Jumaat, Ogos 12, 2005


Beberapa catatan penting yang tertinggal


13 Julai 2005
Keinginan yang sudah lama sebenarnya terpendam. Akhirnya terlaksana. Saya tak mahu berpaling ke belakang lagi apabila sudah berniat untuk pergi membeli. Dengan ditemani Cikgu Faizal saya mendapatkan Nikon Coolpix 5100. Tak mahal, masih kurang seribu. Tapi okeylah. 5.1 megapixel. Full aksesori. Nak beli yang mahal-mahal tak mampu. Lagipun buat apa, saya bukan jurukamera pro.

15 Julai 2005
Petang Jumaat. Bertolak ke JB pada jam 4. Nil muntah dua kali dalam kereta menyebabkan mood untuk ke majlis malam nanti turun sedikit. Irfan pula masih demam. Hujan lebat metah di Kulai. Maghrib kami tiba di Hotel Eden Garden, Stulang Laut. Jam 8.30 malam, saya mengenakan batik urban warna krim dengan corak warna merun yang baru siap untuk menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim V. Sayangnya, anak-anak yang masih kecil dan isteri tersayang terpaksa ditinggalkan di kamar hotel.

Syukur. Rezeki anak-anaklah ini. Meneruskan kemenangan Sesegar Nailofar dua tahun lepas, saya sekali lagi terpilih memenangi kategori novel remaja menerusi novel Rona Bosphorus. Dan paling mengejutkan, cerpen Pendedahan (alah, cerita fasal Tun Teja dan Hang Tuah bersembang dalam telefon tu) memasuki senarai pemenang kategori cerpen eceran. Langsung tak termimpi akan memenangi dua kategori sekaligus. Nak dijadikan cerita, berita dua kemenangan ini hanya saya ketahui lagi seminggu sebelum majlis penyampaian kerana surat dari Yayasan Warisan Johor tersesat dan tidak sampai ke tangan saya.

Ramai juga penulis-penulis mapan Johor yang menang double seperti Zaharah Nawawi (cerpen dan kumpulan puisi), Mawar Shafei (esei dan cerpen), Anis (esei dan buku sastera) dan Aminah Mokhtar (cerpen dan drama radio). Saya duduk di antara Shapiai Hj Ramly dan Saadiah Ibrahim. Sempat juga berbual dengan HM Tuah Iskandar yang menang kategori novel dewasa menerusi Enrique Mengundang Jauh. Sayangnya, tak sempat pula berbual panjang dengan pemenang-pemenang lain kerana saya turun agak lewat.

Majlis HSDT macam biasa - memang grand. Zapin wajib ada. MB Johor hadir diiringi exco-exconya. Dan saya cukup gembira melihat Shamsuddin Othman meraih anugerah Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor. Abang Dean memang layak. Pak Nora yang sudah 77 merangkul Hadiah Sasterawan Johor.

Namun malam ini adalah malam Faisal Tehrani. Tahniah kepada Faisal yang menang RM 10 000 lewat novel Surat-surat Perempuan Johor dalam Sayembara Novel Sejarah Johor kali pertama. Faisal menang tempat ketiga. Tiada tempat pertama dan kedua. Dia berbaju Melayu merah, lengkap bersamping dan bersongkok. Macam Hang Tuah, sempat saya mengusiknya, tapi di mana kerisnya?

Lepas kudapan, Khadijah Hashim sempat datang menegur saya. Rasa terharu pula. Dia ingat lagi saya yang masih hijau mentah ini rupanya. Kak Jah macam biasa - mesra. Tetap seperti dulu, banyak mendorong saya supaya gigih menulis. Kadangkala rasa tak percaya bila penulis hebat macam Kak Jah datang menemui saya menghembus dorongan. Mama Anis (Dr. Amida Abdulhamid) juga sempat menguja semangat tatkala kami bertemu di bilik urusetia untuk menerima tuntutan perjalanan dan cek masing-masing.

26-29 Julai 2005
Saya dilantik sekolah sebagai guru penghubung media lantas dikehendaki berkursus di INTEKMA Resort, Shah Alam. Kursus Penulisan Berita dan Fotografi. Terlanjur dah beli Nikon ni, memang kursus ini sangat saya perlukan. Teknik-teknik nak ambil gambar kena tahu. Tak boleh pukul gambar sebarang. Ada kejutan. Pembimbing kursus fotografi rupanya kawan saya - Syed Nassir Syed Ali dari Perlis- yang sudah tidak ditemui lebih 10 tahun! Praktikalnya, sepetang kami habiskan di Tasik PKNS untuk mengambil gambar.

30-31 Julai 2005
Pulang sebentar ke rumah mertua di Senggarang, Batu Pahat. Umi dan mak sihat. Saya seketika melepaskan penat.

1-4 Ogos 2005
Ke JB dan Eden Garden sekali lagi. Mesyuarat Pembinaan Modul bagi Pengajaran Bahasa Arab. Bermakna dalam dua minggu, saya terpaksa berkursus dua kali berturut-turut. Seronok. Tapi agak meletihkan. Ramai juga penulis-penulis buku teks Bahasa Arab yang sempat saya kenali kali ini. Bolehlah bertukar-tukar pengalaman proses penulisan dan penerbitan.


5-7 Ogos 2005
Musafir lagi. Sehari sesudah pulang dari JB, saya ke Kuantan. Bukan untuk Karnival TV3 Sureharam di Padang MPK2, tapi untuk Hari Keluarga anjuran Kelab Bilik Guru SMKAS. Tempatnya, De Rhu Beach Resort, Pantai Balok. Inilah masanya untuk melepaskan stres dan keletihan!

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP