Khamis, Disember 16, 2004

BEBERAPA KEBETULAN & FAKTA SEBENAR

1. Semasa penulis belajar di Irbid dulu, sebetulnya, terdapat sebuah persatuan universiti yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Yarmouk (PERMAYA). Lantas di dalam novel, saya menukarnya menjadi Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI) bagi mengelak daripada menyentuh mana-mana pihak yang terlibat dengan persatuan berkenaan ketika itu. Bagaimanapun, tanpa saya duga apabila kedatangan pelajar Melayu mulai surut ke Universiti Yarmouk selepas 2001, dan semakin ramai pula pelajar kita yang belajar perubatan di Jordan University Science & Technology (JUST) yang terletak berhampiran Irbid, pihak Jabatan Penuntut Malaysia telah mengarahkan pembubaran PERMAYA dan digantikan dengan PERMAI yang sebelumnya hanyalah khayalan penulis semata-mata.

2. Dr. Ali Ottom pensyarah nahu kami ketika itu memang benar-benar ditahan kerana khutbah lantangnya di Masjid Hasan al-Banna membantah pengusiran pemimpin-pemimpin HAMAS ke Tehran. Aiman anaknya yang baik dengan para pelajar Melayu juga ditangkap pada waktu subuh bulan Ramadan 1420 kerana membaca puisi mengecam kerajaan Jordan dan tindakan menahan bapanya.

3. Penulis memang sangat menggemari majalah bulanan Falestin Muslimah, malah pernah membelinya selama 24 keluaran berturut-turut. Begitu juga dengan majalah al-Mujtama'. Akhbar mingguan as-Sabeel juga tidak ketinggalan.

4. Kehilangan Nora yang menjadi konflik awal novel disandarkan kepada peristiwa benar kehilangan seorang siswi di sana. Khabarnya dia juga berkrisis dengan ahli rumahnya lantas mendorongnya melarikan diri. Tak ramai yang tahu kisah ini melainkan beberapa exco tertinggi persatuan ketika itu. Tahu ke mana gadis itu pergi? England! Kebetulan abangnya ada belajar di UK.

5. Kalimat "nailofar" memang pertama kali saya temui semasa mengaji Syi'ir Andalusiy wa Maghribi. Kalau tak silap, penyair Andalus bernama Ibnu Zaidun yang menggunakan kalimat itu dalam puisi memuja kekasihnya, Walladah. Saya mencari kalimat itu dalam Lisanul Arab. Memang tiada. Lantas saya menemui pensyarah dan merujuk kamus-kamus yang lebih mutakhir, barulah saya menemukan maknanya. Ia kalimat Sepanyol yang di"arab"kan. Macam jendela, almari - perkataan Portugis yang dah jadi milik kita.

6. Abu Munzir, imam Masjid Duwar Nasim yang buta. Itu memang guru kami. Tiga kali seminggu, setiap lepas Maghrib, kami akan menadah kitab dengannya. Dia tak nampak, tapi ilmunya masya Allah. Sekali dibacakan matan apa-apa kitab, dia sudah ingat dan boleh mengulanginya malah mensyarahkannya pula kepada yang celik. Kadang-kadang nak mengalir air mata bila mengingatkan kenangan bersamanya. Dia selalu berjenaka dan kami selalu berlumba untuk membantu memimpinnya berjalan pulang atau pergi ke masjid. Hidup lagikah Abu Munzir? Ya Allah, rahmatilah guru saya dan panjangkanlah umurnya!

Read more...

Isnin, Disember 13, 2004

BEBERAPA PEMBETULAN
Dalam kertas kerja Talib Samat yang mengulas Sesegar Nailofar baru-baru ini terselit beberapa kekeliruan/kesilapan maklumat yang tidak disengajakan:

1- Novel Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar, seorang penulis muda berbakat besar kelahiran Segamat, Johor, pernah memenangi hadiah ketiga Pertandingan Novel Remaja dalam Siri Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2000.

Pembetulan: Penulis lahir di Endau, Mersing. Tetapi bersekolah menengah dan kini menetap dan mengajar di Segamat.

2 - Kisah percintaan di antara Iqbal yang sedang menuntut di Universiti Yarmouk,Jordan dengan Salsabila yang berada di Segamat, Johor yang sudah berusia lima tahun itu dan dipisahkan oleh lautan dan daratan lebih ribuan kilometer itu berakhir dengan kekecewaan bila menerima sepucuk surat dari Salsabila Shamsuddin di Segamat,Johor yang mengakhiri segala hubungan mereka.Salsabila terpaksa bernikah dengan waris sebelah ibunya pada 12 September sebagai teman hidupnya yang dipilih oleh keluarganya khususnya ibunya.Tarikh 12 September dipilih bukan 11 September untuk tarikh pernikahan Salsabila Shamsuddin dengan jejaka pilihan keluarganya.

Timbul pertanyaan mengapa tarikh 12 September yang dipilih pengarang.Tidak tarikh 11 September kerana tarikh 11 September adalah tarikh kemusnahan dua menara berkembar di kota New York, Amerika Syarikat yang kemudiannya membawa mala petaka kepada umat lslam bila dituduh pengganas yang menyebabkan Afghanistan,Iraq diserang oleh Amerika Syarikat pimpinan George Bush tanpa sebab alasan yang munasabah.

Pembetulan: Novel Sesegar Nailofar ditulis dalam tempoh seratus hari sekitar bulan September 2000 hingga Disember 2000. Malah ia memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun 2000 tetapi majlis penyampaiannya diadakan pada Mei 2001 dan ia diterbitkan juga pada 2001. Jadi, ia tiada kena mengena dengan tarikh 11 September 2001 yang belum lagi terjadi. Tarikh 12 September dipilih mengikut kewajaran perjalanan plot novel berkenaan.

Terima kasih kepada Haji Talib Samat yang sudi mengupas novel sulung saya. Moga Allah cucuri rahmat.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP