Sabtu, Mei 22, 2004

Malas pula nak menulis blog. Justeru, saya teruskan cerpen saya minggu lepas...

Dia berhenti di situ. Saya menggetap bibir. Geram, biarpun sudahterbiasa dengan kelazimannya menamatkan perutusan secara tergantung.
Sikap Ika itu sudah amat saya fahami. Katanya, biar saya senantiasa
tertunggu-tunggu, dan kami akan terus berhubungan selalu.

Ika memang berbakat dalam penulisan. Justeru, jurusan yang diambilnya
adalah Sastera Melayu. Lantaran itu saya tidak pelik membaca
perutusannya yang sedemikian menarik. Kata-kata tersusun cantik ditambah dengan keindahan bahasa dan gaya bahasa yang memukau.
Persahabatan yang terlalu erat membuatkan kami saling rindu-rinduan.
Biarpun terpisah jauh, tetapi titipan warkah di antara kami tidak pernah putus.

Jelasnya, dengan teknologi maklumat yang semakin pesat, kami
turut terkesan; untuk berhubung terus melalui jaringan komputer, tidak
lagi menerusi kertas. Namun, akhir-akhir ini sahaja, Ika seakan-akan
terkena kejutan. Hampir sebulan setengah saya tidak menerima sebarang
berita darinya. Mungkin seperti yang disifatkannya dalam perutusan
e-mail terdahulu. Demam 'cinta' sedang melanda!

Saya tidak tahu banyak tentang Mustaqim. Namanya memang enak didengar.
Pastinya lelaki itu berperibadi murni.Kalau tidak masakan Ika pun turut
tergila-gila! Ada juga rasa kurang senang sekiranya Ika memilih jejaka
seberang. Tetapi memikirkan jodoh pertemuan di tangan Tuhan, saya
biarkan keadaan menentukan. Mustaqim katanya lelaki baik. Punya karisma
dan kaliber selaku pimpinan pelajar di sana. Wibawanya, kata Ika amat
mengagumkan. Pemimpin setiap piket, pidato, dan demonstrasi terhadap
kerajaan. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini kala ekonomi Indonesia
sedang menjunam teruk.

Menurut Ika, mereka bertemu kala demonstrasi setelah beberapa bank di negara itu tumbang gara-gara IMF. Pertemuan yang tidak disengajakan barangkali. Selebihnya saya tidak tahu.

Sesudah lima hari, saya menerima lagi perutusan di monitor komputer.
Kuharap khabarmu masih waras seperti lima hari yang lalu.

Ijah,
semalam kutemui lelaki itu kala hujan turun rintik-rintik. 4 Mei 1998 adalah tarikh yang takkan kulupa. Di mana-mana ada berlakunya demonstrasi dan rusuhan. Kalau bulan lepas di Jakarta, Surabaya dan Yogyakarta, kali ini melarat ke Medan dan Bandung. Faktornya, kenaikan harga barang yang melampau. Manusia berarak di jalan raya, bertempur dengan ABRI sekutu Suharto, dan memecahkan bangunan. Terlalu banyak peristiwa yang tidak mampu aku ceritakan. Orang sudah jadi gila.
Namun kala manusia merusuh, rupanya jiwa kami turut sama merusuh. Aku
sungguh tidak mampu menolak kehadirannya dalam hidupku. Demikian juga
dirinya. Pertemuan dalam demonstrasi di depan gerbang kampus itu sejarah buat kami.

Dan 4 Mei, tarikh yang sukar kulupa. Semalam, sewaktu aku pulang dari kampus, kala mentari bersinar rakus, Mustaqim bersama seorang wanita menahanku. Mustaqim memperkenalkannya padaku. Dia ibu lelaki itu! Aku malu amat bila Mustaqim berterus-terang sahaja di depan ibunya tentangku. Mahu saja kusorok mukaku ini di dalam kerudung! Ibunya
peramah, Ijah. Seorang pensyarah dan nampak islamik seperti anaknya.
Kami berbual-bual seketika sebelum mereka meminta diri. Memang lelaki
itu tidak punya masa. Dia memberikan sekeping kartu buatku.
Engkau mahu tahu apa yang tertulis di kartu itu? Kata-kata HAMKA itu
rupanya diulang lagi!

"Di mana berdirinya seorang pria yang berjaya, maka di sisinya ada
seorang wanita yang menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran
semangat!
Ika, maafkan aku dan fahamilah diriku. Benarlah kata Hassan al-Banna:
Tugasan itu lebih banyak daripada waktu. Namun aku tetap mengingatimu!"

Itulah yang ditulis oleh jejaka itu. Titik.

Read more...

Isnin, Mei 17, 2004

Sambutan Hari Guru peringkat SMKAS sederhana meriah. Pagi-pagi lagi, ada main bola. Lawan budak. Saya dapat skor satu. Mujur juga tidak cedera tegal kaki saya hampir terpelecok. Esok petang, ada perlawanan kalah mati peringkat suku akhir Karnival Bolasepak SMKAS. Lawan budak Tingkatan Lima.

Dapat surat daripada UPND. Rupanya kad jemputan ke penyampaian HSKU2003 pada 21 Mei ini. Pasti Kak Azah yang menghantar. Ingat juga dia pada saya ni. Memang dia kakak dan editor yang sangat baik. Dulu, masa penyampaian Hadiah Sako 2 dapat juga undangan. Tapi sayangnya, tak dapat pergi.

Saya terasa tidak selesa dan kadangkala rasa mahu tertawa juga bila mengenangkan ucapan tahniah yang ikhlas daripada saya telah disalahtafsirkan oleh seseorang.

Read more...

Ahad, Mei 16, 2004

+
Hari ini 16 Mei. Hari Guru. Terima kasih buat insan yang bergelar guru. Jasamu tak terhitung.

++
Keputusan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 diumumkan hari ini di Mingguan Malaysia. Tentu inilah antara berita paling menarik perhatian khalayak sastera dan peminatnya. Tahniah kepada para pemenang terutama kepada yang sudi berkunjung ke weblog saya ini seperti Saudara Ghafirah Idris yang menang dalam percubaan pertamanya di media perdana Utusan. Cerpennya Eksperimen 5-S menggondol hadiah utama (RM 2500) kategori cerpen. Ini cukup mengingatkan saya kepada kejayaan Ranofla Dianti Irwan (isteri SN S.Othman Kelantan) yang turut menang pada 1999 dalam kategori yang sama apabila pertama kali menghantar cerpennya ke Mingguan.

Juga kepada Faisal Tehrani yang berjaya mengekalkan kejuaraannya apabila muncul dengan novel terbaru 1511H (Kombat) setelah memenangi tempat pertama dengan teks oksidentalismenya, 1515 pada 2002. Inilah yang dinamakan diam-diam ubi. Dan inilah kali kedua saya terkejut dengan penyertaan beliau dalam novel remaja. Setapak di belakang Faisal, Kak Nisah Haji Haron pula merebut tempat kedua dengan novel Mencari Locus Standi. Khabarnya Kak Nisah menuang ilmu guamannya ke dalam karya novel sulungnya ini.

Dan tidak lupa, buat teman baik, Mohd. Nazmi Yaakob yang menang hadiah penghargaan menerusi cerpennya, Dia, Hajar Tidak Menyerah. Nazmi menelefon saya dari Berita Harian pagi tadi lantaran tidak percaya apabila dikhabarkan berita itu lewat SMS.

Akhirnya, tahniah kepada semua pemenang! Saya akan membeli novel-novel dan antologi pemenang HSKU2003 pada 29 Mei ini di PWTC.


Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP