Rabu, Mei 25, 2005

LIVERPOOL vs AC MILAN

Malam ini, Liverpool akan bertemu AC Milan di Istanbul bagi merebut Piala Eropah yang pernah mereka menangi 21 tahun yang lalu. Kedua-dua kelab yang terkenal dengan sejarah dan tradisi masing-masing rupanya tidak pernah bertemu dalam apa jua pertandingan peringkat Eropah selama ini.

Liverpool -juara Eropah empat kali - yang telah mengejutkan Bayer Leverkusen, Juventus, dan Chelsea dilihat sekali lagi akan membuat kejutan ke atas Milan -juara Eropah enam kali - yang menewaskan Manchester United, Inter Milan dan PSV Eindhoven di peringkat kalah mati. Prestasi Liverpool pada 3 peringkat sebelum ini dilihat lebih meyakinkan walaupun langsung tidak diberikan peluang pada awalnya.

Sejak dikendalikan oleh Rafael Benitez yang begitu pakar dan mahir dengan selok-belok permainan bola sepak Eropah, The Reds ternyata sebuah pasukan berbeza berbanding penampilan mereka dalam Liga Perdana Inggeris. Biarpun Milan diletakkan sebagai pilihan, namun status underdog bukanlah asing bagi The Reds yang akan membariskan Steven Gerrard dan Xabi Alonso untuk berhadapan dengan Clarence Seedorf dan Kaka di bahagian tengah.

Di atas kertas Milan jelas mengatasi Liverpool dari segi persembahan,jaringan dan pengalaman kesebelasan utamanya. Namun hasil poll yang dibuat setakat ini, Pool jauh mengatasi Milan untuk mencatat kemenangan bersejarah. Memandangkan keberkesanan taktik dan teknik yang diterapkan oleh Benitez, kubu Pool (dibarisi Hyypia, Carragher, Traore, dan Finnan) agak sukar digugat berbanding benteng pertahanan Milan yang dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan sudah berusia (Cafu, Maldini, Stam dan Nesta). Dan berita baik buat Pool tentunya kepulangan striker Cisse yang baru pulih daripada patah kaki.

Ramai meramalkan keputusan mungkin berakhir dengan natijah 1-0 atau 2-1 memandangkan kedua-dua pasukan akan bermain penuh hati-hati. Atau terikat seri lalu ditentukan dengan tendangan penalti.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP