Sabtu, Januari 15, 2005

SALJU SAKINAH

Syukur. Sudah 6 siri Salju Sakinah yang tersiar di Ruangan Agama Utusan Malaysia sejak dimulakan pada 3 Januari lalu. Ia disiarkan setiap Isnin, Selasa dan Rabu. Rasanya sekali lagi saya ingin mengulang;novel terbaru saya ini belum dijual di mana-mana kedai. Ia belum siap, malah berada di peringkat yang terlalu awal sebenarnya. Masih jauh perjalanan novel ini untuk tiba di klimaks peleraiannya. Insya-Allah kalau sudah sempurna novel ini nanti, akan saya bukukan. Itu perancangan tahun depan. Kita tunggu dan lihat.

Mungkin ramai yang tidak memberi perhatian terhadap novel bersiri di Ruangan Agama Utusan Malaysia. Saya penulis ketiga yang diberikan peluang sesudah Faisal Tehrani (Tunggu Teduh Dulu) pada 2003 dan Kak Aminah Mokhtar (Semakin Dekat) pada 2004. Memang peluang ini jarang muncul dan langsung tidak saya jangka akan diberikan kepada saya yang masih terlalu hijau dalam bidang penulisan kreatif ini. Ia bukan kerja mudah. Ia cabaran besar yang harus saya pikul. Menulis setiap hari untuk meneruskan siri-siri novel ini adalah pengalaman yang belum pernah saya lalui sama sekali. Walaupun sangat jerih dan payah, saya akan menghadapinya dengan jiwa besar insya Allah, lantaran peluang ini barangkali hanya datang sekali seumur hidup saya.


Kalau Faisal tampil dengan watak Salsabila Fahim menerokai industri betiknya yang cukup menakjubkan dalam Tunggu Teduh Dulu, Kak Aminah pula mengemukakan konflik Kampung Nelayan yang rencam wataknya dalam Semakin Dekat; saya memilih watak Sumayyah mahasiswi semester terakhir Universiti Yarmouk yang pengajiannya berbaki sebulan. Entah mengapa, saya sendiri tidak pasti mengapa saya mahu mencuba 'bermesra' dengan watak perempuan yang ternyata agak sukar ditangani berbanding watak Iqbal dan Afham dalam dua novel saya sebelum ini. Justeru novel ini agak banyak juga bermain dengan emosi - sesuatu yang jarang saya dekati dan terapkan dalam karya-karya terdahulu.

Sesungguhnya menulis novel bersiri ini bagi saya amat menakutkan dan mengerikan. Novel ini menuntut saya menulisnya setiap hari, membaca apa yang patut, mencari bahan mentah yang perlu diselitkan bersama, bersegera mengedit dan terpaksa berkejar dengan deadline pihak Meja Agama Utusan sebelum Isnin pada setiap minggu.

Disebabkan ketakutan dan kengerian itulah saya agak jarang mengemaskini blog akhir-akhir ini. Saya sebetulnya belum menemui rentak dan tempo yang terbaik dalam menangani novel ini. Doakan saya segera menemuinya. Tolong doakan saya. Kerana, andai kedua-duanya sudah saya temui, insya Allah, kerja-kerja menulisnya bertambah pantas dan menjadi lebih daripada menyeronokkan.

Okey. Selamat bercinta dengan Sumayyah. Dan selamat membaca!



0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP