Jumaat, Ogos 20, 2004

i
Esok mulai cuti seminggu. Nampaknya saya tidak akan bercuti. ANak dan isteri terpaksalah saya hantar ke kampung. Cuti sekolah kali ini akan saya habiskan di dua lokasi berbeza. Pertama di JB. Dari 21-24 Ogos saya akan ke Bengkel Penulis Muda Johor VI (genre Novel) 2004 di Hotel Seri Malaysia, JB. Ia lanjutan bengkel tahun lepas yang berlangsung pada Oktober 2003 di Naza Hotel, JB.

Para peserta yang berjaya menulis manuskrip novel (sahaja!) sepulangnya mereka dari Bengkel V dulu akan dipanggil semula. Para penceramah/pembimbing lain seperti Kak Mawar Shafei dan Kak Aminah Mokhtar (kedua-duanya pernah menjadi facie Kepezi 2000 yang saya sertai), Saifullizan Tahir, Dr. Gunawan Mahmood dan Drs. Ungku Zaman Tahir.

Selesai di JB, saya akan berangkat ke KL untuk Kursus Penulisan Berita bagi guru-guru penghubung media SMKA seluruh Semenanjung. Bermula Isnin dan berakhir pada Jumaat di sebuah hotel di Jln. Hj. Hussein off Jalan Tunku Abd. Rahman. Sayangnya Nazmi yang wajib saya hubungi jika ke KL, sibuk dengan Kembara Merdeka di Malaysia Timur. Mungkin hanya Ashadi Saiman si peguam muda yang dapat saya temui.

ii
Ini barangkali sambungan puisi Berikan Aku yang telah saya siarkan dahulu. Kedua-duanya sudah berusia lebih kurang 4 tahun. Syukur, ia masih selamat tersimpan di egroups KMSM.

Di Masjid Nanti

Di masjid nanti
aku harap akan ada
khatib yang meninggikan suaranya
menyebut amar makruf nahi mungkar
berani menegur ummahnya.

Di masjid nanti
aku harap akan ada
makmum yang terperanjat
terbangkit rohaninya dari sengguk lena.

Di masjid nanti
aku harap akan tiada
sang mata-mata yang memerhatikan
sang khatib di atas mimbar.

20 Okt 2000
Zaid Akhtar


Read more...

Rabu, Ogos 18, 2004

TIGA NARATIF SIMPATI

1. Seorang lelaki, saudara saya, lulusan al-Azhar dan peminat ceramahnya cecah ribuan orang. Dia sangat berhajat melaksanakan Islam Hadhari yang diwarwarkan kerajaan. Saya salut dia. Namun simpati saya terhadapnya akhir-akhir ini bila dengar dia merungut:
Macam mana nak laksana Islam Hadhari kalau konsert hiburan tiap minggu; dalam TV luar TV semua sama. Judi sana sini, dari atas gunung, masuk bawah laut sampai dalam TV. Mufti pun sekarang ni dinasihatkan supaya bersegera menyertai skim yang menawarkan insurans mulut.

2. Seorang wanita, juga saudara saya, sibuk bercakap soal Islam, keadilan Islam, hak-hak wanita Islam. Kadang-kadang saya lihat dia persis ustazah graduan Timur Tengah walaupun dia sebenarnya pakar ekonomi dan perdagangan. Dia wanita besi. Pantang sangat dia, kalau orang kata wanita Melayu Islam kita lemah.
Namun selalunya, simpati saya memang melimpah-ruah melihatkan jambul perangnya yang tersembul di atas kepalanya yang kadang-kadang dilitupi tudung, kadang-kadang tidak. Dia tak tahu ramai orang tergelak besar setiap kali dia bercakap soal Islam.

3. Seorang lagi saudara saya pula pakar bahasa Melayu. Dia guru cemerlang dengan ketokohan yang mengagumkan - lebih -lebih lagi bila dia berucap dengan bahasa baku tanpa kesalahan nahu walau sedikit pun. Sejarah perjuangan ASAS 50 dalam kepalanya, begitu juga dengan Peristiwa Keranda 152 sering bermain di bibirnya. Selain itu, dia aktif memimpin pertubuhan siasah di tempatnya.

Bila saya tanya, cikgu bagaimana dengan nasib Bahasa Melayu? Macam mana dengan isu bahasa rojak, kes infotainmen? Cikgu setuju belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris? Dia terkedu diiringi senyum yang ketara disimpul dalam paksa. Simpati saya membuak lagi bagai selalu. Kesiannya dia!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP