Isnin, Disember 26, 2005

Penulis sedang mencari noktah novel ketiganya di rumahnya di Bandar Putra

MINGGU TERAKHIR SALJU SAKINAH

Alhamdulillah.
Salju Sakinah akhirnya berjaya saya noktahkan semalam. Siri 120 hari ini. Siri 121 tersiar Selasa. Dan siri 122 pada Rabu ini adalah sirinya yang terakhir.

Tamat sudah perjalanan Sumayyah dalam Salju Sakinah. Kalau nak disambung hingga Sumayyah tua, boleh juga. Hehe. Tapi dah tak sempat. Saya pun dah macam tak larat. Bagilah can pada penulis lain pula untuk memulakan siri barunya di Ruangan Agama Utusan Malaysia itu. Bagilah peluang kepada saya untuk merangka novel seterusnya.

Insya Allah bersama siri terakhir itu akan disiarkan juga sedikit latar belakang penulis. Ada istimewa sikit. Mungkin berserta gambar. Kalau nak tengok, kenalah beli akhbar Utusan Malaysia hari Rabu tu.

Tentang penerbitan novel Salju Sakinah dalam bentuk buku, sebenarnya masih dalam perbincangan. Insya Allah, saya akan cuba mengusahakannya secepat mungkin - sebelum orang melupakannya - tahun depan. Terima kasih kepada semua pembaca yang memberi sokongan dan selalu bertanya bila terbitnya. Untuk perkembangan terbaru kenalah rujuk laman web saya ini atau terus ke www.saljusakinah.blogspot.com.

Mulai sekarang, saya mulai merindui Sumayyah dan detik-detik payah melayannya dalam Salju Sakinah.

Read more...

Jumaat, Disember 23, 2005

SIRI-SIRI AKHIR SAKINAH

3 siri. Hanya 3 siri berbaki. Hanya 3 siri Salju Sakinah yang mesti saya garapi. Novel bersiri saya di Ruangan Agama Utusan Malaysia itu akan berakhir pada 28 Disember 2005 ini.

Sungguh. Suka dan duka kini berbaur dalam hati saya. Suka kerana 'penderitaan' saya selama menulis novel panjang itu akan menemukan noktah akhirnya. Duka sebab saya terpaksa menamatkan pengembaraan yang menyeronokkan selama setahun saya ke dalam watak Sumayyah. Bak kata orang, di sebalik penderitaan dan kepayahan itu terselit keseronokan, keasyikan, kemanisan dan keindahan.

Banyak juga respons tentang Salju Sakinah yang saya terima daripada pembaca lewat e-mel mahupun mesej-mesej ringkas yang ditinggalkan di blog, SMS malah. Ada yang mahu wataknya dijodohkan dengan yang itu. Ada yang mahu wataknya disatukan dengan yang ini. Ada yang ingin ceritanya ditamatkan begitu. Ada yang ingin ia diakhiri begini.

Terima kasih saya ucapkan atas segala saranan. Saya punya banyak pilihan. Namun, setelah beberapa lama berfikir, saya akhirnya membuat keputusan. Dan keputusan itulah yang saya pegang dalam memandu Salju Sakinah menuju destinasi perjalanannya.

Kepada dua orang kuat Meja Agama, Kak Zuarida Mohyin dan Kak Faridah Mohamed Sani (yang baru bersara 7 Disember lalu), saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kerna sudi menerima dan bekerjasama dengan saya yang serba daif ini. Moga segala bakti dan kesabaran kalian akan dibalas dengan ganjaran Tuhan.

SEKALI AIR BAH

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun. Sekali bencana dari Allah datang, tenggelam hampir seluruh negeri Perlis dan sebahagian besar Kedah. Teruk sungguh baniirnya. Kelantan yang mendapat jolokan paling mundur di Malaysia itu pun tak baniir seteruk itu. Tapi begitulah, kalau bala Allah tiba, secanggih mana pun teknologinya, semoden mana pun pemimpinnya, memang tak dapat dielak lagi.

Hmm, masih terngiang-ngiang di telinga, kata-kata sebahagian pemimpin yang takbur dan memperlekeh kerajaan Kelantan yang kononnya tidak pernah berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah banjir. Kini, setelah air bah, moga tanggapan dan mentaliti pemimpin dan rakyat yang berkarat biru akan sama-sama berubah (dibasuh air bah).

Read more...

Khamis, Disember 08, 2005


Cuba teka: Siapakah yang berada di dalam bas sekolah ini?
a) Manusia
b) Pelancong
c) Perayu undi
d) Hantu

Sifir Pengkalan Pasir

PAS akhirnya kehilangan kerusi DUN Pengkalan Pasir dengan kekalahan yang meragukan. Bezanya 134 undi sahaja. Macam mana boleh tewas? Banyak faktor. MUngkin BN telah diterima rakyat. Mungkin calon Pas tak popular. Mungkin tak ada isu besar yang boleh dimainkan pembangkang (siapa pembangkang kali ini?). Mungkin Annuar Musa berangan nak jadi MB pula. Mungkin sebab BN dah habis berjuta-juta. Mungkin sebab undi pos dan orang dalam kubur. Memang cukup banyak sebab musababnya.

Tapi, menurut seorang saudara, sifir kekalahannya mungkin begini. Katalah, satu bas boleh bawa 44 penumpang. 44 kali kali 3 bersamaan 132. Hmm. Mungkin sekitar 4 buah bas yang ditahan kemudiannya dilepaskan (kerana didakwa bukan hantu tetapi perayu undi!) menjadi punca kedudukan kerusi DUN Kelantan bertambah genting menjadi 23-22.

Eh, betul ke mereka tu perayu undi? Bila tengok pakaian, tak macam perayu undi pun. Sesiapa yang terlibat dengan pilihan raya tentu tahu. Waktu berkempen telah tamat pada malam hari mengudi. Bas-bas yang ditahan tu (yang didakwa membawa hantu, jembalang, toyol dsb) memasuki kawasan Pasir Mas pada tengah malam santak ke pagi menjelang pilihan raya. Kalau betul mereka datang untuk mengundi, pada pagi pilihan raya, mana boleh merayu undi lagi? Nak rayu pada siapa lagi? Orang semua dah masuk tidur waktu tu. Pagi esok pun dah tak boleh merayu dan berkempen - hari pembuangan undi. Kalau SPR jawab lagi kelakar. Mereka tu pelancong! Alahai, ada juga pelancong dalam negeri tersesat pagi-pagi buat nak tengok pilihan raya.

Walaupun kalah, tapi Husam Musa, Exco Kelantan, tetap tenang. "Kita berterima kasih kepada rakyat di Dun Pengkalan Pasir yang mempunyai daya tahan yang kuat sehingga walau pun serangan bertubi-tubi dalam segala bentuk tetapi undi PAS meningkat sebanyak 160 undi berbanding pilihan raya tahun 2004," kata Husam kepada wartawan.

Menurut Husam, PAS menang tiga undi jika tidak termasuk undi Pos. Tetapi apabila masuk undi Pos yang selalu kita komplen kerana kurang ‘transperansi’ dengan undi Pos ini," kata beliau kepada wartawan. Katanya lagi, sekurang-kurangnya, di Peti Undi Banggol Chicha sebanyak 13 orang ‘mati’ telah dapat mengundi.

Entahlah. Untuk menang, semua tu tak kira. Kan matlamat memang menghalalkan cara. Biasalah, kalah menang adat bertanding. Siapa yang rasa perjuangan mereka benar, teruskan perjuangan!


Bagaimanapun tahniah kepada 415 yang mengundi Datuk Paduka Ibrahim Ali. Mereka memang setia sehidup semati. :-))




Read more...

Ahad, Disember 04, 2005

PERTEMUAN BUKAN MILIK KITA

Semasa ke MPI Bangi dua minggu lepas, saya tersua dengan Taufiq Hakim Ahmad. Dia teman sekuliah saya semasa di Irbid. Lama sungguh tidak berjumpa dengannya - sejak takharruj dari Yarmouk, hinggalah sekarang. Taufiq orang Selangor, punya anak dua, dan sedang mengambil KPLI J-Qaf di situ.

Spontas saya teringatkan penglibatan Taufiq dalam grup nasyid yang pernah menghasilkan album. Dia salah seorang anggota kumpulan Suara Hati yang pernah popular bersama Nada Murni dan The Zikr dulu. Hampir semua lagu dalam albumnya saya gemar. Terutamanya lagu "Pertemuan Bukan Milik Kita" yang menjadi lagu penutupnya.

Beberapa teman saya tentunya mengingati lagu ini. Ada di kalangan mereka yang menitipkan liriknya untuk bakal isteri yang mahu dikahwini. Ya, barangkali setiap lagu ada kenangannya tersendiri!

Pertemuan menghadiahkan kita kasih sayang
Jika cinta satu pasti bertemu
Ia tidak ternilai
Kerana di antara hati kita
Telah tiada antaranya lagi
Yang ada hanya cinta kasih Ilahi

Kita berpisah hanya sementara
Kerna pertemuan bukan milik kita
Jasad dan suara berjauhan sentiasa
Namun cinta abadi

Biar berpisah selalu menderita
Kerna syurga menagih ujian
Sedang neraka dipagari oleh nikmat
Bertemu tidak jemu
Berpisah tak gelisah

Bicara kita adalah bicara sufi
Tanpa suara dan kata-kata
Kerana penghubung kita adalah suara hati
Bertemu berpisah kerana Allah…

Read more...

Jumaat, Disember 02, 2005

MENANDA
Syukur. Buat pertama kali setelah beberapa tahun mengajar dan beberapa kali juga memohon, saya terlantik juga menjadi pemeriksa kertas Bahasa Arab Tinggi SPM. Justeru, pada 24-26 November lalu, terpaksa berulang-alik ke Muar untuk menghadiri taklimat penandaan. Ini pengalaman baru bagi saya.

Kalau diikutkan, musim cuti beginilah waktu paling kondusif untuk menulis. Namun saya memilih untuk menerima lantikan. Bukan soal tuntutan yang bakal diperoleh yang saya fikirkan, tapi saya mahukan ilmu dan kemahirannya yang mungkin boleh membantu melonjakkan prestasi pelajar-pelajar saya pada tahun-tahun mendatang.
Jadi, sekarang saya sibuk menanda dan menyudahkan Salju Sakinah yang sedang menuju ke penghujung ceritanya. 19-21 Disember nanti, saya terpaksa ke Kota Tinggi pula untuk menghantar segala kertas jawapan yang selesai ditanda.

DEMOKRASI TERPIMPIN
Melihat kempen pilihanraya kecil yang tertayang di kaca TV, siapa saja boleh membuat tanggapan mudah - demokrasi belum berjalan sepenuhnya di negara ini. Kalau betul pilihan raya tidak berat sebelah, mengapa calon yang mewakili parti pemerintah saja yang layak berkempen di tv? Mengapa calon lain tidak? Mengapa hanya calon sebelah pihak saja yang mendapat liputan media, yang satu lagi diberi pandangan gatif saja? Kalau betul anak jantan, mengapa guna jentera kerajaan? Banyak lagi persoalan yang mengasak akal. Ada jawapannya terlintas di fikiran, tapi untuk mengharapkan keadilan sedemikian samalah sepeti anjing menyalak bukit.

Justeru, saya tidak menonton berita sejak seminggu ini. Malas dan meluat. Kalau tengok pun, cuma berita sukan. Malah, kalau jam 8 malam, saya lebih enak menonton Sportscenter di ESPN. Berita sukan tak menipu. Kalau penonton yang datang ke stadium tengok bola ada 400, dia akan lapor 400. Bukan 4000, 14 000 atau 40 000 macam sesetengah media tu bila melaporkan tentang ceramah yang tidak mendapat sambutan. Kalau ada pemain kena kad merah, berita sukan akan lapor, pemain itu kena kad merah. Bukan macam sesetengah media tu, bila ada politikus mengamalkan rasuah (ingat! Yang beri rasuah dan menerima rasuah di nerakalah tempatnya), tapi yang dilaporkannya, mengamalkan politik wang.


HUKUM MENJUAL & MEMBELI UNDI
(dipetik daripada tulisan Abdul Ghani Samsuddin)

Ulama sepakat berpendapat haramnya perbuatan menjual atau membeli undi dalam pilihanraya. Sebab ia adalah merupakan rasuah yang diharamkan baik kepada pengambil atau penerima mahupun pemberinya, bahkan penjadi orang tengah dalam kejahatan ini pun dilarang. Ia termasuk dalam kategori penipuan atau pemalsuan serta pembohongan. Justeru ia berbohong dan menipu orang lain. Ia mengaku layak menjadi pemimpin dan menguasai orang ramai akan tetapi ia sebenarnya tidak layak dan berhak dengan martabat tersebut.

Membeli undi adalah suatu pengkhianatan umum yang membawa kepada meratanya kejahatan dan kemusnahan tanggungjawab, serta wasilah untuk memakan duit dan wang haram. Walhal itu semua itu merupakan dosa besar. Ia juga seolah-olah menyembunyikan kesaksian yang benar terhadap yang berhak; padahal perbuatan tersebut dilarang oleh Allah.S.W.T Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 283 yang bermaksud:

Jangan kamu sembunyikan kesaksian (yang benar). Siapa yang berbuat demikian maka dia adalah manusia berdosa.

Perbuatan ini juga termasuk dalam kategori kejahatan kezaliman , sebab ia ”meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya”. Apabila kejahatan ini berleluasa maka akan berkembanglah amalan rasuah yang memungkinkan manusia penyeleneh menduduki tempat-tempat kekuasaan yang penting dalam masyarakat serta manusia terkutuk dapat memperkotakkatikkan kepentingan umat.

Rasuah ialah pengajuan wang, benda, atau khidmat atau sebarang janji untuk memberi sesuatu habuan kepada seseorang untuk menghalang proses kebenaran atau usaha menumpaskan kebatilan. Ia adalah salah satu dosa besar yang paling besar bahananya di dunia dan di akhirat; berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 188, maksudnya:

Jangan kamu makan harta sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu menghubungkannya pula dengan kuasa dan wewenang pemerintah untuk dapat melahap harta umum secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan tahu.

Read more...

Selasa, November 29, 2005



Gambar kami sekeluarga pada hari raya pertama di Endau.

Read more...








Nailofar bergaya dengan tudung putihnya sebelum pergi beraya.

Read more...

BEBERAPA CATATAN SEPANJANG SYAWAL

Setelah seminggu di Senggarang, kami sekeluarga kembali ke Segamat. 18 November, kami bikin rumah terbuka untuk calon-calon SPM dan STPM SMKA Segamat seramai 100 orang. Hampir semua datang. Fuh! Penat juga melayan budak-budak, tapi seronok dan gembira melihat mereka melepaskan tekanan musim peperiksaan.

20 November, saya ke ibu kota untuk beraya. Rumah pertama yang dituju adalah rumah Abang Shamsudin Othman di Bandar Seri Permaisuri, Cheras. Dah lama berhajat hendak ke rumahnya, tetapi tidak sampai-sampai. Kali ini, sebelum Abang Dean pergi menunaikan haji bulan depan, saya sempat menjengah Madrasah Sham al-Johori bersama keluarga. Kebetulan isteri saya sudah mengenali isterinya semasa HSDT4 2003 di Johor Bahru dulu. Moga beroleh haji yang mabrur, Abang Dean!

Sebelum maghrib, kami singgah ke rumah Nazmi Yaakub. Hmmm, rumah pengantin baru ini terletak berhampiran stesen komuter UKM. Dekat juga dengan rumah kakak ipar saya tempat kami bermalam. Dah lama tak jumpa Nazmi Reporter Berita Harian ni sejak dia bergelar suami. Saya masih ingat, semasa saya mengambil Diploma Pendidikan di UIA pada tahun 2000 dulu, Nazmi pernah menumpang transit bermalam di rumah sewa saya beberapa kali. Khabarnya, Nazmi dan Huda sedang menanti kelahiran penyeri mawaddah mereka Mac nanti. Mabruk!

Esoknya, kami ke rumah Ustaz Zawadi Che Seman, pensyarah MPI. Dia senior saya semasa di Yarmouk dulu. Kini, satu-satunya pakar khat bertaraf nasional di MPI Bangi. Pada tahun 2000, hanya beberapa bulan setelah di'posting'kan ke Sabah, Ustaz dipanggil balik untuk menjadi tenaga pengajar di situ. Ustaz orang Kelantan. Justeru, sengaja bercakap loghat Kelantan. Namun itu tidak menjadi masalah bagi saya. Saya orang Endau, Mersing - mukim yang dipenuhi orang-orang yang merantau dari Pantai Timur. Loghat Terengganu-Kelantan sudah sebati dalam diri saya sejak kecil lagi. Malah sudah ramai orang Kelantan sendiri yang menyangka saya asal Serambi Mekah.

Sejurus itu, kami menyimpang pula ke simpang berdekatan Restoran Nelayan di depan MPI. Bukan untuk ke Restoran Nelayan, tetapi ke Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha. Pemiliknya, Ustaz Mohd. Khairuddin Aman Razali (alah, yang selalu keluar di TV dan radio IKIM), juga senior yang agak rapat dengan saya di Jordan dulu. Anaknya, Amir yang keletah semasa di Irbid dulu, sudah di Darjah 4. (Ingat lagi Ustaz Abu Amir dan Ustazah Ummu Amirah yang digambarkan dalam Sesegar Nailofar?)

Maahad tahfiz ini membuat saya melopong kagum. Hanya orang yang ikhlas dan bercita-cita tinggi dan murni saja yang akan berjaya merealisasikannya. Selepas lima tahun tidak bertemu Ustaz, kali ini kami bertemu di sebuah institusi yang cukup tenang dan mendamaikan sesiapa yang datang berziarah. Maahad tahfiz ini baru beroperasi tahun lepas. Hanya untuk pelajar lelaki yang yatim sahaja. Ada 8 tenaga pengajar dan lebih kurang 30 orang murid. Sesiapa yang ingin menyumbangkan infak boleh saja dikreditkan ke akaun Bank Islam atas nama Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha. Nombor akaunnya - 12029010045695. Moga Allah berkati usaha suci Ustaz!

Malam itu, saya dan Nazmi berpakat untuk membawa keluarga masing-masing ke rumah Kak Mawar Shafei di Bandar Teknologi Kajang. Sudah lebih setahun saya tidak ke rumah Kak Mawar. Seronok sungguh kami berenam bersembang santak ke jam 11. Banyak pula yang mahu dibualkan, tapi segalanya terbantut apabila melihat pasangan pengantin baru sudah mulai menguap mahu pulang. :-))

Tengah hari esoknya, kami tiba di destinasi terakhir sebelum pulang ke Segamat. Rumah Kak Nisah Haron di Kg. Jiboi, Asahan. Inilah kali pertama saya ke Ujana Ilmu. Saya tidak tersesat seperti Nazmi, namun lebih malang apabila disaman polis trafik tatkala menyambut panggilan telefon Kak Nisah di hadapan A&W Seremban. Saya turun merayu dan syukur terselamat. Cuma dikenakan saman tak pakai tali pinggang saja. Argh!

Tahniah buat Kak Nisah yang merangkul 4 hadiah dalam Anugerah Sastera NS baru-baru ni. Melihat Maisarah, Suhaila, dan Insyirah, saya tidak dapat mengagak, bila agaknya pelajar sarjana undang-undang itu berkarya?

Read more...

Jumaat, November 11, 2005

EIDIL FITRI 1426

Saya beraya di Endau tahun ini. Balik hari Selasa 1 November. Sempatlah berjemaah sunat terawih pada malam terakhir Ramadhan. Kena pula jadi imam sebab pak imamnya belum sembuh sepenuhnya dari pembedahan hernia. Mujur juga tak kena baca khutbah kali ini.

Sejurus solat eid, saya terus beraya ke beberapa buah rumah santak jam 12.30 tengah hari. Kalau lekat di rumah, alamat tak sempat berjalanlah jawabnya. Sebab rumah saya memang dikunjungi ramai sanak saudara Tok Mak pada raya pertama.

Pusara arwah ayah saya ziarahi bersama mak, Akak dan Amin pada pagi raya kedua. Jam 7 suku pagi kami sudah ke sana. Kebetulan pagi Jumaat. Dah 23 tahun ayah pergi tanpa kami sedari. Saya tak dapat bayangkan perasaan kami masa kecil-kecil dahulu, beraya tanpa ayah di sisi. Ayah pergi terlalu awal bagi saya. Rokok meragut kesihatannya. Usianya semasa meninggal cuma 37 tahun sedang mak masih muda benar. Baru 30.

Pagi raya ketiga barulah saya ke rumah mentua di Senggarang, Batu Pahat. Sudah takdir, saya juga tidak sempat bermesra dengan bapa mertua. Arwah abah mengadap Ilahi pada akhir 1998. Saya cuma ada umi.

RENCANA di TUNAS CIPTA

Saya tidak pernah menyumbang apa-apa untuk Tunas Cipta sejak majalah sastera generasi baharu itu beroperasi. Cerpen tidak, esei jauh sekali. Entah mengapa, Jun lalu saya tergerak untuk menulis rencana dan profil.

Justeru, untuk TC keluaran Oktober lepas, saya menulis profil Amiza Khusyri Yusof - penulis berpendidikan al-Azhar yang sedang meningkat. Dan untuk TC bulan November ini, saya menulis rencana berjudul "Kebangkitan Penulis Berpendidikan Timur Tengah". Saya harap ini baru permulaan. Moga para penulis dari jurusan agama akan lebih diperhatikan. Moga mereka juga akan memantapkan thaqafah dan melahirkan karya yang lebih bermutu pada masa akan datang.

Read more...

Ahad, November 06, 2005

EID MUBARAK

Sempena awal Syawal yang mulia ini, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Fitrah buat semua pengunjung blog.
Maaf batin dan zahir.
Kullu aam wa antum bikhayr.

Read more...

Isnin, Oktober 31, 2005



Inilah gambar pemilik blog bersama Nailofar dan Irfan sedang berendam di dalam kolam di De Rhu Beach Resort, Kuantan, pada awal Ogos lalu. Baru nak mengajar mereka berenang.

Read more...

Jumaat, Oktober 28, 2005

NOSTALGIA RAMADAN di URDUN

Bila datangnya Ramadan saya sering teringat saat-saat manis semasa menikmati bulan penuh barakah ini di Jordan. Ia sangat indah untuk dikenang walaupun sudah lebih lima tahun saya meninggalkan Dataran Syam.

Beberapa ketika yang amat manis bagi saya sepanjang lima kali melalui Ramadan Kareem di Bumi Isra’ itu. Antaranya, ketika Berbuka Puasa. Kami biasanya akan mencari qataif (ada yang menyebutnya qutaiyif) sebelum berbuka puasa. Jangan beli terlalu awal kerana ia akan sejuk tatkala berbuka nanti. Makanan tradisi Arab ini yang tawar tetapi murah ini sangat lazat jika dicecah susu cair atau pekat. Tidak terlupa, Ramadan juga datang dalam musim rontok. Justeru kami berpuasa agak pendek (kurang hampir 2 jam) berbanding di negara sendiri.

Kedua, ketika Bersolat Tarawih. Semua masjid mengadakan solat tarawih sebanyak 8 rakaat namun saya jarang solat di masjid yang sama setiap malam. Saya dan Khazri (sahabat baik saya di SMKA Syeikh Haji Mohd Said) biasanya akan berbasikal sepuluh minit sebelum Isyak. Dalam sebulan biasanya ada lima enam buah masjid yang sempat kami singgah di sana. Jika kami dengar ada pensyarah yang kami hormati menjadi imam di sesebuah masjid, kami akan ke sana walaupun terpaksa membayar tambang teksi kerana tempatnya agak jauh. Lazimnya pensyarah tersebut akan berhenti di rakaat keempat untuk menyampaikan tazkirahnya pula.


Kalau kami ke Masjid Dawwar Nassiem berhampiran rumah kami Darul Ulum, Khazri selalunya meminta Imam Abu Munzir yang buta itu membaca Surah Maryam dan al-Kahfi. Bagaimanapun pada tahun akhir, saya kerap memilih Masjid Universiti Yarmouk. Kemerduan suara imamnya Syeikh Ma’mun As-Syamaliy masih terngiang-ngiang sehingga ke hari ini. Beliau yang hafiz akan menghabiskan satu juzuk setaip malam dalam 8 rakaat.

Dan apabila menjelang Eid, kami akan ternanti-nanti titipan kad raya dari tanah air. Selain itu, pastinya bungkusan berisi kuih raya daripada famili dan orang tersayang.


Read more...

Isnin, Oktober 17, 2005

AMEEN

Saya hanya meminati dua kumpulan nasyid - Raihan dan Hijjaz. Sejak beberapa tahun mutakhir, saya hanya membeli album dua kumpulan nasyid ini. Termasuk album terbaru Raihan yang berjudul Ameen yang sedang hangat di pasaran sejak 27 September lalu. Baru seminggu dipasarkan, saya sudah memilikinya.

Ia album ketujuh Raihan sejak mereka muncul pada 1996. Pada saya album ini OK meskipun tidak 'semesra' album Puji-pujian. Syukur, dan Senyum. Lagu 'Puasa Dulu Baru Raya' memang berupaya memikat hati pendengar tanpa mengira usia. Begitu juga beberapa lagu lain. OK.

Namun, saya rasa ada dua lagu yang sewajarnya tidak dimuatkan dalam album ini. Pertama, lagu "Do You Know Him?" (feat Mecca2Medina). Lagu ini tak sesuai langsung dan bagi saya yang jahil ini, agak mencacatkan Ameen. Paduan selawat Raihan yang sangat lembut dan menusuk sangat tidak molek jika diselang-selikan dengan lirik Bahasa Inggeris yang didendangkan oleh undangan khas itu dalam rentak rap. Memang tak sesuailah. Mungkin Raihan mahu lebih 'world' dan mensasarkan pasaran yang lebih global, tetapi 'telinga' pendengar di tanah air perlu dijaga juga.

Kedua, lagu "Wahai Kawan" yang diberi nafas baru. Sebagai pendengar yang mengharapkan sesuatu yang 'menyentuh' daripada Raihan tentunya berasa kecewa dengan 'ulangan' semula lagu-lagu di zaman kegemilangan Nada Murni dan The Zikr dulu. Biarlah grup nasyid lain buat begitu. Raihan yang sudah mantap dan bertaraf dunia, sepatutnya menawarkan lagu yang lebih segar dan baru.

Apapun, tak tahulah bagaimana‘pendengaran’ pendengar yang lain. "Telinga' saya ‘mendengar’nya begitu. Bukankah sedap atau tidaknya sebuah lagu bergantung kepada ‘telinga’ yang mendengar?

CINTA MADINAH

Tengok tak drama bersiri Islamik Cinta Madinah (CM) di TV1 jam 10 malam pada malam Ahad dan Isnin? Saya menontonnya memandangkan CM diadaptasi daripada novel Abu Hassan Morad yang memenangi tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 (juga dengan judul yang sama). Saya kenal penulisnya kerana saya menang hadiah ketiganya menerusi Sesegar Nailofar tahun itu.

CM memang menarik. Saya masih ingat ceritanya. Berlatarkan Madinah. Terjaga akhlak pergaulan watak-wataknya. Sangat menepati ciri-ciri sebuah novel Islamik yang menekankan nilai murni bertunjangkan agama. Saya suka dengan watak Safuan (lakonan Zul Yahya) dan Sayidah (Wardina) dalam novel itu. Walaupun agak payah untuk menerima Zul sebagai pemegang watak Safuan, tapi saya tidak dapat memikirkan siapa lagi yang sesuai. Kita memang tiada pelakon yang boleh pegang watak ustaz muda dengan baik seperti mana watak Ustaz Jaka dalam drama bersiri Jalan Lain Ke Syurga (tersiar di Astro Prima) yang popular di Indonesia.

Apapun, syabas buat Cikgu Abu (dia bekas guru SMKA Maahad Hamidiah, Kajang kalau tak silap saya) yang berusaha menghidangkan drama Islamik sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia.

Read more...

Jumaat, Oktober 07, 2005

SINGGAH DI MADRASAH RAMADAN

Singgah di Madrasah Ramadan
sering aku malu
melihat pakaianku sendiri
yang masih selekeh
membaluti jasad hitam berdaki.

Singgah di Madrasah Ramadan
selalu aku segan
membelek buku disiplinku
yang makin bertambah catatan dakwat merahnya
di sana sini kutemui ulasan buruk
oleh Atid yang mengawasi.

Singgah di Madrasah Ramadan
kerap aku menyesali laku lalu
mentajdid niat
mengulang amal
yang sering kulupakan
sepanjang perjalanan sebelas purnama.

Buloh Kasap
3.18 petang
3 Ramadan 1426

Read more...

Jumaat, September 23, 2005

Wakil Kinabatangan mahu 'Mencari Cinta' dihentikan
Oleh ROY RASUL

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Harakah) - Sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini, menyaksikan wakil kerajaan, Dato’ Bung Mokhtar Radin (BN–Kinabatangan) dengan lantang meminta program realiti TV ‘Mencari Cinta’ di stesen TV3 dihentikan serta-merta.

Ini katanya, dalam soalan tambahannya, program tersebut menunjukkan seorang perempuan ‘melondeh sana melondeh sini’ bagi berjumpa dengan 10 lelaki.
“Apa mesejnya, apa moralnya dalam cerita itu,” bidasnya.
Beliau berkata, jika program tersebut ditafsirkan moralnya mengajak masyarakat iaitu wanita mencari 10 lelaki kemudian dipilih mana yang baik dan mana yang tidak baik, ia perlu dihentikan serta merta.
Katanya, ini disebabkan masejnya tidak baik dan rancangan Mencari Cinta adalah rancangan dari Amerika yang tidak baik untuk ditiru.
“Saya mahu tanya YB apakah rancangan Mencari Cinta satu mesej yang tepat kepada masyarakat kita. Mesejnya tidak baik dan ia bukan hiburan,” katanya.

Sebelum itu Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Shaziman Abu Mansur semasa menjawab isu realiti TV dalam sesi soal jawab hari ini berkata, TV pada masa ini tidak hanya terhad kepada siaran yang bercorak hiburan semata-mata.
“Tetapi ia bercorak kepada aspek pembangunan, kekeluargaan, pendidikan, integrasi nasioanal dan sebagainya,” katanya semasa menjawab soalan Mohd Razali Che Mamat (BN – Kuala Kerai).
Mohd Razali dalam soalan asalnya meminta menteri berkenaan menyatakan mengapakah program realiti TV yang diasirakan di stesen TV kebanyakan bercorak hiburan semata-mata. - lanh

Komen: Setuju sangat. Menyampah tengok Elly. Geram tengok Dr. Tengku Hasmadi.

Read more...

Rabu, September 21, 2005

Nisfu Syaaban - Hentikan penyebaran hadis palsu
Oleh ABD AL-RAZZAQ A.MUTHALIB

(Sumber ini dipetik daripada Utusan Malaysia, Isnin, 19 September 2005)

ADALAH sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Syaaban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis yang disebarkan adalah mengenai malam Nisfu Syaaban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Syaaban.
a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Syaaban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi s.a.w. menghidupkan malam Nisfu Syaaban ini dengan amalan-amalan khusus seperti sembahyang sunat khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya :
Hadis yang diriwayatkan daripada Ali r.a.: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar.
Hadis ini adalah maudhu', diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Syaaban, ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya.
Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu'. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.
Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: `'Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Syaaban seribu kali surah al-Ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat; tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya daripada berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya.'' Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu'.
Kebanyakan hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan-amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Syaaban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah s.a.w. akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.
Al-Hafiz al-Iraqi berkata: `'Hadis tentang solat pada malam Nisfu Syaaban adalah maudhu', direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.'' Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu': ``Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bidaah (ditokok tambah dalam agama).''' (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: `'Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Syaaban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu' seperti yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu.'' (Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', hal. 11).
Ulama kontemporari masa kini, Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: `'Tentang malam Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Syaaban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi s.a.w. hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah.''
Beliau menambah lagi: `'Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya''
. (Al-Qardhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
Para ulama muktabar lain seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam tersebut tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis thabit yang menyebut akan fadilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al-Suyuti: `'Dan pada malam Nisfu Syaaban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah.'' (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Syaaban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi s.a.w. yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Syaaban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Syaaban sahaja dengan menganggap ia adalah sunah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qardhawi: `'Di dalam kaedah syarak, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syarak kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).(Rujuk: Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.
Demikianlah beberapa perkara yang sering dibincangkan di dalam bulan Syaaban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis. Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah s.w.t. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadilat atau keberkatan tertentu dengan mereka-cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini bertepatan dengan sunah Rasulullah s.a.w. untuk melayakkan amalan tersebut diterima di samping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah s.w.t. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t.

Read more...

Khamis, September 01, 2005

SEGAMAT-ENDAU-SENGGARANG-JOHOR BAHRU

Cuti seminggu kali ini saya habiskan di pelbagai tempat. Empat hari pertama di daerah Mersing. Banyak aktiviti keluarga yang mesti dilalui. Selain ke bandar Mersing menguruskan tanah, menemui datuk dan nenek sebelah ayah yang masih hidup, ke rumah ibu saudara, sempat juga ke pusara ayah.

Sebelum ke Batu Pahat, saya membelek-belek nota-nota lama yang terkurung dalam almari buku-buku yang lama tidak dijenguk. Terbaca satu catatan silam saya yang berpunca daripada kata-kata seorang sahabat penulis yang bunyinya lebih kurang begini: Dunia sastera adalah dunia dahsyat, berjiwa kecil bukan di sini tempatnya.

Terima kasih, sahabat, atas kata-kata berhikmah itu. Jiwa besar. Jiwa besar. Ya, jiwa besar.Ketara, banyak yang perlu saya muhasabah sepanjang penglibatan saya dalam arena ini.

Petang Rabu saya ke Batu Pahat. Giliran ke rumah mertua pula. Kesempatan yang ada pada tengah hari Khamis, saya gunakan untuk membeli sambil menjenguk sebuah kilang @ perusahaan kerepek di Jalan Parit Botak. Kebetulan saya sedang bergelut dengan industri kerepek dalam Salju Sakinah, justeru kunjungan kali ketiga ini sedikit sebanyak akan membantu 'Sumayyah' menerokai dunia barunya.

Pagi Jumaat, saya bertolak ke JB. Ada Bengkel Penulis Muda Johor VII anjuran Yayasan Warisan Johor di Hotel Naza, Stulang Laut. Bengkel ini adalah lanjutan bengkel kelima (2003) dan keenam (2004) yang menjurus kepada genre novel. Pembimbingnya terdiri daripada penulis-penulis Johor seperti Kak Mawar Shafei, Kak Aminah Mokhtar, Saifullizan Tahir dan saya sendiri. Pesertanya relatif sedikit. Cuma 6 orang walaupun pada asalnya mencecah 30 orang lebih pada bengkel kelima, dan menyusut kepada 12 orang pada bengkel keenam. Namun yang 6 inilah sebenarnya yang berjaya meneruskan perjuangan hingga ke akhir; yang berjaya menghasilkan novelet yang kami syaratkan dan bakal diterbitkan oleh YWJ hujung tahun nanti.

Walaupun cuma 6, kerja membimbingnya bukan enteng. Bagaikan editor, kami berempat terpaksa membaca kesemua manuskripnya sebelum sama-sama berbincang dan membedahnya di hadapan tuannya sendiri perlahan-lahan. Memang ia meletihkan, namun inilah amanah dan tanggungjawab. Malah hasrat untuk melahirkan barisan penulis pelapis Johor rasanya turut menguja. Terima kasih kepada YWJ yang sudi mengundang kami.

Petang Ahad, pulang semula ke Batu Pahat sebelum bertolak balik ke Segamat.

Read more...

Jumaat, Ogos 12, 2005


Beberapa catatan penting yang tertinggal


13 Julai 2005
Keinginan yang sudah lama sebenarnya terpendam. Akhirnya terlaksana. Saya tak mahu berpaling ke belakang lagi apabila sudah berniat untuk pergi membeli. Dengan ditemani Cikgu Faizal saya mendapatkan Nikon Coolpix 5100. Tak mahal, masih kurang seribu. Tapi okeylah. 5.1 megapixel. Full aksesori. Nak beli yang mahal-mahal tak mampu. Lagipun buat apa, saya bukan jurukamera pro.

15 Julai 2005
Petang Jumaat. Bertolak ke JB pada jam 4. Nil muntah dua kali dalam kereta menyebabkan mood untuk ke majlis malam nanti turun sedikit. Irfan pula masih demam. Hujan lebat metah di Kulai. Maghrib kami tiba di Hotel Eden Garden, Stulang Laut. Jam 8.30 malam, saya mengenakan batik urban warna krim dengan corak warna merun yang baru siap untuk menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim V. Sayangnya, anak-anak yang masih kecil dan isteri tersayang terpaksa ditinggalkan di kamar hotel.

Syukur. Rezeki anak-anaklah ini. Meneruskan kemenangan Sesegar Nailofar dua tahun lepas, saya sekali lagi terpilih memenangi kategori novel remaja menerusi novel Rona Bosphorus. Dan paling mengejutkan, cerpen Pendedahan (alah, cerita fasal Tun Teja dan Hang Tuah bersembang dalam telefon tu) memasuki senarai pemenang kategori cerpen eceran. Langsung tak termimpi akan memenangi dua kategori sekaligus. Nak dijadikan cerita, berita dua kemenangan ini hanya saya ketahui lagi seminggu sebelum majlis penyampaian kerana surat dari Yayasan Warisan Johor tersesat dan tidak sampai ke tangan saya.

Ramai juga penulis-penulis mapan Johor yang menang double seperti Zaharah Nawawi (cerpen dan kumpulan puisi), Mawar Shafei (esei dan cerpen), Anis (esei dan buku sastera) dan Aminah Mokhtar (cerpen dan drama radio). Saya duduk di antara Shapiai Hj Ramly dan Saadiah Ibrahim. Sempat juga berbual dengan HM Tuah Iskandar yang menang kategori novel dewasa menerusi Enrique Mengundang Jauh. Sayangnya, tak sempat pula berbual panjang dengan pemenang-pemenang lain kerana saya turun agak lewat.

Majlis HSDT macam biasa - memang grand. Zapin wajib ada. MB Johor hadir diiringi exco-exconya. Dan saya cukup gembira melihat Shamsuddin Othman meraih anugerah Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor. Abang Dean memang layak. Pak Nora yang sudah 77 merangkul Hadiah Sasterawan Johor.

Namun malam ini adalah malam Faisal Tehrani. Tahniah kepada Faisal yang menang RM 10 000 lewat novel Surat-surat Perempuan Johor dalam Sayembara Novel Sejarah Johor kali pertama. Faisal menang tempat ketiga. Tiada tempat pertama dan kedua. Dia berbaju Melayu merah, lengkap bersamping dan bersongkok. Macam Hang Tuah, sempat saya mengusiknya, tapi di mana kerisnya?

Lepas kudapan, Khadijah Hashim sempat datang menegur saya. Rasa terharu pula. Dia ingat lagi saya yang masih hijau mentah ini rupanya. Kak Jah macam biasa - mesra. Tetap seperti dulu, banyak mendorong saya supaya gigih menulis. Kadangkala rasa tak percaya bila penulis hebat macam Kak Jah datang menemui saya menghembus dorongan. Mama Anis (Dr. Amida Abdulhamid) juga sempat menguja semangat tatkala kami bertemu di bilik urusetia untuk menerima tuntutan perjalanan dan cek masing-masing.

26-29 Julai 2005
Saya dilantik sekolah sebagai guru penghubung media lantas dikehendaki berkursus di INTEKMA Resort, Shah Alam. Kursus Penulisan Berita dan Fotografi. Terlanjur dah beli Nikon ni, memang kursus ini sangat saya perlukan. Teknik-teknik nak ambil gambar kena tahu. Tak boleh pukul gambar sebarang. Ada kejutan. Pembimbing kursus fotografi rupanya kawan saya - Syed Nassir Syed Ali dari Perlis- yang sudah tidak ditemui lebih 10 tahun! Praktikalnya, sepetang kami habiskan di Tasik PKNS untuk mengambil gambar.

30-31 Julai 2005
Pulang sebentar ke rumah mertua di Senggarang, Batu Pahat. Umi dan mak sihat. Saya seketika melepaskan penat.

1-4 Ogos 2005
Ke JB dan Eden Garden sekali lagi. Mesyuarat Pembinaan Modul bagi Pengajaran Bahasa Arab. Bermakna dalam dua minggu, saya terpaksa berkursus dua kali berturut-turut. Seronok. Tapi agak meletihkan. Ramai juga penulis-penulis buku teks Bahasa Arab yang sempat saya kenali kali ini. Bolehlah bertukar-tukar pengalaman proses penulisan dan penerbitan.


5-7 Ogos 2005
Musafir lagi. Sehari sesudah pulang dari JB, saya ke Kuantan. Bukan untuk Karnival TV3 Sureharam di Padang MPK2, tapi untuk Hari Keluarga anjuran Kelab Bilik Guru SMKAS. Tempatnya, De Rhu Beach Resort, Pantai Balok. Inilah masanya untuk melepaskan stres dan keletihan!

Read more...

Khamis, Julai 21, 2005

Beberapa Realiti yang Mungkin Kita Tak Perasan dalam Gelombang TsuMawi
(memetik tulisan Melintang Sesayap dalam Harakahdaily)

Pandangan Pertama (1)
Dahulu Mawi; Seorang qari yang pernah melunakkan bacaan al-Quran. Antara petikan surah yang pernah dibaca dan dilalui sepanjang hidupnya: "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman; hendaklah mereka menahan (merendahkan) pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat" (Surah An-Nur ayat 30).
Dan mengakhiri surah-surah yang dibaca sambil duduk bersila penuh tertib dan adabnya.
Kini Mawi Qari yang sama memerdukan dan menyaringkan nyanyian Antara petikan lagu dendangannya: "siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati tiada memikat...Aduhaiiiiiiiii...lemah lembut gayanya..." (lagu penyanyi lama)
Dan mengakhiri lagunya sambil menari lantas memandang tepat ke arah wanita yang berdiri di sisinya.

Pandangan Kedua (2)
Dahulu Mawi seorang bilal yang pernah melaung azan sambil berdiri tegak Antara terjemahannya membawa erti "...menuju kejayaan"
Kini Mawi Bilal yang sama menyanyi lagu tema rancangan sambil menari rancak Antara alunannya berbunyi "...menuju puncak".

Pandangan Ketiga (3)
Memetik kata Mawi " ....dia mesti bertudung..."
Dengan petikan itu maka; 1.Tudung Mawi diberi nama dan laku diniagakan 2. Seorang peserta bukan Islam memakai tudung secara bergurau lantas mengejar Mawi 3. Seorang juri wanita Islam yang tidak bertudung tidak semena-mena memakai tudung berbentuk selendang di kepala seraya berkata "saya kalau nak komen Mawi mesti pakai tudung..."
Lantas disambut gelak hilai, sorakan, teriakan dan jeritan penonton menyambung gurauan dan perbuatan main-main ke atas tudung ini.
Main-main dengan hukum Allah.

Pandangan Keempat (4)
Fanatik, penyokong dan penonton Islam Mawi akan mempertahankan Mawi habis-habisan apabila dimaki tetapi apabila Nabi dan agama Islam sendiri dicaci, di mana kalian 'bersembunyi' selama ini?

Read more...

Jumaat, Julai 08, 2005

PUISI DARI TIMUR TENGAH

KAD PENGENALAN
Oleh Mahmoud Darwish
(Terjemahan daripada bahasa Arab oleh Zaid Akhtar)

Catatkanlah!
Aku Arab
nombor kadku 50 ribu
anak-anakku lapan
dan yang kesembilan …
akan menyusul selepas musim panas!
Apakah engkau gusar?

Catatkanlah!
Aku Arab
bekerja bersama buruh-buruh di lombong
anak-anakku lapan
aku ikhtiarkan sebuku roti untuk mereka
pakaian dan buku
daripada batu
dan aku tidak menagih sedekah dari pintumu
apalagi mengemis di hadapan istana celamu.
Apakah engkau gusar?

Catatkanlah!
Aku Arab
nama yang tidak bergelar
bersabar walau di mana jua
hidup dalam kemarahan yang amat.
Susur galurku telah utuh
sebelum lahirnya zaman
sebelum bermulanya era
sebelum adanya sipres dan zaitun
sebelum mekarnya tumbuh-tumbuhan.
Bapaku dari keluarga tani
bukan bangsawan mulia
datukku, seorang peladang
tanpa hasil tanpa nasab
mengajarku betapa tingginya mentari
sebelum membaca buku
dan rumahku, sekadar pondok penjaga ladang
daripada kayu dan rotan.
Apakah engkau puas melihat keadaanku?
Aku nama yang tidak bergelar.

Catatkanlah!
Aku Arab
berambut warna arang
bermata warna perang.
Kelebihanku:
cuma di atas kepala ini
lilitan kain di atas kopiahnya
dan tanganku yang seteguh batu
bisa mencalarkan sesiapa yang menyentuhnya.
Dan alamatku:
aku dari kampung terpencil yang dilupakan
jalan-jalannya tidak bernama
semua pemudanya di ladang dan lombong.
Apakah engkau gusar?

Catatkanlah!
Aku Arab.
Kau renggut anggur nenek moyangku
dan bumi yang diperladangkan
aku dan anak-anakku
dan tidak kautinggalkan untuk kami
dan cucu-cucuku
kecuali batu ini.
Apakah pemerintahmu akan mengambilnya
seperti yang diperkata?

Justeru!
Catatkanlah di kepala muka surat pertama
aku tidak pernah membenci manusia
aku tidak pernah menyamun sesiapa
Tapi aku, bila lapar
kan kuratah daging pemerkosa.
Hati-hati
dengan lapar dan amukku!


Biodata Pengarang
Mahmoud Darwish dilahirkan pada 13 Mac 1941 di desa al-Birwah yang terletak di timur ‘Aka, Palestin tetapi terusir ke Lubnan sewaktu masih kanak-kanak. Beliau yang intim dengan tema bangsanya digelar Penyair Rakyat Palestin merupakan penyair Arab moden paling terkemuka. Menjadi pelarian setelah perkampungannya diranapkan tentera Yahudi malah pernah dipenjarakan beberapa kali. Selain pernah menjadi editor majalah al-Kirmil, beliau juga mahir berbahasa Inggeris dan Ibrani. Di antara koleksinya ialah: `Asafir bila Ajnihah (1961), Awraq al-Zaitun (1964), `Aasyiq min Falestin (1966), Akhir al-Lail (1968), Al-`Asafir tamut fi al-Jalil (1970), Hisar li Mada’ih al-Bahr (1984) Diwan Mahmoud Darwish (1987) dan banyak lagi.

Read more...

Ahad, Jun 26, 2005

ALAHAI MASHITAH ...

Soalan:
Jual diri kerana terdesak
SAYA sering membaca kisah wanita (terutama ibu tunggal) yang terpaksa menjual diri untuk membesarkan anak. Punca pendapatan ini secara terang adalah haram.Persoalannya, adakah kehidupan dan pendidikan anak yang membesar dengan wang begini akan mendapat keberkatan Allah?Adakah anak yang mengetahui pekerjaan ibunya tetapi masih menggunakan wang itu akan turut berdosa?Dan bagaimana pula hukumnya jika wang itu digunakan untuk membayar zakat fitrah? - RAZIN, Kuala Lumpur

Jawapan :
HUKUM di dalam Islam berbeza mengikut keadaan seseorang. Mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu ‘terpaksa’, membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan dilarang dan bukan dengan kehendak hatinya.Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan.Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa.Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram, tetapi jika terdesak dan darurat ia dimaafkan. Di sinilah timbulnya tanggungjawab masyarakat untuk membantu.Orang terdesak dan darurat tidak mungkin mampu membayar zakat fitrah, bahkan dia tergolong layak terima fitrah.Jika sampai ada lebihan, bererti dia sudah tidak darurat.
(dipetik dari kolum Anda Musykil Mashitah Jawab, Metro Ahad 19 Jun 2005)

Apa kata ulama'?
Ia menimbulkan tanggapan di kalangan umat Islam bahawa melacur dibenarkan hanya dengan alasan terpaksa atau terdesak yang disebabkan tidak ada mata pencarian yang dikategorikan `darurat'.
Tambahnya, apabila berlaku darurat begini jika berdasarkan keterangan Mashitah, maka hukum haram melacur berubah menjadi harus.

Mashitah cuba mengaplikasikan doktrin mashaqqah yang banyak dibincangkan dalam kitab fiqh dan usul fiqh, iaitu bahawa suatu kesulitan itu menjadi sebab bagi kelonggaran dan kemudahan. Oleh kerana itu timbul keadaan terpaksa mungkin disebabkan kemiskinan dan kesempitan hidup maka Mashitah dalam jawapannya tidak jelas dan berhati-hati, terus mengkategorikan keadaan tersebut sebagai keadaah dharurah yang boleh merubah hukum haram melacur kepada harus.

Pendapat Mashitah yang disiarkan dalam Harian Metro Ahad lalu, menyalahi aplikasi doktrin mashaqqah yang ditetapkan ulama muktabar serta terlalu mudah mengkategorikan keadaan darurat sehingga membolehkan perzinaan dilakukan.

Dalam kenyataan Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya `Al-Halal Wal Haram Fil Islam' yang menyentuh keadaan darurat yang membolehkan sesuatu dilarang, telah memperingatkan umat Islam agar tidak secara `sembrono' mempermudah-mudahkan kelonggaran yang diberi oleh syarak atau alasan darurat.

Komen: Kesal sekesal-kesalnya! Mengapa setelah berada di sebelah 'sana', ustazah selalu melatah dan makin berubah? Penat TV3 buat program 'BERSAMAMU'!

Read more...

LINGKARAN PENULIS ISLAMIK

Sesungguhnya, lebih setahun dahulu, saya menerima sms daripada seorang penulis muda terkenal tanah air yg menyatakan harapannya: alangkah baiknya jika kami penulis-penulis lulusan bidang agama mengadakan satu pertemuan dan duduk berbincang perkara yang bermanfaat untuk Islam. Saya amat bersetuju, mahu membantu, tetapi sejurus itu tiada tindakan susulan di antara kami. Masing-masing diam, tenggelam dalam kesibukan tugas dan berkarya.

Namun setelah setahun berlalu, lebih tepat lagi sejak hadir ke Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 di Tg. Piai, hati saya masih teringat-ingat cadangan itu dan sentiasa terdorong untuk menyatakannya semula. Apatah lagi mengingatkan pelbagai fenomena yang mengancam umat Islam dan peristiwa 11 September 2001, hati saya makin kerap mendesis, kini sudah tiba masanya untuk kami memikirkan sesuatu, melaksanakannya secara bersama dan duduk dalam satu lingkaran/ikatan yang berhadafkan dakwah Islamiyyah.

Lalu kami bertemu dan duduk berbicara mengulangi harapan lama. Syukur. Segalanya positif. Biarpun sudah berlalu setahun, tetapi kami rasa belum terlambat untuk bersama.

Ia masih di peringkat perbincangan. Masih lagi terlalu awal untuk mensasarkan tuju hala ikatan para penulis yang menjurus dan terdidik sepenuhnya di institusi pengajian tinggi dalam jurusan agama. Segalanya perlu dibincang dan dirancang. Setiap perbincangan dan rancangan menagih pertemuan demi pertemuan. Dan untuk mengadakan pertemuanlah cabaran awal yang harus kami hadapi.

Namun saya kekal optimis. Ikatan sebegini - biarpun longgar - perlu ada. Sastera Islam di Malaysia perlu diperkasakan, dan inilah antara langkah-langkahnya. Penulis-penulis lulusan bidang agama perlu disatukan hati-hati mereka agar lebih bertenaga, lebih berisi dan lebih berstrategi dalam meneruskan kesinambungan dakwah pena mereka.

Beberapa orang penulis muda yang agak menjanjikan telah menyatakan sokongan apabila saya hubungi. Kepada teman-teman sefikrah dan sealiran, mungkin boleh hubungi saya untuk kita berbicara lebih dekat lagi. Insya Allah.

Read more...

Selasa, Jun 14, 2005

WACANA NOVEL REMAJA KUMPULAN UTUSAN

Tahniah berganda kepada Faisal Tehrani yang memenangi tempat pertama dan kedua pertandingan Novel remaja Kumpulan Utusan 2004 dengan dua novelnya - "Advencer Si Peniup Ney" dan "Detektif Indigo". Ini bermakna Faisal mengungguli hadiah pertama bernilai RM6000 selama tiga tahun berturut-turut.

Apakah rahsianya? Bagaimana Faisal memilih tema atau persoalan yang memikat hati panel penilai? Bagaimanakah caranya untuk menghasilkan novel yang baik? Jawapannya ada dalam Wacana Novel Remaja Utusan yang diadakan oleh pihak penganjur sendiri.

Saya sendiri telah menyertai wacana ini sebanyak 3 kali sebelum ini sejak sirinya yang kedua pada tahun 2000. Alhamdulillah saya berjaya menang dua kali pertandingan tersebut setelah saya beroleh input berharganya. Begitu juga dengan Siti Jasmina Ibrahim dan Nisah Haron yang turut memenanginya pada tahun lepas, mereka pernah menghadiri wacana ini. Justeru, saya menyeru kepada sesiapa yang berminat dan mahu mengetahui rahsia kemenangan kami untuk turut serta menghadiri sirinya yang kelima.

Wacana sehari tersebut akan diadakan pada Sabtu, 18 Jun 2005, bertempat di Hotel Istana, Jalan Raja Chulan dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Bayaran penyertaan yang dikenakan ialah RM100 termasuk kertas kerja, minum pagi, makan tengah hari berserta minum petang.

Empat ahli panel terkemuka telah dijemput bagi membentangkan kertas kerja melalui empat segmen, berbanding tiga pada tahun sebelumnya. Mereka ialah Profesor Dr. Uthman el-Muhammady yang akan membincangkan tentang "Falsafah Seni ", Dr. Sidek Fadzil, "Pemikiran dan Jati Diri: Penghadirannya dalam Pengkaryaan"; Encik Mohammad Saleeh Rahamad, "Strategi Bahasa dalam Penulisan Novel Remaja"; dan Puan Nor Azah Abd Aziz, "Kenapa Sesebuah Karya Terpilih atau Tertolak?"

Wacana sebegini juga bertujuan membantu para penulis mempertajam kebolehan dan ilmu dalam bidang penulisan, sekali gus memperkukuh kredibiliti dalam mengungguli mutu karya sastera tanah air. Kepada yang berminat untuk menyertainya sila berhubung dengan Puan Nor Azah Abd Aziz atau Puan Nik Anura di Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd di talian 03-92856577. Tempat adalah terhad!

Read more...

Selasa, Jun 07, 2005

i
Baru balik dari Tg. Piai semalam. Banyak yang menyeronokkan dan menggembirakan. Apa sebab seronok, apa sebab gembira? Nantilah. Ada masa akan saya nyatakan.

ii
Pada satu pagi yang hening, seorang sahabat menerima SMS daripada kawannya.

SMS yg diterima berbunyi lebih kurang begini: Anak saudara aku berjaya masuk Akademi Impiana. Jangan lupa undi dia ya.
Lalu sahabat itu spontan membalas dengan SMSnya: Apa punya bapa saudara! Nak hantar anak saudara masuk neraka?

Read more...

Jumaat, Jun 03, 2005

Dari TG TUAN ke TG PIAI

Hari Rabu, saya ke Ilham Resort, Tanjung Tuan untuk menghadiri slot Bersama Mantan MPR (Zaid Akhtar& Nisah Hj. Haron). Seronok sebab dapat berjumpa teman-teman seangkatan yang mengendalikan Minggu Penulis Remaja tahun ini seperti Faisal Tehrani, Salina Ibrahim, dan Khairul Nizam Raub.

Petang ini, insya Allah, saya akan ke Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Tanjung Piai, Pontian. PPMN akan berlangsung dari 3 Jun hingga 6 Jun 2005.

Kepada seluruh penulis muda (bawah 40 tahun) Malaysia, selamat berhimpun!

Read more...

Khamis, Mei 26, 2005

LIVERPOOL 3 AC MILAN 3
(Liverpool menang penalti 3-2)

Setelah 21 tahun menanti, Liverpool akhirnya kembali berkuasa di Eropah. Bukan Manchester United yang sudah terbayang-bayang era kejatuhannya, bukan Arsenal yang bermain cantik mahupun Chelsea yang berbelanja besar. Tetapi barisan pemain yang kerap dilanda masalah kecederaan sepanjang musim diketuai Steven Gerrard di bawah kendalian pakar strategi berbangsa Sepanyol, Rafa Benitez.

Tiada siapa yang menyangka, Liverpool akan bangkit dan bergelar juara Eropah buat kali kelima setelah ketinggalan 0-3 pada separuh masa. Dengan inspirasi daripada gol Gerrard, Smicer dan Alonso, serta strategi yang betul oleh Rafa Benitez, Liverpool menyamakan kedudukan dalam masa 7 minit. Lalu The Reds menjadi pasukan pertama yang bangkit daripada ketinggalan defisit 3 gol dalam sejarah final kejohanan.

Tiada yang lebih menarik dalam final selain kepintaran Benitez dan kekuatan mental pemain-pemain Reds untuk kembali bangkit dan gelek Jerzy Dudek. Tindakan Benitez menurunkan Hamman untuk menyekat Kaka ternyata berbaloi apabila perancang utama Milan itu langsung tidak bermaya pada separuh masa kedua. Dengan mempertaruhkan sistem 3-4-3 (asalnya 4-4-1-1), Milan akhirnya mengalah setelah Shevchenko sendiri gagal menjaringkan sepakan penalti pasukannya. Sementara gelek Dudek yang memberi tekanan psikologi semasa penentuan sepakan penalti cukup untuk mengulangi nostalgia Bruce Grobbelaar pada final 1984 di Rome semasa mengalahkan AS Roma.

Kemenangan ini pastinya menjadi faktor utama untuk kapten Gerrard kekal di Anfield bersama pengurus sepintar Benitez beberapa musim lagi. Namun, ia menjadi penampilan terakhir bagi Smicer, juga mungkin Dudek, Baros dan Hamann yang khabarnya akan berhijrah.

Walaupun menduduki tempat kelima dalam liga di belakang Everton yang menggagalkannya untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah 2006, namun Presiden UEFA dan FIFA sendiri menyatakan sokongan agar The Reds diberikan tempat untuk mempertahankan kejuaraannya. Malah, Reds diberi penghormatan untuk menyimpan terus trofi kerana memenanginya buat kali kelima.

Paling ralat sesudah final ini, tentunya Michael Owen yang berpindah ke Real Madrid pada awal musim dan mungkin juga Fernando Morientes yang datang dari Real Madrid tetapi tidak dibenarkan bermain. Owen tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Madrid sementara Morientes tidak dapat bermain untuk Liverpool dalam kempen Liga Juara-juara kerana sudah bermain untuk kelab lamanya.

Tidak mustahil untuk Owen kembali semula ke Liverpool (sebagaimana Ian Rush yang cuma bertahan semusim di Juventus) dalam pada Benitez membeli beberapa pemain berkualiti seperti Pablo Aimar lalu mereka akan menggugat Chelsea setelah 15 tahun kempunan kejuaraan liga.

Read more...

Rabu, Mei 25, 2005

LIVERPOOL vs AC MILAN

Malam ini, Liverpool akan bertemu AC Milan di Istanbul bagi merebut Piala Eropah yang pernah mereka menangi 21 tahun yang lalu. Kedua-dua kelab yang terkenal dengan sejarah dan tradisi masing-masing rupanya tidak pernah bertemu dalam apa jua pertandingan peringkat Eropah selama ini.

Liverpool -juara Eropah empat kali - yang telah mengejutkan Bayer Leverkusen, Juventus, dan Chelsea dilihat sekali lagi akan membuat kejutan ke atas Milan -juara Eropah enam kali - yang menewaskan Manchester United, Inter Milan dan PSV Eindhoven di peringkat kalah mati. Prestasi Liverpool pada 3 peringkat sebelum ini dilihat lebih meyakinkan walaupun langsung tidak diberikan peluang pada awalnya.

Sejak dikendalikan oleh Rafael Benitez yang begitu pakar dan mahir dengan selok-belok permainan bola sepak Eropah, The Reds ternyata sebuah pasukan berbeza berbanding penampilan mereka dalam Liga Perdana Inggeris. Biarpun Milan diletakkan sebagai pilihan, namun status underdog bukanlah asing bagi The Reds yang akan membariskan Steven Gerrard dan Xabi Alonso untuk berhadapan dengan Clarence Seedorf dan Kaka di bahagian tengah.

Di atas kertas Milan jelas mengatasi Liverpool dari segi persembahan,jaringan dan pengalaman kesebelasan utamanya. Namun hasil poll yang dibuat setakat ini, Pool jauh mengatasi Milan untuk mencatat kemenangan bersejarah. Memandangkan keberkesanan taktik dan teknik yang diterapkan oleh Benitez, kubu Pool (dibarisi Hyypia, Carragher, Traore, dan Finnan) agak sukar digugat berbanding benteng pertahanan Milan yang dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan sudah berusia (Cafu, Maldini, Stam dan Nesta). Dan berita baik buat Pool tentunya kepulangan striker Cisse yang baru pulih daripada patah kaki.

Ramai meramalkan keputusan mungkin berakhir dengan natijah 1-0 atau 2-1 memandangkan kedua-dua pasukan akan bermain penuh hati-hati. Atau terikat seri lalu ditentukan dengan tendangan penalti.

Read more...

Selasa, Mei 24, 2005

Ku cari
Mana dia Al-Ghazali
Ku cari
mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci

Tapi
yang kutemui
Inul goyang gerudi

(petikan ceramah Ustaz Abdullah Hussin)

Read more...

Sabtu, Mei 21, 2005

KENA BATANG HIDUNG SIAPA?

Baru-baru ni, ada orang tu tak dapat menziarahi Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Kesian sungguh dia. Jahat betul Yahudi Zionis (bangsa pengkhianat, penceroboh, pengganas malaun dsb) yang menghalang ziarahnya ke masjid ketiga teragung bagi umat Islam.

Awal April 1997 - tentu orang tu ingat lagi kalau dia belum nyanyuk. Pasukan kriket Yahudi Zionis datang ke negara ini untuk bertanding, tapi dia tak halang pun. Malah dia marah pula pada orang yang buat demo halang kedatangan bangsa Yahudi Laknatullah. Dia kata, biar mereka datang, tunjukkan keharmonian kita; kita boleh dakwah mereka.

Hmm, sekarang siapa dakwah siapa? Dan siapa halang siapa?

SubhanaLLah.

Read more...

Jumaat, Mei 20, 2005

Kelebihan berjemaah mengikut Teori Fizik
(dipetik dari Ruangan Agama Utusan Malaysia 20 Mei 2005)

SEORANG professor fizik di Amerika Syarikat membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam.

Katanya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita merasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian.

Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.
Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama. Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat yang berbeza dalam solat bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita.

Semasa solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai-bagai kelebihan.
Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita, akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun daripada tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat beberapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.
Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.
Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang daripada kerja, kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor tersebut mengenai solat Isyak yang mengandungi empat rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam.

Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).

Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

Read more...

Khamis, Mei 19, 2005

ADA APA DENGAN BUKU?
Kesibukan seringkali membataskan masa saya untuk membaca. Namun seberapa daya saya cuba mencuri waktu untuk membaca. Lantaran saya yakin sungguh-sungguh, hanya dengan membaca saya akan beroleh idea baru, selain minda menjadi segar dan teruja semula. Kebetulan, baru-baru ini di Pesta Buku, saya membeli sebuah buku terbitan Utusan Publications - Ada Apa Dengan Buku? - kumpulan esei Shaharom TM Sulaiman dan Suriati Shamsuddin. Ia belum saya baca seluruhnya, tapi tatkala mebelek-beleknya di rumah, saya menemui beberapa kisah berkaitan kegilaan membaca buku. RM19 cuma. Buku ini ada kembarnya, berjudul "Buku Kekasihku".


SIRNA SEBUTIR BINTANG
Usai membaca Tunas Cipta Mei 2005 yang mengisi pengalaman Siti Hajar Mohd. Zaki sewaktu menghasilkan cerpen-cerpen yg termuat dlm Sinar Sebutir Bintang, saya teruja utk membeli kumpulan cerpennya itu. Selain tanda sokongan untuk penulis seangkatan, saya memang menggemari gaya penulisan (terutama kesegaran diksi dan ayat) penulis berbakat mantan MPR 1996 yang berasal dari Kedah ini. Paling menarik perhatian saya tentunya cerpen "Selebriti". Cerpen ini bertolak daripada kata-kata: "bertudung pun boleh popular". Pembaca bijaksana tentunya dapat menebak siapa ikon tersohor yang dimaksudkan penulis. Saya rasa, Siti Hajar patut menghantar cerpen ini ke URTV, bukannya Tunas Cipta. Cubalah dapatkan SSB!


DUNIA ADALAH SEBUAH APARTMEN
Ini judul kumpulan cerpen Anwar Ridhwan terbitan terbaru DBP. Kulit tebal, agak mahal, tapi saya beli juga. Saya jadi peminat Anwar Ridhwan sejak Naratif Ogonshoto kerana sebelum itu saya sangat kurang atau jarang sekali meneliti karyanya. Seperti Allahyarham Abdullah Tahir (yang saya sangat kagumi setelah memiliki kumpulan cerpen Sang Tahanan), Dato' Dr. Anwar menawarkan kesegaran dan kelainan yang ketara dalam kebanyakan cerpennya. Malah, cerpen-cerpennya yang berlatarkan luar negara juga sangat menarik. Cari-cari juga kumpulan cerpen Cikgu Azizi Hj. Abdullah. Tidak maujud.

Read more...

Selasa, Mei 03, 2005

Bola.
Justeru malam ini, perlawanan paling penting untuk Liverpool yang akan menentang Chelsea bagi merebut tiket ke final Liga Juara-juara. Ramai yang meramalkan Chelsea dan AC Milan sebagai calon favorite untuk ke Istanbul pada 25 Mei nanti. Tapi, saya meramalkan Liverpool akan bertemu PSV Eindhoven. Dalam 3 perlawanan Liverpool lawan Chelsea sepanjang musim ini, The Reds sepatutnya menang dua daripadanya tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. Mereka kalah ketiga-tiga. Rasanya malam ini Steven Gerrard akan membuktikan sesuatu kepada The Kop walaupun tanpa sokongan pemain kegemaran saya, Xabi Alonso.

Buku.
Banyak juga beli buku di PWTC. Antaranya, kumpulan cerpen Anwar Ridhwan yang baru diterbitkan DBP, Sirna Sebutir Bintang oleh Siti Hajar Mohd Zaki, sebuah buku Harun Yahya terbitan Jahabersa dan beberapa lagi.

Kawan.
Sempat jumpa, antaranya Nazmi Yaakob (kini – sejak sebulan lalu di Meja Sastera Berita Harian) lantas kami makan malam bersama di tingkat paling bawah The Mall, Norzailina Nordin yang sibuk menurunkan autograf di gerai Alaf 21, Khairul Amin Md. Zain - guru bahasa Arab di CELPAD, dan Rahimi Saad - pensyarah di UM. Ketemu juga dengan editor tersohor UPND – Kak Nor Azah Abd Aziz dan suami.

Gelek
Inul akhirnya berjaya dibawa datang ke Kuala Lumpur. Konsertnya Ahad malam Isnin lalu. Di Stadium Merdeka. Ahlan wa sahlan ya Inul. Saksikanlah bukti ‘keterbukaan’ Islam Hadhari kami. Geleklah semahumu!

Read more...

Sabtu, April 30, 2005

JOM pergi PESTA BUKU di PWTC

Insya Allah, petang ini, saya akan ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Rasa tak sabar pula untuk ke sana. Begitu juga dengan isteri. Sudah dua tahun berturut-turut sebelum ini kami menyambut ulangtahun perkahwinan di PWTC. Namun tahun ini, ia diadakan awal sebulan - 23 April hingga 2 Mei 2005. Biasanya akhir Mei hinga awal Jun.

Dan seperti tahun-tahun terdahulu, sehari memang tidak cukup untuk merayau dalam pesta buku. Saya akan ke sana sekali lagi pada Ahad 1 Mei. Barulah puas dapat merayap dari gerai ke gerai. Kalau bernasib baik, dapat bertemu teman-teman penulis yang sibuk menurunkan autograf mereka di gerai penerbit novel masing-masing.

Okey. Kalau ada sesiapa terjumpa saya di PWTC (jika kenal), bolehlah tegur.

Read more...

Khamis, April 21, 2005

Cikgu,
Sejak kehadiranmu, aku bagaikan musafir di padang pasir yang kembali menemukan arah tuju.
Begitukah bunyinya?
Aku menarik nafas dalam-dalam. Payah untuk percaya tetapi itulah hakikatnya. Lain sasaran yang kuharapkan, lain pula balasan yang kuterima. Ini bukan aduan pelanggan memohon bimbingan, tetapi surat cinta!
Bila kubisikkan namamu, aku tergigil rindu. Namun ujudkah namaku di hatimu?
Uhuk!
Hampir aku terbatuk seusai membacanya. Terpisat-pisat juga seketika. Padat. Ringkas. Tetapi tepu makna dan bergaul harapan. Dan aku hanya mampu menggeleng kepala. Hebat lagi dahsyat, seperti kata Cikgu Muiz. Budak-budak sekarang terlalu berani dan kreatif!
Siapa lagi yang berani mengirimnya kalau bukan dia?

Dah baca? Itu petikan cerpen terbaru saya dalam majalah NUR Mei 2005. Terima kasih kak Salina Ibrahim yang sudi menyiarkannya.

Read more...

Sabtu, April 09, 2005

Malam semalam, buat julung-julung kalinya SMKAS berjaya menganjurkan konsert nasyid. Sempena Ekspo Kosmas yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu, SMKAS telah mengundang grup nasyid yang baru nak meningkat naik - Mestica - bagi mengadakan persembahannya di Dewan Besar SMKAS.

Okey juga persembahan anak buah Hijjaz yang bongsu ini. Boleh tahan. Terutama interaksinya dengan penonton yang mencuit hati. Antara lagu popular grup Mestica (dengarnya sudah dieja Mestika bagi mengelakkan adanya pengaruh Metallica) yang sering kedengaran di corong-corong radio seperti Destinasi Cinta, Inayah dan Sendu Sendawa. Album kedua mereka khabarnya akan dipasarkan Jun nanti.

Dah telanjur (mana satu yang betul ejaannya; terlanjur atau telanjur?) ada konsert nasyid seperti ini, lalu saya bawa isteri dan anak-anak untuk menikmati sedikit hiburan alternatif di hujung minggu.

Read more...

Isnin, April 04, 2005

Suka saya memetik tulisan Al-Akh Ustaz Zulhilmei Mohd Rohani menerusi emelnya di sebuah egroups baru-baru ini:

Jika diteliti, ada satu yang pelik mengenai "timing" dua gempabumi
besar ini. Yang terjadi tahun lalu, berukuran 9.0 Richter, terjadi
pada 26 Disember, iaitu satu hari selepas Krismas. Yang baru-baru
ini, berukuran 8.7 Richter, terjadi pada 28 March, iaitu satu hari
selepas Easter, satu lagi hari besar untuk orang Kristian. Jika
Krismas disambut oleh orang Kristian sebagai tarikh lahir Nabi Isa,
Easter di sambut sebagai hari Jesus "dihidupkan semula". Ianya
disambut pada 27 March tahun ini. Pada hari Easter, orang Kristian
akan berpakaian cantik serba baru dan akan berpesta. Kanak-kanak
akan meraikannya dengan permainan "easter egg" dan "easter bunny".

Mungkinkah ada yang mesej dari Allah SWT yang tersirat dalam
pemilihan dua tarikh ini? Apakah ini lambang kemurkaan Allah SWT
terhadap penolakkan kebenaran Al Quran dan pegangan pendapat bahawa
Nabi Isa itu adalah anak tuhan yang mati disalib? Atau, adakah ini
mesej untuk orang-orang Islam sendiri supaya cepat sedar dan jangan
terikut-ikut dengan fahaman barat yang mengatakan bahawa kejadian
tsunami tempoh hari adalah kuasa alam semulajadi dan bukan dari
Allah SWT?

Mungkin ada yang bertanya mengapa mesej ini dalam bentuk bencana
alam yang terjadi di sebuah negara Islam? Jawapannya, jika ianya
terjadi di Vatican, tentu terlalu ketara kebenaran Islam itu, lalu,
hidup ini yang sebenarnya ujian keimanan dan ketaqwaan, bukan lagi
menjadi ujian. Ini adalah seoalah-olah soalan peperiksaan yang
bocor. Walaupun begitu, mesej2 halus begini masih boleh dibaca oleh
orang-orang yang mahu berfikir. Bagi yang telah hanyut, bencana ini
semua tak lain tak bukan hanyalah "A Force of Nature".

Read more...

Selasa, Mac 22, 2005

Sekali kuseru namamu, aku terkapar rindu
(Khairuddin Ayip, Sayangnya Jauh di Kota, 1988)

Read more...

Isnin, Mac 14, 2005

Blog SALJU SAKINAH

Bagi para pembaca yang gagal mengikuti siri-siri Salju Sakinah di Ruangan Agama Utusan Malaysia waima yang tersiar di akhbar mahupun online, saya telah menyediakan blog khusus untuk novel tersebut.

Ahlan wa sahlan ila: http://saljusakinah.blogspot.com

Read more...

Sabtu, Mac 12, 2005

i
Keletihan. Baru selesai menjadi pembimbing dalam Perkampungan Penulis Muda Sek Men Daerah Segamat mulai 10 Mac dan berakhir tengah hari tadi.

Walaupun letih berbengkel tapi keseronokannya tetap ada. Selain dapat berkongsi ilmu dengan calon-calon penulis, saya juga dapat bertemu dengan Baharuddin Kahar novelis Senjakala, Sdr. Mohd Raub Ahmad (penulis novel kanak-kanak dan remaja yang bertugas sebagai pengurus Bank Muamalat Caw. Segamat), penulis muda Negeri Sembilan Sdr.Faizal Said, Sdr. Lim Tian Hion (adik Lim Swie Tin) dan tentunya Kak Mawar Shafei.

ii
Saya tiba-tiba terkenangkan Hizairi Othman yang genap empat tahun kehilangannya (10 Mac 2001 - 10 Mac 2005). Dia antara penulis muda yang sangat saya minati. Hingga kini, ayat muluknya dalam sebuah cerpennya yang terkenal, masih kekal dalam ingatan:

"Kukenalimu baru sekejap, dalam sekejap itu aku mengenalimu."

(Tidak Semanis Mimpi oleh Hizairi Othman)
Pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1988)

Read more...

Ahad, Mac 06, 2005

Saya tidak pernah menyangka tahun 2005 akan menjadi tahun yang sangat mencabar bagi saya. Terlalu banyak kerja yang wajib diselesaikan setiap hari. Lantas memendekkan purata waktu tidur saya bagi tahun ini.

Segala-galanya bermula saya kira apabila diberi tanggungjawab menyumbang novel bersiri di Ruangan Agama Utusan Malaysia. Siang sudah bertukar menjadi malam dan begitulah sebaliknya. Saya terpaksa mengarang novel bertuah ini tanpa mengira masa dan tempat. Yang penting, ia dapat dihantar melalui emel pada setiap pertengahan minggu ke Meja Agama.

Sesungguhnya mengarang bukan kerja main-main, tetapi renyah dan menjerakan. Ia kerja yang menagih komitmen dan konsentrasi, selain imaginasi, kreativiti dan ketajaman sensitiviti. Banyak masa santai dan ziarah terpaksa saya korbankan. Masa bersukan, minum-minum di warung, menziarahi teman-teman, menonton perlawanan bola sepak menjadi terhad. Hatta untuk mengemaskini blog pun menjadi kesukaran. Malah, kepada seorang teman saya katakana, Salju Sakinah sewajarnya ditukar judulnya kepada Derita Sakinah.

Saya juga sangat berterima kasih kepada Kak Faridah Mohamed Sani, selaku editor Meja Agama (bukan lagi Astora Jabat ya, dia sudah berpindah ke majalah Al Islam) yang memahami kesukaran saya. Terasa ingin bertemu dengannya memohon maaf di atas kelewatan penghantaran siri-siri novel saya. Rasanya kami pernah bertemu sebelum ini dalam majlis-majlis anjuran Kumpulan Utusan tetapi belum mengenali orangnya.

Namun syukurlah, saya masih sihat dan dapat bertugas di sekolah seperti biasa. Dan hasil pengalaman yang lepas-lepas, saya tahu apa yang saya perlukan untuk memudahkan karier saya. Justeru kali ini saya bersedia dengan sebuah komputer riba untuk menangani tugas menulis sepanjang tahun ini. Kemajuan teknologi wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

Minggu ini minggu saya kurang berada di sekolah. Rabu, saya akan bertugas di Kejohanan Olahraga MSSD Segamat di SMK DBD. Sementara pada Khamis, Jumaat dan (terlajak) Sabtu, saya diminta menjadi pembimbing calon-calon penulis muda dari sekolah-sekolah menengah daerah Segamat dalam Perkampungan Penulis Muda Segamat di Perpustakaan Awam. Khabarnya, Baharuddin Kahar, Abdul Talib Hasan dan Zharul Nizam Shah Zainal Abidin akan terlibat sama.

Lebih istimewa, Kak Mawar Shafei diberitakan akan turun dari Singapura untuk menghadiri slot khas Bersama Mawar Shafei pada Jumaat malam Sabtu di sini. Beruntungnya para penulis remaja zaman sekarang!

Read more...

Sabtu, Februari 26, 2005

Pernah dengar puisi ini?

Subhan Allah terlalu kamil
Menjadikan insan alim dan jahil
Dengan hamba-Nya daim (senantiasa) Ia wasil (sampai)
Itulah mahbub (kekasih) bernama adil

-Hamzah Fansuri

Read more...

Selasa, Februari 22, 2005

Soalan:
PADA pandangan anda, apakah sumbangan orang ramai untuk mangsa tsunami benar-benar sampai ke tangan mereka?

Jawapan:
a)Sampai
b)Tidak sampai
c)Bocor di tengah jalan

Taip hrkh(jarak)undi(jarak)A jika pilihan anda A.
Hantar ke 36022

Setiap SMS yang dihantar akan dikenakan caj 50sen. Keputusan akan disiar dalam edisi akan datang.

Read more...

Rabu, Februari 09, 2005

Sesekali menyelak memori, saya terjejak puisi yang pernah dilarik lima tahun yang lalu:

Asar Terakhir Ini

Asar terakhir ini
basuhlah wajah bersalut dosa
dan mulut berlidah hitam itu
dengan wuduk terakhir hari ini
sucikanlah hati busuk
dengan istighfar penutup tahun.

Maghrib nanti
ucaplah syukur kerna panjang umur
muhasabahlah diri dan amalan sepanjang tahun
berdoalah moga dikurniakan
rezeki berkat iman rahmat
selain hidayah dan taufiq yang memandu
sepanjang jalan di depan.

Endau, Mersing
5 April 2000.

Selamat Datang 1426H!
Kullu 'aam wa antum bikhayr!

Read more...

Sabtu, Februari 05, 2005

Sebelum itu, syukran jazilan kepada para pembaca yang memberi pelbagai respons ttg novel terbaru saya yang dalam pembikinan ini. Ia novel yang sukar kerana dibikin secara bersiri dan 'wajib' dihantar setiap awal minggu ke Meja Agama Utusan Malaysia. Namun saya berjanji pada diri dan pembaca, akan cuba menghasilkan yang terbaik.

Sejak berlangsungnya novel ini juga, makin jarang nampaknya saya mengemaskini blog. Bukan tidak mahu, tapi sebenarnya tidak punya kesempatan. Masa saya sangat terbatas kini. Itu alasan yang kurang baik, saya kira. Namun realitinya begitu.

Pada awal tahun begini, memang di sekolah sedikit sibuk. Aktiviti sukan, kokurikulum dan pelbagai mesyuarat lagi perlu dihadiri. Itulah rutin seorang guru. Tapi saya mesti menulis dan jangan sengaja belajar mencari alasan. Bukankah kebanyakan penulis tersohor negara asalnya adalah seorang guru? Misalnya, Cikgu Shahnon Ahmad, Allahyarham Dr. Othman Puteh dan ramai lagi. Dua orang penulis pujaan saya semasa remaja dulu - Khairuddin Ayip dan Mohd. Ismail Sarbini - juga guru yang aktif menulis.

Ya, dua orang penulis era 80-an yang saya sebutkan tadi. Rindu sungguh untuk menatap karya terbaru mereka. Sebut saja apa novel mereka berdua, segala tema, watak dan isi ceritanya masih terhimpun di memori ingatan saya. Kalau saya ditakdirkan berjumpa mereka berdua, ingin saya katakan:

Mengapa cikgu tidak aktif menulis novel macam dulu?

Read more...

Khamis, Januari 27, 2005

OSAMA = TSUNAMI?

Pasti ramai yang seperti saya menonton Dokumentari Tsunami di TV1 pada jam 10.30 malam, 23 Januari 2005. Sedih juga. Bukan hanya tragedi Tsunami yang menyayat hati, tapi mukadimah dokumentari itu yang saya anggap masih berkiblatkan Barat. Betapa menyeranahnya saya apabila dokumentari terbitan RTM itu menyamakan Osama Ben Laden dengan Tsunami!

Bayangkan, Osama Ben Laden disamakan dengan Tsunami kerana dianggap membawa bencana dan kemusnahan kepada manusia dan alam sekitar. Bagi dokumentari itu, Osamalah penyebab berlakunya serangan Amerika ke atas bumi Afganistan dan Iraq. Hanya kerana 'kesilapan' Osama menyerang WTC pada 11 September 2001, umat Islam terpaksa menerima akibatnya. Anda dapat bayangkan pendirian media perdana kita di sini. Bayangkan betapa tidak berpendiriannya mereka terhadap isu keganasan. Betapa tidak bijaknya mereka membaca muslihat dan menghidu fitnah yang ditabur oleh Amerika - musuh sebenar kita. Betapa mereka hanya percaya pada laporan CNN, BBC, Reuters, AFP, Agensi yang kesemuanya milik Yahudi.

Akhirnya saya menutup TV. Pada saya, tanpa faktor Osama (sahihkah bukti penglibatannya atau tuduhan semata) pun Amerika Laknatullah itu akan menceroboh Afghanistan, tanpa faktor Saddam (mana senjata kimianya?) pun Bush si 'Babi Hutan' itu akan melanggar Iraq. Media kita tahu. Media kita melaporkan semua itu. Tetapi kenapa dokumentari tadi begitu kurang ajar 'merosakkan' imej Osama?

Khulasahnya, kita benci keganasan, kita tahu siapa sebenarnya pengganas, tapi kita masih tidak mahu atau takut-takut menuding jari ke arah pengganas yang sebenarnya!

Read more...

Sabtu, Januari 22, 2005

Selamat Menjalani Ibadah Korban

Kalau tak silap, blog ini sudah genap usianya setahun pada 17 Januari lalu. Terima kasih kepada paiji dan pakcu yang banyak membantu membangunkan blog ini.

Juga terima kasih kepada pengunjung yang masih setia dan sudi menatapnya.

Kullu 'aam wa antum bikhayr!

Read more...

Sabtu, Januari 15, 2005

SALJU SAKINAH

Syukur. Sudah 6 siri Salju Sakinah yang tersiar di Ruangan Agama Utusan Malaysia sejak dimulakan pada 3 Januari lalu. Ia disiarkan setiap Isnin, Selasa dan Rabu. Rasanya sekali lagi saya ingin mengulang;novel terbaru saya ini belum dijual di mana-mana kedai. Ia belum siap, malah berada di peringkat yang terlalu awal sebenarnya. Masih jauh perjalanan novel ini untuk tiba di klimaks peleraiannya. Insya-Allah kalau sudah sempurna novel ini nanti, akan saya bukukan. Itu perancangan tahun depan. Kita tunggu dan lihat.

Mungkin ramai yang tidak memberi perhatian terhadap novel bersiri di Ruangan Agama Utusan Malaysia. Saya penulis ketiga yang diberikan peluang sesudah Faisal Tehrani (Tunggu Teduh Dulu) pada 2003 dan Kak Aminah Mokhtar (Semakin Dekat) pada 2004. Memang peluang ini jarang muncul dan langsung tidak saya jangka akan diberikan kepada saya yang masih terlalu hijau dalam bidang penulisan kreatif ini. Ia bukan kerja mudah. Ia cabaran besar yang harus saya pikul. Menulis setiap hari untuk meneruskan siri-siri novel ini adalah pengalaman yang belum pernah saya lalui sama sekali. Walaupun sangat jerih dan payah, saya akan menghadapinya dengan jiwa besar insya Allah, lantaran peluang ini barangkali hanya datang sekali seumur hidup saya.


Kalau Faisal tampil dengan watak Salsabila Fahim menerokai industri betiknya yang cukup menakjubkan dalam Tunggu Teduh Dulu, Kak Aminah pula mengemukakan konflik Kampung Nelayan yang rencam wataknya dalam Semakin Dekat; saya memilih watak Sumayyah mahasiswi semester terakhir Universiti Yarmouk yang pengajiannya berbaki sebulan. Entah mengapa, saya sendiri tidak pasti mengapa saya mahu mencuba 'bermesra' dengan watak perempuan yang ternyata agak sukar ditangani berbanding watak Iqbal dan Afham dalam dua novel saya sebelum ini. Justeru novel ini agak banyak juga bermain dengan emosi - sesuatu yang jarang saya dekati dan terapkan dalam karya-karya terdahulu.

Sesungguhnya menulis novel bersiri ini bagi saya amat menakutkan dan mengerikan. Novel ini menuntut saya menulisnya setiap hari, membaca apa yang patut, mencari bahan mentah yang perlu diselitkan bersama, bersegera mengedit dan terpaksa berkejar dengan deadline pihak Meja Agama Utusan sebelum Isnin pada setiap minggu.

Disebabkan ketakutan dan kengerian itulah saya agak jarang mengemaskini blog akhir-akhir ini. Saya sebetulnya belum menemui rentak dan tempo yang terbaik dalam menangani novel ini. Doakan saya segera menemuinya. Tolong doakan saya. Kerana, andai kedua-duanya sudah saya temui, insya Allah, kerja-kerja menulisnya bertambah pantas dan menjadi lebih daripada menyeronokkan.

Okey. Selamat bercinta dengan Sumayyah. Dan selamat membaca!



Read more...

Ahad, Januari 02, 2005

NOTA dari Ruangan Agama Utusan Malaysia.

MULAI hari Isnin 3 Januari 2005, ruangan Novel Bersiri akan menyiarkan novel baru berjudul Salju Sakinah untuk menggantikan novel Semakin Dekat yang berakhir pada 29 Disember 2004.

Salju Sakinah adalah hasil karya Mohamad Yazid Abdul Majid yang lebih terkenal dengan nama pena-nya, Zaid Akhtar.

Beliau merupakan seorang pendidik dengan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Cerpen-cerpennya banyak disiarkan di pelbagai media dan mendapat anugerah, seperti Nil Masih Mengalir dalam kategori cerpen eceran Hadiah Sastera Darul Ta'zim III dan Juara yang Tewas - kategori cerpen Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1994.

Dua buah novel karya Zaid; Sesegar Nailofar mendapat tempat ketiga kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 dan novel remaja terbaik Hadiah Sastera Darul Ta'zim IV. Dan Rona Bosphorus - tempat kedua kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP