Khamis, Ogos 12, 2004

Berita ini dipetik dari Harakahdaily semalam. (Bukan sengaja direka-reka penulis apalagi mahu meremehkan kecenderungan sesiapa).

11 Ogos (Harakah) - Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan senario titisan air mata di kalangan peserta Akademi Fantasia (AF) hanyalah satu lakonan yang digerakkan oleh penganjur program bagi mengaut duit rakyat melalui kaedah undian sistem pesanan ringkas (SMS).

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata pihaknya mendapat maklumat bahawa pihak penganjur program sengaja mewujudkan situasi itu bagi membolehkan penonton yang meminati seseorang peserta, mengundi peserta tersebut agar tidak terkeluar daripada pertandingan.

"Mereka ini sudah merancang siapa yang akan tersingkir, siapa yang akan masuk semula untuk membuai perasaan penonton supaya berusaha memberi undi kepada peserta pujaan mereka," ujarnya.

Katanya, dengan menggunakan khidmat pengundian melalui SMS, seseorang penonton akan berusaha mengundi seberapa banyak kepada peserta kegemaran bagi mengelak daripada tersingkir. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai senario ‘kelam-kabut’ masyarakat akibat penganjuran program Akademi Fantasia dan rancangan yang seumpama itu mutakhir ini.

"Ada juga keadaan yang mereka buat dengan sengaja mengeluarkan peserta yang dikenal pasti diminati ramai dan mewujudkan pengundian semula bagi peserta yang tersingkir untuk menyertai semula pertandingan," katanya lagi.

"Mereka sengaja menggunakan bakat dan ketrampilan peserta untuk mewujudkan sensitiviti di kalangan penonton terutamanya remaja supaya simpati dan mengundi peserta kegemaran."

Katanya, pihaknya berani mendedahkan kepada sesiapa sahaja berhubung perkara itu. Justeru katanya, Pemuda PAS meminta pihak terbabit yang menganjurkan pertandingan itu dan seumpamanya menghentikan segera tindakan mengaut keuntungan melalui SMS.

Menurut Mazlan, mutakhir ini rakyat tidak lagi sensitif terhadap isu penindasan ke atas umat Islam dan isu memperlekehkan agama. "Mereka lebih rela menangis kerana sayangkan maksiat daripada menangis cintakan akhirat," ujarnya lagi.

Sementara itu seorang pensyarah Pengajian Islam di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), yang mahu dikenali sebagai Mohammed Abdullah berkata, fenomena menangis di kalangan peserta dan penonton Akademi Fantasia memperlihatkan kebejatan tingkah laku remaja Malaysia terutamanya mereka yang beragama Islam. Katanya, kecenderungan peserta Akademi Fantasia menangis kerana tersingkir daripada pertandingan memberi contoh yang buruk kepada remaja yang lain sekali gus menyemai contoh cintakan hiburan di kalangan masyarakat.

"Mengapa mesti menangis kerana tersingkir daripada Akademi Fantasia, sedangkan kita begitu sukar menangis jika terlepas waktu solat atau menyesali melakukan dosa," katanya ketika ditemui Harakahdaily di rumahnya malam tadi.

Katanya, perbuatan menangis dan sedih itu memberi kesan kepada penonton kerana naluri manusia terutamanya remaja meniru segala perbuatan individu yang menjadi pujaan mereka. Katanya lagi, tidak dinafikan kesan daripada penganjuran program seumpama Akademi Fantasia mengakibatkan remaja hari ini meniru gaya peserta yang bertanding dalam program itu.

Read more...

Sedikit lagi sambungan interviu semalam...

8. Apakah mahasiswa hari ini memerlukan anjakan paradigma? Apakah yang diharapkan ustaz tentang perubahan yang perlu dilakukan mahasiswa hari ini?

Perlu. Setiap perubahan biarlah berlandaskan Islam dan demi bangsa dan negara. Mahasiswa mesti kembali mengamalkan Islam yang sebenarnya. Islam bukan sekadar solat, puasa, dan zakat, tetapi cara hidup. Dan rasanya dalam Sesegar Nailofar, saya telah menyarankan secara tidak langsung bagaimana seharusnya peribadi seorang mahasiswa itu. Selain peka dengan konflik ummah, dia juga mesti taat suruhan Allah (sila rujuk halaman 124 Sesegar Nailofar). Solat berjemaah adalah kunci kejayaan ummah. Seorang mahasiswa yang mahu berubah mesti bermula dengan solat berjamaah. Kerana solat berjemaah umpama deklarasi bagi orang Islam. Dari situlah akan timbul amar makruf dan nahi munkar.

Rasa cinta terhadap ilmu juga mesti ada pada jiwa setiap siswa. Kita melihat, siswa hari ini kurang membaca, Mereka hanya membaca buku subjek pelajaran mereka dan wacana hiburan sahaja. Tanpa membaca, kita tidak akan dapat melahirkan seorang penulis, apalagi seorang pemimpin. Dan sebagai orang Islam, tentulah ilmu Islam menjadi keutamaan.

9. Sejauh mana perlunya mahasiswa memaparkan prinsip dan idealis mereka? Sebagai contoh, bagaimana mahasiswa dapat membantu dalam isu-isu kemasyarakatan dan agama umpamanya mengenai isu palestin dan tekanan islam di turki seperti dalam kedua-dua novel ustaz?

Paparan idealis dan prinsip memang perlu. Kelak dikata orang mahasiswa kita jumud. Namun, ketara, AUKU banyak menyekat mereka. Justeru, paparan idealis itu dilihat sangat sederhana atau langsung tiada. Tetapi, berdasarkan pengalaman, tekanan seperti itulah yang selalunya cepat mematangkan seseorang.

Walaupun banyak sekatan, saya fikir mahasiswa masih boleh membantu. Ini sedikit sebanyak akan memaparkan idealis mereka. Menulis di novel tidak sesukar menyarankan di dunia realiti. Dalam isu-isu antarabangsa dan agama, mahasiswa mesti menyatakan pendiriannya. Justeru, memorandum, demonstrasi aman, kutipan derma, kenyataan akhbar, pengedaran risalah masih lagi relevan selain penggunaan IT dalam menyatakan prinsip. Untuk itu, mahasiswa mesti memantapkan organisasi.
(Barangkali jawapan banyak tidak menepati kehendak. Segalanya dibuat secara hampir spontan.)


Read more...

Rabu, Ogos 11, 2004

Sambungan interviu semalam...

5. Sejauh manakah pentingnya peranan mahasiswa hari ini dalam pembentukan dan pembangunan negara?

Peranan mahasiswa sangat penting, sebab mereka adalah pemimpin masa depan. Lantaran itu, saya katakan dua pembelajaran (formal dan tidak formal) semasa bergelar siswa tadi sangat membantu mereka kelak. Biasanya, apabila seseorang mahasiswa itu sensitif dengan sesuatu isu, dia juga akan menjadi pemikir pada masa yang sama.

6.Adakah ustaz bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa mahasiswa hanya perlu menumpukan perhatian kepada akademik mereka, dan tidak perlu campurtangan dalam hal-hal luar kampus seperti politik, hal ehwal negara, masyarakat dan sebagainya?

Sangat tidak bersetuju. Seperti yang telah saya jelaskan awal-awal tadi, kita akan terjun ke dalam masyarakat, justeru kita mesti mempelajari ilmu bermasyarakat. Akademik hanya untuk kerjaya. Untuk bermasyarakat, siswa sangat memerlukan ilmu-ilmu bantu yang diperoleh daripada aktiviti pelajar semasa zaman kampus mereka. Seorang pemimpin tidak akan berjaya memimpin jika tiada langsung walau secebis pengalaman memimpin.

7. Apa pandangan ustaz tentang mahasiswa hari ini? Adakah ustaz bersetuju dengan pendapat Datuk Nik Abd. Aziz Nik Mat yang mengatakan mahasiswa hari ini tidak berakhlak dan kurang berkualiti?

Mahasiswa hari ini bagi saya masih kurang peka. Mereka agak lalai. Barangkali kerna selalu digula-gulakan dengan hiburan dan kemewahan. Sedih juga dengan budaya “takpedulisme” di kalangan siswa. Yang terkini, makin ramai yg tak dapat memahami makna patriotisme. Saya tidak perasan bilakah kenyataan MB Kelantan itu dikeluarkan. Namun, secara peribadi, saya bersetuju. Tidak (saya lebih suka menggunakan perkataan kurang) berakhlak boleh kita rujuk dengan isu-isu pergaulan bebas di IPT tempatan yang dibongkar oleh media. Dan, jika mahu diteliti lebih rinci dari segi akhlak Islam, saya rasa memang agak menyedihkan. Misalnya, dalam soal bertudung, naik motosikal/kereta berdua-duaan, dating, berpegangan tangan dan penjagaan aurat. Islam sangat menitikberatkan pergaulan dan aurat. Jika tidak dijaga, memang benarlah kata Tuan Guru itu.
Kurang berkualiti pula boleh kita rujuk kepada sensitiviti saya kira. Bandingkan gerakan pelajar dekad 70-an dengan siswa sekarang. Jauh sangat bezanya. Mereka mampu menjadi jurucakap masyarakat. Kita kena buka kembali sejarah Demonstrasi Baling, isu Hamid Tuah, isu Bahasa Melayu di UM, isu anti Bahasa Inggeris, isu anti Amerika dalam demonstrasi di Lincoln Centre dan banyak lagi. Harus diingat, seribu pimpinan mahasiswa ditangkap selepas demonstrasi membela petani di Baling. Malah, ada yang lebih awal daripada itu, contohnya para pelajar kita di Universiti al-Azhar, Mesir pernah menjadi sukarelawan perang semasa Arab berperang menentang Israel sehingga mereka (PMRAM) dikurniakan tanah oleh kerajaan Mesir. Sedikit sebanyak kita harus akui betapa AUKU telah menempangkan mahasiswa dan membisukan suara mereka kini.

+ Ada sedikit lagi esok.

Read more...

Selasa, Ogos 10, 2004

i
Maafkan saya jika ada pengunjung yang kurang senang dengan kesimpulan saya terhadap AF semalam. Kita di negara demokrasi, sesiapa pun berhak bersuara. Dan demikianlah pandangan saya.
ii
Hampir setahun yang lalu, saya telah diwawancara secara maya oleh seorang pembaca/mahasiswa yang sedang menyiapkan kajian semester akhirnya. Saya kira tidak menjadi keberatan bagi beliau membenarkan saya menyiarkan wawancara kami itu di sini.

1. Apakah mesej yang ingin ustaz sampaikan kepada golongan mahasiswa dalam kedua-dua novel ustaz itu (Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus)?

Banyak mesej yang ingin saya sampaikan di dalam kedua-duanya, antaranya, saya mahu mencetuskan kesedaran remaja hari ini dengan isu semasa. Saya malah, mahu menghidupkan kepekaan mereka terhadap dunia global Islam yang lebih luas. Selain itu, saya juga berharap watak-watak utama dalam novel-novel saya dapat menjadi model yang baik kepada pembaca terutamanya yang masih remaja.

2.Apakah ciri-ciri yang ustaz rasa harus dimiliki oleh seorang mahasiswa yang ideal? Dan adakah ciri-ciri tersebut dimilik oleh Iqbal dan Afham?

Banyak ciri yang mesti dimiliki. Antaranya, kepekaan terhadap isu ummah itu sendiri yang menjadi pemangkin kepada kedua-dua novel saya. Ciri yang lain seperti sikap bertanggungjawab dan saling bekerjasama dalam amar makruf tanpa mengira bangsa. Mahasiswa yang ideal juga mestilah seorang yang taat suruhan Allah, tahu menjaga batas syariat- susila pergaulan, mencintai ilmu dan begitu memesrai buku.
Memang ciri-ciri tersebut saya titipkan menerusi watak Iqbal dan Afham. Mereka berdua sangat ideal untuk dijadikan remaja contoh dan saya mendapat respons yang memberangsangkan daripada pembaca tentang watak protagonis Iqbal dan Afham.

3. Dalam novel sesegar nailofar, dipaprkan tentang cinta antara Iqbal dan Salsabila. Iqbal berusia 23 tahun dan masih menuntut pelajaran. Adakah ustaz cuba menyatakan yang tidak mengapa mahasiswa bercinta semasa belajar? Apa pandangan ustaz mengenai perasaan cinta dikalangan mahasiswa? Tidakkah ia dianggap mengganggu? Adakah perlu bercinta semasa belajar, dan kalau perlu, bila masa yang sesuai?

Bagi saya cinta tidak menjadi soal, maksudnya tidak menjadi halangan untuk berjaya. Bukankah Hamka ada berkata, di belakang seorang pemuda yang berjaya, ada seorang wanita yang menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran semangat. Ramai pasangan ternama yang telah berjaya mengejar cita-cita dalam pada merebut cinta. Ringkasnya, bagi saya, mahasiswa yang telah bersedia dan matang boleh bercinta.
Cinta di kalangan mahasiswa juga tidak mengapa. Cinta itu fitrah. Dia akan datang pada sesiapa juga, tanpa mengira budak sekolah, mahasiswa, orang dewasa. Yang menjadi masalahnya, bila cinta penyebab kemerosotan pelajar dan menjadi pencetus pergaulan yang tidak mengkut syariat. Selalunya hubungan yang tidak menjaga batas syariatlah yang selalu menimbulkan masalah dan penyebab kemerosotan pelajaran. Kalau seseorang itu terganggu dengan bercinta, baik tidak usahlah berani-beranikan diri bermain api. Hanya mahasiswa yang telah bersedia dan matang boleh bercinta.
Sesiapa yang rasa cintanya datang masa sedang belajar, jika bersedia, terpulanglah kepadanya. Cinta juga tidak mengenal masa dan ruang. Orang yang matang akan bercinta untuk berkahwin. Lantaran itu, dia akan pastikan cinta dan cita-citanya berjalan seiring.

4. Apakah peranan sebenar mahasiswa pada hari ini?

Peranan sebenar mahasiswa ialah belajar. Tetapi jangan disempitkan pula definisi belajar itu. Belajar di sini bermaksud mahasiswa hendaklah mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira ruang dan masa sebagai persiapan untuk terjun ke dalam masyarakat bila dewasa kelak. Bila mencari ilmu tanpa mengira ruang dan masa, bermakna pembelajaran yang formal di kuliah dan yang tidak formal di luar hendaklah dikutip sekali. Hanya dengan kedua-dua pembelajaran ini sahajalah akan mewujudkan siswa yang ideal dan berkualiti tinggi. Menyentuh pembelajaran tidak formal, selain aktiviti kokurikulum dan berpersatuan, saya rasa sensitiviti siswa terhadap alam sekeliling dan isu kontemporari juga suatu sesi pembelajaran sebenarnya. Konklusinya, banyak lagi ilmu yang terdapat di luar dewan kuliah yang mesti dipelajari. Kata cerdik pandai, pengalaman adalah universiti kehidupan yang terbaik.

p/s: Interviu ini akan disambung pada entri seterusnya, insya-Allah.

Read more...

Isnin, Ogos 09, 2004

Bila Demam AF ni, suka saya mencatat beberapa kesimpulan (maaf kepada peminat AF yang setia):

1. Pengundi di Malaysia (termasuk dalam Pilihanraya Umum) masih mentah, kurang berfikir dan mudah digula-gulakan dengan emosi
2. Mata dan telinga orang kita tidak pekak tetapi kadangkala sukar menerima kebenaran lantaran taasub dan simpati
3. Orang sanggup berhabis duit untuk AFUNDI yang sia-sia
4. Kerana fanatik, perang SMS di Channel 15 tak pernah selesai.
5. Syarikat-syarikat telekomunikasi mengaut laba berlipat ganda hasil demam yang sengaja mereka cetuskan
6. Panel penilai ASTRO semasa uji bakat kurang bijak memilih peserta kerana beberapa peserta yang bersuara sumbang turut terpilih
7. Untuk menarik lebih ramai pengundi dan publisiti, gossip cinta sengaja direka
8. ASTRO berjaya menipu pengundi, apabila tiba-tiba mengumumkan 6 peserta yang akan ke final bukan 5
9. Negara Islam Hadhari mulai menunjukkan tanda-tanda kejayaannya
10. Kiamat dah dekat, sebab orang mula mengagungkan artis (termasuk yg baru nak belajar menyanyi) dan memperlekeh ulama

*Maaflah ya. Saya cuma menyalin realitinya!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP