Jumaat, Mei 07, 2004

1
Penggalan berita:-
Penggunaan istilah asing seperti 'parcel', 'presinct', 'boulevard' dan 'souq' di Putrajaya adalah sesuatu yang cukup memalukan kerana ia berlaku di tengah-tengah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Malah kompleks kehakiman yang menjadi nadi keadilan negara dikenali 'Palace of Justice' sedangkan terjemahannya 'Istana Keadilan' adalah amat sesuai di negara yang mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sebuah akhbar semalam melaporkan, DBP kesal kerana banyak teguran mengenai penggunaan istilah asing tidak diberi perhatian serius terutamanya oleh pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pengarahnya, Dato’ A Aziz Deraman dilaporkan berkata, teguran itu melibatkan nama bangunan, jalan dan kawasan penempatan baru.

Punca kemerosotan penggunaan bahasa Melayu yang kini menjadi bahasa rojak juga berpunca sikap kerajaan itu sendiri yang meminggirkan bahasa rasmi negara.
Keadaan bertambah parah apabila dasar penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik diperkenalkan.

Memo: Kesiannya Bahasa Melayu! Merempat di negara sendiri.

2
Baru lepas kuliah Maghrib di surau SMKAS. Itu rutin saya pada Jumaat malam Sabtu sebenarnya, tetapi terhenti sejak bulan Mac. Paling akhir berkuliah rasanya pada bulan dua. Saya buka kitab Asyratus Saah (Tanda-tanda Qiamat) sejak tahun 2002. Dah habis pun tanda-tanda yang kecil, kini beralih ke tanda-tanda Qiamat yang besar pula. Tadi, saya baru masuk tajuk Imam Mahdi sebagai alamat besar yang pertama. Malam esok, ada satu lagi kuliah. Lokasinya berbeza.

3
Kenal Aminah Mokhtar yang merangkul hadiah pertama Novel Alaf Baru tahun lepas? Novelnya, Dominasi Tebrau menyapu RM30 ribu. Novel Iman Markisanya pula menang tempat ketiga Hadiah Sako 2. Dia orang Muar, tinggal di Cheras, bertugas di Hospital Universiti (kalau tak silap). Saya memang agak rapat dengan Kak Min (panggilan singkatnya) sejak menyertai Bengkel Kepezi pada tahun 2000. Kebetulan dalam bengkel itu dia menjadi pendamping saya. Banyak kata-kata semangat dan motivasi daripadanya untuk saya lewat SMS hingga ke hari ini. Kak Min memang penulis wanita gigih. Tak mustahil 15 tahun akan datang, dia akan bergelar Sasterawan Negara jika dilihat kepada kualiti dan kuantiti karyanya. Namun motivasi dan komitmennya itu nampaknya belum melarat ke saya. Khabarnya, Kak Min akan bercuti setahun untuk tumpu menulis. Pernah suatu ketika dulu, Kak Min ingin berhenti kerja jururawat untuk jadi penulis sepenuh masa, tapi Pak Samad Said tak beri. Moga ada karya hebat dan kejutan daripada Kak Min tahun depan. Kita doakan!

Dengar-dengarnya juga, senarai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 (HSKU) akan diumumkan minggu depan. Cuba tengok Mingguan Malaysia pada Ahad ini kalau-kalau ada. Majlis penyampaian HSKU pula lazimnya juga akan diadakan sebelum berakhirnya Mei. Tak sabar rasanya untuk membeli antologi dan novel-novel remaja pemenang HSKU 2003 yang akan dijual pada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC mulai 21-30 Mei ini.



Read more...

Khamis, Mei 06, 2004

a
LiBin (Azli Ubin - Ketua Pengawas SMKAS 1996) telefon saya pagi tadi. Undangan ke walimahnya pada 30 Mei ini di Pt. Sulong. Dia dapat orang Pontian. Sejawa katanya. Seorang lagi nampaknya menyahut seruan Rasulullah supaya segara bernikah. Yelah, takkan nak puasa je memanjang. Dengar khabar, Ahmad Syafii Yahya juga sudah melangsungkan walimahnya pada 2 Mei lepas. Mabruk alaikum! Yazed, LiBai ... engkorang bila lagi?

b
Saya tidak tahu kenapa sukar sangat untuk saya meneruskan novel ketiga saya yang mungkin saya beri judul ILW. Watak ok. Latar ok. Tema pun ok. Barangkali konfliknya belum betul-betul masak dalam cepu kepala saya. Alangkah sengsara melalui proses begini!

ILW masih cerita remaja. Watak budak sekolah. Yalah, asyik watak pelajar IPT, boring juga. Saya mahu menyelami dunia remaja di alam persekolahan yang sangat indah itu. Mungkin kali ini, macam yang lepas-lepas, orang akan kata sayalah watak hero dalam novel ILW nanti. Padahal banyak sahsiah lain yang boleh kita angkat menjadi protagonis/hero dalam cereka selain diri sendiri. Namun saya tidak menolak kebenaran betapa perwatakan Iqbal dalam Sesegar Nailofar ada sikit-sikit pada diri saya. Begitu juga watak Afham dalam Rona Bosphorus. Tetapi tidak pula saya pernah bercinta dengan Salsabila, Nur Hazwani mahupun Amal Hayati. Cuma barangkali ciri-ciri yang ada pada mereka memang menjadi idaman saya.

c
Betul ramalan saya, Chelsea gagal ke final setelah hanya mampu seri 2-2 (kalah agregat 3-5). Kebangkitan The Blue pada separuh masa pertama pupus apabila dikejutkan gol pertama Monaco pada penghujung separuh masa itu. Beratus-ratus juta paun yang dibelanjakan oleh taiko minyak Russia Roman Abramovich gagal merebut walau satu trofi untuk Chelsea (kecuali trofi yang mereka menangi masa lawatan ke Malaysia pada musim panas 2003 setelah menewaskan Newcastle di Stadium Bukit Jalil). Kesian Chelsea. Buat masa ni, saya belum mampu ramal pemenang antara Porto dengan Monaco. Seperti yang kita tahu, Porto sangat taktikal dan oportunis manakala Monaco begitu berkesan ketika menyerang balas dan bertahan.

Read more...

Rabu, Mei 05, 2004

Cerita bola
Deportivo kalah kepada FC Porto 0-1 di Riazor Stadium. Kesian. Kecundang di tempat sendiri. Berakhirlah kemaraan dramatik La Coruna yang telah mengecewakan Juventus dan Real Madrid sebelum ini. Dan Porto mengekalkan rekod gemilangnya (bukan terbilang ye) di tempat lawan. Jelas sekali bekas juara Eropah 1987 itu (ingat lagi kuisan ke belakang oleh Rabah Madjer) begitu mantap di bawah jurulatih Jose Maurinho. Pasukan ini agak kurang menyerang, tetapi dilihat sangat taktikal dan oportunis dengan peluang.

Malam ini, Chelsea lawan Monaco pula di Stamford Bridge. Sukar nak diramal peluang Chelsea sebab UCL tahun ini pelik sikit (Chelsea ni nampaknya ramai sangat starnya. Melimpah-limpah sampai Claudio Ranieri payah nak kontrol. Mereka pun selalu main ikut suka sendiri saja). Macam-macam upset dah terjadi seperti bungkusnya MU (hahaha), Real, Arsenal dan Juve. Tapi aku pilih Monaco vs Porto pd 26 Mei nanti.

Cerita ekonomi dan politik
Harga petrol dan yang sewaktu dengannya naik 2 sen. Hmmm... itulah hadiah kemenangan namanya. Itulah balasan terhadap undi anda! Bila petrol naik, maka akan naiklah semua harga barangan (walaupun cuba dikawal kononnya) lantaran segala barangan diangkut dengan menggunakan kenderaan yang semuanya pakai minyak. Nak angkut sayur, pakai lori yang pakai minyak. Nak angkut ikan, pun pakai lori yang pakai minyak. Masa ini mungkin rakyat agak marah dan geram, tapi tunggulah lima tahun lagi. Semua sudah lupa. Benar kata Mahathir: MELAYU MUDAH LUPA!

Read more...

Selasa, Mei 04, 2004

Semalam 3 hari bulan lima, kami pergi berkelah lagi di Teluk Gorek. Lima buah kereta kali ini. Tiba sebelum zohor dan pulang bila masuknya waktu Asar. Hampir sejam berendam dalam air. Seronok sungguh dapat berenang sakan.

Masa kecil-kecil dulu, saya memang tak pandai berenang walaupun rumah dekat dengan laut dan sungai. Puncanya, mak yang sangat tegas dan akan marah besar sekiranya saya dan adik mandi laut atau sungai tanpa kebenaran. Alhamdulillah, masa ambil diploma di UIAM, sengaja saya ambil subjek elektif berenang selama 3 bulan - berlatih 4,5 kali seminggu - dan akhirnya beroleh B (hinggakan mak terkejut besar melihat saya terjun ke laut di Taman Laut Tioman pada Julai 2002 kerana menyangka saya masih tidak pandai berenang). Kini, kemahiran berenang dan mengapung badan di air sudah dapat dikuasai.

Pagi ini, kami merancang untuk mengadakan hari keluarga pula pada percutian-percutian akan datang. Tak tahu lagi di mana, mungkin di Rompin kot. Tengoklah nanti.

Ini sambungan cerpen saya pada entri yang lalu. ramai yang tidak pernah membaca cerpen ini lantaran ia tersiar di Muslimah, November 1998. Ingat akhir 1998? Itu fatrah REFORMASI!

Syukur. Kaedah pencarian bahan saya akhirnya berhasil. Saya memperoleh cerita ini daripada seorang sahabat paling karib yang sering mengirimkan perutusan-perutusannya dari semasa ke semasa. Dia bercerita
mengenai dirinya. Cerita sedih. Agak menyayat juga. Sebak dada ini bila mengenangkannya. Namun disebabkan ketiadaan bahan, saya garapkan juga.

Saya mula mengetahui kisah ini pertengahan Mac yang lalu. Menelusuri selanjutnya kala awal Mei. Natijahnya cuma diperolehi baru-baru ini. Ia bermula apabila saya ke pusat internet untuk mendapatkan berita tanah air. Sewaktu saya membuka inbox e-mail saya itu, saya dapati suatu perutusan dari Jakarta. Memang itulah yang saya nanti sekian lama.

Read more...

Ahad, Mei 02, 2004

Sampai di Kampung Belukar Juling, Endau maghrib sore semalam. Hahaha. Pasti kalian tertawa mendengar nama kampung kelahiran saya. Memang begitulah namanya. Banyak versi cerita asal nama kampung. Cerita lain kalilah.

Hari ini hari lahir Rasul Junjungan kita Muhammad ibn Abdillah SAW. Marilah kita membanyakkan selawat dan salam buat baginda. Assolatuwassalam. Dan berbetulan dengan hari lahir sahabat baik saya – Yazed Abdul Rahman – yang bertugas di KDN, Putrajaya. Selamat Hari Lahir ke-27, Zed! Bila nak kahwin? Juga adik saya Muhammad Amin. Selamat Hari Lahir ke-24. Tua dah engkau, ya. Moga panjang usia!

Pernah baca cerpen saya suatu ketika dahulu yang bermula begini?

SAYA tidak tahu apakah alasan paling munasabah untuk diberikan kepada
editor Reformis apabila gagal menyiapkan cerpen dalam tempoh yang
dijanjikan. Biarpun banyak tema yang berlegar-legar dalam kepala,
sayangnya semuanya bagai tidak mesra. Datang sebentar dan kemudiannya
berlalu pergi. Masa terbiar begitu sahaja tanpa sebarang karya.
Lantas saya penuhi masa yang terluang itu -dibauri rasa kecewa
sebenarnya- dengan menulis perutusan ke sana sini. Untung-untung rakan
yang berselerakan di segenap pelosok dunia mampu mengirimkan berita. Dan
dari berita-berita itulah, siapa tahu akan terhasilnya karya!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP