Sabtu, Mac 13, 2004

Dari Pusat Penamaan Calon

Kira-kira jam 9 pagi aku ke Pusat Penamaan Calon Parlimen dan DUN Sekijang tadi. Lokasinya Pejabat Daerah Segamat. Sebelum itu sempat menonton sekilas Aziz Desa di MHI. TV3 nampaknya memang alat BN untuk mengganyang pembangkang. Kempen belum dibenarkan bermula, tetapi media massa jelas menunjukkan ciri-ciri tidak beretika.

Depan Petronas Jalan Genuang sesak. Polis berkawal dan memantau lalu lintas. Perarakan penyokong tidak seimbang. Terlalu sikit di pihak PAS dan KeAdilan iaitu sekitar 30 orang. Tetapi barisan yang mengharap habuan mencecah 400 orang. Di situ aku terbayangkan tentera-tentera Allah yang membantu taifah 313 di Badar. Segalanya mungkin!

Aku berada di tengah-tengah, di antara dua pihak penyokong, betul-betul di hadapan pagar Pejabat Daerah. Aspek vokal juga nampaknya tidak seimbang. Pihak BN menyanyi lagu Umno, Inilah Barisan Kita (yang ikhlas berjuang?), dan pelbagai lagi. Paling lantang mengeluarkan suara merdu mereka tentunya makcik-makcik dari Wanita Umno dan Puteri Umno. Yang pemuda pula tidak ingat lirik. Berkontra sekali dengan pihak pembangkang yang bertakbir dan diselangseli dengan beberapa zikir serta laungan HIDUP ISLAM!

Paling memeranjatkanku, seorang kenalan yang kuat tabligh di Segamat Baru turut berada di situ. Nampak aktif dengan songkok hitam tinggi beberapa inci dan baju biru tua berlogo dacing di dada. Subhanallah!

Aku terus memandang dari jauh sebelum beredar hampir jam 10. Di sana ada dosa dan ganjaran. Di sana ada semangat dan keyakinan. Di sana ada habuan dan keimanan. Dan di sana ada kekalahan dan kemenangan di sisi Tuhan.

P/S: Oh ya, kalau kalian nak tengok kempen seksi tak cukup kain, sila lawat www.sekijang.com




Read more...

UMNO peralat tokoh agama

KEMASUKAN beberapa tokoh agama terkenal negara ke dalam Umno dan menjadi calon BN dalam Pilihan Raya ke-11 adalah fenomena yang sangat menyedihkan. Akan tetapi, pasti di sana ada hikmah daripada Allah yang tersirat yang selalunya sukar kita fahami.

Dr. Mashitah Ibrahim, Us. Firdaus Abdullah, Dr. Amran Kasimin antara nama-nama yang sangat dihormati dan agak kuat juga pengaruhnya di tengah masyarakat. Mashitah pensyarah UIA, Firdaus Imam Besar Masjid Negara dan Amaran pula pensyarah dan tokoh perubatan Islam terkenal yang menjadi murid kesayangan Dr. Haron Din. Malangnya, mereka ini telah meletakkan diri mereka setaraf dengan orang-orang yang menentang hukum Allah dan menghalalkan judi dan arak!

Umno sejak dulu terkenal dengan dasar pragmatik - iaitu dasar parti yang tidak berpendirian dan sangat oportunis terhadap peluang membantai musuh. Demi mengekalkan survival dan kuasanya di Malaysia, banyak yang telah Umno korbankan untuk memenangi hati bangsa asing dan memuaskan nafsu pemimpinnya.

Sayang sekali mereka bertiga yang disebutkan di atas tidak nampak keburukan itu dan sejarah yang telah berlaku kepada Anwar Ibrahim. Mereka tidak sedar betapa mereka diperalatkan untuk melawan tokoh-tokoh PAS yang sememangnya sukar ditandingi. Mereka dijadikan “alat” untuk menyekat pengaruh PAS

Kalau betul Umno mahu meletakkan mereka di dalam kerajaan, kenapa tidak dicalonkan saja mereka (yang digelar pemain agama oleh MB Kelantan) di kerusi yang selamat? Sebaliknya Umno mempertaruhkan mereka ini di kerusi yang sukar dan perit untuk dimenangi kerana kredibilit yang ada pada tokoh pembangkang di kawasan terbabit.

Misalnya, di Parlimen Permatang Pauh, Firdaus dicalonkan untuk melawan Dr. Azizah isteri Anwar Ibrahim yang menang di situ sebelum ini dengan majoriti lebih 9 ribu. Begitu juga dengan Mashitah yang menentang Taib Azamuddin mantan Imam Besar Masjid Negara yang sangkat kuat pengaruhnya di Baling.

Sejarah membuktikan, pemain-pemain agama begini kelak akan ditendang atau sekurang-kurangnya menjadi suratkhabar lama seperti yang terjadi ke atas A.Hamid Othman, Nakhaie, dan Yusof Nor. Dan yang terbaru, Hamzah Ramli, bekas Exco Agama Johor turut disepak keluar untuk memberi laluan kepada calon komponen BN.

Selamat bertanding Mashitah, Firdaus dan Amran. Selamat berkempen dan menghina hudud Tuhan. Selamat masuk ke dalam tong busuk dan kalian akan terkena najisnya!

Read more...

Isnin, Mac 08, 2004

Maafkan saya! Lagi artikel politik daripada saudara kita yang harus kita baca.

Dalam satu majlis yang dihadiri mantan PM Tun Mahathir kira-kira sepuluh bulan yang lalu, seorang rakan sempat bergurau dengan saya. Katanya, dia berazam, mahu membisikkan ke telinga Dr. M supaya jangan berhenti apabila kami bersalaman dengannya nanti.

Saya bertanya kenapa? Bukankah Pak Lah lebih lembut? Lebih islamik dan digelar Mr. Clean atau Nice Guy? Biarlah Mahathir yang diktator itu berambus secepat mungkin kalau boleh.

Tetapi kawan saya yang memang peka dengan senario politik nasional itu (malah turut menurut artikel politik) menegaskan, Pak Lah lebih bahaya! Orang lemah lembut selalunya lebih menekan apabila beroleh kuasa. Kalau tak percaya, tengoklah nanti!

Saya terdiam, tidak terlalu cepat bersetuju namun sepintas lalu pula teringatkan zaman Pak Lah memegang KDN lebih teruk berbanding sebelumnya. Pada zaman Pak Lahlah Harakah disekat kepada dua kali sebulan dan tercetusnya istilah-istilah seperti , Maunah, KMM, JI dan sebagainya.

Rasanya kita tidak perlu menunggu terlalu lama lantaran sebaik Pak Lah bergelar PM kuku besinya sudah mulai terserlah. 13 pelajar kita di Pakistan itu buktinya. Sejurus tiba di KLIA, pihak polis terlebih dulu menerpa dan menahan (bukan menangkap) para pelajar yang tidak berdosa.

Walaupun Pak Lah kemudiannya menampilkan perwatakan islamiknya dengan menjadi imam solat tarawih, tetapi kepura-puraan pemimpin Umno yang telah sebati dengan jiwa mereka tidak dapat disorokkan lagi. Kempen perangi rasuah yang dilancarkan Pak Lah jelas menunjukkan ia hanyalah gimik pilihan raya semata-mata. Buktinya, hanya Eric Chia dan menteri yang jarang-jarang kita dengar namanya (siapalah sangat Tan Sri Kasitah Gadam?) serta bilis-bilis kecil sahaja yang dipukat. Jerung-jerung besar seperti Rafidah Aziz, Abd. Rahim Thamby Chik, Khalil Yaakob dan puluhan lagi dibiarkan terlepas.

Kini, dengan pengisytiharan tarikh penamaan calon dan Pilihan Raya Umum ke 11, Pak Lah sekali lagi menunjukkan kalibernya sebagai diktator tulen. Rekod 9 hari yang dicatatkan oleh Mahathir Mohamad sebelum ini berjaya dipecahkan oleh Pak Lah.

Beliau seharusnya berasa malu dengan tindakan bacul dan tidak demokratik sebegitu. Walaupun Amerika Syarikat adalah negara pengganas paling dibenci di dunia, tetapi nilai-nilai demokrasi dalam pilihanraya masih dipelihara di sana. Para calon diberikan kesempatan berdebat beberapa kali di media massa malah tarikh pilihanraya sudah diumumkan awal-awal lagi. Lebih memalukan jika diambil contoh demokrasi di negara haram Israel sendiri, yang mana Parti Likud dan Parti Buruh diberi peluang sama rata untuk muncul berkempen di TV.

Sungguh malang amalan demokrasi semacam itu tidak pernah wujud di Malaysia yang pemimpin kerajaannya sangat marah apabila dikaitkan sebagai proksi Yahudi atau ejen Amerika. Contoh baik daripada Yahudi sedemikian tidak pula mahu diikut, walhal ideolagi sekular yang dicopy dari pemikiran Yahudi sangat mereka sanjung.

Dengan pelbagai halangan dan sekatan yang tidak sepatutnya belaku dalam pilihanraya termasuk isu SPR dijadikan budak suruhan, dan pihak polis dijadikan benteng menggantikan pemuda tahan lasak Umno; imej Pak Lah sebagai Mr. Clean tetap akan tercalar. Meskipun beliau berkelulusan Pengajian Islam, tetapi manifesto negara Islam tulen yang ditentangnya akan meletakkan beliau sebaris dengan Lim Keng Yaik, Lim Ah Lek, Kayveas dan Sammy Vellu.

Ternyata, segala apa yang diramalkan oleh rakan saya itu benar belaka!





Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP