Khamis, April 15, 2004

Kadang-kadang saya senyum sendiri bila mengenangkan bengkel penulisan yang saya hadiri baru-baru ini. Saat menjadi pembimbing, cakap begitu sedap. Petua/tips dan pelbagai lagi diturunkan kepada peserta. Kalau mau jadi penulis, mesti begitulah, beginilah. Tapi diri sendiri? Ya. Saya sering berasa insaf kerana sangat kurang mengarang. Juga, sebenarnya, tidak bijak mengatur masa untuk proses penciptaan yang bukan main-main itu.

Dalam bengkel baru-baru ini, para peserta genre novel diminta menyediakan fragmen novel masing-masing. Itu kehendak urusetia, namun saya yang daif pengalaman ini meminta calon-calon novelis itu menyediakan kerangka terlebih dahulu sebelum menyiapkan fragmennya. Di dalam kerangka itu mesti dinyatakan tema, latar, watak, plot (jalan cerita dan konflik cerita yang mahu ditampilkan), dan sudut pandangan. Itu cara saya. Penulis lain pasti berbeza pula caranya. Dan saya meminta pelajar memikirkan isi cerita yang mahu mereka novelkan itu daripada A sampai Z. Ironinya, klimaks dalam karya saya sendiri biasanya saya temui mungkin di persimpangan M, atau selekoh R, dalam perjalanan menuju ke Z.



Read more...

Selasa, April 13, 2004

i
Sedar tak sedar rupanya sudah satu dasawarsa saya terjun ke dunia sastera. Sudah satu dekad aku menulis. Januari 1994 pastinya tarikh yang sangat diingat, lantaran ketika itulah cerpen pertama tersiar. Judulnya Juara yang Tewas. Hati suka bukan kepalang, sekalipun sedikit ralat apabila editor Dewan Siswa tercetak nama Shazmee Rizal Agus Salim (anak Mahaya Mod. Yassin) sebagai pengarangnya. Dan kalau dulu masih bergelar penulis remaja, kini sudah di penghujungnya. 16 April ini saya akan mencecah 27 tahun.

Dan dalam tempoh sedekad itu, secara ikhlasnya saya memang tidak produktif dan konsisten. Hanya dua novel, puluhan cerpen, belasan puisi dan beberapa artikel, tentunya saya sama sekali tidak layak dijadikan model sebagai penulis muda berjaya dan prolifik, apalagi dibariskan dengan Hizairi Othman, Faisal Tehrani, Nisah Hj Haron, Mohd Nazmi Yaakub, Mawar Shafei, Uthaya Sankar SB (mengambil contoh penulis yang lahir pada dekad 70-an) yang sentiasa konsisten dalam aspek kualiti dan kuantitinya.

Menjadi pengarang memang menuntut pembacaan yang luas. Hiburan, sukan, politik, agama, sosial, ekonomi, sains dan teknologi semuanya mesti dijamah. Tak dapat sepenuhnya, sipi-sipi pun jadilah. Maknanya, kita kena banyak tahu. Musaqqaf kata orang Arab. Tegal itu, Pak Samad Said pernah berpesan, syarat utama untuk menjadi penulis ialah membaca, membaca, membaca, membaca dan menulis.
ii
Liverpool kalah lagi. Setelah tunduk kepada Arsenal 2-4 Jumaat lalu, semalam tewas pula kepada Charlton 0-1. The Reds kelab bolasepak pujaan saya sejak kecil namun sejak 1990 gagal memenangi Liga Inggeris. Makin lama, corak permainan juga makin buruk. Jauh daripada menghiburkan. Gerard Houllier memang patut disingkirkan pada hujung musim ini, tidak kira sama ada Pool layak atau tidak ke Champions League. Banyak aspek kelemahan ketara Houllier yang dilihat seperti pembelian pemain yang tidak tepat (harganya pula mahal bukan main) dan penerapan corak permainan yang membosankan.

Kalau dulu Reds pernah diibaratkan seperti pasukan Belanda yang bermain passing game dan menyerang, kini mereka tidak ubah seperti Arsenal pada dekad 80-an. Pemain tengah tidak kreatif dan kurang berfungsi mencipta peluang. Ini menyebabkan penyerang terpaksa mengharapkan pemain pertahanan untuk membuat hantaran jauh dari bawah.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP