Selasa, Jun 14, 2005

WACANA NOVEL REMAJA KUMPULAN UTUSAN

Tahniah berganda kepada Faisal Tehrani yang memenangi tempat pertama dan kedua pertandingan Novel remaja Kumpulan Utusan 2004 dengan dua novelnya - "Advencer Si Peniup Ney" dan "Detektif Indigo". Ini bermakna Faisal mengungguli hadiah pertama bernilai RM6000 selama tiga tahun berturut-turut.

Apakah rahsianya? Bagaimana Faisal memilih tema atau persoalan yang memikat hati panel penilai? Bagaimanakah caranya untuk menghasilkan novel yang baik? Jawapannya ada dalam Wacana Novel Remaja Utusan yang diadakan oleh pihak penganjur sendiri.

Saya sendiri telah menyertai wacana ini sebanyak 3 kali sebelum ini sejak sirinya yang kedua pada tahun 2000. Alhamdulillah saya berjaya menang dua kali pertandingan tersebut setelah saya beroleh input berharganya. Begitu juga dengan Siti Jasmina Ibrahim dan Nisah Haron yang turut memenanginya pada tahun lepas, mereka pernah menghadiri wacana ini. Justeru, saya menyeru kepada sesiapa yang berminat dan mahu mengetahui rahsia kemenangan kami untuk turut serta menghadiri sirinya yang kelima.

Wacana sehari tersebut akan diadakan pada Sabtu, 18 Jun 2005, bertempat di Hotel Istana, Jalan Raja Chulan dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Bayaran penyertaan yang dikenakan ialah RM100 termasuk kertas kerja, minum pagi, makan tengah hari berserta minum petang.

Empat ahli panel terkemuka telah dijemput bagi membentangkan kertas kerja melalui empat segmen, berbanding tiga pada tahun sebelumnya. Mereka ialah Profesor Dr. Uthman el-Muhammady yang akan membincangkan tentang "Falsafah Seni ", Dr. Sidek Fadzil, "Pemikiran dan Jati Diri: Penghadirannya dalam Pengkaryaan"; Encik Mohammad Saleeh Rahamad, "Strategi Bahasa dalam Penulisan Novel Remaja"; dan Puan Nor Azah Abd Aziz, "Kenapa Sesebuah Karya Terpilih atau Tertolak?"

Wacana sebegini juga bertujuan membantu para penulis mempertajam kebolehan dan ilmu dalam bidang penulisan, sekali gus memperkukuh kredibiliti dalam mengungguli mutu karya sastera tanah air. Kepada yang berminat untuk menyertainya sila berhubung dengan Puan Nor Azah Abd Aziz atau Puan Nik Anura di Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd di talian 03-92856577. Tempat adalah terhad!

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP