Sabtu, September 04, 2004

Petang semalam pulang ke Endau. Menjenguk ibu dan keluarga di sini. Sudah hampir dua bulan tidak balik ke kampung halaman.

Pagi ini saya menyelongkar almari buku yang sendat berisi kitab, majalah, buku ilmiah, novel dan pelbagai sumber ilmu lagi. Memang itu kebiasaan yang saya lakukan bila pulang ke kampong. Tegal tidak semua harta berharga milik saya itu saya angkut ke Segamat.

Saya menemui Massa (yang telah selamat ditalqinkan) bilangan 155 bertarikh 12-18 September 1998. Yang menariknya majalah ini adalah keluaran pasca pemecatan DSAI. Covernya memang memuatkan gambar DSAI. Lalu di dalamnya saya mengintai semula kisah kezaliman seorang bekas pemimpin negara dan juak-juak di sekelilingnya. Semua mengiyakan dan menyokong apa yang pemimpin negara itu kata. Tuduhan liwat dan rasuah dibenarkan dan disebarkan untuk mensabitkan DSAI sebelum disumbat ke ISA. Dan ketika itulah, saya cukup ingat periistiwa seorang sahabat karib yang sangat berpengaruh kepada DSAI yang datang menziarahi menghamparkan sokongan. Beliau tidak lain tidak bukan, Almarhum Ustaz Fadzil Noor, antara pemimpin-mujtahid yang sangat disegani dan kekal diingati hingga kini.

Saya juga membelek semula majalah Tanjung Puteri yang pernah saya kendalikan semasa menuntut di Jordan. Di dalamnya termuat sebuah puisi saya (kalau ia boleh dinamakan puisi) yang saya siarkan sempena Hari Kemerdekaan ke-39 ketika itu. Ia saya karang pada September 1996 dan pernah tersiar dalam akhbar Harakah sekitar Ogos 1998, jika tidak silap. Itulah satu daripada dua puisi saya yang pernah tersiar di akhbar, kedua-duanya di Harakah, malangnya saya tidak ada menyimpan keratannya.

DI PAGI MERDEKA

Di pagi merdeka
Seorang pemimpin tua
Mendatangi temasya anak bangsa
Tangan melambai menabik ceria
Senyum lebar penyeri suasana
Hatinya berkata:
Inilah warga merdeka.

Di pagi merdeka
Seorang pemikir tua
Mengintai senario anak bangsa
Hatinya hambar
Tiada guna perarakan itu
Jika barat yang ditatang
Tiada guna temasya itu
Jika Islam yang ditentang

Di pagi merdeka
Seorang pekerja tua
Mengutip kerenah anak bangsa
Di dataran ibu kota
Ketemu kondom dan bra
Hatinya berdebar-debar
Benarkah hari ini Hari Merdeka?

Read more...

Jumaat, September 03, 2004

HADIAH MERDEKA
Saya bersetuju dengan luahan hati warga Malaysia yang mengatakan pembebasan Anwar Ibrahim merupakan hadiah merdeka untuk rakyat. Mudah-mudahan ia menjadi titik tolak gelombang kebangkitan suara rakyat yang lebih bertenaga selain memulihkan imej institusi perundangan negara yang agak tercalar sekian lama.

Biarpun hanya dibenarkan aktif semula berpolitik pada 14 April 2008, tempoh pengharaman itulah yang sewajarnya digunakan sepenuhnya oleh Anwar bagi menyusun dan memantapkan lagi perjuangannya – selagi beliau berpegang teguh kepada prinsipnya – untuk membela rakyat dan menegakkan keadilan. Selamat kembali ANWAR!

ILMU BANTU
Apabila menyelak semula emel-emel yang terkandung dalam egroups sastera_Malaysia saya menemukan satu emel yang dihantar oleh Juliana Mohamed (pengantin baru) ke milis tersebut pada 5 Oktober 2000.

Ia berkenaan ILMU BANTU dalam karya sastera. Yang menariknya, ia dipetik daripada nota kuliah Hizairi Othman yang mengajar beliau ketika itu di UPM.

ILMU BANTU
Ilmu bantu/ antara displin membawa 2 konotasi
1) Definisi primer ialah penerapan displin ilmu ilmu seganding dalam karya sastera. Antaranya psikologi,sejarah,sosiologi,astronomi,kejuruteraan,
agama dan undang-undang.
2) Makna sekunder menjurus kpr kaedah penukangan cerita atau ilmu menulis itu sendiri yg byk menyentuh sifat intrinsik sebuah karya. Cthnya, aplikasi teori/aliran sastera/seni tertentu dlm karya sastera.(new journalism, intertextuality)

FAEDAH ILMU BANTU
Umumnya utk memberi pengalaman,pengetahuan, pemikiran yg lebih berharga lebih kreatif dan puitis utk pembaca & sebagai latihan menghadapi secara
tekun dan rapi.

1) Menilai & melihat bagaimana sastera bersepadu dgn bidang kehidupan yg lain.
2) Menggerak dan menggalakkan penulis memberi penilaian terhadap kepentingan kepelbagaian ilmu, sekaligus mengadunkannya dlm karya secara berestetika.
3) Menekankan kepentingan ilmu yg pelbagai dlm kritikan & kajian Sastera Melayu Moden
4) Memanfaatkan sastera sebagai sumber pengkajian bidang-bidang bukan sastera.

Kedah utama mendapatkan ilmu bantu :
1) Pembacaan
2) Penyelidikan
3) Majlis ilmu

Kepentingan ilmu bantu dalam karya kreatif diperkuatkan oleh pandangan Edmund J.Smith dlm buku beliau Postmodernism & Contemporary Fiction (1991).
Antara faktor yg membezakan antara penulis moden dan penulis pasca moden ialah sifat penyelidikan & unsur kritikal yg wujud dlm karya itu.

Walaubagaimanapun penulis perlu mengelakkan memasukkan ilmu bantu secara sebuatan sahaja atau ditahap permukaan sahaja kerana boleh diragukan motifnya hanya memberitahu penulis itu tahu atau sengaja menunjuk-nunjuk.

Ilmu bantu tidak berlebihan agar pembaca tidak terasa spt membaca karya bukan kreatif. Aspek katarsis / kesan emosi perlu melebihi kesan intelek apabila membaca karya sastera.




Read more...

Khamis, September 02, 2004

ANWAR BEBAS
Anwar Bebas. Begitu bunyinya SMS yang diterima sebentar tadi. Syukur. Moga keadilan yang masih bersisa terus ditegakkan di mahkamah.

2 September DSAI dibebaskan. Pada 2 September jugalah DSAI dipecat daripada jawatan TPM pada 1998. Saya tak ingat bila DSAI diISAkan. Sebaliknya yang saya ingat, tarikh Sayid Qutb dihukum gantung. Kalau tak silap, 31 Ogos 1966!

PENULIS KAHWINI PENULIS
Cuti baru-baru ini sepasang penulis muda mantan MPR melangsungkan pernikahan mereka. Pasangan Juliana Mohamed (MPR 2000) dan Mohd Hafezin Khadiri (MPR 1996) akhirnya bersatu setelah beberapa tahun mengenali hati budi masing-masing.

Kedua-duanya memang saya kenali malah agak rapat terutama dengan Juliana yang pernah bersama saya dan Nazmi menyertai Bengkel Cerpen Kepezi 2000. Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua mempelai yang baru merasai nikmatnya berumahtangga. Alf mabruk!

Spontan di minda saya terkilas puisi hebat berjudul Lautan di Waktu Subuh karya Zaihasra. Hmmm. Ia puisi yang sesuai saya kira dibaca oleh pasangan yang baru bernikah.



Read more...

Isnin, Ogos 30, 2004

tiga
Malam ini Malam Merdeka. Ada countdown. Ada pesta. Ada percampuran lelaki wanita. Di mana-mana. Di seluruh negara. Justeru, saya sarankan, sesiapa yang ada berkawan baik dan memiliki nombor telefon bimbit para pegawai tadbir agama dan penguatkuasa tempatan, sila esemes mereka.

Suruh mereka beroperasi malam ini di taman-taman bunga dan tapak-tapak pesta. Banteras maksiat durjana!

dua
Dengarnya, NST akan muncul dengan wajah baru pada 1 September ini. Bukan lagi broadsheet tetapi kompak. Justeru kita melihat banyak iklan dalam akhbar yang berwarna merah jingga tertulis BIG, SMALL, BIG, SMALL selama sebulan ini. Itulah promosi NST untuk melariskan akhbarnya yang bersaing dengan The Star dan The Sun.

Dan Kumpulan Utusan juga hampir benar melancarkan sebuah akhbar yang boleh dianggap adik kepada Utusan Malaysia. Macam Harian Metro bentuknya, kalau tak silap saya. Kompak juga.

satu
Membaca liputan Muktamar Pas di akhbar-akhbar perdana kadangkala membuat kita mahu tergelak. Nampak sangat media media keliru dengan budaya yang ada dalam Pas. Malah lebih teruk lagi bila media tak dapat memahami apa itu muhasabah, apatah lagi wala’, baiah dan istilah-istilah lain yang sinonim dengan harakah Islamiyah.

Muktamar barangkali saja sama maknanya dengan Mesyuarat Agung. Tetapi Muktamar Pas dengan Mesyuarat Agung Umno adalah sesuatu yang sangat jauh berbeza. Macam Utarid dengan Pluto.

Muktamar bagi Pas adalah medan untuk bermuhasabah, medan sumbang-saran dan menguja semangat jemaah untuk berjuang lebih kuat. Ahli lazimnya akan lebih bersemangat sepulangnya mereka dari bermuktamar. Tapi Mesyuarat Agung bagi Umno adalah medan membaling kerusi (di beberapa peringkat cawangan dan bahagian), medan politik wang, medan untuk bina konsortium, medan mengampu-membodek dan pelbagai perkara jelek yang dihalalkan dalam demokrasi yang kononnya terpimpin.

Dalam Muktamar Pas ahli dibenarkan mengkritik pemimpin tapi tidak dalam Umno. Ingat kes Ku Li baru-baru ini? Hendak bertanding pun sudah disekat awal-awal lagi - dituduh akan membawa perpecahan - inikan pula mahu mengkritik pemimpin secara terbuka untuk kebaikan parti. Kirim salam sajalah.

Tapi kita harus akur itulah demokrasi terpimpin yang Umno miliki. Demokrasinya menghalang ahli bersuara, sebaliknya mengiyakan bila pemimpin menetapkan sesuatu yang mereka sendiri tidak suka dan menelan apa sahaja habuan yang diterima. Sedihnya, begitu nasib sebuah parti Melayu tercinta!

Read more...

Ahad, Ogos 29, 2004

-i-
BN menang majoriti lebih dua ribu di PR Kecil Kuala Berang semalam. Sikitnya. Rasa macam kurang berbaloi dengan kehadiran hampir semua MB&Ketua Menteri BN di sana. Patutnya menang lima ribu majoriti. Alahai, PAS yang dilayan buruk oleh SPR itu pun tak boleh dikalahkan dengan mudah. Lihat PAS; sambil bermuktamar, sambil berpilihan raya. Maknanya jentera mereka memang boleh diharap. Tak harapkan akhbar dan TV dan SPR (yang menyanjungi demokrasi terpimpin) pun tidak mengapa.

-ii-
Kursus selesai pagi Jumaat. Petangnya saya terus kembali ke Batu Pahat, ke kampung mentua. Anak dan isteri sudah menanti di sana. Pulang ke Segamat pula sore semalam setelah menghadiri walimah Yazed, kawan baik saya semasa di bangku persekolahan dulu di rumahnya di Tangkak.

Seminggu saya habiskan cuti dengan berkursus. Lebih tepat lagi memberi kursus di JB dan diberikan kursus di KL. Bermula Sabtu, 21 Ogos saya ditemukan semula dengan 11 orang calon penulis genre novel yang pernah mengikuti Bengkel Penulis Muda Johor V bagi genre novel anjuran Yayasan Warisan Johor pada Oktober tahun lepas. Kali ini mereka tampil dengan manuskrip masing-masing untuk dibedah dan dikomen secara terbuka oleh Mawar Shafei, Aminah Mokhtar, Saifullizan Tahir dan saya sendiri. Betapa beruntungnya penulis-penulis muda sekarang ini. Banyak rangsangan dan sokongan kerajaan dan agensi. Saya lekas terbayang masa mula-mula mahu menulis dulu. Siapa peduli!

Sukar juga saya kira menangani naskhah orang. Kata-kata sangat perlu dijaga; agar tiada hati yang terluka, tiada semngat yang terpadam. Saya juga membentangkan kertas kerja Manuskrip: Penyediaan dan Penyemakan hasil kutipan pengalaman saya beberapa kali berbengkel dengan editor makro Utusan, Nor Azah Abd Aziz.

Slot itu kami kira penting memandangkan ada penulis yang tidak rinci dalam aspek ini. Manuskrip yang dihantar kepada editor (yang juga merungut) tidak memenuhi ciri-ciri profesional. Ini mencerminkan peribadi pengarang yang kurang teliti dan ambil mudah.

Saya terpaksa permisi lebih awal tanpa menghadiri slot forum pada malam terakhir kerana mahu mengikuti Kursus Penulisan Berita pula di KL. Kak Mawar Shafei juga pulang lebih awal pada petang Ahad ke Kota Singa.

Isnin malam Selasa saya sudah berada di Hotel Brisdale dekat Chow Kit. Ini julung kali Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) mengadakan kursus kewartawanan untuk guru-guru SMKA. Adalah tujuannya tu. Pembimbingnya Mohd Fuad Razali, wartawan berpengalaman dari Berita Harian.

Saya tidak menyangka kursus yang asalnya saya pergi dengan separuh hati ini (kerana terpaksa mengorbankan cuti sekolah) menawarkan ilmu dan pengalaman menarik. Kami didedahkan teknik penulisan berita dengan cukup rinci dan kondusif serta dapat pula melawat Balai Berita 2 NSTP di Shah Alam dan menjenguk Balai Berita 1 di Jalan Riong. Malah sempat berdialog dengan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian, Hishamuddin Aun selama sejam.

Sempat juga bersuara: Kenapa musim Olimpik ni, seksinya atlit mengalahkan artis yang sedia seksi! Dan sekali lagi saya mendengar kalimat Demokrasi Terpimpin. Apapun, layanan pihak NSTP terhadap kami sangat memuaskan. Hishamuddin sanggup berdialog dan mengiringi kami ke tingkat 4, Berita Harian bagi menjelaskan operasinya.

Saya tercari-cari juga tempat teman baik, Nazmi Yaakub di Berita Harian. Sayangnya dia tiada. Ada tugasan Kembara Merdeka di Sarawak.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP