab. Mula petang Jumaat hinggalah zohor hari Ahad. Masa santai hujung minggu yang tidak seberapa terkorban begitu saja. Semata-mata untuk mengangkat martabat bahasa syurga!

Seronok juga melihat perkembangan politik tanah air akhir-akhir ini. Kejutan demi kejutan menjelang pilihan raya. Selepas 12 pemimpin KeAdilan masuk UMNO, Kasitah Gaddam pula tersangkut di pukat BPR. Ironinya beliau (juga Eric Chia) boleh pula diikat jamin satu juta. Khabarnya ada 18 lagi VIP dalam senarai. Begitu yang dituturkan Rais Yatim. Ayuh, mari kita lihat siapa yang kena!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP