Sabtu, April 24, 2004

I
Saya belum lagi membaca Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani yang dipromosi di www.se-lain.com. Ia tidak didapati di kedai-kedai kerana Faisal menjualnya secara pesanan. Pembayaran bisa dibuat menerusi maybank2u, money order atau deposit tunai. Harganya RM49.90.

Anak murid saya bernama Salwa (saya mengajarnya Bahasa Arab) seorang pelajar tingkatan empat mempunyai sebuah cerpen yang tersiar di Dewan Siswa pada Oktober 2003. Allahyarham Dr. Othman Puteh sempat mengulas cerpen itu (sayangnya, saya tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada OP). Saya bercadang menghantarnya ke Perkampungan Penulis Muda peringkat negeri Johor pada minggu depan. Malangnya, sewaktu saringan/pemilihan dibuat dalam Bengkel Penulisan Kreatif anjuran PPD Segamat, namanya telah tercicir. Atau lebih tepat, tidak terpilih dalam senarai 10 orang yang akan ke peringkat negeri. Kesian. Barangkali cerpen yang disediakannya semasa bengkel langsung tidak menarik perhatian pembimbingnya. Silapnya juga lantaran tidak menunjukkan bukti bahawa dia telah menembusi Dewan Siswa!

Justeru, saya cuba mengusulkan namanya ke MPR pula. Tak tahulah dapat ke tidak. Saringan di peringkat DBP tentunya lebih sukar. Khabarnya MPR akan diadakan pada awal Jun ini di Genting. Hebat! Saya, sehingga ke hari ini masih kekal mencemburui segelintir penulis kelahiran MPR seperti Faisal, Nisah Haron, Saharil Hasrin Sanin, Salina Ibrahim, Amaruszati Noor Rahim, Uthaya Sankar SB, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Samsuddin Othman dan beberapa lagi. Namun, mungkin ramai yang tidak perasan, betapa dana mewah dari DBP itu jarang dibalas dengan respon yang menjanjikan daripada calon-calon penulis muda. Daripada beratus-ratus graduan MPR yang diwujudkan sejak 1986, rasanya tak sampai 10 peratus yang kekal menulis. Itu hakikat yang wajib ditelan. Betapa sukarnya melahirkan penulis. Dalam seratus yang dibimbing, mungkin hanya lahir dua yang menjadi.

Kawan saya, Ashadi Saiman barangkali murka apabila saya mencatatkan begini di sini. Hahaha. Tetapi saya juga sebenarnya adalah ahli kelab Alumni MPR sekalipun tidak pernah menyertai MPR.

II
Malam ini, pertemuan klasik Manchester United menentang Liverpool. Tiada pertemuan yang dianggap lebih besar dalam EPL daripada pertemuan kedua-dua kelab yang mendominasi era 90-an dan 80-an ini. Itu kata-kata Alex Ferguson. Kedua-duanya yang sangat kaya dengan tradisi bagaimanapun sudah terlepas kejuaraan liga kepada Arsenal. Liverpool hanya mensasarkan tempat keempat untuk membolehkan mereka ke Liga Juara-juara 2005, manakala MU berhajat memotong Chelsea di tempat kedua.

Read more...

Khamis, April 22, 2004

Kira-kira 540 kondom ditemui di tapak program 'Karnival Sureheboh TV3' di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah sewaktu dan selepas program tersebut pada 17 dan 18 April lalu.

Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan melaporkan, pada 17 April, antara jam 5.00 hingga 6.00 pagi, pihaknya menemui 326 kondom di sekitar kawasan tapak ‘Karnival Sure Heboh TV3’ dalam rondaan dan pembersihan yang dibuat.

“Enam belas daripada 326 kondom yang ditemui masih basah dengan 'air mani',” katanya yang menghubungi Harakahdaily dari Alor Star hari ini.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, pada hari yang berikutnya, sewaktu rondaan dan pembersihan dilakukan pada jam 8.00 pagi, pihak berkuasa tempatan turut menemui 214 kondom lagi di tempat yang sama.

- sumber Harakahdaily

Memo: Yes, inilah Islam Hadhari yang kita mahu! Selepas ini SureHeboh TV3 sure bertandang pula ke Terengganu.

Read more...

Rabu, April 21, 2004

Semalam terima surat daripada JPNJ. Saya dipilih menjadi pembimbing dalam Perkampungan Penulis Muda Johor di PLRF Tebing Tinggi, Segamat pada 27-29 April ini. Nampaknya, tiga hari pada minggu depan saya tiada di sekolah tegal terpaksa berdamping dengan calon-calon penulis muda. 5 peserta (kecuali Segamat yang menghantar 10) daripada setiap daerah di Johor akan hadir.

Justeru, saya mengambil langkah awal dengan menghubungi UPND. Saya bercakap dengan editor kesayangan saya Puan Nor Azah Aziz yang sudah lama tidak saya dengar suaranya. Dia antara editor terbaik negara dan saya sangat bersyukur kerana pernah dua kali bekerjasama dengannya. Ia pengalaman yang sangat berharga saya kira. Saya memesan 20 naskhah (10 Rona, 10 Nailofar) novel yang saya fikir boleh terjual di perkampungan itu nanti. Ini kali ketiga saya memesan buku dengan mengkreditkan akaun royalti saya. Sebelum ini hampir 100 naskhah Rona Bosphorus habis terjual di tangan saya sendiri. Saya tidak punya bakat direct selling, tapi menjual buku sendiri rasanya, tidak menjadi masalah bagi saya.

Saya mencari cerpen-cerpen lama saya dalam e-groups KMSM. Disket banyak yang musnah. Mujurlah saya bertindak menyimpannya secara maya. Insya Allah, saya akan meletakkan cerpen Rencam dan sebuah cerpen terjemahan berbahasa Arab saya di weblog ini sedikit masa lagi.

Apabila menulis dengan gaya saya begini, ingatan saya terus berlari kepada novel Remains of the Day (terjemahan DBP berjudul Penghujung Senja) oleh Kazuo Ishiguro yang memikat itu. Seterusnya, pasti terlintas watak Steven, seorang butler yang setia-jujur dan agak lurus bendul.

Read more...

Isnin, April 19, 2004

ULASAN BERITA
i
ALOR STAR 18 April
- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perbuatan seorang jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Merang, Setiu, merogol peserta program itu adalah sesuatu yang keji dan tidak boleh dimaafkan.

Memo: Lihatlah, bala Allah telah tiba, tak sampai sebulan! Sejarah hitam Rakan Muda berulang. Kem merugikan masa begini tak mustahil akan jadi tempat melahirkan anak-anak luar nikah yang mungkin juga bakal dibuang!

ii
Orang Terengganu kembali ‘kena cukai pintu’

Ketika kerajaan ... (sebut dot dot dot) Terengganu memerintah selama 4.5 tahun, cukai pintu dihapuskan bagi meringankan bebanan rakyat.

Setelah hasil royalti minyak/gas dirompak kerajaan ... Terengganu masih boleh bertahan. Cukai pintu dikatakan akan terus lenyap selagi ... memerintah.

Rakyat jiran (Pahang) memang iri hati kerana terpaksa bayar cukai pintu setiap tahun.

Bagaimanapun, dalam tempoh tak sampai tiga minggu kerajaan dulu kini selamanya ambil alih Terengganu, seluruh kediaman penduduk Taman Pak Dogol di Kemaman telah menerima penyata cukai pintu beserta tunggakan sekali melalui surat bertarikh 1 April 2004!

Memo: Ini lagi cepat balasan-Nya. Kesiang orang Ganu!

Read more...

Ahad, April 18, 2004

Al-Fatihah
Pagi tadi, kita dikejutkan pula dengan syahidnya seorang lagi pemimpin HAMAS, Dr. Abdul Aziz Rantisi. Almarhum baru saja menggantikan As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin sebagai pemimpin HAMAS di Tebing Gaza tidak sampai sebulan. Sebuah helikopter Apache milik rejim Tel Aviv membedil kereta yang dinaiki oleh Rantisi dan dua sahabatnya. HAMAS segera menamakan pengganti as-syahid tetapi tidak mengumumkannya.

Justeru, berjela-jelalah ucapan takziah yang diterima HAMAS daripada pemimpin-pemimpin Arab. Namun saya teringat, tatkala kematian Syeikh Ahmad Yasin, perutusan dari Algeria (seperti yang disiarkan Aljazeera kerana saya menontonnya tatkala pembunuhan itu baru berlaku menerusi Astro) tidak mahu mengucapkan takziah kepada HAMAS lantaran hujahnya, orang yang syahid itu tidak mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan dan beroleh rezeki.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP