Jumaat, Disember 10, 2004

Sedikit lagi cebisan catatan
Sabtu 4 Dis 04
Seusai program saya tidak terus pulang ke Johor, sebaliknya berbual dengan teman-teman bertukar-tukar perkembangan diri. Di luar jangkaan, hari ini menemukan saya dengan Ahmad Zafran Abdul Mutalib pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1992. Ingat lagi cerpennya yang berjudul Cintaku Hanya Untuk-Nya (sila rujuk antologi Annyss Sophillea) yang hebat itu? Saya masih terhimbau lagi watak Azlan selaku "imam rock" yang berjaya menawan hati Anum Nirmala. Begitu juga dengan cerpen Nur Sadiq yang menampilkan ilmu seni mempertahankan diri dan plot perjuangan anak muda. Ya, kali ini saya gembira dapat menemui penulisnya dan apatah lagi beliau telah kembali menulis.

Saya, Zafran dan Rauf (mantan MPR 04) berbual pelbagai topik sebelum sama-sama terheret untuk bersama menunaikan fardu Zohor di Surau DBP dan menjamu selera dan mata di Pasar Budaya santak ke jam lima. Zafran ketara mudah mesra dan terasa berat pula hati saya ketika menghantarnya ke Hentian Pudu petang itu.

Jam 6, saya dan Rauf ke Rumah Pena. Saja melepak-lepak sementara menunggu malam. Tidak lama kemudian, muncul Lutfi dan Anjan yang juga berniat serupa. Kami berborak santak ke Maghrib. Malam itu kami menonton final Piala Malaysia di Bucu DBP sambil menikmati makan malam. Terima kasih Anjan yang sudi menemani saya dan Rauf bermalam di Rumah Puspanita.

Ahad 5 Dis 04
Sesudah bersarapan di Bangsar, saya dan Rauf meninggalkan Anjan di rumah kawannya. Kami kemudian menuju ke Bandar Mahkota Cheras. Kak Aminah Mokhtar mengundang saya beraya ke rumah barunya di sana. Rumah lamanya di Taman Beringin, Jinjang, rasanya sempat dua kali saya singgah, tetapi yang baru dan cantik ini belum pernah. Memang banyak perkara yang ingin dibualkan. Apabila Nazmi tiba sejam kemudian perbualan tambah rancak - terutama di meja makan. Sebelum pulang, kami dihadiahkan kumpulan puisi Kak Min yang berjudul Semoga Cepat Sembuh. Banyak tip yang kami kutip sepanjang di rumahnya. Khususnya, pengalaman Kak Min menulis dan menerbitkan sendiri novel dan buku puisinya.

Perjalanan diteruskan ke Seremban. Saya meninggalkan Rauf di Terminal Bas Seremban lantaran saya mahu ke Sikamat, lebih tepat lagi ke SMKA SHAMS bertemu teman paling akrab. Jam 6, saya bertolak pulang ke Batu Pahat dengan harapan tidak terlepas peluang menyaksikan Debat Perdana di TV1 jam 9 malam nanti.

Read more...

Selasa, Disember 07, 2004

1
Saya selalu teringat kata-kata Pak Samad Said, pengalaman menulis novel baru seperti baru belajar menulis novel kali pertama. Begitulah yang saya alami. Dan saya memang menyokong seratus peratus kenyataan Sasterawan Negara itu. Mungkin bagi sesetengah penulis ia tidak berlaku, tetapi bagi saya ia sangat benar.

Semasa menulis novel sulung - Sesegar Nailofar - boleh dikatakan saya menulis ikut sedap walaupun masih agak berhati-hati. Begitupun novel saya tidaklah setebal mana, lantaran saya telah terdidik dalam disiplin penulisan cerpen yang padat dan ekonomik. Saya tidak tahu bagaimana mahu memanjangkan cerita dan mereka subplot yang mampu menambah ketebalan novel.

Apabila menulis novel kedua - Rona Bosphorus - saya lebih tertekan kerana sudah ada pengalaman menulis novel. Namun seperti kata Pak Samad, ia seperti baru belajar menulis novel kali pertama. Terasa ia lebih sukar dan menjerihkan berbanding yang terdahulu. Dalam Rona ternyata saya jauh lebih 'perlahan' dan 'takut-takut' yang membuatkan ia lebih padat dan lebih nipis.

Dan kini apabila menghadapi yang ketiga, apakah akan berlaku situasi serupa?

2
Sabtu
Saya ke KL. Bertolak jam 6 pagi dan tiba di DBP kira-kira jam 9 suku. Bertemu Anjan Ahzana dan Lutfi Ishak di Kedai Buku DBP, mengintai-ngintai buku di situ sebelum bersama Saifullizan Yahya ke Sudut Penulis.

Talib Samat selaku panel yang bakal mengulas Nailofar sudah tiba. Kami berbual-bual beberapa perkara termasuk soal HSPm yang bakal diumum pada hari Isnin. Adik-adik mantan MPR (spt Ghafirah, Ukuza, Ida Munira, Azlan dll) yang begitu bersemangat juga sudah menunggu kehadiran Lim Swee Tin dan Prof Rahman Shaari yang sedikit lewat. Berbual-bual dahulu di lobi sebelum diskusi karya bermula tepat jam 10.35 pagi.

Turut hadir di majlis diskusi, penulis mapan Aminah Mokhtar dan editor makro Nor Azah Abd Aziz. Selain itu, Hajah Zainab Kasim mantan Ketua Bahagian Sastera Kebangsaan DBP juga hadir malah sempat berucap sesudah menyampaikan cenderamata.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP