Jumaat, Julai 08, 2005

PUISI DARI TIMUR TENGAH

KAD PENGENALAN
Oleh Mahmoud Darwish
(Terjemahan daripada bahasa Arab oleh Zaid Akhtar)

Catatkanlah!
Aku Arab
nombor kadku 50 ribu
anak-anakku lapan
dan yang kesembilan …
akan menyusul selepas musim panas!
Apakah engkau gusar?

Catatkanlah!
Aku Arab
bekerja bersama buruh-buruh di lombong
anak-anakku lapan
aku ikhtiarkan sebuku roti untuk mereka
pakaian dan buku
daripada batu
dan aku tidak menagih sedekah dari pintumu
apalagi mengemis di hadapan istana celamu.
Apakah engkau gusar?

Catatkanlah!
Aku Arab
nama yang tidak bergelar
bersabar walau di mana jua
hidup dalam kemarahan yang amat.
Susur galurku telah utuh
sebelum lahirnya zaman
sebelum bermulanya era
sebelum adanya sipres dan zaitun
sebelum mekarnya tumbuh-tumbuhan.
Bapaku dari keluarga tani
bukan bangsawan mulia
datukku, seorang peladang
tanpa hasil tanpa nasab
mengajarku betapa tingginya mentari
sebelum membaca buku
dan rumahku, sekadar pondok penjaga ladang
daripada kayu dan rotan.
Apakah engkau puas melihat keadaanku?
Aku nama yang tidak bergelar.

Catatkanlah!
Aku Arab
berambut warna arang
bermata warna perang.
Kelebihanku:
cuma di atas kepala ini
lilitan kain di atas kopiahnya
dan tanganku yang seteguh batu
bisa mencalarkan sesiapa yang menyentuhnya.
Dan alamatku:
aku dari kampung terpencil yang dilupakan
jalan-jalannya tidak bernama
semua pemudanya di ladang dan lombong.
Apakah engkau gusar?

Catatkanlah!
Aku Arab.
Kau renggut anggur nenek moyangku
dan bumi yang diperladangkan
aku dan anak-anakku
dan tidak kautinggalkan untuk kami
dan cucu-cucuku
kecuali batu ini.
Apakah pemerintahmu akan mengambilnya
seperti yang diperkata?

Justeru!
Catatkanlah di kepala muka surat pertama
aku tidak pernah membenci manusia
aku tidak pernah menyamun sesiapa
Tapi aku, bila lapar
kan kuratah daging pemerkosa.
Hati-hati
dengan lapar dan amukku!


Biodata Pengarang
Mahmoud Darwish dilahirkan pada 13 Mac 1941 di desa al-Birwah yang terletak di timur ‘Aka, Palestin tetapi terusir ke Lubnan sewaktu masih kanak-kanak. Beliau yang intim dengan tema bangsanya digelar Penyair Rakyat Palestin merupakan penyair Arab moden paling terkemuka. Menjadi pelarian setelah perkampungannya diranapkan tentera Yahudi malah pernah dipenjarakan beberapa kali. Selain pernah menjadi editor majalah al-Kirmil, beliau juga mahir berbahasa Inggeris dan Ibrani. Di antara koleksinya ialah: `Asafir bila Ajnihah (1961), Awraq al-Zaitun (1964), `Aasyiq min Falestin (1966), Akhir al-Lail (1968), Al-`Asafir tamut fi al-Jalil (1970), Hisar li Mada’ih al-Bahr (1984) Diwan Mahmoud Darwish (1987) dan banyak lagi.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP